Rabu, 27 November 2013

Sambungan Jadual Pertama (Terakhir)

Sub-perenggan 2C menyatakan tanah yang dikhususkan penggunaannya dan tiada permintaan, seperti rumah ibadat, nilai tanah tersebut berdasarkan kos penggantiannya iaitu kos untuk membeli semula tanah lain dan mengusahakan bagi maksud yang sama.

Sub-perenggan 2D menyatakan jika tanah ladang atau sebahagian dari tanah ladang yang terlibat dengan pengambilan, nilainya adalah berasaskan nilai tanah ladang, iaitu lebih rendah dari tanah biasa.
 
Sub-perenggan 3(a)  menyatakan bahawa pembaikan yang dibuat oleh tuan punya ke atas tanahnya dalam masa 2 tahun sebelum warta s 8, tidak mempengaruhi nilai tanah, kecuali berniat baik (bona fide) dan bukan kerana maksud pengambilan

Sub-perenggan 3(b) menyatakan bahawa penggunaan tanah/premis yang bertentangan dengan undang-undang (alteration or renovation tanpa kebenaran) atau yang membahayakan kesihatan tidak boleh diambil kira untuk menentukan nilai Tanah

Sub-perenggan 3A menyatakan nilai bangunan tidak boleh diambil kira jika bertentangan dengan kategori, syarat tetap/syarat tersirat atau sekatan kepentingan.

Kes Pejabat Tanah Petaling v Swee Lin Sdn. Bhd [1999] 3 MLJ 489



Perenggan 2 - Perkara Yang Perlu di Timbangkan (Mesti diambil kira)

Sub perenggan 2(a) Nilai pasaran tanah seperti yang telah dibicangan di atas

Sub-perenggan 2(b) menyatakan kenaikan pada nilai tanah lain yang terakru daripada penggunaan tanah yang diambil hendaklah di tolak daripada jumlah keseluruhan pampasan (betterment):

Contoh:

Luas lot   :                               7 ekar
Luas Pengambilan   :              3 ekar untuk kediaman

Nilai tanah diambil:

3 ekar  @ RM40,000.00          = RM120,000.00

Nilai tanah baki (selepas):

4 ekar @ RM100,000.00         = RM400,000.00 (nilai tanah meningkat selepas diambil)

Jumlah pampasan ditolak    =(RM280,000.00)

Kes Pasar Borong Dev Sdn. Bhd. lwn Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur [2012] 9 MLJ 644

Sub-perenggan 2(c) menyatakan kerosakan jika ada yang ditanggung atau mungkin ditanggung disebabkan oleh pengasingan tanah yang diambil daripada tanahnya yang lain(Severence).

Pecah-pisah menyebabkan kejatuhan nilai tanah baki disebabkan oleh pemisahan tanah akibat pengambilan melalui 2 keadaan:

i. kerosakan disebabkan oleh kehilangan sebahagian tanah yang telah diambil
ii. kerosakan dimana sebahagian tanah dipisahkan dengan sebahagian yang lain
Kes Boustead Estate Agency Sdn.Bhd v PT Baling [2007] 4 CLJ 375

 

Sub-perenggan 2(d) menyatakan kerosakan (jika ada) pada tanah yang diambil yang ditanggung atau mungkin ditanggung oleh tuan tanah dan menyebabkan kesan mudharat pada hartanya yang lain (injurious affection)
Sub-perenggan 2(e) menyatakan akibat daripada pengambilan , tuanpunya tanah terpaksa berpindah tempat kediaman atau perniagaan dan segala perbelanjaan yang akan dikeluarkan mesti dibayar kepadanya. Sebagai contoh kos pengangkutan perabut, barangan, peralatan; kos memasang pendawaian elektrik dan ubahsuai bangunan baru, fee guaman untuk perjanjian sewa baru, kehilangan pendapatan sementara.
 
Sub-perenggan 2(f) menyatakan jika hanya sebahagian daripada tanah terlibat dengan pengambilan dan pengambilan tersebut melibatkan jalan ke tanah tersebut, longkang, 'walls', pagar dan gantirugi tidak perlu dibayar jika agensi pemohon berjanji untuk membinanya semula dan sebaliknya
 

Untuk Perenggan 3 tidak dibincangkan disini kerana ianya tidak boleh dilayan walaupun dipohon oleh pemilik tanah atau orang yang berkepentingan semasa siasatan dijalankan

Disamping itu, berdasarkan seksyen 14(5) Akta Pengambilan Tanah 1960 menyatakan, 'Pentadbir Tanah hendaklah menetapkan amaun kos yang ditanggung beban dalam prosiding itu dan oleh siapa dan dengan kadar apa kos, yang hendaklah termasuk apa-apa fee penilaian yang dikenakan oleh penilai, itu akan dibayar'.
 

 

Isnin, 25 November 2013

Sambungan Jadual Pertama

Sub seksyen (1C) menyatakan nilai transaksi selepas warta tidak boleh diambil kira. Ini bermakna tanah-tanah yang terlibat dengan pengambilan dan telah diwartakan dibawah seksyen 4 atau seksyen 8, penjualan masih boleh dilakukan. Dengan kata lain pewartaan dibawah seksyen 4 dan seksyen 8 tidak menghalang penjualan tanah tersebut. Walau bagaimanapun nilaian/harga penjualan tersebut tidak boleh diambil kira sebagai nilai/haraga pasaran tanah tersebut
 
Sub-seksyen (1D) menyatakan tempoh hakmilik pajakan (lease hold) hendaklah diambil kira. Bermakna tanah yang tempoh pajakannya sudah hampir tamat, nilainya lebih rendah jika dibandingkan dengan tempoh pajakan yang masih lama lagi. Begitu juga dengan tanah hakmilik pajakan dengan tanah hakmilik selama-lamanya (free hold), nilai tanah hakmilik pajakan lebih rendah dari hakmilik selama-lamanya.
 
Sub-seksyen 2(a) menyatakan kesan syarat nyata dan syarat tersirat hendaklah diambil kira. Bermaksud:
 
i. Jika di dalam hakmilik menyatakan tanah tersebut adalah tanah pertanian dan syarat nyatanya adalah padi, nilai tanah tersebut adalah berdasarkan nilaian tanah padi, walaupun di atas tanahnya di tanam dengan kelapa sawit.
 
ii.  Jika di dalam hakmilik menyatakan tanah tersebut adalah tanah pertanian dan syarat nyatanya getah, nilai tanah untuk getah boleh diambil kira sekiranya tanaman yang ditanam mengikut kaedah pertanian yang sempurna dan ianya ditanam berterusan. Ini dinyatakan didalam seksyen 115(1)(d)(e) Kanun Tanah Negara. (syarat tersirat). Dan sebaliknya jika tidak memenuhi seksyen 115 tersebut, nilaian tanah tersebut adalah lebih rendah.
 
Sub-seksyen 2(b) menyatakan kesan larangan, pembatasan atau kehendak Akta Bendapurba 1976 hendaklah diambil kira bermaksud jika tanah/bangunan telah diwartakan dibawah Akta Bendapurba dan tanah tersebut terlibat dengan pengambilan untuk tujuan akta tersebut, nilaiannya adalah rendah.

Sub-seksyen 2A menyatakan jika tanah yang terlibat adalah terdiri daripada tanah rizab Melayu atau tanah Pegangan Melayu atau tanah Adat Negeri Sembilan/Melaka dan tanah tersebut terlibat dengan pengambilan dan tujuan pengambilan adalah untuk tujuan orang Melayu sahaja (seperti mendirikan perumahan untuk orang-orang Melayu) maka nilainya adalah lebih rendah dari tanah yang bukan rizab Melayu.

Sub-seksyen 2BA menyatakan Tanah yang terletak di dalam kawasan pihak berkuasa perancangan, nilai tanah mengambil kira gunatanah yang ditunjukkan dalam pelan pembangunan tersebut.

Isnin, 18 November 2013

Jadual Pertama (First Schedule) Akta Pengambilan Tanah

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan - Hak terhadap harta

(1) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
 
(2) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi
 
Untuk memenuhi Perkara 13 di ataslah maka diadakan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960. Dengan kata lain dalam Jadual Pertamalah ada dinyatakan prinsip untuk menentukan bayaran pampasan. Oleh yang demikian sewajarnya Pentadbir Tanah, tuan punya tanah, orang berkepentingan dan pemohon yang memohon untuk pengambilan tanah, mengetahui secara mendalam kandungan Jadual Pertama ini.
 
Pada kali ini kita akan membincangkan kandungan Jadual Pertama untuk makluman semua.
 
Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah, 1960 mengandungi 4 seksyen (Ada juga pihak yang menyebut sebagai perenggan):

Seksyen 1 - Nilai Pasaran Tanah dan Bagaimana Untuk Menentukan Nilai Pasaran tersebut

Seksyen 2 - Perkara Perkara Yang perlu Di Pertimbangkan Oleh Pentadbir Tanah Dalam Menentukan Nilai Pampasan Tanah

Seksyen 3 - Perkara-Perkara Yang Harus Diabaikan/Tak Boleh di pertimbangkan

Seksyen 4 - Batasan Ke aAtas Award/Perintah Yang Akan Dibuat oleh Pentadbir Tanah


Seksyen 1 - Nilai Pasaran Tanah.

Di dalam Akta Pengambilan Tanah tidak dinyatakan difinisi 'Nilai Pasaran'. Difinisi nilai pasaran tanah hanya ada diputuskan di dalam beberapa kes Mahkamah berkaitan dengan pengambilan Tanah antaranya:

Dalam kes Nanyang Manufacturing Co. v The Collector of Land Revenue Johor [1954] MLJ 69
"............... harga yang tuanpunya tanah bersedia dan dijangka tidak dipaksa untuk menjualnya secara munasabah dan dijangka akan memperolehinya daripada seorang pembeli yang berkehendak yang dengannya dia telah berunding untuk transaksi jual beli Tanah tersebut"


Dalam kes Superitendant of Land & Surveys Serawak v Aik Hoe & Co [1966] MLJ 243

"................  harga yang diharapkan oleh pembeli oleh seorang penjual yang sanggup menjual daripada seorang pembeli yang sanggup membeli. Keengganan penjual untuk melepaskan tanahnya dan keperluan yang tinggi pihak pembeli, tidak boleh diambil kira ....."


Dalam kes Ng Tiou Hong v Collector of Land Revenue Gombak [1984] 2 MLJ 35. YA Hakim Syed Agil Barakbah menyatakan:

1. Harga yang diharapkan oleh penjual yang sanggup menjual daripada seorang pembeli yang sanggup membeli

2. Jual beli tanah berhampiran

3. Potensi Tanah

4. Kedudukan tanah

5. Anggaran nilaian oleh 'experts' boleh diambil kira berdasarkan bukti-bukti dan keterangan


Daripada TIGA kes diatas, nilaian tanah adalah berdasarkan jual-beli (harga yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak) yang tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur lain
 
 

Di bawah ini pula adalah perkara-perkara yang menentukan/mempengaruhi nilai
tanah tersebut 
 
Sub-seksyen (1) menyatakan nilai tanah adalan berdasarkan tarikah warta. Jika tanah yang terlibat dengan pengambilan telah diwartakan terlebih dahulu dibawah seksyen 4 dan dalam tempoh 12 bulan diwarta pula dibawah seksyen 8, nilai tanah dikira pada tarikh warta seksyen 4 dan sebaliknya jika tanah yang terlibat diwartakan dibawah seksyen 8 TANPA pewartaan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu, maka nilai tanah dikira dari tarikh warta seksyen 8.
Sub-seksyen (1A) menyatakan penilai boleh menggunakan apa-apa cara penilaian, pertimbangan khusus hendaklah diberi terhadap transaksi terakhir 2 tahun sebelum tarikh warta seperti di sub-seksyen (1) dan perhatian hendaklah diberikan kepada harga penjualan tanah yang mempunyai ciri-ciri dan kedudukan yang serupa dengan tanah yang diambil

Sub-perenggan (1B) menyatakan jika bahagian kecil yang terlibat dengan pengambilan, nilai pasaran merujuk kepada keseluruhan tanah dan ciri-ciri bahagian tersebut perlu diambil kira. Ini bermaksud Pentadbir Tanah boleh menaikkan nilai tanah tersebut kerana 'kawasan yang diambil lebih baik  (tinggi/rata/tepi jalan) daripada kawasan yang tidak terlibat dalam lot yang sama'
Sub-perenggan (1C) - bersambung dipaparan akan datang
 

Isnin, 11 November 2013

Keluasan Pengambilan Yang Berbeza Dari Pewartaan

Hari ini 11 November 2013 pukul 9.53 pagi pertama kali saya menerima panggilan telefon daripada seorang pengunjung blog saya (rakyat Malaysia) yang tinggal di Melbourne, Australia bertanyakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Alangkah gembira dan bersyukur saya kepada Allah kerana penulisan saya mendapat perhatian bukan sahaja dari kalangan  yang tinggal di Malaysia bahkan yang tinggal di luar Negara.
 
Tuanpunya tanah ingin mendapatkan pandangan saya mengenai suatu isu yang kerap berlaku dan ianya patut dikongsi bersama iaitu:
 
'SELEPAS BERLAKU PENGAMBILAN TANAH, LUAS KAWASAN YANG DIAMBIL ADALAH MELEBIHI DARIPADA KELUASAN PENGAMBILAN DI DALAM WARTA KERAJAAN - LEBIHAN KELUASAN YANG DIAMBIL KIRA-KIRA 2 EKAR'
 
 
Isu yang dibawa adalah berkaitan dengan seksyen 28 Akta Pengambilan Tanah 1960:
 
'Apabila hasil dari sesuatu pengukuran yang dibuat mengikut subseksyen (1) seksyen 25 didapati wujud perbezaan antara keluasan mana-mana tanah yang telah diambil dengan keluasan tanah yang dinyatakan dalam sesuatu award dibawah seksyen 14, perbezaan itu hendaklah dinilai mengikut kadar yang sama seperti tanah yang dimaksudkan itu telah dinilai dalam award yang dibuat dalam Borang G'
 
 
Perkataan ' ..... dengan keluasan tanah yang dinyatakan dalam sesuatu award dibawah seksyen 14' bermaksud award yang dibuat mestilah berdasarkan anggaran keluasan pengambilan di dalam warta seksyen 8 ATAU jika berlaku perbezaan pun adalah tertakluk kepada provision  seksyen 14(3) yang menyatakan 'Dengan syarat perbezaan antara keluasan berkenaan dengan award itu dibuat dan keluasan tanah yang dijadualkan tidak melebihi suku hektar atau satu peratus dari keluasan tanah dijadualkan yang mana lebih besar'
 
Oleh yang demikian, pada pandangan saya:
 
1. Untuk mengetahui berlakunya perbezaan keluasan pengambilan, ukur semula dibawah seksyen 25 MESTI dibuat terlebih dahulu.
 
2.  Perbezaan keluasan pengambilan yang tidak melebihi suku hektar atau satu peratus seperti yang dinyatakan didalam provision 14(3) tersebut hendaklah dibayar berdasarkan nilaian dalam award Borang G sebelum ini
 
3. Jika perbezaan keluasan pengambilan melebihi para 2 di atas DAN PROJEK TELAH DILAKSANAKAN, KELUASAN PENGAMBILAN TERSEBUT MESTI DIBUAT PROSES PENGAMBILAN TANAH YANG BAHARU DAN SETERUSNYA DIBAYAR PAMPASAN YANG BARU BERDASARKAN NILAIAN TANAH PADA TARIKH WARTA SEKSYEN  8 SEPERTI YANG DINYATAKAN DIDALAM SEKSYEN 1 KEPADA JADUAL PERTAMA AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960.


APAKAH KESAN/AKIBAT JIKA
TIDAK DILULUSKAN DAN DIWARTA SEMULA
 
 
1. JIKA UKURAN SEMULA DIBAWAH SEKSYEN 25 AKTA PENGAMBILAN TANAH TELAH DILAKSANAKAN (SATU, DUA ATAU TIGA TAHUN SELEPAS ITU) DAN KELUASAN PENGAMBILAN MELEBIHI SUKU HEKTAR ATAU SATU PERATUS (2 EKAR) SEPERTI CONTOH DI ATAS, TERDAPAT PERBEZAAN YANG BESAR DARI SEGI NILAIAN TANAH SEMASA PENGAMBILAN TERDAHULU DENGAN NILAIAN TANAH TERSEBUT SELEPAS PENGUKURAN.
 
2. BERDASARKAN SEKSYEN 23 AKTA, BORANG K HENDAKLAH DIENDORSKAN KEDALAM DOKUMEN HAKMILIK DAFTAR. BAGAIMANA ENDORSAN HENDAK DIBUAT BAGI LEBIHAN KELUASAN PENGAMBILAN SEBANYAK 2 EKAR TERSEBUT, SEDANGKAN BORANG K YANG DIKELUARKAN ADALAH BERDASARKAN KELUASAN PENGAMBILAN DALAM WARTA SEKSYEN 8?

 

Isnin, 28 Oktober 2013

Pembetulan (Corrigendum) Kepada Warta

Warta ataupun gezet adalah salah satu proses pengambilan tanah dan jika kita perhatikan terdapat pembetulan (Corrigendum) yang dibuat ke atas warta yang telahpun dikeluarkan. Daripada semakan yang telah saya lakukan, dalam warta kerajaan Negeri Selangor, Kedah, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang  disebut pembetulan (Corrigendum) kepada warta sedangkan di dalam warta kerajaan Negeri Terengganu dikenali sebagai pindaan (Amendment) kepada warta tersebut.
 
Persolaan yang pernah dibangkitkan kepada saya adalah, sejauh mana kesalahan sesuatu warta tersebut yang memerlukan pembetulan atau pindaan kepadanya?
 
Di dalam Akta Pengambilan Tanah tiada satu seksyenpun yang menyentuh tentang pembetulan/pindaan kepada warta yang telah dikeluarkan. Saya ada berbincang dan bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh kawan-kawan lama (berkhidmat di JKPTG) yang boleh dianggap pakar undang-undang tanah yang menyatakan:
 
'Pindaan/pembetulan kepada warta hanya perlu dibuat disebabkan oleh kesalahan yang dibuat oleh Pencetakan Nasional semasa mencetak warta tersebut (butir-butir yang diberikan oleh Pentadbir Tanah adalah BETUL) dan bukan disebabkan masalah lain'
 
Jika kita perhatikan sekarang ini pindaan/pembetulan kepada warta dibuat meliputi semua kesalahan seperti no lot salah, lot tak dapat dikesan mulanya, no hakmilik salah, tuanpunya tanah berbeza/berubah,  keluasan lot salah dan keluasan yang diambil salah.
 
CUBA PERHATIKAN SEKSYEN-SEKSYEN DIBAWAH:
 
1. Seksyen 2(2) menyatakan 'Where in any notification, declaration or other instrument issued under this Act any locality referred to therein cannot, in the opinion of the authority promulgating such notification, declaration or other instrument otherwise be conveniently described, it shall be sufficient if the lands in such locality are described by their survey lot numbers, or by the lot numbers of adjacent or surrounding lands'
 
Seksyen ini menyatakan, jika butir-butir tanah yang akan diwartakan tidak diperolehi dengan lengkap, hanya memadai mewartakan no lot sahaja atau jika not lotnya pula tidak dapat dikesan, hanya memadai mewartakan no lot yang bersempadan dengan lot yang hendak diambil.

Pada pandangan saya untuk memenuhi kehendak seksyen 9(1)(b), Pentadbir Tanah perlu membuat pembetulan kepada warta, jika selepas warta, lot sebenar dapat ditentukan.

2. Seksyen 2(3) pula menyatakan 'Any notification, declaration or other instrument made or issued under this Act shall be valid and effectual for all purposes notwithstanding that pieces or parcels of any lands referred to therein are held under different titles or by defferent persons
 
Seksyen ini menyatakan, warta atau suratcara yang dikeluarkan adalah sah walaupun no/jenis hakmiliknya berbeza/salah atau pemiliknya adalah berbeza/salah

Pada pandangan saya keadaan diatas juga memerlukan pindaan/pembetulan  kepada warta untuk memenuhi kehendak seksyen 9(1)(b), apabila hakmilik sebenar telah dapat ditentukan.

3. Seksyen 14(4) menyatakan:

'Jika keluasan tanah yang berkenaan suatu award telah dibuat dibawah seksyen ini -
 
     (a) melebihi keluasan tanah dijadualkan itu tidak lebih daripada suku hektar atau satu peratus, yang mana lebih luas, maka tidaklah perlu dibuat dan disiarkan apa-apa pengisytiharan lanjut berkenaan dengannya dibawah seksyen 8;
 
     (b) adalah kurang daripada keluasan tanah dijadualkan itu dengan tidak lebih daripada suku hektar atau satu peratus, mana yang lebih luas, maka tidak perlu dilakukan apa-apa penarikan balik formal tentangnya dibawah seksyen 35

Daripada ayat seksyen 14(4) diatas saya berpendapat, jika keluasan pengambilan yang diaward adalah melebihi suku hektar atau satu peratus daripada KELUASAN PENGAMBILAN YANG DIWARTAKAN dan keluasan tambahan tersebut TIDAK DIPERLUKAN OLEH PEMOHON, MAKA PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MEMBUAT PENARIKAN BALIK DARI PENGAMBILAN. Begitu juga jika keluasan pengambilan yang diawardkan kurang dari suku hektar atau satu peratus daripada keluasan PENGAMBILAN YANG DIWARTAKAN sepertimana yang dikehendaki oleh pemohon, MAKA PENTADBIR TANAH HENDAKLAH JUGA MEMBUAT PENARIKAN  


DAN BUKANNYA PEMBETULAN/PINDAAN
KEPADA WARTA


 
 

Selasa, 22 Oktober 2013

Soalan Pertanyaan Mengenai Pengambilan Tanah

Kali ini saya akan paparkan soalan berkaitan dengan pengambilan tanah yang saya terima melalui email (tanpa mengubah ejaan dan ayat) dan jawapan yang diberikan untuk makluman kita bersama.
 
 
SOALAN
 
Mohon pandangan tuan. Pejabat Tanah Timur Laut telah membuat satu pengambilan tanah utk tujuan perkuburan islam dan perumahan am. Wang pampasan berjumlah RM4,146,936.57 telah didepositkan secara ex-parte ke Mahkamah melalui Saman Pemula 24-422-03/2012 kerana pihak berkepentingan/tuan tanah tidak hadir semasa siasatan di Pejabat Tanah diadakan.
Setelah dimaklumkan bahawa pengambilan adalah untuk tujuan projek perumahan am, pihak berkepentingan/tuan tanah telah memohon supaya mereka diberikan rumah ganti di projek perumahan tersebut. Pada mula Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi rumah kos rendah berharga RM42,000. Walaubagaimanapun pihak Kerajaan Negeri telah menaik taraf rumah tersebut dengan menawarkan rumah kos sederhana rendah yang berharga RM72,500.
 
Situasi A
Tuan tanah A memperoleh pampasan berjumlah RM183,000 maka tuan tanah A hanya akan memperoleh RM110,500 sebagai award pampasan. Baki selebihnya akan dimasukkan semula kepada Kerajaan Negeri untuk dibuat penyelarasan dan tuan tanah A akan diberikan sebuah rumah.
 
Situasi B
 
Tuan tanah B memperoleh pampasan berjumlah RM26,800. Kerajaan Negeri akan top up RM15,200 kepada tuan tanah untuk menjadi RM42,000. Baki RM30,500 untuk mencukupkan harga rumah RM72,500 perlu ditambah sendiri oleh tuan tanah bagi mendapatkan rumah tersebut.
Seramai 29 penduduk telah terlibat dalam kes ini dengan berbagai isu seperti isu pertikaian dan isu kesilapan nama.
Soalan saya, bolehkah Pejabat Tanah membuat permohonan kepada Mahkamah atas nama Pentadbir Tanah untuk mengeluarkan wang pampasan tersebut? Wang tersebut kemudian akan dimasukkan kepada Kewangan Negeri dan bukannya tuan tanah tersebut bagi dibuat penyelarasan. Tidakkah akan timbul isu perundangan disini?
atau
pilihan lain adalah supaya tuan tanah sendiri yang membuat permohonan pengeluaran memandangkan terdapat beberapa isu pertikaian yang akan wujud.
 
PANDANGAN
 
Pada pandangan saya adalah lebih baik orang yang berkepentingan sendiri yang inginkan rumah membuat permohonan pengeluaran pampasan tersebut MELALUI PENTADBIR TANAH dan Pentadbir  Tanah mesti memberi penerangan dengan jelas mengenai cadangan Kerajaan Negeri sebelum penyediaan affidavit.
 
Didalam affidavit pengeluaran nanti nyatakan dengan jelas atas persetujuan orang berkepentingan:
 
1.    Tawaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada orang yang berkepentingan dan syarat-syarat yang dikenakan dan yang dipersetujui
2.    Sebahagian daripada wang pampasan dikeluarkan dan dibayar kepada orang berkepentingan
3.    Sebahagian lagi dikeluar dan dibayar kepada Perbendaharaan Negeri
 
Setelah diterima oleh Mahkamah, Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan susulan sepertimana cadangan Kerajaan Negeri

Khamis, 10 Oktober 2013

Penarikan (Withdrawal)

Kali ini perbincangan  adalah berkaitan dengan 'penarikan diri dari pengambilan'. Perkara ini sering ditimbulkan apabila saya menyampaikan ceramah terutamanya untuk kakitangan Pejabat Tanah atau JKPTG. Ada yang beranggapan jika 'pemohon' berhasrat untuk tidak meneruskan pengambilan terutamanya selepas pewartaan dibawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak ada tindakan yang perlu dibuat atau dengan kata lain 'fail ditutup'. Anggapan tersebut adalah salah. JIKA TERJADI HAL YANG SEDEMIKIAN PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MEMBUAT PENARIKAN DARI PENGAMBILAN (Withdrawal from acquisition)
 
Berdasarkan seksyen 35(1), Penarikan balik dari pengambilan hanya boleh dibuat sebelum tanah-tanah tersebut diambil milik (The State Authority shall be at liberty to withdraw form the acquisition of any land of which possession has not been taken). Ambil milik (taking possession) bermaksud penyampaian notis Borang K kepada penduduk tanah, pemilik tanah dan pihak berkuasa pendaftaran, ini dijelaskan dibawah seksyen 22(1) dan (2) Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini bermakna penarikan hanya boleh dibuat SEBELUM BORANG K DI SERAHKAN, tetapi ada yang menganggap penarikan hanya boleh dibuat sebelum Borang K didaftarkan. Anggapan ini adalah SALAH.

Pemohon/Agensi  yang 'berhasrat untuk tidak meneruskan pengambilan' mungkin disebabkan:

1. Arahan pihak tertentu untuk membatalkan pengambilan

2. Peruntukan tidak mencukupi atau telah tiada

3. Tapak tidak sesuai


Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah seksyen 14(4) Akta Pengambilan Tanah 1960:

'Jika keluasan tanah yang berkenaan suatu award telah dibuat dibawah seksyen ini -

(a) melebihi keluasan tanah dijadualkan itu dengan tidak lebih daripada suku hektar atau satu peratus, yang mana lebih luas, maka tidaklah perlu dibuat dan disiarkan apa-apa pengisytiharan lanjut berkenaan dengan nya dibawah seksyen 8;

(b) adalah kurang daripada keluasan tanah dijadualkan itu dengan tidak lebih daripada suku hektar atau satu peratus, mana yang lebih luas, maka tidak lah perlu dilakukan apa-apa penarikan balik formal tentangnya dibawah seksyen 35


Daripada ayat dalam seksyen 14(4) di atas, jika keluasan pengambilan yang diaward adalah melebihi suku haktar atau satu peratus daripada KELUASAN PENGAMBILAN YANG DIWARTAKAN dan keluasan tambahan tersebut TIDAK DIPERLUKAN OLEH PEMOHON, MAKA PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MEMBUAT PENARIKAN BALIK DARI PENGAMBILAN. Begitu juga jika keluasan pengambilan yang diawardkan kurang dari suku haktar atau satu peratus daripada keluasan PENGAMBILAN YANG DIWARTAKAN sepertimana yang dikehendakki oleh pemohon, MAKA PENTADBIR TANAH HENDAKLAH JUGA MEMBUAT PENARIKAN. 

APA YANG BERLAKU SEKARANG INI, PENTADBIR TANAH HANYA MEMBUAT PEMBETULAN KEPADA WARTA DAN TIDAK MEMBUAT PENARIKAN BALIK DARI PENGAMBILAN


TINDAKAN PENTADBIR TANAH JIKA AGENSI TIDAK BERHASRAT UNTUK MENERUSKAN PENGAMBILAN:

1. Hendaklah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri

2. Pewartaan penarikan dari pengambilan

3. Membayar pampasan kerana kerosakan jika ada yang berlaku ke atas tanah dan membayar kos yang ditanggung beban oleh orang berkepentingan

4. Endorsan atau catatan mengenai penarikan balik dibawah seksyen 35 seperti yang dinyatakan dibawah seksyen 9(2) dan (3) Akta Pengambilan Tanah 1960