Ahad, 26 Ogos 2012

Salam Eidul Fitri

Selamat Hari Raya Eidul Fitri diucapkan kepada seluruh umat Islam dan juga pembaca blog saya. Insya Allah pada minggu hadapan selepas bercuti panjang kita akan sambung kembali perbincangan kita mengenai isu-isu tanah terutamanya berkaitan dengan pengambilan tanah. Seperti yang kita sedia maklum, mulai 4 September hadapan akan bermulalah siasatan/bicara pengambilan tanah projek Pengerang. Diharap semua orang berkepentingan akan hadir di tempat yang telah ditetapkan (dalam Borang E) dan gunakan hak tuan-tuan mengikut undang-undang untuk memohon/meminta bayaran pampasan yang munasabah semoga tidak menyesal kemudian hari.

Timbul satu persoalan disini iaitu 'bagaimana jika orang berkepentingan tidak hadir atau tidak mahu hadir'

Adakah dengan tidak hadir tersebut, pengambilan tanah tidak akan berlaku?

Berdasarkan seksyen 14(3) Akta Pengambilan Tanah:

Siasatan dan award/perintah yang dibuat oleh Pentadbir Tanah adalah sah sama ada orang berkepentingan itu hadir ataupun tidak

Jumaat, 17 Ogos 2012

Perkembangan Terkini di Pengerang

Sebelum bercuti menyambut Hari Raya Eidul Fitri, saya ingin menyampaikan sedikit berita baru mengenai pengambilan tanah di Pengerang. Pengambilan tanah tersebut mungkin dibuat melalui 'Perakuan Kedesakan' 

PERAKUAN KEDESAKAN


Menurut seksyen 19 Akta pengambilan Tanah 1960, jika pemohon berkehendakan tanah untuk melaksanakan projek dengan kadar segera, Pengarah Negeri (Pengarah Tanah dan Galian Negeri) boleh pada atau selepas tamat tempoh lima belas hari dari penyempurnaan notis awam Borang E mengikut seksyen 52 (bukan penyerahan Borang E kepada orang berkepentingan mengikut seksyen 53) mengeluarkan Perakuan Kedesakan Borang I kepada Pentadbir Tanah mengarahkan Pentadbir Tanah mengeluar dan menyerahkan Borang K. Ini bermakna pada atau selepas lima belas hari notis awam Borang E disempurnakan, Pentadbir Tanah akan menyerahkan Borang K kepada penduduk tanah, tuan punya tanah berdaftar, pemohon dan kepada pihak berkuasa pendaftaran (untuk tujuan catitan ke dalam Dokumen Hakmilik Daftar Komputer seperti yang dikehendaki oleh seksyen 23) walaupun siasatan dan perintah belum dilaksanakan.
Apabila Borang K telah diserahkan, agensi pemohon boleh memasuki tanah pada atau selepas tarikh Borang K diserah DAN apabila catatan telah dibuat di dalam Dokumen Hakmilik Daftar Komputer, mengikut seksyen 66 Akta Pengambilan Tanah 1960, tanah tersebut telah menjadi TANAH KERAJAAN dan bebas daripada bebanan.
Pengambilan melalui pengeluaran Perakuan Kedesakan Borang I hanya boleh dibuat jika memenuhi syarat-syarat berikut:
 i.         Pemohon menyatakan di dalam permohonan pengambilan sebelum ini bahawa     pengambilan hendak diproses melalui pengeluaran Perakuan Kedesakan Borang I
ii.         Mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri
iii.        Permohonan pengambilan hanya untuk maksud awam di bawah seksyen 3(1)(a)   dan kemudahan awam dibawah seksyen 3(1)(b) sahaja.

KESAN PENGAMBILAN TANAH MELALUI PENGELUARAN PERAKUAN KEDESAKAN BORANG I

i.          Tidak Boleh Membuat Penarikan Balik Dari Pengambilan
Selepas Borang K diserahkan seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 22, pemohon tidak boleh meminta Pentadbir Tanah menarik balik dari pengambilan (tak jadi ambil) walaupun berlaku perubahan jajaran umpamanya atau projek tidak dapat dijalankan ataupun tiada peruntukan. Ini dinyatakan dibawah seksyen 35(1) Akta Pengambilan Tanah ‘Pihak Berkuasa Negeri adalah bebas untuk menarik balik daripada pengambilan mana-mana tanah yang masih belum diambil milik’
ii.         Caj Bayaran Lewat
Seksyen 32(1) Akta Pengambilan Tanah menyatakan ‘ Apabila amaun sesuatu pampasan yang diawardkan dibawah akta ini berkenaan dengan mana-mana tanah tidak dibayar atau didepositkan pada atau sebelum genap masa, Pentadbir Tanah hendaklah membayar amaun yang diawardkan itu serta caj bayaran lewat dengan kadar lapan peratus setahun mulai dari genap masa hingga  masa pampasan itu dibayar atau didepositkan’
Seksyen 32(1C) pula menyatakan genap masa ertinya tarikh semasa tanah itu diambil milik
Berdasarkan kenyataan di atas, oleh kerana tanah tersebut di AMBIL MILIK terlebih dahulu (awal) sebelum pampasan dibayar, PEMOHON AKAN DIKENAKAN CAJ BAYARAN LEWAT 8% DIKIRA MULAI DARI TARIKH PENYERAHAN BORANG K SEHINGGA BAYARAN PAMPASAN DIBUAT.

Rabu, 8 Ogos 2012

Khas Untuk Orang Berkepentingan di Pengerang

Hari ini kita sambung kembali perbincangan mengenai pengambilan tanah di Pengerang Johor.

Tajuk yang diutarakan hari ini dirasakan amat berguna kepada mereka-mereka yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut, sama ada yang bersetuju tanah mereka diambil ataupun kepada mereka yang tidak bersetuju kerana dari maklumat yang saya perolehi, oleh kerana terlalu marah ada di antara mereka yang enggan menerima sebarang notis dari Pejabat Tanah bahkan yang lebih marah lagi ada yang mengoyak terus notis tersebut.

Hari ini kita akan membicarakan tentang hak-hak 'orang yang berkepentingan' apabila tanah mereka terlibat dengan pengambilan tanah mengikut Akta Pengambilan Tanah, 1960.

Tafsiran perkataan 'Orang Yang Berkepentingan'

Mengikut seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah, 1960, orang berkepentingan bermaksud tiap-tiap yang menuntut sesuatu kepentingan pada pampasan yang dibuat kerana pengambilan tanah. 'Suatu Kepentingan' itu berkemungkinan tuntutan kerana sebagai tuan punya tanah, tuan punya rumah/bangunan {rumah kediaman/kandang haiwan}, pemajak tanah, penyewa tanah, pemegang gadai, pemasuk kaveat, orang yang memberi lien.


HAK ORANG YANG BERKEPENTINGAN

1.    Boleh memeriksa pelan tanah, kawasan dan binaan-binaan yang terlibat di Pejabat Tanah

2.    Mesti DIBERIKAN Borang E iaitu notis siasatan dari Pejabat Tanah dan mesti hadir ke tempat yang ditetapkan. Jika tidak hadir, bantahan TIDAK BOLEH dibuat ke Mahkamah. Jika enggan terima Borang E, pengambilan akan diteruskan. Pentadbir Tanah boleh membuat perintah secara 'ex-parte' {tanpa kehadiran orang berkepentingan}

3.   Mesti mendapat jumlah pampasan yang adil dan berpatutan mengikut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

4.     Mesti membuat tuntutan pampasan secara lisan atau bertulis kepada Pentadbir Tanah yang menjalankan siasatan pengambilan tanah dalam bulan September nanti. Jika tuntutan tidak dibuat, perintah yang dibuat oleh Pentadbir Tanah adalah MUKTAMAD

5.      Boleh mendapatkan khidmat Penilai Swasta dan bayaran yang dibuat kepada penilai tersebut boleh dituntut kembali kepada Pentadbir Tanah (dengan bukti bayaran yang dibuat) semasa menghadiri siasatan pengambilan tanah

6.      Boleh menuntut dan diberi pampasan kerosakan, pecah pisah terhadap tanah. Ini dibolehkan jika pengambilan hanya melibatkan sebahagian tanah sahaja.

7.     Menuntut lain-lain kos seperti menukar tempat kediaman {pindah rumah atau perniagaan}, kos perjalanan, mengangkut barang/haiwan, menyewa rumah {jika tidak disediakan}, kos hadir siasatan.

8.       Boleh melantik wakil atau ejen mewakili mereka TETAPI PERLANTIKAN MESTI BERTULIS

9.       Orang berkepentingan boleh menerima, menerima dengan bantahan atau menolak pampasan yang ditawarkan. Pemilihan mesti dibuat selepas menerima BORANG H (Tawaran Pampasan yang akan diberi dalam 2 salinan). Menerima dengan bantahan bermaksud 'pempasan diterima tetapi ingin membantah ke Mahkamah'

10.      Boleh membuat bantahan ke Mahkamah Tingga jika tidak bersetuju dengan pampasan yang diberikan. Antara syaratnya bantahan mesti melalui Pejabat Tanah dengan menggunakan BORANG N dan diserahkan dalam tempoh 6 minggu dari tarikh perintah dan  bayar deposit 

11.      Pampasan mesti dibayar kepada semua orang berkepentingan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh terima BORANG H. Jika melewati tempoh tersebut, orang berkepentingan uakan dibayar caj bayaran lewat 8% setahun. Jika enggan terima pampasan, wang pampasan akan disimpan di Mahkamah dan pengambilan diteruskan

12.       Setelah bayaran pampasan dibuat, tuan tanah/orang berkepentingan akan di berikan BORANG K. Apabila Borang di serahkan, pemilik tanah MESTI MENGOSONGKAN TANAHNYA.

Diharapkan penerangan secara ringkas ini dapat membantu semua orang berkepentingan di Pengerang mendapat maklumat yang betul mengenai hak-hak meraka apabila tanah mereka diambil. Saya tidak mahu mereka yang tidak mengetahui secara mendalam Akta Pengambilan Tanah akan diambil kesempatan oleh mereka-mereka yang ada kepentingan tertentu.

Selasa, 7 Ogos 2012

Sambungan Pengambilan Tanah Di Bawah s3(1)(b(c)

Assalamualaikum, selamat berpuasa dan selamat sejahtera

Setalah bercuti Nuzul Quran pada hari Isnin, hari ini kita sambung kembali sehingga selesai tajuk Pengambilan Tanah Di Bawah seksyen 3(1)(b) dan (c) sebelum kita meneruskan perbincangan Projek RAPID di Pengerang kerana tajuk awal mengenai Pengerang mendapat sambutan dari pembaca mungkin juga termasuk pemilik tanah di sana.

 
SAMBUNGAN

 
Jika sesuai, UPEN/Jawatankuasa arahkan PEMOHON melalui  BORANG 3 (Notis Rundingan) dalam tempoh 6 minggu dari tarikh terima permohonan dari Pentadbir Tanah supaya mereka berunding dari segi:
                        
a.         terma dan syarat yang sesuai
b.         bentuk kerjasama

PEMOHON kemukakan lapuran lengkap keputusan rundingan:

a.         jika perundingan berjaya, pengambilan terhenti dan Pentadbir Tanah  pulang  kembali deposit tanpa faedah dalam tempoh 3 bulan dari tarikh terima permintaan yang dibuat oleh pemohon

b.         jika perundingan gagal, UPEN/Jawatankuasa boleh timbangkan permohonan         dan membuat perakuan.

UPEN/Jawatankuasa kemukakan dokumen dan perakuan kepada Jawatan Kuasa Khas Pengambilan Tanah Negeri atau PBN (bagi WPKL) menggunakan BORANG 4 (Notis Kepada Jawatankuasa) dalam tempoh 14    hari dari tarikh terima lapuran perundingan dari UPEN.

Jika tiada kelulusan pembangunan, UPEN/Jawatankuasa menimbang permohonan berdasarkan kepentingan awam, keupayaan dan kemampuan   pemohon untuk melaksanakan tujuan pengambilan dan daya maju projek. Seterusnya mengemukakan dokumen serta perakuan kepada Jawatankuasa Khas Pengambilan Tanah negeri atau PBN.
 



TINDAKAN JAWATANKUASA KHAS PENGAMBILAN TANAH

Menilai kesesuaian permohonan dan kemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh 2 bulan dari tarikh terima daripada UPEN beserta perakuan (termasuk syarat dan sekatan kepentingan)

TINDAKAN PIHAK BERKUASA NEGERI

 i.          Pihak Berkuasa Negeri boleh meluluskan atau menolaknya
ii.        Pihak Berkuasa Negeri tidak boleh meluluskan lebih luas daripada yang diperlukan.


TINDAKAN PENTADBIR TANAH SELEPAS KEPUTUSAN PBN

i.          Jika permohonan diluluskan, Pentadbir Tanah dalam tempoh 14 hari beritahu pemohon melalui BORANG 5 (Notis Kelulusan)

ii.        Jika permohonan di tolak, Pentadbir Tanah dalam tempoh 14 hari beritahu pemohon melalui BORANG 6 (Notis Penolakan) dan bayar kembali deposit tanpa faedah dalam tempoh 3 bulan


TINDAKAN PEMOHON

i.          Hendaklah (Shall) beri jawapan kepada Pentadbir Tanah dalam tempoh 30 hari dari tarikh terima Borang 5 dan seterusnya membuat bayaran baki 75% deposit

ii.        Jika gagal memberi jawapan dianggap menarik balik dari pengambilan

iii.       Jika tarik diri, Pentadbir Tanah akan adakan siasatan dalam tempoh 21 hari dari tarikh terima notis penarikan dari pemohon atau tarikh pemohon disifatkan telah menarik balik permohonannya, untuk tentukan deposit yang akan dilucutkan.

  

TINDAKAN PENTADBIR TANAH/PTG SETERUSNYA HINGGA  SELESAI

 i.          Apabila amaun yang hendak dilucutkan telah ditentukan, dalam tempoh 14 hari, Pentadbir Tanah memberitahu pemohon melalui notis BORANG 7 (Notis Perlucutan Deposit)

ii.        Jika pemohon setuju, baki deposit hendaklah dibayar kembali dalam tempoh 3 bulan tarikh terima BORANG 7

iii.       Jika pemohon tidak setuju, boleh membuat bantahan melalui BORANG 8 (Notis Rujukan Kepada Pihak Berkuasa Negeri) dalam tempoh 30 hari dari tarikh terima BORANG 7

iv.        Dalam tempoh 14 hari dari tarikh terima BORANG 8, Pentadbir Tanah  membuat rujukan kepada Pihak Berkuasa Negeri dan keputusannya adalah MUKTAMAD

Jika pemohon bersetuju menerima terma dan syarat-syarat  yang ditetapkan,         urusan seterusnya adalah pewartaan di bawah seksyen 4 dan seksyen 8 Akta           Pengambilan Tanah dan tindakan-tindakan lain yang sama seperti proses           pengambilan dibawah seksyen 3(1)(a)


Jumaat, 3 Ogos 2012

Pengambilan Tanah di Pengerang, Johor

Assalamualaikum, selamat berpuasa dan selamat sejahtera.

Sebelum mengakhiri minggu ini (minggu Nuzul Quran), saya tangguhkan dulu sambungan tajuk Pengambilan Tanah Di Bawah Seksyen 3(1)(b) dan (c) untuk memberi laluan kepada berita besar ini terutamanya kepada penduduk/tuan punya tanah di Pengerang, Johor.

Sebagaimana yang diheboh-hebohkan selama lebih setahun yang lalu, maka dalam bulan Julai ini telahpun menjadi kenyataan bahawa pengambilan tanah untuk Projek RAPID di Pengerang, Johor akan bermula apabila tanah-tanah yang terlibat telahpun diwartakan dibawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 19 Julai 2012 yang lalu.

Tajuk warta tersebut adalah 'Pengambilan Tanah Di Bawah Perenggan 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486], Untuk Tujuan Terminal Petroleum Laut Dalam Di Tanjung Ayam, Mukim Pengerang, Daerah Kota Tinggi Untuk Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI)'.

Walau bagaimanapun bukan semua lot seperti yang diwar-warkan sebelum ini telah diwartakan dibawah seksyen 8. Lot-lot yang telah diwartakan hanyalah 82 lot mengikut warta no. 5901 bertarikh 19 Julai 2012 dan 1,059 lot mengikut warta no. 5902 bertarikh 19 Julai 2012.

Maklumat yang saya terima dari Pejabat Tanah Kota Tinggi, notis awam Borang E telahpun dilaksanakan mengikut seksyen 52 dan tuanpunya tanah bolehlah pastikan sama ada tanah-tanah mereka terlibat dengan pengambilan tersebut ataupun tidak. Sementara notis individu Borang E akan diserahkan kepada semua orang berkepentingan dalam sedikit masa lagi dan siasatan pengambilan tanah insya Allah akan dilaksanakan dalam bulan September yang akan datang

Untuk makluman penduduk/tuan tanah Pengerang juga pada 2 Ogos 2012 telah pun tersiar Warta Kerajaan Johor No. 6474 iaitu WARTA DIBAWAH S 4 AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 dimana tersenarai sejumlah 252 lot dalam Mukim Pengerang dan 67 lot dalam Mukim Pantai Timur MUNGKIN AKAN DIAMBIL OLEH PIHAK BERKUASA NEGERI UNTUK TUJUAN:

'Pengambilan Tanah Di Bawah Perenggan 3(1)(b) Akta Pengambilan Tanah, 1960 [Akta 486] Untuk Tujuan Projek pembangunan Penapisan Minyak Dan Petrokimia, Mukim Pengerang dan Mukim Pantai Timur Daerah Kota Tinggi Untuk Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI)

Jika diperhatikan tajuk warta tersebut adalah sama dengan tajuk warta diperenggan dua di atas. Oleh yang demikian warta seksyen 4 ini adalah lot tambahan yang mungkin diambil untuk perlaksanaan projek RAPID tersebut.


PERHATIAN UNTUK TUAN TANAH DIMUKIM PENGERANG DAN PANTAI TIMUR!

Untuk mengetahui sama ada lot tuan-tuan tersenarai di dalam Warta Kerajaan Johor No. 6474 di atas ataupun tidak bolehlah mengetahuinya apabila warta tersebut akan dipamerkan di papan kenyataan Pejabat Tanah, papan kenyataan awam (masjid/balai penghulu) dan di atas atau berhampiran tanah-tanah tersebut sepertimana yang dikehendaki oleh seksyen 4(2) dan seksyen 53 Akta Pengambilan Tanah 1960

Khamis, 2 Ogos 2012

Sambungan Pengambilan Tanah Di bawah s3(1)(b)(c)

 
DEPOSIT (Kaedah 5)

i.       125% daripada anggaran nilaian pasaran tanah yang diambil
ii.       nilaian tanah ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta
iii.      Bayaran dibuat dalam bentuk draf bank
iv.      cara bayaran:
           50% semasa permohonan
           75% apabila pemohon menerima terma dan syarat oleh PBN

TUJUAN DEPOSIT:

a.      Untuk pastikan pemohon benar-benar mempunyai peruntukan untuk mengambil tanah
b.      Untuk digunakan sebagai bayaran pampasan pengambilan tanah.

Berdasarkan Kaedah 5(2), jika pampasan yang diawardkan adalah lebih      tinggi/besar daripada deposit yang telah dibuat, Pentadbir Tanah hendaklah   memohon deposit tambahan daripada  pemohon melalui BORANG 2


TINDAKAN PEJABAT TANAH

i.   Pentadbir Tanah boleh menolak permohonan yang tidak lengkap seperti yang dikehendaki     

ii.  Pentadbir Tanah boleh menolak permohonan, jika tuan punya tanah telah mendapat kelulusan pembangunan dan pengambilan tanah yang  dibuat bukan maksud kemudahan awam.

iii. Jika permohonan telah lengkap dan teratur, Pentadbir Tanah   kemukakan permohonan beserta dokumen kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau Jawatankuasa (untuk W.P Kuala Lumpur)
 

TINDAKAN UPEN/JAWATANKUASA

Membuat pertimbangan berdasarkan:

 a.        Kepentingan awam;
 b.        Keupayaan dan kemampuan pemohon untuk laksanakan tujuan pengambilan tersebut;
 c.        daya maju projek dan
 d.        kelulusan pembangunan yang telah diberikan kepada tuan tanah.

Jika telah ada kelulusan pembangunan dan pengambilan untuk kemudahan awam, UPEN tentukan sama ada sesuai bagi tuan tanah untuk mengambil bahagian/turut serta dalam projek yang akan dijalankan nanti.