Ahad, 29 Jun 2014

Contoh Penyediaan Borang A dan D

SEPANJANG TEMPOH MENYAMPAIKAN CERAMAH PENGAMBILAN TANAH SAYA DAPATI MASIH TERDAPAT PERBEZAAN ANTARA SATU NEGERI DENGAN NEGERI YANG LAIN SEMASA MENYEDIAKAN BORANG A UNTUK PEWARTAAN DI BAWAH SEKSYEN 4 DAN BORANG D UNTUK TUJUAN PEWARTAAN DI BAWAH SEKSYEN 8 AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960. DISINI SAYA SEDIAKAN CONTOH BORANG A DAN D UNTUK TUJUAN PENYELARASAN.

Perhatian harus diberikan:

1. Tajuk projek seperti ayat bewarna merah. Jika tidak dinyatakan seperti itu KEMUNGKINAN TIDAK MEMENUHI KEHENDAK SEKSYEN 3(1) ITU SENDIRI
2. Borang ditandatangani oleh PENGARAH NEGERI DAN BUKANNYA PENGARAH TANAH DAN GALIAN
3. Dalam Borang A hanya senaraikan not lot sahaja sepertimana ayat yang bewarna BIRU dalam Borang A dibawah. Didapati ada negeri menyenaraikan semua seperti Borang C


Borang A
Akta Pengambilan Tanah, 1960
(Seksyen 4)


NOTIS BAHAWA TANAH BERKEMUNGKINAN AKAN DIAMBIL

Adalah dengan ini diberitahu bahawa tanah-tanah di tempat yang diperihalkan dalam Jadual di bawah  ini, termasuk mana-mana tanah, jika ada, yang dinyatakan mengikut nombor lotnya atau mengikut nombor lot tanah-tanah yang bersempadan dengannya, mungkin diperlukan bagi maksud-maksud yang berikut:

i. Pengambilan Tanah di bawah perenggan 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486] bagi Projek Pelebaran Jalan dari…………… Untuk Kementerian Kerja Raya Malaysia


dan/atau


ii. Pengambilan Tanah di bawah perenggan 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486] bagi Pemasangan Paip Air dari…………… Untuk Pengurusan Air


2.         Selanjutnya adalah diberitahu bahawa mana-mana orang yang diberikuasa oleh Pengarah Negeri bagi maksud itu boleh memasuki mana-mana tanah di tempat itu bagi tujuan memeriksa tanah tersebut dan menjalankan kerja-kerja ukur. Pampasan akan di bayar jika berlaku apa-apa kerosakan pada masa menjalankan kerja sedemikian. Apa-apa pertikaian mengenai amaun pampasan itu hendaklah dirujukkan kepada Pentadbir Tanah di ………………………………..

Bertarikh pada …………. Haribulan …………………..,
                                                                         …………………………………..
                                                                            Pengarah Negeri


JADUAL

Daerah ……………………………………………………………………………………

Mukim/Bandar ……………………………………………………………………………

Perihal kawasan ………………………………………………………..........................

……………………………………………………………………………………………..





Borang  D

Akta Pengambilan Tanah 1960

(Seksyen 8)



PENGISYTIHARAN PENGAMBILAN YANG DICADANGKAN

Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa tanah-tanah dan kawasan-kawasan yang tertentu yang dinyatakan dalam Jadual kepadanya adalah diperlukan bagi maksud yang berikut:

Pengambilan Tanah Di bawah Perenggan 3(1)(a) atau (b) atau (c) Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486] Bagi Projek ..................................................................... Untuk Kementerian/Jabatan/Agensi/Badan...........................

2.         Suatu pelan tanah dan kawasan tertentu yang dinyatakan itu boleh diperiksa semasa waktu kerja biasa di Pejabat Tanah bagi Daerah di mana terletaknya tanah dan kawasan.

Bertarikh pada ………… haribulan …………………… 

                                                                                          …………………………………
                                                                                               Pengarah Negeri

[Jadual seperti dalam Borang C, dipinda, jika perlu, menurut keputusan Pihak Berkuasa Negeri]
 



Rabu, 25 Jun 2014

Soalan Pengambilan Tanah

Saya dijemput oleh INSTUN untuk menyampaikan ceramah pengambilan tanah selama 4 jam untuk Pembantu Tadbir pada hari Isnin 24 Jun yang lalu. Semasa ceramah tersebut ada beberapa persoalan yang saya anggap menarik/mencabar untuk dikongsi bersama dengan pengunjung blog saya. Soalan tersebut diajukan oleh seorang peserta dari JKPTG Negeri Melaka.
 
Soalan :
 
Sebahagian dari satu lot terlibat dengan pengambilan dan prosesnya telah lama selesai. Walau bagaimanapun ingatan/catatan/endorsan/wasilan Borang D dan K tidak dibuat sehingga sekarang. Lot yang yang sama terlibat dengan pengambilan kedua (yang juga melibatkan sebahagian lot). Persoalannya adalah bagaimana untuk menyediakan Borang C (untuk mengisi ruangan luas lot) bagi tujuan pewartaan pengambilan kedua?
 
 
Pandangan:
 
Berdasarkan seksyen 9(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960, 'the Land Administrator or other registering authority shall make a note of the intended acguisition in the manner specified in subsection (2) or (3)
 
sub section (2) pula menyatakan 'The note of the intended acquisition required by subsection (1)(b) shall be made
 
(a) where the scheduled land is held by registered title, upon the register dokumen of title; or
 
(b) where the scheduled land is occupied in expectation of title, upoh the Register of Approved Applications, Register of Holdings or other appropriate register'

Ini bermakna ingatan/endorsan MESTI DIBUAT selepas tanah tersebut diwartakan dibawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah. Apabila endorsan tidak dibuat tindakan seterusnya  TIDAK BOLEH DIBUAT berdasarkan seksyen 10(1) Akta Pengambilan Tanah 1960.


Oleh yang demikian untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan ada dua pilihan yang boleh dilakukan oleh Pentadbiran Tanah:

i. Ruangan keluasan lot dalam Borang C hendaklah di  masukkan keluasan asal sebelum pengambilan yang pertama, walaupun pengambilan telah berlaku berdasarkan kenyataan di atas dan Pentadbiran Tanah hendaklah mengambil tindakan susulan iaitu mesti membuat ingatan/endorsan bagi pengambilan yang pertama tersebut dan setelah warta pengambilan kedua dikeluarkan tindakan ingatan/endorsan hendaklah dibuat dengan segera.

ii. Ruangan keluasan lot dalam Borang C masukkan keluasan selepas pengambilan pertama (PASTIKAN KELUASAN PENGAMBILAN ATAS TANAH ADALAH SAMA ANTARA WARTA, PERINTAH DAN BORANG K) dan seterusnya ENDORSAN BORANG D DAN BORANG K PENGAMBILAN PERTAMA MESTI DIBUAT DIBUAT DENGAN SEGERA. Jika endorsan pengambilan pertama tidak dibuat, Pendaftar mungkin enggan membuat endorsan pengambilan kedua kerana keluasan tanah di dalam dokumen hakmilik daftar komputer berbeza dengan keluasan tanah di dalam warta seksyen 8.

Selasa, 24 Jun 2014

Pengambilan Tanah di Labuan

Pada asalnya, pengambilan tanah di Pulau Labuan menggunakan Land Acquisition Ordinance (Sabah Cap 69). Selepas Labuan menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan, pengambilan tanah di Labuan menggunapakai Akta Pengambilan Tanah 1960 sepertimana di Semenanjung Malaysia. Persoalan yang timbul adalah, banyak kes pengambilan tanah di bawah Land Acquisition Ordinance dahalu tidak dapat diselesaikan setelah Akta Pengambilan Tanah 1960 diperluaskan penggunaanya ke Labuan. Oleh yang demikian untuk menyelesaikannya perlu mengikut Land Acquisition Ordinance ATAU mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.
 
JAWAPANNYA ADALAH MESTI MENGIKUT LAND ACQUISITION ORDINANCE. Ini berdasarkan P.U. (A) 455 Akta Perlembagaan (PIndaan) (No.2) 1984 Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pemerluasan dan Ubah Suaian Akta Pengambilan Tanah) 2009 seksyen 4(4) yang menyatakan:
 
'Mana-mana prosiding yang yang belum selesai atau yang telah dimulakan di bawah Ordinan yang dimansuhkan sebelum Perintah ini mula berkuatkuasa hendaklah diteruskan dan diselesaikan dibawah Ordinan yang dimansuhkan seolah-olah Perintah ini tidak dibuat'

Isnin, 9 Jun 2014

Bayaran Penilai Berlesen

Kali ini perbincangan bertumpu kepada bayaran penilai yang kerapkali ditanya kepada saya. Seksyen 14(5) Akta Pengambilan Tanah 1960 menyatakan:
 
'Pentadbir Tanah hendaklah (shall) menetapkan amaun kos yang ditanggung beban dalam prosiding itu dan oleh siapa dan dengan kadar apa kos, yang hendaklah (shall) termasuk apa-apa fee penilaian yang dikenakan oleh penilai, itu akan dibayar'
 
Seksyen di atas memberikuasa kepada Pentadbir Tanah untuk menentukan kadar fee penilaian yang yang sepatutnya dibayar. Di dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 tiada ditetapkan kadar fee penilaian. Kadar fee berdasarkan Jadual Ketujuh Akta Penilai Pentaksir dan Agen Hartanah 1981 (Akta 242).

Berdasarkan perenggan 18.2 Manual Pengambilan Tanah yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan menyatakan 'Pentadbir Tanah tidak dimestikan kena mengikut kadar sebagaimana yang ditetapkan di dalam Jadual tersebut kerana kuasa untuk menetapkan kadar bayaran fi penilaian  telah diberi kepada Pentadbir Tanah sepertimana yang dinyatakan pada perenggan di atas'