Isnin, 29 April 2013

Pembayaran Pampasan Pengambilan Tanah


Pada 24 hingga 25 April 2013, saya dijemput oleh Institut Pembangunan Modal Insan Zon Utara, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia menyampaikan ceramah pengambilan tanah kepada Jurutera-Jurutera dan pegawai JPS yang terlibat secara langsung dengan proses pengambilan tanah ditempat/negeri masing-masing.

Semasa ceramah tersebut ada ditimbulkan satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan iaitu 'Siapakah yang bertanggungjawab menguruskan pembayaran pampasan (penyerahan cek pampasan) sama ada JPS/agensi pemohon atau pun Pejabat Tanah/Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan cawangan negeri?'

Terdapat dua orang peserta yang bertanyakan soalan yang sama, seorang dari JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (sekarang ini bertugas di JPS Perak) dan seorang lagi dari JPS Johor.


Pandangan/Jawapan

Berdasarkan seksyen 29 Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah adalah bertanggungjawab membayar pampasan tanah dan bayaran pampasan tersebut hendaklah dibuat dengan seberapa segera yang boleh selepas sahaja menyerahkan notis award dalam Borang H kepada orang yang berhak.

Seksyen 29(1)  -  ' Selepas sesuatu notis award dalam Borang H disampaikan mengikut cara yang ditetapkan oleh seksyen 53 kepada semua orang yang berkepentingan Pentadbir Tanah hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, membayar setiap amaun yang diawardkan kepada orang yang berhak menerimanya .......'

Seksyen 32A pula menyatakan ' Bayaran dianggap telah dibuat pada hari sebagaimana diberitahu secara bertulis oleh Pentadbir Tanah bahawa cek, kiriman wang atau wang tunai telah sedia untuk diambil oleh orang yang berkepentingan; atau pada hari cek atau kiriman wang dihantar oleh Pentadbir Tanah melalui pos berdaftar kepada orang yang berkepentingan; atau pada hari cek atau kiriman wang diserah/dihantar oleh Pentadbir Tanah ke Mahkamah '

Didalam Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 41 Tahun 2009, antara lain pada perenggan  4 menyatakan ' Pentadbir Tanah setelah mnerima cek, hendaklah seberapa segera menyerahkan cek tersebut kepada penerima sama ada kepada tuan tanah, Amanah Raya Berhad atau mendepositkan ke Mahkamah. Tindakan ini hendaklah dibuat pada atau sebelum tarikh genap masa [due date], untuk mengelak daripada caj bayaran lewat'

Sementara dipperenggan 6, pekeliling yang sama pula menyatakan ' Untuk mengelak berlakunya perkara-perkara diperenggan 4 di atas, Pentadbir Tanah hendaklah memperkemaskan pengurusan cek bayaran pampasan pengambilan tanah dengan mengambil langkah-langkah pengawalan seperti berikut...........................'


KESIMPULANNYA BAYARAN PAMPASAN/PENYERAH CEK MESTI DILAKUKAN OLEH PENTADBIR TANAH DAN BUKANNYA OLEH JPS/AGENSI PEMOHON

Selasa, 16 April 2013

Seksyen 28 Akta Pengambilan Tanah 1960


Semasa perjalanan balek dari Putrajaya pada hari Selasa, 9 April 2013, rakan saya yang pernah berkhidmat di INSTUN tetapi sekarang telah bertukar ke Terengganu ada berbincang dengan saya berkaitan dengan seksyen di atas iaitu sama ada perlu atau tidak diwarta semula jika luas pengambilan selepas ukur semula melebihi suku hektar atau satu peratus dari keluasan tanah dijadualkan yang mana lebih besar.

Seksyen 28 Penilaian mengenai perbezaan pada keluasan 

'Apabila hasil sesuatu pengukuran yang dibuat mengikut sub seksyen (1) seksyen 25 didapati wujud perbezaan antara keluasan mana-mana tanah yang telah diambil dengan keluasan tanah dijadualkan yang dinyatakan dalam sesuatu award dibawah seksyen 14, perbezaan itu hendaklah dinilai mengikut kadar yang sama seperti tanah yang dimaksudkan itu telah dinilai dalam award yang dibuat dalam Borang G'

Seksyen di atas menyatakan selepas sahaja ukuran selesai dibuat dibawah seksyen 25, jika terdapat perbezaan keluasan yang diambil (selepas ukuran dibuat berdasarkan Borang K) dengan keluasan yang diperintah dibawah seksyen 14, perbezaan tersebut hendaklah dinilai dan dibayar mengikut nilai tanah semasa perintah dibuat sebelum ini. lanjutan daripada itu, seksyen 32(2) pula menyatakan 'Jika mana-mana penilaian dibuat dibawah seksyen 28 berhubung dengan apa-apa perbezaan yang terdapat pada keluasan tanah apabila pengukuran muktamad dibuat, maka hendaklah ditambah kepada amaun penilaian itu caj bayaran lewat dengan kadar lapan peratus setahun..........'


BERDASARKAN SEKSYEN-SEKSYEN DAN KETERANGAN DIATAS 
TIDAK ADA MENYATAKAN PERBEZAAN (LEBIHAN) TERSEBUT MESTI DIWARTAKAN TERLEBIH DAHULU SEBELUM BAYARAN DIBUAT


Mengikut rakan saya tersebut ada yang berpendapat jika perbezaan selepas pengukuran itu melebihi suku hektar atau satu peratus dari keluasan tanah terjadual, maka ianya mesti diwartakan semula dan sebaliknya. Pada saya pendapat ini hanyalah berkaitan dengan seksyen 14 sahaja dan TIADA KAITAN DENGAN SEKSYEN 25, 28 DAN SEKSYEN 32(2)

Rabu, 10 April 2013

PANDANGAN


Adakah seksyen 3 dan seksyen 68A Akta Pengambilan Tanah bercanggah antara satu dengan lain?

Seksyen 3 Tujuan Pengambilan Tanah

(1) Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil mana-mana tanah yang diperlukan -

     (a) bagi apa-apa maksud awam;

    (b) oleh mana-mana orang atau perbadanan bagi apa-apa maksud pada pendapat Pihak  Berkuasa Negeri adalah benefisial untuk kemajuan ekonomi Malaysia atau mana-mana bahagian dari itu atau kepada orang ramai secara am atau mana-mana klas orang ramai; atau

  (c) bagi maksud perlombongan atau untuk maksud-maksud kediaman, pertanian, perdagangan, perindustrian atau rekreasi atau mana-mana kombionasi maksud itu.

Berdasarkan perenggan 4 Manual Pengambilan Tanah:

Istilah "maksud awam" dibawah seksyen 3(1)(a) adalah apa-apa kepentingan untuk faedah awam atau sebahagian awam tetapi bukan untuk faedah individu. Dalam hal ini pengambilan tanah untuk sekolah, hospital, mahkamah dan jalan adalah dianggap sebagai maksud awam. Kesimpulannya jika permohonan daripada Kementerian, Jabatan (Persekutuan/Negeri), ianya diletakkan dibawah seksyen 3(1)(a).

Pada perenggan 5.1 pula, Jabatan Peguam Negara berpendapat badan-badan berkanun yang mempunyai kuasa untuk mengambil tanah dibawah undang-undang penubuhannya boleh mengambil tanah dibawah perenggan 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah bagi suatu tujuan yang dengannya badan berkanun itu telah ditubuhkan dan tujuan sedemikian hendaklah disifatkan sebagai tujuan awam. Berdasarkan pandangan tersebut Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan menyenaraikan badan-badan berkanun yang boleh mengambil tanah dibawah seksyen 3(1)(a) dalam Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan Bilangan 1 Tahun 2005


Seksyen 3(1)(b)(c) pula jika permohonan yang datangnya dari orang perseorangan atau perbadanan. Jika permohonan mereka untuk tujuan pembangunan ekonomi Malaysia diletakkan dibawah seksyen 3(1)(b) dan permohonan untuk tujuan-tujuan perlombongan, kediaman, pertanian, perindustrian atau rekreasi atau kombinasi antaranya diletakkan dibawah seksyen 3(1)(c)

Perenggan 4.4 Manual Pengambilan Tanah menyatakan 'orang' membawa maksud warganegara, umur tidak kurang 18 tahun, bukan seorang yang muflis dan bukan orang yang disabit dengan kesalahan dan dihukum penjara satu tahun atau lebih dalam tempoh lima tahun sebelum permohonan. Sementara perenggan 4.5 pula menyatakan 'badan' bermaksud syarikat/perbadanan/badan yang ditubuhkan atau didaftarkan dibawah Akta Syarikat 1965, mana-mana akta atau Enakmen Negeri, Akta Pertubuhan 1966, Akta Koperasi 1948, Akta Pendaftaran 1956

Seksyen 68A Akta Pengambilan Tanah pula:

Subsequent disposal, etc., of acquired land not to invalidate acquisition

'Where any land has been acquired under this Act, whether before or after the commencement of this section, no subsequent disposal or use of, or dealing with, the land, whether by the State Authority or by the government, person or corporation on whose behalf the land was equired, shall invalidate the acquisition of the land'

Seksyen ini bermaksud, selepas pengambilan berlaku kegagalan menggunakan tanah itu untuk maksud asal tanah itu diambil atau melupuskannya oleh pihak yang mengambil tanah tidak membatalkan pengambilan tersebut.


KESIMPULANNYA SEKSYEN 3(1)(a)(b) dan (c) TELAHPUN MENYATAKAN DENGAN JELAS SIAPA YANG BOLEH MEMOHON DIBAWAH SEKSYEN 3(1)(a), SEKSYEN 3 (1)(b) dan SEKSYEN 3(1)(c) DAN TUJUAN PERMOHONAN TERSEBUT

SEKSYEN 68A PULA MEMBOLEHKAN/MEMBENARKAN SESIAPA YANG MENGAMBIL TANAH MENJUAL/MEMBUAT APA SAJA WALAUPUN BERTENTANGAN DENGAN TUJUAN ASAL PENGAMBILAN DIBUAT


INI YANG DIKATAKAN BERLAKU PERCANGGAHAN

Isnin, 8 April 2013

WARTA/GAZETTE


Perkataan 'warta' dalam Bahasa Inggeris adalah 'Gazette/publish/announce'. Dalam Bahasa Melayu  boleh juga didefinisikan sebagai 'pengisytiharan'. Dalam proses pengambilan tanah mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, terdapat DUA kali warta iaitu warta dibawah seksyen 4 dan warta dibawah seksyen 8. Warta seksyen 4 diterbitkan apabila 'The State Authority is satisfied that any land in any locality in the state is likely to be needed'. Sementara warta sekyen 8 diterbitkan apabila 'The State Authority decides that any of the lands rfeered to in section 7 are needed............'


Pada pandangan saya, tujuan utama warta/gazette adalah untuk memberitahu kepada orang ramai/masyarakat umum mengenai pengambilan tanah disesuatu kawasan/tempat/daerah/negeri. Masalah sekarang adalah warta/gazette yang dicetak oleh Pencetakan Nasional berdasarkan Borang B untuk warta seksyen 4 dan Borang D dan C untuk warta seksyen 8 dan LAZIMNYA LEWAT DITERIMA OLEH PEJABAT PTG/PEJABAT TANAH/JKPTG DAN LEWAT UNTUK DILIHAT OLEH ORANG RAMAI.

Oleh kerana kelewatan tersebut, akan timbul masalah perundangan berdasarkan isu dibawah.

Satu isu yang ditanya kepada saya oleh Penolong Pentadbir Tanah Seberang Prai Selatan pada 3 April 2013 adalah tuan tanah yang tanah nya terlibat dengan pengambilan telah membuat pembaikan (contoh disini adalah membina kolam ternak ikan/rumah yang sebelumnya tiada) diatas tanahnya dan pembaikan itu dibuat selepas tarikh warta seksyen 8, sedangkan dia tidak mengetahuinya dan Pejabat Tanah belum menerima salinan warta tersebut sedangkan mengikut Perenggan 3(f) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah (Perkara yang harus diabaikan dalam menentukan pampasan) menyatakan:

'apa-apa perbelanjaan mengenai tambahan atau pembaikan pada tanah yang diambil itu yang ditanggung beban selepas tarikh tersiarnya pengisytiharan dibawah seksyen 8, melainkan jika tambahan atau pembaikan itu adalah perlu bagi penyenggaraan apa-apa bangunan oleh keadaan baik, dan melainkan dalam hal tanah pertanian, apa-apa yang dibelanjakan untuk penanaman yang berterusan di atasnya'

BERDASARKAN ISU DAN KENYATAAN DI ATAS, BOLEHKAH PEMBINAAN TERSEBUT DIBAYAR GANTIRUGI?

Seperti biasa selepas Pentadbir Tanah menerima salinan warta tersebut (lazimnya terkemudian dari tarikh warta), mengikut seksyen 9(1)(a), penandaan diatas tanah MESTI dilakukan oleh Pentadbir Tanah (pada masa ini Pentadbir Tanah sudah kenalpasti pembinaan/pembaikan telah dibuat atau belum dan dapat memberitahu kepada tuan tanah bahawa tanah tersebut telah diwartakan dibawah seksyen 8) dan seterusnya, mengikut seksyen 10 notis awam Borang E dilaksanakan (ditampal mengikut seksyen 52). Oleh yang demikian pada pandangan saya TARIKH PENANDAAN/TARIKH TAMPAL NOTIS BORANG E PATUT DIAMBIL KIRA kerana notis Borang E adalah pemberitahuan. Bermakna jika pembaikan diatas dibuat selepas tarikh penandaan/notis Borang E ditampal, pembinaan tersebut tidak boleh diambil kira dan sebaliknya.

Untuk mengatasi masalah tersebut, pada pandangan saya adalah lebih baik, Pentadbir Tanah terlebih dahulu menghubungi Pencetakan Nasional untuk mendapatkan tarikh warta,  seterusnya sediakan Borang E lebih awal dan letakkan tarikh bila tiba masanya seterusnya menampal dan menyerahkan pada tarikh yang sama.

Rabu, 3 April 2013

Seksyen 33 Akta Pengambilan Tanah 1960


Setelah seminggu tidak ada isu yang hendak dibincangkan dan SEMPENA DENGAN PEMBUBARAN PARLIMEN HARI INI satu isu yang saya rasa menarik untuk dibincangkan ialah seksyen 33. Isu ini diutarakan olah rakan saya dari JKPTG Pulau Pinang semasa bermain bola tampar pada petang 2 April 2013.

Seksyen 33 adalah 'Mengambil tanah lain jika tuntutan kerana pengasingan tanah terlalu berlebihan'

Sebelum kita membincangkan seksyen 33, terlebih dahulu kita lihat Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah. Berdasarkan perenggan 2(c) Jadual Pertama , untuk tujuan pemberian pampasan perkara tersebut hendaklah dipertimbangkan (dibayar) oleh Pentadbir Tanah iaitu kerosakan jika ada yang ditanggung atau mungkin ditanggung oleh orang yang berkepentingan itu semasa Pentadbir Tanah mengambil milik tanah tersebut, disebabkan pengasingan tanah itu (severing) atau juga disebut sebagai pecah pisah daripada tanahnya yang lain.

Pada pandangan saya, ini bermaksud tanah tersebut terpisah menjadi dua bahagian akibat daripada pengambilan. Sebagai contoh pengambilan untuk jalan, lebuhraya, jalan keretapi, tali air, sungai, talian penghantaran elektrik, paip air, gas dan seumpamanya.

Seksyen 33(1) menyatakan 'Apabila Pihak Berkuasa Negeri berpendapat bahawa tuntutan pampasan yang dibuat oleh seseorang yang berkepentingan kerana pengasingan tanah (severing) yang hendak diambil itu dengan tanahnya yang lain adalah tidak berpatutan atau terlalu berlebihan, Pihak Berkuasa Negeri boleh (may), pada bila-bila masa sebelum tanah itu diambil milik, memerintahkan pengambilan kesemua atau mana-mana bahagian tambahan daripada tanah yang masih tinggal itu'.

Sepertimana yang telah dibincangkan dalam paparan sebelum ini, walaupun bayaran pecah pisah boleh dituntut dan dibayar oleh Pentadbir Tanah, TETAPI ianya bergantung kepada projek yang dijalankan. Jika projek yang dibina itu menimbulkan kesusahan kepada pemilik tanah, bayaran pecah pisah mesti dibuat dan sebaliknya.

Di dalam ayat seksyen 33(1), terdapat perkataan boleh (may) BUKAN SHALL. Ini bermaksud PENGAMBILAN BAKI LOT dan bayaran yang hendak dibuat BUKAN MESTI,  BIARLAH BERPATUTAN DAN PROJEK YANG DIJALANKAN MENYEBABKAN KERUGIAN BESAR KEPADA TUAN PUNYA TANAH.

Jika dipastikan tiada kerugian yang besar kepada tuan tanah dan baki lot tidak diambil, BIARLAH TUAN TANAH MEMBUAT PERMOHONAN KEPADA MAHKAMAH DIBAWAH SEKSYEN 37(1)(a)