Isnin, 20 Mei 2013

Penyelesaian Masalah

Dalam minggu lalu saya menerima soalan yang sama dari orang yang berbeza melalui telefon, facebook dan email. Ianya mungkin daripada mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia kerana seorang daripadanya memperkenalkan diri sebagai  mahasiswa UTM. Soalannya seperti berikut:

En. Ali memiliki sebidang tanah seluas 11.975 hektar dibawah hakmilik kekal. Lot tanah telah diukur pada tahun 1932 yang sebahagiannya adalah mengikut ukuran kelas ketiga. Pada tahun 2001, sebahagian kecil lot ini iaitu 0.05 hektar telah diambil balik bagi tapak pencawang TNB. Ukuran telah dijalankan untuk mengeluarkan bahagian yang diambil balik dan hakmilik sambungan bagi baki keluasan dikeluarkan. Selepas ukuran keluasan baki dikira didapati luasnya adalah 11.915 hektar. En. Ali tidak berpuas hati kerana menurut pendapatnya keluasan baki lotnya selepas ditolak keluasan pengambilan balik adalah 11.925 hektar. Beliau merujuk kepada anda untuk khidmat nasihat dalam membuat tuntutan kepada kerajaan. Nasihatkan beliau.

Jawapan/Pandangan:

Berdasarkan soalan diatas, pengambilan tanah En. Ali lebih daripada sepatutnya iaitu 0.01 hektar (Keluasan diambil 0.06 he - keluasan yang diaward 0.05). Mengikut seksyen 28 Akta Pengambilan Tanah, jika wujud perbezaan keluasan tanah yang telah diambil dengan keluasan tanah dijadualkan yang telah diawardkan, perbezaan itu (0.01) hektar hendaklah dibayar pampasan  seperti yang telah dinilai dalam award/perintah semasa pengambilan 0.05 hektar sebelum ini.

Selain daripada itu berdasarkan seksyen 32(2) Akta yang sama, En. Ali juga akan dibayar caj bayaran lewat 8% setahun atas pampasan tambahan diatas dan dikira mulai tanah tersebut diambil milik (tarikh penyerahan Borang K) sehingga pampasan tambahan dibayar nanti.

Jumaat, 17 Mei 2013

Permasalahan Pengambilan Tanah


Saya ada menerima persoalan mengenai pengambilan tanah dari seseorang. Persoalannya adalah seperti berikut:

Merujuk kepada Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960, jelaskan prinsip dan seksyen yang berhubung dengan penentuan pampasan kes berikut:

(a) En Chong mempunyai sebidang tanah di Sabak Bernam. Tanah En. Chong terlibat dengan pengambilan bagi tujuan pembinaan balai bomba. Ia telah diwartakan dibawah seksyen 4 pada 1/12/2009. Nilai pasaran harta tanah dikawasan sekitar subject lot adalah RM200,000.00 sehektar. Pada 3/1/2011, pewartaan dibawah seksyen 8 telah dibuat dan nilai pasaran sebanding kawasan sekitar telah meningkat kepada RM300,000.00 sehektar. En chong telah menuntut nilai tanah miliknya pada kadar RM300,000.00 sehektar.

Soalan saya, tuntutan En. Chong adalah betul dan adakah Perenggan 1 Jadual Pertama sesuai dengan jawapannya atau Perenggan 1C

(b) Tanah ladang getah seluas 3 hektar daripada 100 hektar telah terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek lebuh raya. Pemilik tanah mengemukakan tuntutan pampasan berdasarkan kepada transaksi tanah-tanah kebun kecil yang berkeluasan 2 hingga 4 hektar.

Soalan saya, perenggan yang manakah saya patut gunakan dalam situasi ini. Adakah perenggan 1B atau perenggan 2(a)  atau perenggan 2D

Soalan seterusnya: Apakah yang dimaksudkan dengan kos sampingan?


JAWAPAN/PANDANGAN

(a) Jawapannya adalah PERENGGAN1. Perenggan 1 adalah penentuan nilai pasaran tanah. Berdasarkan perenggan tersebut nilai pasaran tanah yang terlibat adalah ditentukan berdasarkan tarikh pewartaan seksyen 4 atau seksyen 8. Jika pengambilan tanah diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu dan dalam tempoh 12 bulan diikuti dengan pewartaan dibawah seksyen 8, nilai tanah tersebut ditentukan pada tarikh warta seksyen 4 dan jika tidak diwartakan dibawah seksyen 4 tetapi terus diwartakan dibawah seksyen 8, nilai tanah ditentukan pada tarikh warta seksyen 8.

PERENGGAN 1C pula: Jika tanah yang terlibat dengan pengambilan telah diwartakan dibawah seksyen 8 dan berlaku penjualan (transaksi) atau dengan kata lain tanah dijual selepas pewartaan dibawah seksyen 8, nilai jualan tersebut/harga jualan tidaklah menggambarkan nilai tanah sebenar, kemungkinan telah dinaikkan untuk tujuan mendapat keuntungan.

(b) PERENGGAN  1B adalah tepat. PERENGGAN 2D adalah penjualan keseluruhan lot ladang tersebut (kerana tafsiran tanah ladang bukan sahaja satu lot, tetapi beberapa lot). Ini terbukti dalam perenggan 2D ada perkataan 'atau menjadi sebahagian daripada suatu lot tanah estate'.

Maksud kos sampingan pula adalah seperti yang dinyatakan didalam seksyen 14(5) Akta Pengambilan Tanah dan juga Perenggan 2(b),(c),(d),(e),(f)

Jumaat, 10 Mei 2013

Keputusan Mahkamah Persekutuan Berkaitan Pewartaan Di Bawah s4


Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia berhubung sub seksyen 4(1) dan (2) Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) yang telah sebulat suara memutuskan bahawa adalah wajib dan hendaklah mengeluarkan Borang A (Notis bahawa tanah berkemungkinan akan diambil) terlebih dahulu sebelum Borang D (Pengisytiharan pengambilan tanah yang dicadangkan) dibawah subseksyen 8(1). Dengan kata lain warta seksyen 4 adalah wajib dan kemudiannya diikuti dengan seksyen 8.

Lanjutan daripada itu, setelah rayuan dibuat ke Mahkamah Persekutuan, pada 2 April 2013 secara ringkas Mahkamah Persekutuan telah memutuskan:

'Bahawa Mahkamah Rayuan Malaysia telah khilaf dalam membuat tafsiran mengenai subseksyen 4(1) dan (2) Akta 486 dan memutuskan bahawa notis Borang D dibawah subseksyen 8(1) Akta 486 boleh dikeluarkan secara terus oleh PBN tanpa perlu mengeluarkan notis borang A dibawah subseksyen 4(1) dan 2 Akta 486. Mahkamah Persekutuan Malaysia juga bersetuju dengan keputusan mejoriti kes Ng Kim Moi (P) & ors v. Pentadbir Tanah Daerah Seremban Negeri Sembilan Darul Khusus (Negeri Sembilan Township Sdn. Bhd & Anor, Proposed Intervenors [2004] MLJ 301 dimana panel yang berkenaan secara mejoriti memutuskan pengeluaran Borang A dibawah subseksyen 4(1) dan 4(2) Akta 486 bukan bersifat mandatori'.


Jumaat, 3 Mei 2013

Ulasan Berita


Sebelum bercuti dan balik menunaikan tanggung jawab sebagai pengundi bersama isteri dan dua orang anak yang mengundi kali pertama di Parlimen Bukit Gantang dan DUN Kuala Sepetang (Perak), saya ingin mengulas berita dimuka surat 8 Harian Metro Jumaat 3 Mei 2013 bertajuk "BO LA WEI".

Saya petik berita diperenggan 3 iaitu 'Bo la wei, (sudah-sudah la tu), cukuplah 23 tahun, tipu rakyat, bohong. Ini nak buat lebuh raya Kota Baharu - Kuala Kerai, buat tabung, ingat boleh buat lebuh raya dengan tabung?'


Pada pandangan saya berita tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan kerana:

PADA 28 MAC 2013 MELALUI WARTA KERAJAAN KELANTAN NO. 671 SEBANYAK 1,740 LOT-LOT TANAH TELAH PUN DIWARTAKAN DIBAWAH SEKSYEN 4 AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 UNTUK MAKSUD:


'Permohonan Pengambilan Tanah Di bawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 Bagi Projek Membina dan Menyiapkan Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Kerai, Kelantan'



SIAPA YANG BENAR?