Isnin, 28 April 2014

Pengambilan Tanah Persekutuan

Pertanyaan yang saya terima:

Boleh kah Tanah Persekutuan di ambil melalui Akta Pengambilan Tanah?

Bagaiamana tanah milik agensi-agensi Persekutuan yang diperolehi melalui pengambilan tanah.


PANDANGAN:

Tanah Persekutuan terdiri dari dua bentuk:

1. Tanah Milik
2. Tanah Rizab

Tanah milik  persekutuan adalah tanah tanah yang didaftarkan atas nama  PERSURUHJAYA TANAH PERSEKUTUAN 
 
Tanah rizab Persekutuan - berdasarkan Fasal (5) Perkara 85 Perlembagaan Persekutuan Tanah yang dirizabkan bagi maksud persekutuan termasuklah:
 
(a)  mana-mana tanah yang telah dirizabkan sebelum Hari Merdeka mengikut peruntukan mana-mana undang yang ketika itu berkuat kuasa di dalam Negeri itu bagi apa-apa maksud yang telah menjadi suatu maksud persekutuan selepas Hari Merdeka;
 
(b)  mana-mana tanah yang dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan selepas Hari Merdeka mengikut peruntukan mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di dalam sesuatu negeri;

(c)  mana-mana tanah negeri yang disebut dalam Fasal (4) Perkara 166 yang telah dimansuhkan; dan

(d)  mana-mana tanah disesuatu negeri yang dirizabkan bagi maksud persekutuan menurut kuasa Fasal (7) Perkara 83.


Berdasarkan kepada Fasal (7) Perkara 83, Perlembagaan Persekutuan tanah berimilik untuk maksud persekutuan tidak boleh diambil tanpa persetujui oleh persekutuan. Oleh yang demikian tanah persekutaun TIDAK PERLU DISENARAIKAN DI DALAM BORANG C

Mengenai tanah rizab persekutuan pula sememangnya tidak terlibat dengan pengambilan (juga tidak perlu disenarai dalam Borang C) kerana berdasarkan seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah 1960, tanah yang boleh diambil adalah TANAH BERIMILIK, tanah yang diduduki mengikut hak disisi adat dan tanah yang diduduki dengan harapan mendapaat hakmilik SAHAJA tidak termasuk tanah rizab.

Selain daripada tanah persekutuan terdapat tanah-tanah milik agensi persekutuan yang kebanyakannya diperolehi melalui proses pengambilan tanah dibawah akta yang sama seperti tanah milik FELDA, MARA, MADA, KEDA, KADA, KEJORA, KETENGAH, LPP, KESEDAR, LLM, PERDA, LADA, PERBADANAN PUTRAJAYA DAN LAIN-LAIN. TANAH-TANAH INI BUKAN TANAH PERSEKUTUAN TETAPI ADALAH TANAH BERIMILIK MENGIKUT SEKSYEN 5 KANUN TANAH NEGARA DAN SEKSYEN 2 AKTA PENGAMBILAN TANAH. OLEH YANG DEMIKIAN TANAH-TANAH INI BOLEH DIAMBIL OLEH SESIAPA SAHAJA MELALUI AKTA PENGAMBILAN TANAH DAN DIBAYAR PAMPASAN.

Rabu, 23 April 2014

Soalan Pengambilan Tanah

Pada 22 April saya menerima panggilan telefon dari pegawai JKPTG Kedah berkaitan dengan tanah berstatus 'TIDAK DAPAT DIKESAN'  lazimnya diringkaskan kepada 'TDK' yang terlibat dengan pengambilan. Tanah yang tidak dapat dikesan lazimnya tergolong dari tanah-tanah seperti berikut:
 
i. No. Lot tidak dapat ditemui atau
ii. No dan jenis hakmilik yang tidak ketahui atau
iii. Kedua-duanya lot dan hakmilik tidak diketahui
 
Persoalan yang timbul adalah:
 
1. Bagaimana tindakan perlu diambil?
2. Bolehkan siasatan dan perintah hendak dibuat?
3. Bagaimana untuk menentukan nilaian tanah tersebut?
4. Kepada siapa pampasan akan dibayar?
5. Apakah tindakan yang perlu dibuat, selepas perintah, hakmilik didaftarkan  selepas tarikh warta seksyen 8?
 
 
PANDANGAN:
 
Semasa menyediakan Borang C Akta Pengambilan Tanah, diruangan lot ukur dan ruangan hakmilik atau kependudukan LETAKKAN TDK kerana dipercayaai tanah tersebut MEMPUNYAI PEMILIK (Berdasarkan siasatan yang telah dibuat oleh Penolong Pegawai Tanah) . Sebaliknya jika tanah tersebut dipastikan ianya adalah 'Tanah Kerajaan' ianya TIDAK PERLU DISENARAIKAN DIDALAM BORANG C. Tindakan tersebut adalah bertepatan dengan seksyen 2(2) dan 2(3) Akta Pengambilan Tanah.
 
Selepas pewartaan dibawah seksyen 8, Pentadbir Tanah mengambil tindakan seperti biasa iaitu mengeluarkan Borang E dan melaksanakannya mengikut seksyen 52, 53 dan 54. Seterusnyan Pentadbir Tanah boleh menjalankan siasatan dan perintah secara ex-parte sepertimana yang dibenarkan oleh seksyen 14(2).
 
Lanjutan daripada itu, oleh kerana Pentadbir Tanah tidak mengetahui status tanah seperti kategori/syarat nyata untuk menentukan nilaian, Pentadbir Tanah boleh menggunakan Perenggan/seksyen 1 Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah iaitu penentuan nilai pasaran; lapuran Penolong Pegawai Tanah mengenai kedudukan tanah, keadaan sekitar tanah dan juga berdasarkan maklumat penggunaan tanah yang diberikan oleh pihak berkuasa perancangan sepertimana yang dinyatakan dibawah seksyen 9A Akta yang sama.
 
Selesai siasatan, Pentadbir Tanah hendaklah memerintahkan supaya wang pampasan didepositkan ke Mahkamah mengikut seksyen 29(1)(a) Akta Pengambilan Tanah DAN JANGAN DEPOSITKAN KE AMANAH RAYA BERHAD kerana Pentadbir Tanah tidak dapat mengenalpasti pemilik yang sebenar.
 
 
Setelah proses pengambilan telah diselesaikan (bayaran pampasan telah didepositkan ke Mahkamah) timbul pula isu baru iaitu:
 
a. Muncul tuantanah sebenar dan membawa dokumen hakmilik
 
b. Hakmilik baru didaftarkan SELEPAS TARIKH WARTA SEKSYEN 8
 
Untuk isu di atas PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MEMBUAT PEMBETULAN WARTA YANG HANYA MELIBATKAN NO LOT/HAKMILIK/PEMILIK (kerana warta asal SAH) berdasarkan hakmilik yang dibawa atau hakmilik yang baru didaftarkan DAN DIDALAM PEMBETULAN WARTA HENDAKLAH MENYATAKAN TARIKH WARTA ASAL DIAMBIL KIRA SEBAGAI TARIKH WARTA SEBENAR. Ini dilakukan bertujuan untuk ingatan/endorsan/wasilan BORANG D DAN BORANG K didalam dokumen hakmilik daftar komputer nanti dan penentuan nilai pasaran tanah tersebut.
 
 
Seterusnya wang pampasan yang telah didepositkan ke Mahkamah bolehlah dikeluarkan kepada pemilik Tanah yang telah dikenalpasti.
 

Isnin, 21 April 2014

Soalan Pengambilan Tanah

Selepas bersara dari perkhidmatan awam, saya masih menerima persoalan-persoalan berkaitan dengan Akta Pengambilan Tanah dan Kanun Tanah Negara sama ada melalui telefon, sms atau email. Hari ini saya menerima satu persoalan mengenai pengambilan tanah dari staf Pejabat Tanah Setiu, Terengganu. Soalan ini belum pernah ditanya sepanjang perkhidmatan saya sebelum ini. Soalannya berbunyi seperti berikut:
 
'Pihak Berkuasa Negeri telah menolak permohonan pengambilan tanah dibawah seksyen 3(1)(c) Akta yang melibatkan Tanah Pegangan Melayu. Boleh atau tidak PEMOHON membuat rayuan' Jika tidak diluluskan apakah tindakan seterusnya?

 
Pandangan.
 
Berdasarkan seksyen 3E(1) Akta Pengambilan Tanah, 1960 'Apabila menerima permohonan yang tersebut dalam seksyen 3A(7)(b) atau 3D, mengikut mana yang berkenaan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh meluluskan atau menolak permohonan itu. INI BERMAKNA RAYUAN TIDAK LAGI BOLEH DIBUAT. Dalam kes ini juga saya dimaklumkan PBN menolak kerana untuk menjaga kepentingan TANAH PEGANGAN MELAYU kerana permohonan pengambilan dibuat oleh syarikat yang bukan tergolong daripada 'Syarikat Melayu'. Ini juga menguatkan lagi hujjah bahawa rayuan tidak lagi boleh dibuat. Tindakan seterusnya yang perlu diambil adalah berdasarkan seksyen 3E(5) iaitu:

'Jika PBN telah menolak apa-apa permohonan dibawah subseksyen (1), ia hendaklah memberitahu Pentadbir Tanah yang hendaklah serta merta memaklumkan pemohon itu dan mengembalikan amaun penuh deposit yang telah dibayar, tanpa pembayaran apa-apa bunga (interest) dalam tempoh tiga bulan'

Rabu, 2 April 2014

Tanah Oh Tanah


SIRI KE 39

ANTARA KEPENTINGAN INDIVIDU DAN KEPENTINGAN AWAM DALAM PENGAMBILAN TANAH

(BAHAGIAN PERTAMA)

1.                  ISU

Semua projek pembangunan dan prasarana memerlukan tanah. Tanpa tanah sudahtentu pembangunan tidak dapat dijalankan. Rakyat juga memerlukan tanah untuk kehidupan kerana tanah adalah segala-galanya. Satu hakikat yang perlu diterima ialah kuantiti tanah tidak bertambah dan penawarannya terbatas, sedangkan permintaan meningkat dan bertambah. Justeru, tanah menjadi rebutan dan wujud satu persaingan yang hebat bagi mendapatkannya malah keadaan sekarang menjadi semakin kritikal. Senario di atas menggambarkan dua keadaan yang berbeza. Rakyat memerlukan tanah untuk meneruskan kehidupan dan kerajaan atau pemaju berkehendakkan tanah untuk tapak projek. Dalam situasi ini wujud konflik antara rakyat dengan kerajaan atau orang ramai dengan pemaju. Percubaan untuk menyelesaikan konflik ini melalui kaedah permintaan dan tawaran kadangkala menemui kegagalan. Ini kerana membuat urusniaga dengan tuan tanah terutama jual beli yang berasaskan prinsip willing seller and willing buyer adalah mempunyai karenah yang tersendiri. Banyak masalah dan halangan yang mengganggu proses penawaran tanah untuk pembangunan melalui kaedah ini. Antaranya adalah halangan perundangan, halangan pemilikan dan sikap serta gelagat tuan tanah. Soal personaliti dan gelagat agen boleh mempengaruhi kelancaran proses jual beli.

Keadaan sebegini tidak harus dibiarkan kerana memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Pertembungan antara kepentingan individu dengan kepentingan awam boleh diselesaikan - melalui dua pepatah Latin iaitu: (i) salus populi suprema est le.  Pepatah ini diterjemahkan sebagai kebajikan orang ramai adalah didahulukan dan lebih utama; dan (ii) necessitas publica major est quam private kepentingan umum lebih penting daripada kepentingan individu. Mengikut kedua-dua prinsip ini, kepentingan awam lebih penting daripada kepentingan peribadi. Prinsip ini diperkenalkan untuk mengimbangan antara hak individu dengan hak orang ramai.

Dalam keadaan semulajadi manusia sentiasa tolong menolong dan saling membantu antara satu sama lain, tetapi kerana pengaruh persekitaran, manusia menjadi mementingkan diri sendiri, tidak mahu mendengar atau tunduk kepada tuntutan orang lain serta menjurus kepada sifat menjaga kepentingan sendiri. Keadaan ini menyebabkan kehidupan manusia menjadi sukar dan rumit. Bagi mengatasi masalah ini, manusia tidak mempunyai pilihan selain mengadakan satu perjanjian sosial antara satu sama lain dengan melantik pihak ketiga. Pihak ketiga ini diberi sepenuh kepercayaan dan kuasa untuk mengendalikan keperluan yang dianggap keperluan bersama atau kepentingan awam. Teori ini diutarakan oleh Thomas Hobbers (1588-1679) melalui bukunya Leviathan yang diterbitkan pada tahun 1651.

Teori Thomas Hobbes ini diperkemaskan oleh John Locke (1632-1704). Melalui bukunya Two Treatises of Government yang diterbitkan pada tahun 1690, Locke menerangkan bahawa dalam keadaan semula jadi manusia memang sentiasa didorong untuk berbaik dengan manusia lain. Dalam masa yang sama manusia juga diberi hak-hak tertentu, iaitu hak menjaga nyawanya, hak kebebasannya dan hak memilik harta benda. Namun, hak kebebasan boleh disalahgunakan oleh manusia dimana seseorang individu enggan berkongsi dengan individu lain. Locke juga menerangkan bahawa pertambahan jumlah penduduk menjadikan barang-barang dan perkhidmatan tertentu semakin terhad serta penciptaan wang pula mendorong manusia menyalahgunakan kebebasan memilik harta. Mereka yang mempunyai wang berlebihan dan yang ingin mengumpul harta tentu akan bertindak untuk mengumpul lebih banyak harta daripada individu lain. Manusia mula mementingkan diri sendiri dan mempunyai sifat-sifat ingin menjaga kepentingan peribadi. Kehidupan manusia mulai gelisah, tidak tenteram dan menjadi sukar. Memandangkan kepada hakikat ini, Locke berpendapat bahawa manusia tiada pilihan selain mengadakan satu perjanjian anatara satu sama lain atas prinsip kepentingan bersama atau kepentingan awam.

Perkara sama dinyatakan oleh Jean Jacques Rouseau yang mengemukakan teori kepentingan awam. Melalui bukunya The Social Contract, beliau menyatakan bahawa dalam keadaan semula jadi manusia menikmati kesamaan hak dan mempunyai sifat peribadi yang baik serta memuaskan. Bagaimana pun, pengenalan hak memiliki harta perseorangan dan pertambahan penduduk merupakan punca utama berlakunya persaingan dan kekecohan di kalangaan manusia. Oleh yang demikian, satu corak kehidupan atau peraturan yang cuba mengelakkan persaingan tersebut dicipta, iaitu konsep tekad umum atau kepentingan umum. Dalam memperkenalkan konsep ini, Rousseau cuba membezakan atau mengasingkan kepentingan bersama dan kepentingan individu. Beliau menegaskan bahawa kepentingan umum atau awam perlu diutamakan kerana ia merangkumi kepentingan keseluruhan rakyat. Beliau juga menegaskan bahawa kepentingan awam ini tidak lain daripada kepentingan peribadi setiap individu di dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu kepentingan awam paling tinggi darjatnya. Kepentingan awam ini tidak boleh bertentangan dengan individu dalam sesebuah masyarakat. Kepentingan awam mencerminkan kehendak individu itu sendiri. 

Berdasarkan kepada teori ini, kebajikan, manfaat, keperluan, kegunaan, kehendak atau kepentingan awam adalah mengatasi kebajikan, manfaat, keperluan, kegunaan, kehendak atau kepentingan persendirian. Ini kerana kepentingan awam adalah menjaga matlamat seluruh masyarakat awam daripada menjaga sebahagian daripada masyarakat awam. Kepentingan awam berada di atas dan kepentingan individu berada di bawah. Dengan prinsip ini, pemerintah diizinkan untuk campur tangan dengan menggubal undang-undang bagi mengambil tanah individu secara paksa. Kuasa ini di Amerika Syarikat dipanggil eminent domain, di United Kingdom, New Zealand dan Ireland di sebut pembelian paksa, di Australia dan di Malaysia dinamakan dipanggil pengambilan secara paksa dan di Afrika Selatan di namakan mengambil alih.

Keizinan yang diberikan oleh undang-undang untuk mengambil tanah individu secara paksa tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Rasional di sebalik kebenaran tersebut adalah untuk kepentingan awam. Masalahnya, undang-undang tidak memberi takrif yang jelas mengenai kepentingan awam. Parlimen enggan membuat tafsiran dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat interpretasi, tapi malangnya mahkamah secara berterusan menolak untuk berbuat demikian, sebaliknya merujuk kepada keputusan orang politik. Kekaburan dan kesamaran mengenai kepentingan awam tidak berkesudahan dalam pengambilan tanah oleh kerajaan.     

Justeru, istilah dan konsep kepentingan awam dalam pengambilan tanah telah membuka ruang yang amat luas kepada pelbagai tafsiran. Masih sukar untuk menentukan sempadan dan batasan maksud dan konsep kepentingan sehingga kini kerana belum ada alat ukur yang benar-benar terbukti kesahan dan kebolehpercayaan bagi menilai tahap kepentingan awam yang menjadi tunjang alasan pengambilan tanah milik individu. Ketiadaan tafsiran yang tepat dan jelas dan semata-mata bergantung kepada pendapat logik manusia terdedah kepada kesilapan. Implikasi ketidakobjektifan pentafsiran ini ialah pertikaian demi pertikaian yang berlarutan.

2.                  TAKRIF KEPENTINGAN AWAM

Dari segi bahasa, kepentingan awam terdiri dari dua komponen iaitu kepentingan dan awam. Mengikut Kamus Dewan (DBP: 2003), kepentingan bererti keperluan. Perkataan keperluan seerti dengan perkataan maksud, tujuan, hajat atau kehendak. Manakala perkataan awam pula bererti orang ramai atau orang banyak atau himpunan individu-individu yang menjadikan suatu kelompok. Oleh itu kepentingan awam bermaksud keperluan orang ramai atau kehendak orang banyak.

Kamus Dewasa (DBP; 2000) pula mentaktifkan kepentingan sebagai kegunaan. Kegunaan seerti dengan faedah atau manfaat. Manakala awam ditakrifkan sebagai umum, masyarakat atau semua. Oleh itu kepentingan awam ialah kegunaan umum, faedah masyarakat atau manfaat semua.

Ramanathan (2003) menyatakan istilah kepentingan menerangkan kemahuan manusia yang tidak terhad kecuali disempadankan dengan syarat-syarat tertentu. manakala awam pula membawa maksud ramai. Oleh itu kepentingan awam ialah kemahuan orang ramai yang tidak terhad atau tidak terbatas.

Suwono dalam Balispot (2005) mentakrifkan kepentingan awam adalah kepentingan orang banyak yang untuk mengaksesnya tidak mensyaratkan beban tertentu. Misalnya kepentingan umum pembinaan jalanraya yang setiap orang boleh mengunakanya tanpa perlu membayar apa-apa berbanding dengan hotel yang perlu membayar sewa bilik bila menginapnya. 

Memandangkan bahawa adalah sungguh sulit untuk mengadakan takrifan kepentingan awam yang dipersetujui oleh semua pihak, maka adalah tidak wajar mewujudkan pentakrifan-pentakrifan yang tegar. Pentakrifan yang tegar akan membuat konsep kepentingan awam kaku dan gagal merangkumi proses kepentingan awan yang dinamik. Namun begitu, adalah penting untuk mengemukakan beberapa taktifan pendapat umum bagi memudahkan kefahamannya. Satu kaedah yang boleh digunakan bagi menerangkan pentakrifan kepentingan awam ialah dengan menjelaskan konsep kepentingan dan awam terlebih dahulu secara berasingan dan selepas itu digabungkan. Ini tentunya suatu cabaran yang hebat. Ini kerana jumlah kepentingan dan awam adalah mungkin tidak terkira, sama seperti jumlah manusia yang masing-masing boleh memiliki kepentingan sendiri dan menjadi ahli kepada pelbagai kumpulan dan dalam pada itu berpindah keahlian kepada pertubuhan lain dan seterusnya pada bila-bila masa. 

2.1              Konsep Kepentingan

Konsep kepentingan atau keperluan adalah bertujuan untuk mengatasi kelemahan. Sesuatu yang sempurna tidak memerlukan sebarang keperluan. Manusia sebagai makluk yang serba kekurangan, memerlukan berbagai keperluan. Monette (1977) mengenalpasti beberapa kategori keperluan, iaitu:

2.1.1    Keperluan Asas Manusia

Maslow (1970) memberi lima tahap keperluan asas yang diperlukan oleh setiap manusia, iaitu keperluan fisiolagi; keperluan keselamatan; keperluan kasih sayang dan pemililikan; keperluan kehormatan diri; dan keperluan kewujudan atau pencapaian diri. Mengikut teori ini, masyarakat akan terlebih dahulu melakukan sesuatu yang berkaitan dengan keperluan fisiologi iaitu yang berkaitan dengan makanan, pekerjaan, tempat tinggal, masalah keluarga dan masalah keselamatan supaya hidup seseorang itu sentiasa terjamin sama ada daripada segi ekonomi, sosial dan fizikal. Daripada teori ini dapat dirumuskan iaitu manusia akan sentiasa bergerak ke arah memenuhi keperluan asas selagi dia hidup.

2.1.2    Keperluan Yang Dirasai

Keperluan yang dirasai merupakan keperluan atau hasrat seseorang individu yang boleh dinyatakan sama ada secara lisan atau bertulis. Untuk mengetahui keperluan yang dirasai tercapai atau tidak rumit kerana kadangkali individu segan silu untuk melahirkan hasrat hati. Sesuatu keperluan mungkin dirasai oleh penerima atau pihak perancang sahaja. Ada kalanya pihak penerima masih belum merasai sesuatu keperluan tetapi telah dirasai oleh pihak perancang. Jika terlalu banyak keperluan yang dirasai, keperluan-keperluan itu perlu disusun mengikut kategori hieraki keperluan sebagaimana yang diperkenalkan oleh Maslow.

2.1.3        Keperluan Normatif

Boyle (1981) menghuraikan bahawa keperluan normatif berlaku apabila wujudnya jurang perbezaan antara keadaan sekarang dengan piawai yang sepatutnya. Contohnya, diandaikan garis kemiskinan bagi keluarga di bandar yang mempunyai saiz keluarga lima orang anak yang bersekolah ialah RM1,500.00 sebulan. Jadi, jika terdapat keluarga yang menpunyai ciri-ciri yang sama tetapi berpendapatan kurang RM1,500.00 sebulan, ini bermakna keluarga tersebut perlu menambahkan pendapatan melalui aktiviti sambilan supaya ia dapat menjamin kehidupan keluarga yang lebih sempurna dari segi ekonomi; dan

2.1.4        Keperluan Perbandingan

Konsep keperluan perbandingan ini membandingkan ciri-ciri penerima dalam sesuatu kelompok yang menerima perkhidmatan tertentu dan sesuatu program dengan kelompok lain yang tidak menerima perkhidmatan. Jurang tentang ciri-ciri yang terdapat antara dua kelompok ini menyatakan, wujudnya keperluan pada kelompok yang tidak menerima perkhidmatan. Contohnya, petani yang berada dalam kawasan program pembangunan pertanian bersepadu atau IADP (Integrated Agriculture Development Programme) seperti MADA, KADA dapat menghasilkan pengeluaran padi yang tinggi. Ini berbanding dengan petani yang berada diluar kawasan KADA dan KADA, hasil pengeluaran rendah. Daripada perbandingan ini dirumuskan bahawa program pembangunan pertanian bersepadu atau IADP diperlukan di semua kawasan penanaman padi bagi meningkatkan hasil padi. Justeru, sehingga kini di Semananjung Malaysia, kerajaan telah menubuhkan 22 kawasan IADP seperti Barat Laut Selangor, Krian-Sungai Manik, Kemasin-Semerak, Pahang Barat, Negeri Sembilan Timur, Seberang Perak, Terengganu Utara, Balik Pulau – Seberang Prai dan lain-lain.

Begitu juga penduduk yang berada dalam kawasan pembangunan in situ (memajukan tanah-tanah pertanian yang telah sedia ada di kampung-kampung dan tanah yang telah diduduki) mampu memperoleh pendapatan yang tinggi kerana mereka mempunyai infrastruktur yang sempurna, penggunaan teknologi-teknologi pertanian seperti bahan tanaman yang lebih baik, mempelbagaikan tanaman, perkhidmatan pengembangan dan khidmat nasihat dan sistem pemasaran yang baik. Mereka sentiasa dibantu oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, RISDA, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan, FAMA dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Berbanding dengan penduduk yang berada di luar kawasan program in situ tidak memperoleh pendapatan yang tinggi kerana tiada kemudahan sokongan. Daripada perbandingan ini, timbul keperluan bahawa program in situ perlu diperluaskan ke kawasan lain dalam usaha untuk menambah pendapatan penduduk. 

Setiap individu sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan-keperluan tersebut. Ada keperluan yang dapat dicapai dengan daya usaha sendiri tanpa bantu orang lain, dan ada keperluan yang dapat dipenuhi hanya dengan bantuan individu lain. Namun demikian, kemudahan asas yang melibatkan perbelanjaan yang besar, rumit dan melibatkan pengambilan tanah seperti rangkaian jalanraya, bekalan letrik, bekalan air bersih, perumahan desa, perkhidmatan pos, pengangkutan awam, sekolah, pasar dan lain-lain tidak mampu disediakan oleh individu dan ini memerlukan bantuan kerajaan. Di Malaysia, satu-satunya undang-undang yang membolehkan Kerajaan berbuat demikian ialah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.  

2.2       Konsep Awam

Ramanathan (2003) menyatakan istilah awam membawa maksud ramai. Beliau tidak pula menerangkan apa yang dimaksudkan dengan ramai. Harper & Row (1973) menyatakan bahawa “ramai” mempunyai sifat-sifat seperti berikut: (i) ramai adalah relatif yang memerlukan spesifikasi lebih lanjut. Misalnya berapa “ramai” yang dikatakan ramai itu. Dalam suatu keadaan, jumlah 1000 orang dikatakan ramai dan dalam keadaan lain, jumlah 1000 orang dikatakan tidak ramai; (ii) “ramai” bersifat heterogen. Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil boleh dimanfaatkan oleh kumpulan-kumpulan individu dengan berbagai posisi dalam masyarakat, orang-orang yang terdiri dari berbagai usia, lelaki dan wanita, berbagai tahap pendidikan, dari berbagai lokasi geografi dan sebagainya; (iii) ramai bersifat anonimitas. Individu-individu yang mendapat feadah daripada sesuatu projek pembangunan kerajaan tidak diketahui. Contohnya orang yang akan menggunakan KLIA Sepang tidak diketahui.            

Seterusnya, istilah awam disebut juga dengan atau publik. Hamdan (2000) mentakrifkan awam sebagai publik. Publik adalah orang ramai, orang banyak atau rakyat. Publik mempunyai bermacam-macam kategori atau jenis atau tahap perkembangan. Misalnya, ada publik yang bersatu atau terancang atau pun tersusun atau berpersatuan. Sebaliknya, ada yang bertaburan, yang diberi tumpuan atau diabaikan, publik yang kecil atau yang besar bilangannya, yang kuat dan yang lemah, yang penting dan yang tidak penting, yang terdedah dan yang terpencil, yang bijak dan yang bodoh, yang berpengetahuan dan yang jahil, dan sebagainya
 
Dalam usaha untuk memberi definisi dan pentafsiran yang bermakna dan berfungsi terhadap publik, Simon mengemukakan bahawa ‘publik’ ialah suatu mitos (‘public’ is a myth). Definisi mitos adalah suatu informasi yang sebenarnya salah tetapi dianggap benar kerana telah beredar dari generasi ke generasi. Begitu luasnya suatu mitos beredar di masyarakat sehingga masyarakat tidak menyedari bahwa informasi yang diterimanya itu tidak benar. Kerana begitu kuatnya keyakinan masyarakat terhadap suatu mitos tentang sesuatu hal, sehingga mempengaruhi perilaku masyarakat. Mitos juga berkait rapat dengan propaganda. Propaganda merupakan mesej-mesej bersepadu yang bertujuan mempengaruhi pendapat atau kelakuan orang ramai. Berbanding dengan menyalurkan maklumat tanpa berat sebelah, propaganda dalam erti kata paling asasnya menyediakan maklumat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat. Propaganda sering memilih fakta-fakta dengan teliti (iaitu menipu melalui penyingkiran) untuk menggalakkan sintesis yang tertentu, ataupun menokok tambah agar menimbulkan maklum balas yang lebih beremosi daripada rasional kepada maklumat yang diberi. Propaganda juga ialah cubaan sengaja yang sistematik untuk membentuk persepsi, memanipulasi kognisi, dan mengarahkan kelakuan agar mencapai maklum balas yang melanjutkan tujuan yang diingini penyebarnya.(Garth S. Jowett and Victoria O'Donnell, Propaganda and Persuasion).

Perkataan awam juga disebut sebagai kumpulan, kelompok, khalayak. Kumpulan ditakrifkan sebagai himpunan orang yang agak besar atau gabungan individu-individu yang menjadikan kelompok yang mempunyai sifat, tugas dan kecenderungan yang serupa (Kamus Dewan, Edisi Baru: DBP:1989). Oleh itu kepentingan awam bermaksud keperluan orang ramai atau keperluan individu-individu dalam suatu kelompok yang mempunyai beberapa sifat yang sama seperti tugas, atau berkongsi minat dan kecenderungan. 

Kelompok ialah sekumpulan manusia menggembleng tenaga, perasaan, fikiran serta minat dalam satu ikatan terhadap sesuatu kecenderungan atau desakan, di samping berkongsi rasa kekitaan dengan semangat perpaduan yang kental. Ia boleh jadi kelompok kecil atau pun besar. Ada yang mentakrifkan awam ini sebagai mana-mana kelompok yang terdiri daripada dua atau lebih individu yang menunjukkan tentangan dengan apa cara sekalipun secara sedar dalam semangat perpaduan. Oleh itu, kepentingan awam ialah keperluan sekumpulan manusia sama ada kumpulan kecil atau pun besar menggembeleng tenaga, perasaan, fikiran serta minat dalam satu ikatan terhadap sesuatu kecenderungan atau desakan, di samping berkongsi rasa kekitaan dengan semangat perpaduan yang kental.

Khalayak, yang berasal daripada bahasa Arab, bermaksud segala yang diciptakan oleh Allh S.W.T., iaitu makhluk, manusia orang ramai, orang banyak, dan umum. (Kamus Dewan, Edisi Baru: DBP: 1989). Richard Vaison (  ) mengemukakan satu definisi yang lebih sesuai dan berguna mengenai konsep ‘awam’. Beliau menyatakan ‘kesan’ sesuatu kepentingan sebagai kriteria untuk menentukan sama ada sesuatu kepentingan itu bersifat ’awam’ atau ‘persendirian’. Mengikit takrif ini, jika sesuatu kepentingan itu memberi kesan kepada sebahagian besar orang ramai, maka kepentingan itu harus dianggap sebagai kepentingan awam.

Perkataan ‘awam’ dalam bahasa Cina disebut sebagai ‘min’. Mengikut Kamus Dewan, ‘min’ bermaksud rakyat atau orang awam. Loh (2003) menjelaskan bahawa rakyat adalah golongan yang diperintah. Golongan yang diperintah lebih ramai daripada golongan yang memerintah. Oleh itu kepentingan awam adalah kepentingan rakyat atau kepentingan majoriti dalam masyarakat. Hal yang sama dijelaskan oleh Meng Tze, seorang ahli falsafah Cina (Obaidellah,1994) yang menyatakan bahawa ‘min’ adalah merujuk kepada golongan yang diperintah atau berlawanan dengan golongan yang memerintah. Ia disamaertikan dengan rakyat. Oleh itu kepentngan awam adalah kepentingan rakyat. 

3                    KONSEP KEPENTINGAN AWAM

Terdapat dua konsep kepentingan awam iaitu "unitary" dan "individualistic". Konsep "unitary" melihat keseluruhan kepentingan awam sebagai satu set matlamat yang boleh digunapakai kepada semua ahli masyarakat.

Manakala konsep "individualistic" melihat kepentingan majoriti tidak mengandungi satu sistem, sama ada terkandung dalam masyarakat majoriti sebagai satu entiti. Matlamat atau kepentingan yang berkaitan adalah terdiri daripada kepentingan individu yang sama ada berkongsi atau tidak berkongsi, dan matlamat atau kepentingan majoriti keseluruhannya adalah pengumpulan kepentingan individu-individu. Oleh itu keputusan tentang kepentingan awam perlu dipertimbangkan selari dengan kepentingan individu. Rujuk rajah 2 di bawah:

Walau bagaimana pun, daripada dua konsep kepentingan awam, terdapat juga pandangan berlainan dengan konsep ini. Bagi mereka yang sependapat dengan konsep "unitary’, dua pandangan dikenalpasti iaitu "organismic" dan "communalist". Pandangan "organismic" berpendapat bahawa matlamat kerajaan atau badan politik adalah lebih besar daripada hanya pengumpulan atau campuran matlamat individu.  
Secara perbandingan, daripada konsep "individualistic" lahir tiga pandangan. Pandangan "utilitarian" berpendapat kepentingan individu harus dikenal pasti jika sebahagian kepentingan ini adalah dapat berkongsi, ini tidak memberi nilai khas (special value) kepada individu. Pandangan "quasiutilitarian" pula berpendapat nilai yang lebih penting harus digunapakai terhadap individi tertentu daripada lain. Akhirnya "qualified individualistic" berpandangan bahawa kepentingan masyarakat adalah kumulatif kepentingan yang dipilih daripada golongan yang berkaitan dengan membuat polisi.


4          KEPENTINGAN AWAM ADALAH SESUATU YANG KONTROVERSI.

Istilah atau konsep kepentingan awam (public interest) telah dikaji sejak sekian lama. Walaupun sejarah kepentingan awam telah cukup lama dan usaha untuk mendapatkan takrif telah dilakukan namun hingga kini tiada satu takrif yang dapat diterima oleh semua. Ia bergantung kepada siapa dan mengapa kepentingan awam digunakannya. Tradisinya, bidang yang sering terlibat dalam pengkajian kepentingan awam ialah sains politik, sosiolagi, perancangan dan perundangan. Teori-teori kepentingan awam dan penyelilidikan-penyelidikan empirikal mendapati bahawa berlaku beberapa perbezaan antara ahli-ahli sains politik, sosiologi, perancangan dan perundangan tentang pentakrifan, pengertian atau pemahamannya. Perbezaan memang sepatutnya diduga berlaku. Ini kerana setiap bidang akan melihatnya dari perspektif dan penekanannya yang tersendiri dan unik. Misalnya, saintis politik akan memberi tumpuan kepada kesan atau pengaruhnya terhadap politik serta terhadap kerajaan, pemerintah dan proses pilihan raya. Ahli-ahli sosiolagi lebih berminat terhadap kesan dan pengaruhnya ke atas masyarakat sama ada secara khusus atau umum. Ahi-ahli perancangan melihat dari perspektif menyediakan ruang yang kondusif untuk orang ramai dan ahli perundangan melihat kepada kebajikan umum dan keadilan. Masalah pentakrifan kepentingan awam yang boleh diterima oleh semua turut bertambah kalut kerana semua pihak mula memberi perhatian kepada kepentingan awam. bukan sahaja pemerintah dan badan perundangan yang memberi perhatian terhadap kepentingan awam, rakyat biasa juga kian memberi perhatian. Dengan ini, maka cukup sukar untuk meletakkan sempadan yang khusus ataupun yang tepat bagi pentakrifan kepentingan umum atau menerangkan dengan jitu. Oleh kerana tiada definisi yang betul dan tepat tentang kepentingan awam, maka keputusan yang dibuat menimbulkan dua keadaan iaitu:

4.1              Menimbulkan kecurigaan.

Mengikut Business Dictionaray, terdapat tiga bentuk kecurigaan yang berbeza tentang kepentingan awam iaitu: (i) tiada persamaan ciri yang boleh diberikan kepada maksud kepentingan awam; (ii) kalau ada pun persamaan, mustahil untuk menentukan dimana kepentingan awam berada; dan (iii) kecurigaan politik telah menimbul kecurigaan lain. Hal sedemikian berlaku kerana kepentingan awam merujuk kepada awam. Awam adalah satu kumpulan manusia yang tidak spespik Contohnya padang permainan boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja, tidak dikhususkan dan tidak diketahui pun kumpulan yang akan mengunjunginya. Lain hal dengan dengan kelab rekreasi yang hanya boleh dikunjungi oleh ahli dan tetamu sahaja. 

4.2       Mencetus kontroversi

Menurut Rousseau dalam bukunya State of Nature, setiap individu memperjuangkan hak-hak atau kehendak masing-masing. Individu-individu ini akan bergabung dalam satu kumlupan dan membuat tuntutan kepada kerajaan melalui saluran tertentu. Dua kumpulan yang sedang merebut kuasa akan menyatakan bahawa mereka mempunyai kepentingan yang perlu diutamakan kerana mereka mendapat sokongan daripada publik masing-masing. Kedua-duanya bercakap benar dan tidak berbohong kerana mereka memiliki publik mereka sendiri.

5          KEPENTINGAN AWAM DIPUTUSKAN OLEH KERAJAAN     

Undang-undang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menentu dan memutuskan sesuatu itu kepentingan awam atau tidak. Tidak akan ada definisi yang betul dan tepat tentang kepentingan awam tanpa mendapat persetujuan atau disahkan oleh kerajaan. Kerajaan semasa menimbangkan tuntutan kumpulan-kumpulan, faktor utama yang dipertimbangkan adalah kepentingan awam. Menurut Aristotle, setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah menjunjung keperluan rakyat dan kepentingan awam. Kerajaan bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyatnya dan bertanggungjawab membawa kemakmuran serta kemewahan. Ini termasuklah meninggikan taraf hidup rakyat, mempelbagaikan ekonomi, memenuhi tuntutan dan keperluan orang ramai dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti kemiskinan, kekurangan makanan, pengangguran dan ketidakseimbangan pendapatan dikalangan rakyat.

Kerajaan bertanggungjawab mengadakan rancangan–rancangan untuk faedah sosial kepada rakyat seperti menyediakan sekolah, kemudahan kesihatan, dan perubatan, mengadakan kemudahan infrasrtuktur seperti jalan raya, bekalan air dan letrik. Kerajaan harus membaiki keadaan atau kedudukan negara yang mengalami sesuatu bencana seperti banjir dengan membuat projek-projek tebatan banjir, projek pengairan dan saliran. Kerajaan sebagai pemegang amanah bagi pihak rakyat untuk perlu menunaikan tanggungjawab ini. Namun demikian, seringkali juga ditemui, kerajaan berselindung disebalik kepentingan awam. Sesuatu kegiatan itu diwar-warkan sebagai kepentingan awam tetapi sebenarnya ada tujuan lain. Dalam kata lain, kepentingan awam tidak melambangkan matlamat yang rasional yang harus dicapai untuk kepentingan awam  tetapi dimanipulasikan untuk mencapai cita-cita kerajaan. Hal ini boleh terjadi kerana kesamaran konsep kepentingan awam itu sendiri.

(BERSAMBUNG DI BAHAGIAN DUA)

Suhaimi bin Hj. Mamat
Setiausaha
              Bahagian Sumber Air, Saliran dan Hidrologi
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Aras 13, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62574 Putrajaya, Malaysia
Tel : 03-88861147
Fax : 03-88893455