Isnin, 26 November 2012

Fungsi Borang J Akta Pengambilan Tanah


Hari ini saya lanjutkan perbincangan berkaitan dengan Borang J Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memperjelaskan lagi isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Borang J ada kaitan secara langsung dengan pengambilan tanah melalui Perakuan Kedesakan/Certificate of Urgency (Borang I) atau lebih dikenali dengan sebutan 'pengambilan segera' mengikut seksyen 19.

Ini dijelaskan di dalam seksyen 20 iaitu, jika terdapat 'bangunan' di atas mana-mana tanah yang diambil melalui 'pengambilan segera' , maka apabila Pentadbir Tanah menyerahkan Borang K kepada penduduk, tuan tanah dan pihak berkuasa pendaftaran mengikut seksyen 22 supaya tuan tanah mengosongkan tanah/kawasan yang tiada bangunan (tidak termasuk jalan ke bangunan tersebut), Pentadbir Tanah hendahlah juga menyampaikan notis Borang J kepada:

1. Penduduk bangunan supaya mengosongkan bangunan tersebut dalam suatu tempoh tidak lebih daripada 60 hari dari tarikh notis Borang J;

2. Tuanpunya bangunan dan menawarkan pampasan bangunan tersebut. Jika bangunan kekal, nilai semasa bangunan tersebut dan jika bangunan sementara yang boleh dipindahkan, nilai bangunan ketika itu atau kos memindah dan mendirikan semula.

Berdasarkan seksyen 21 pula, jika tuanpunya bangunan menerima tawaran tersebut, Pentadbir Tanah boleh ambil milik bangunan tersebut selepas tamat tempoh notis Borang J. Jika pemilik bangunan enggan menerima tawaran, jika bangunan kekal tidak boleh diambil milik sehingga tuan punya bangunan telah mendapat nilaian bangunan dari penilai yang bertauliah dan jika bangunan sementara sehingga tuanpunya bangunan selesai memindah dan mendirikan semula.

Khamis, 22 November 2012

Adakah Perlu Borang J Setelah Borang K Dikeluarkan


Banyak pertanyaan yang diajukan kepada saya berkaitan dengan tajuk di atas. Hari ini 22 Nov 2012, rakan lama saya di Pejabat Tanah Ipoh, bertanyakan hal yang sama iaitu pengambilan tanah telah selesai (Borang K telah dikeluarkan), di atas tanah tersebut terdapat bangunan, tetapi tuan punya bangunan masih menetap di situ dan enggan keluar.

Untuk menjawab permasalahan tersebut, terlebih dahulu kita rujuk kepada seksyen 22 Akta Pengambilan Tanah.

Tajuk seksyen 22 adalah 'Formal Possession' bermaksud ambil milik secara rasmi .

Seksyen 22(1), menyatakan Pentadbir Tanah boleh ambil milik secara rasmi dengan menyampaikan notis Borang K kepada penduduk tanah

Seksyen 22(3)(a) dan (b), menyatakan Pentadbit Tanah hendaklah (shall) juga menyampaikan suatu salinan notis Borang K kepada tuanpunya berdaftar (registered proprietor) dan pihak berkuasa pendaftaran berkenaan

Seksyen 23, pihak berkuasa pendaftaran, apabila terima  notis Borang K, hendaklah (shall) membuat catatan/endorsan/wasilan  mengenai pengambilan pada dokumen hakmilik daftar

Seksyen 66 pula menyatakan, apabila memorial/catatan/endorsan/wasilan dibawah seksyen 23 telah dibuat, tanah tersebut hendaklah terletakhak (the land shall vest) pada Pihak Berkuasa Negeri sebagai 'tanah kerajaan'


KESIMPULANNYA;

1. BORANG K MESTI DISERAHKAN KEPADA PENDUDUK (TUAN RUMAH) , TUAN TANAH DAN UNIT PENDAFTARAN (MESTI DIDAFTARKAN)

2. SETELAH KETIGA-TIGA TINDAKAN TERSEBUT DIAMBIL, BARULAH TANAH TERSEBUT MENJADI TANAH KERAJAAN

3. APABILA MENJADI TANAH KERAJAAN, TUAN RUMAH/TUAN TANAH DIANGGAP MENDUDUKI TANAH KERAJAAN DAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DI BAWAH KANUN TANAH NEGARA BOLEH DIAMBIL


Apa yang kebanyakan berlaku dahulu dan sekarang, Borang K hanya diserah kepada penduduk/tuan tanah sahaja, TINDAKAN PENDAFTARAN TIDAK DIBUAT. Ini tidak mengikut kehendak undang-undang dan jika ada pemilik bangunan enggan keluar dari tanah tersebut, tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.

OLEH YANG DEMIKIAN TIDAK PERLU MENGELUARKAN BORANG J KERANA BORANG J TIADA KAITAN DENGAN MASALAH YANG DIBINCANGKAN

Rabu, 21 November 2012

RINTIHAN WARIS PENGERANG


Hari ini saya terima e-mail dari seorang pengunjung blog saya dan ada berbincang melalui email (namanya dirahsiakan) berkaitan dengan pengambilan tanah di Pengerang. Saya rasa ini adalah rintihan yang mewakili sebahagian penduduk/tuan tanah di Pengerang untuk kita kongsi bersama. Ayat dan jalan cerita tidak diubah

En Baha,

Terima kasih atas penerangan itu. Sekurang-kurangnya saya boleh menjelaskan pada ibu saya kedudukan dan prosedur2 yang bersangkutan. Apa yang saya buat ialah, saya print segala artikel  (yang saya rasa bersangkutan tentang PBT ) dan saya suruh ibu saya membaca setiap artikel itu.

Kampung ibu saya di Sg.Kapal, Pengerang. Bagi saya dan ibu saya memang tidak menetap di situ, tetapi kami kerap pulang kerana masih ada ibu saudara yg menetap di sana atas tanah pusaka. Dan rumah itu menjadi pusat pertemuan sanak saudara bila menjelang musim buah-buahan, cuti-cuti umum yg panjang kerana   kebanyakan  kami di bandar JB juga Singapura, akan membawa anak-anak kami  ke sana  dan berehat  sambil  makan buah di bawah pokok, anak-anak  suka  mengejar belalang, mengejar ayam, bermain basikal keliling kampung, panjat pokok. Anak-anak saya kenal  biji getah (dah tak banyak pokok pun)  dan seronok mengosok biji getah di simen dah tu merasa perit panas nya. kami seronok dapat makan ayam kampung yg sebenar, bukan ayam kampung yang di bela.

Jadi bila kampung itu tidak akan wujud lagi  dan  "sentimental value" nya juga akan luput , saya dan warga kota sedih. Tetapi  kami heran ada sebilangan orang kampung yg suka dan seronok  dengan pampasan yg ditawarkan. (kami anggap ianya rendah) Agaknya memang lumrah , sebab  orang bandar akan seronok di kampung,  orang kampung nak rasa seronok hidup di bandar. Mereka tidak lagi merasa bagaimana  nanti, kelapa parut, serai, pandan, cili, pucuk ubi , semuanya  nak kena pergi pasar/spermarket.

Oleh itu, ibu saya merasa tidak harus  menerima bulat-bulat dengan harga yang ditawarkan oleh kerajaan. Pun sebenarnya  tidak pasti  berapakah harga sebenar  yang di tawarkan.

Walaupun di tawarkan dengan tanah 2 ekar  (pun  tak pasti di mana, tidak diumumkan pun lokasinya)  Kemudian ditawarkan dengan perumahan rumah baru. Alahai ..... keadaan tanah dan rumah contoh yg ada itu,  kami (orang bandar) rasa  sedih betul.

En. Baha akan ke Kota Tinggi  kan  nanti pada December. Jika ada kesempatan  terus la berjalan  ke daerah Pengerang. Mula masuk dari Pekan Sungai Rengit  dan terus  berjalan  hingga  ke penghabisan  jalan  di hujung tanjung  yang ada  Pejabat Imigeresin Tanjung Pengelih. Kampung saya Sungai Kapal. Kalau air laut kering, boleh naik basikal  ke Changi, S'pore. Sebab itu banyak masyarakat kampung itu berkahwin dgn orang S'pore. Sebabnya, kata ibu saya, zaman tiada jalan raya yg sempurna, kalau nak merasa makan daging atau persiapan hari raya, mereka akan ke Singapura, kerana dekat berbanding Kota Tinggi. Kehidupan kecil saya di sana, membesar dibandar  tapi  sangat  suka  dengan  panorama dan keindahan  kampung saya. Semuanya amat nostalgia. Apapun,  saya  akur  bahawa  tiada yang kekal di dunia ini, dah masuk ke kubur pun kena pindah juga.....bagi orang Islam S'pura dah biasa .....

dan ada lagu pun  - dunia ini hanya pinjam-pinjaman.......

Terima kasih En. Baha meluang kan masa membaca coretan saya. saya kan terus mengikuti laman blog En. Baha.

Selasa, 20 November 2012

Pasca Seminar Sehari Pengambilan Tanah


Semalan 19 November 2012 telahpun berlangsung dengan jayanya Seminar Sehari Pengambilan Tanah anjuran Kelab INSTUN di Hotel Grand Bluewave Shah Alam. Dianggarkan lebih 150 orang peserta menyertainya kebanyakannya dari Agensi-Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan sebilangan kecil peserta dari pentadbiran tanah. Kejayaan juga saya ukur dari segi banyaknya persoalan yang ditimbulkan oleh peserta seminar.

SOALAN YANG DIKEMUKAN TIDAK DAPAT DIKONGSI BERSAMA PENGUNJUNG BLOG KERANA KESEMUA SOALAN YANG DIKEMUKAKAN, TELAHPUN DI TANYA SEBELUM INI DAN JAWAPANNYA TELAHPUN DIBERIKAN DIDALAM BLOG SAYA

Pada pendapat saya tiada 'soalan mencabar' yang dikemukakan pada hari tersebut. Ini berkemungkinan disebabkan kurangnya penyertaan pegawai-pegawai dari pentadbiran tanah yang melaksanakan proses pengambilan tanah dinegeri/daerah masing-masing

Khamis, 8 November 2012

Kunjungan ke Pengerang


Saya bersama-sama dengan 14 orang pegawai Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah INSTUN akan mengunjungi Pejabat Daerah dan Tanah Kota Tinggi mulai 17 hingga 19 Disember 2012 yang akan datang untuk tujuan kajian prosedur pengambilan tanah tumpuan khusus adalah siasatan pengambilan tanah projek RAPID Pengerang.

Oleh yang demikian jika ada yang berhajat untuk berjumpa saya bertanyakan masalah pengambilan bolehlah berbuat demikian. Insya Allah kami akan menginap di PELANGI BALAU RESORT

Rabu, 31 Oktober 2012

Fasa ke 2 Projek Pengerang


Saya dimaklumkan fasa ke 2 siasatan baki kira-kira 700 lot yang terlibat dengan pengambilan tanah projek Pengerang akan bermula dari 19/11/2012 sehingga 31/05/2013 akan datang. Seperti biasa, sebelum siasatan dijalankan Pentadbir Tanah hendaklah mengeluarkan notis awam dan notis individu Borang E. Pada kali ini saya akan membicarakan tentang pelaksanaan notis Borang E

SEBELUM MENERUSKAN PEMBACAAN, SILA RUJUK TERLEBIH DAHULU BORANG C, D DAN BORANG E YANG TERDAPAT DI DALAM AKTA PENGAMBILAN TANAH BUKAN BORANG E YANG ADA DIPEJABAT.



Sila lihat disebelah bawah BORANG E dalam Akta


terdapat ayat [Jadual dalam Borang D]



Sila lihat disebelah bawah BORANG D dalam Akta


terdapat ayat [Jadual seperti dalam Borang C dipinda, jika perlu menurut keputusan PBN]



OLIH ITU:    JADUAL BORANG E = JADUAL BORANG D = JADUAL BORANG C

KESIMPULANNYA: JADUAL BORANG E = JADUAL BORANG C


Oleh kerana warta yang dicetak oleh Pencetakan Nasional adalah berdasarkan Borang C dan Borang D yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri, maka Notis Borang E  (sama ada notis awam atau notis individu) TIDAK PERLU disertakan cabutan daripada warta, HANYA MEMADAI disertakan jadual Borang C seperti yang disediakan sebelum ini  (Dengan syarat tidak ada kesilapan didalam warta)



BERIKUT SAYA AKAN JELASKAN NOTIS AWAM BORANG E DAN PELAKSANAANNYA

Notis awam Borang E (Keseluruhan lot-lot yang terlibat) hendaklah dilaksanakan mengikut seksyen 52 Akta Pengambilan Tanah iaitu dengan menampal notis tersebut SEKURANG-KURANGNYA DI TIGA TEMPAT:

1. Papan Kenyataan Pejabat Tanah
2. Papan kenyataan awam tanah terlibat terletak
3. Di atas atau berhampiran dengan tanah terlibat terletak


Untuk memberi kepuasan kepada semua kerana melibatkan lot yang banyak dan keluasan yang besar, salinan  notis awam TAMBAHAN bolehlah di tampal di masjid, rumah ibadat, pejabat penghulu dan lain lain tempat

Sepertimana dinyatakan di atas, JADUAL KEPADA BORANG E  ADALAH JADUAL BORANG C.  Oleh itu dalam kes Pengerang, SATU BORANG E  (Notis Awam)  MENGANDUNGI KESEMUA LOT YANG TERLIBAT (700 lot)


Di dalam perenggan pertama notis Borang E terdapat ruang tarikh siasatan, masa siasatan dan tempat siasatan. Persoalan disini adalah bagaimana untuk mengisi ruang tarikh siasatan dan masa siasatan


Oleh kerana kita membicarakan mengenai NOTIS AWAM BORANG E, pada pandangan saya pada ruangan tarikh boleh kita masukkan tarikh 19/11/2012 hingga 31/5/2013, sementara pada ruangan masa boleh kita masukkan 9 pagi hingga 5 petang


Seksyen 11 pula adalah berkaitan dengan notis individu:


UNTUK NOTIS INDIVIDU, DI DALAM BORANG E TERSEBUT BARULAH KITA LETAKKAN TARIKH SEBENAR DAN MASA SEBENAR UNTUK SIASATAN LOT TERSEBUT




Isnin, 22 Oktober 2012

Pembayaran Pampasan Dengan Segera

Isu semasa cuti

Pada 21 Oktober 2012, jam 1.38 ptg saya terima sms bertanyakan suatu perkara iaitu 'boleh atau tidak bayaran pampasan dibuat tanpa terlebih dahulu mengeluar dan menyerahkan Borang H'


Pandangan/Jawapan:

Seksyen 29(1) menyatakan:

'After a notice of award in Form H has been served in the manner prescribed by section 53 upon all interested persons the Land Administrator shall, as soon as may be, make payment of each amount awarded to the person entitled thereto unless................'

 
Seksyen 29(2) pula menyatakan jika tiada orang yang layak terima (meninggal), orang yang berhak tidak setuju terima atau terdapat pertikaian, Pentadbir Tanah hendaklah membuat permohonan ex parte kepada Pendaftar Mahkamah dalam Kamar disokong dengan afidavit untuk depositkan ke Mahkamah.

Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, Borang H mesti diserah terlebih dahulu kepada semua orang yang berkepentingan DAN selepas itu barulah bayaran pampasan dibuat dengan seberapa segera yang boleh.

Orang yang berkepentingan pula MESTI membuat pilihan seperti yang dinyatakan di dalam Borang H tersebut. Ini berdasarkan kes Zainal Abidin bin Yaakub v PT Melaka Tengah [1999] 5 MLJ 577

Antara keputusan yang dibuat oleh Y.A Hakim:

'Jika seseorang tuan tanah ingin menerima award atas bantahan, dia mesti memberitahu Pemungut tersebut secara formal akan niatnya untuk berbuat demikian. Dia perlu mengisi jadual kepada Borang H yang merupakan notis award dan tawaran pampasan dan memulangkan kepada Pemungut tersebut'