Rabu, 21 Ogos 2013

TANAH OH TANAH

Kali ini saya paparkan siri Tanah Oh Tanah yang berkaitan dengan perkara yang sering saya bincangkan untuk makluman semua pengunjung Tinta Bayu:


PENGAMBILAN TANAH DARIPADA PELBAGAI PERSPEKTIF
(BAHAGIAN PERTAMA)

DEFINISI PENGAMBILAN

Pengambilan adalah kata kerja yang berasal daripada perkataan ambil yang bererti mengambil atau menggunakan sesuatu kepunyaan orang lain sama ada dengan kebenaran atau tidak. Memperoleh sesuatu kepunyaan orang tanpa pengetahuannya dinamakan mencuri. Pengambilnya dinamakan pencuri. Mengambil milik orang lain dengan cara kekerasan dipanggil merompak. Orang yang melakukannya dipanggil perompak atau lanun kalau di laut. Mencuri dan merompak adalah satu kesalahan dan orang yang melakukan boleh diambil tindakan undang-undang. Orang yang barangnya dicuri atau orang yang dirompak akan kerugian dan tiada sebarang pampasan dan gantirugi akan dibayar.    

Manakala mengambil dengan cara kekerasan kerana melanggar peraturan dan undang-undang dinamakan merampas. Kakitangan kerajaan yang membuat perampasan tidak boleh dinamakan perampas kerana mereka melaksanakan tugas mengikut kehendak undang-undang. Orang yang barangnya dirampas akan kehilangan barang dan mereka boleh didakwa di makhamah.

Memperoleh sesuatu kepunyaan orang tanpa kerelaan dan persetujuan dinamakan pengambilan secara paksa. Ia merujuk kepada keperluan untuk mendapatkan sesuatu itu di sebelah pihak, manakala di sebelah pihak satu lagi enggan menyerah atau ingin menyerah tetapi ada halangan yang mengagal atau melambat proses penyerahan.

KONSEP PENGAMBILAN

            Pengambilan berasal dari bahasa Latin acquisitio yang bermaksud mendapat atau memperolehi untuk diri sendiri. Derived fron the Latin acquisitio, the seeking or getting for oneself. The act or process by which something is acquired or prosured, especially as a consequence of a positive act. A term of no legal import but, in common usage, acquisition may refer to the taking or acquiring of title or ownership of property as a result of purchase.[1]

            Dalam bahasa Inggeris disebut acquisition yang bermaksud hal atau perbuatan memperolehi sesuatu[2].  Menurut Buku “Istilah Undang-Undang” (Edisi Semakan) DBP, 1986, perkataan acquisition bererti pengambilan. Dalam penggunaan biasa, pengambilan merujuk kepada memperolehi atau menerima hak milik atau pemilikan harta sebagai hasil dari pembelian (sama ada secara sukarela ataupun paksa), warisan, pusaka, pemberian, hadiah dan penyerahan.

            Dalam Perlembagaan Persekutuan, istilah acquisition digunakan di bawah Perkara 83 (1) dan (5) yang bermaksud pengambilan:

i.          melalui pengambilan tanah Kerajaan (tanah yang belum diberi milik) di bawah Perkara 83 Fasal (1), iaitu dengan cara memberi milik tanah itu kepada Kerajaan Persekutuan; dan

ii.         melalui pengambilan tanah bermilik secara paksa menurut Perkara 83 Fasal (5) iaitu dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960).

            Perkara 83 (1) menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh mengambil tanah yang belum diberi milik (iaitu tanah kerajaan) bagi maksud Persekutuan dan hendaklah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memberi tanah itu kepada Kerajaan Persekutuan.  Di bawah Fasal tersebut menyebut:

If the Federal Government is satisfied that land in a State, not being alienated land, is needed for federal purposes, that Government may,....require the State Government, and it shall be the duty to that Government, to be caused to be made to the Federation[3].

            Manakala Perkara 83 (5) pula menyatakan bahawa peruntukan berikut hendaklah terpakai kepada tanah yang telah diberi milik. Pengambilan begini hanya boleh dilakukan sama ada melalui:

i.          perjanjian dengan tuan punya tanah terlibat, atau
ii.         pengambilan secara paksa di bawah APT 1960,

            Perkara tersebut menyatakan bahawa:

                                    “The foregoing provisions of ths Article...shall apply in relation to alienated land.....:
                                    .....where a requirement is made under that Clause, it shall be the duty of the State Government to cause to be acquired by agreement or compulsory...[4]

Pengambilan tanah bukanlah merujuk kepada aktiviti berbentuk fizikal ke atas  tanah seperti mengambil, mengeluar, mengangkut apa-apa bahan batuan dari tanah berimilik kerana tindakan ini dipanggil mengalih bahan batuan. Ia juga tidak bermaksud mengambil dan memindahkan tanah tersebut ke tempat lain kerana tanah tidak boleh dipindah dan dialih.

Pengambilan tanah dalam undang-undang tanah adalah merujuk kepada tindakan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) memutuskan hubungan tuan tanah dengan tanahnya dengan cara membatalkan hak miliknya melalui proses undang-undang. Pembatalan hak milik ini menyebabkan tuan tanah tidak berhak lagi ke atas tanahnya. Ini kerana undang-undang tanah berasaskan kepada sistem Torrens iaitu pendaftaran hak milik adalah segala-galanya. Seksyen 340 Kanun Tanah Negara (KTN) jelas menyatakan bahawa pendaftaran sesuatu tanah atas nama seseorang atau badan sebagai tuan tanah, memberi hak milik dan kepentingan yang tidak boleh di sangkal, kecuali dalam keadan-keadan tertentu. Sebagai pemilik yang sah, KTN memberi hak utama dan hak sampingan. Hak utama adalah seperti kegunaan dan kenikmatan yang eksklusif sebanyak mana ruang udara di atas permukaan bumi dan sebanyak mana tanah di bawah permukaan itu, setakat yang perlu atau munasabah; dan hak sokongan pada tanah dalam keadaannya yang biasa oleh mana-mana tanah yang berhampiran. Hak sampingan pemilik tanah pula adalah seperti hak untuk mengeluar, memindah atau mengggunakan bahan batu-batuan dan menebang, mengambil, membinasa atau menggunakan hasil hutan. Selain daripada hak tersebut, pemilik juga mendapat faedah seperti untuk memecah lot atau memecah sempadan; menyatukan tanah; dan memecah bahagi bangunan. Sistem pendaftaran juga memberi hak kepada pemilik untuk membuat urusniaga seperti pindah milik, pajakan, sewaan, cagaran, lien dan ismen.

Bila hak milik itu dibatalkan dengan cara membuat endosan Borang K (seksyen 23, APT 1960) dalam dokumen hakmilik daftar di Pejabat Pendaftar atau di Pejabat Tanah, semua hak milik utama dan hak milik sampingan, faedah dan kepentingan pemilik atas tanah akan gugur dan tidak berkuatkuasa lagi. Kepentingan tuan tanah pada tanah itu akan tamat. Hubungan pemilik dengan tanah secara fizikal dan pendaftaran terputus. Hak milik terhadap tanah dan kepentingannya berpindah kepada kerajaan, walau pun pampasan belum dibayar. Pada saat itu tanah tersebut terletakhak kepada PBN sebagai tanah kerajaan, bebas dari segala bebanan seperti ismen, pajakan, gadai-janji, kaveat, sewa dan seumpamanya seperti yang dinyatakan di seksyen 66 APT 1960. Mana-mana pihak termasuk bekas tuan tanah yang menghalang Pentadbir Tanah mengambil milik tanah tersebut boleh diambil tindakan. Sebarang aktiviti bekas pemilik atau sesiapa sahaja ke atas tanah tersebut dianggap menceroboh dan boleh diambil tindakan mahkamah mengikut seksyen 425  KTN.

Mengikut Salleh Buang (1993) konsep pengambilan tanah secara paksa ialah satu ”pemindahan milik” harta milik seseorang kepada seseorang yang lain. Kesannya ialah pemilik asal dilucutkan haknya yang tidak boleh disangkal ke atas tanahnya, dan hak menggunakan dan menikmati secara eksklusif tanahnya sebagaimana yang dijamin oleh KTN telah berakhir. Dalam kes Chiranjit Lal lwn Union of India AIR 1951 SC 41, 54, Mukherjee menyatakan bahawa:

”Pengambilan bermakna mengambil hak milik sepenuhnya daripada pemilik yang dilucutkan hartanya iaitu, tanpa mengira sifat keseluruhan  hak milik tersebut. Keseluruhan hak yang dahulunya ada pada pemilik asal akan berpindah kepada pengambil sewaktu pengambilan dilaksanakan, tanpa meninggalkan apa-apa pun baki kepada pemilik asal”.

Pengambilan tanah secara paksa (compulsory land acquisition) merujuk kepada pembelian tanah tanpa persetujuan pemilik, tertakluk kepada bayaran pampasan yang berpatutan[5]. Pengambilan dijalankan dengan tiada perundingan dengan tuan-tuan tanah kecuali untuk menentukan pampasan.  Mengikut Ghost (1973), pengambilan tanah adalah suatu tindakan perlucutan hak[6]. N. Khublall (1984), pengambilan tanah adalah satu paksaan kepada tuan-tuan tanah supaya menjualkan tanahnya kepada kerajaan[7]. Harold Parrish (1962), pengambilan tanah adalah gangguan dan campur tangan dalam harta persendirian[8]. Bagi Helmi Hussain (1999), pengambilan tanah dilakukan secara paksa dan secara kekerasan[9].

            Undang-undang memberi kuasa mutlak kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat.  Kuasa yang luas diberikan kepada kerajaan untuk mengambil mana-mana yang pada pandangannya sesuai untuk pembangunan[10].

            Kuasa pengambilan dinikmati sepenuhnya oleh kerajaan atas prinsip revelant development dan for any bona fide public use. Konsep ini betul-betul bergantung pada budibicara kerajaan.  Dengan kuasa ini kerajaan boleh menukar tujuan pengambilan dipertengahan jalan proses pengambilan atau sesudah pengambilan.

            Ghost (1973), pengambilan tanah merosakkan kehidupan tuan-tuan tanah kerana mereka dilucutkan hak ke atas hartanya. Completely destroy a section of people by depriving them of their value of properties[11]. Bagi Frickle (1975), pengambilan tanah boleh menyebabkan perpecahan dan penderitaan[12].  Bagi Parrish (1962), pengambilan tanah suatu tindakan yang memberi kecederaan kepada hak orang lain (injury the right of others[13]).

            Atas hakikat inilah pengambilan tanah menghadapi tentangan yang tidak dapat dielakkan[14], mencetuskan konflik, kritikan umum dan propaganda malah demontrasi[15].

PERSEPSI TUAN-TUAN TANAH TERHADAP PENGAMBILAN TANAH

Pengambilan tanah adalah satu perkataan keramat yang amat menakutkan di kalangan tuan-tuan tanah. Semua pihak tidak mahu tanahnya terlibat dalam pengambilan dan pelbagai cara dilakukan untuk mengelak darinya. Dipihak tuan tanah, pengambilan tanah merupakan satu mimpi ngeri yang amat menakutkan. Pengambilan tanah dikatakan lebih cenderung kepada tindakan untuk merampas tanah rakyat dengan sewenang-wenangnya.  Pengambilan tanah dikatakan telah menyebabkan tuan-tuan tanah terhumban ke lembah kesengsaraan dan meninggalkan kesan buruk kepada tuan tanah terlibat[16].

Pengambilan tanah dikatakan telah mengorbankan pemilik dan penduduk. Mereka mendakwa dirinya menjadi mangsa ketidakadilan pembangunan. Tanahnya diratah dengan lahap dan dibayar pampasan yang rendah sehingga rakyat kempunan[17].  Kerajaan dikatakan telah mengambil tanah rakyat untuk dijualkan kepada pihak lain untuk sebarang projek secara tidak adil seperti kes di Pantai Kundur dan Tanah Merah, Melaka[18].

Melalui APT 1960, kerajaan mengizinkan tanah rakyat diambil secara paksa untuk projek pembangunan yang lebih menyerupai sistem komunis yang meletakkan pemerintahan mempunyai kuasa mutlak atas tanah[19].  Pemimpin kerajaan bertindak rakus menggunakan Akta yang ada mengambil tanah hak milik rakyat dengan kadar bayaran pampasan yang rendah dan kemudiannya menjual kepada pihak ketiga harga yang mahal[20].

Pemerintahan dikatakan telah merampas tanah rakyat di Kerpan dengan kejam dan bersikap biadap tanpa mengambil kira kepentingan hidup mati mereka yang selama ini semata-mata bergantung hidup kepada sawah. Atas nama sebuah projek ternakan udang yang belum tentu akan membawa pulangan kepada kehidupan rakyat Kedah,  tanah-tanah petani telah diekploitasikan sedemikian rupa sehingga sejumlah dari mereka yang cuba bersama menentang atau mempertahankan tanah ditangkap dan ditahan.

Hampir 100 relung tanah padi yang hanya menunggu masa antara satu hingga tiga minggu sahaja lagi untuk dituai dimusnahkan oleh pemaju Projek Bersepadu Ternakan Udang Harimau setelah diberi lampu hijau oleh kerajaan. Pemusnahan yang diiringi dengan air mata petani ini disifatkan sebagai satu perbuatan khianat untuk menyakit hati pemilik sawah yang mempertahankan hak mereka sejak tercetusnya kontrovasi isu ini. Padi yang sudah dipotong dibiarkan berselerak dan akan dibakar setelah kering. Tindakan ini dianggap sudah keterlaluan dan menyifatkan kezaliman kerajaan sudah sampai kepuncak[21].  Apa salahnya tunggu sekejap untuk membolehkan petani menuai padi. Kerja-kerja pembinaan boleh diteruskan di Fasa 1 yang meliputi kawasan seluas 500 relung yang tidak diusaha dan dipenuhi dengan menerung (sejenis tumbuhan rumpai).

Lebih terkilan lagi bila mana kira-kira 10 hingga 15 anggota polis yang beruniform dan memakai kasut getah didapati berkawal di sekitar tapak projek. Ia memberi gambaran seolah-olah para petani yang terdiri dari belia-belia dan tuan tanah akan mengganggu projek pembinaan.

Kerajaan dianggap telah bertindak gopoh dengan membenarkan pengusaha mengorek tanah sawah di kampung tanpa dipersetujui oleh petani terbabit.  Kerajaan dituduh lebih sanggup untuk memenuhi kehendak pengusaha luar dari memenuhi permintaan petani yang memerlukan kadar bayaran pampasan tanah mereka pada jumlah yang sepatutnya[22].

Musnahnya kebahagiaan kekeluargaan sebagaimana musnahnya padi yang sedang menguning dilanyak oleh jentera pemaju. Tiada ada apa-apa yang boleh dilakukan hanya sekadar menangis dan menyerahkan nasib kepada Allah S.W.T. di samping memohon supaya Allah S.W.T. memberi balasan yang setimpal kepada yang menyebabkan keluarganya hidup melarat.

Projek ternakan udang di Kerpan telah mengorbankan kebahagiaan tuan tanah dan menghilangkan pendapatan mereka. Salah seorang pemilik tanah yang terlibat Puan Mazibullah Hamid terpaksa menghantar dua daripada anaknya ke rumah anak-anak yatim di Pulau Pinang kerana tidak mampu lagi menyara hidup kerana empat relung sawah yang menjadi punca pendapatannya dimusnahkan untuk dijadikan kolam ternakan udang.

Setelah 2 tahun berturut-turut padinya yang sedang menguning dimusnahkan pemaju,  beliau yang kematian suami tidak lagi mempunyai sebarang pendapatan dan hidup melarat.  Jika kesempitan hidup terus mencengkam, beliau tidak menolak kemungkinan satu masa nanti terpaksa menghantar anak ketiganya ke rumah anak-anak yatim.

Merujuk kepada pekedai-pekedai di Jalan Haji Hussein yang terlibat dengan pembangunan sebuah Pagoda Cina yang terbesar di Tenggara Asia di Jalan Raja Bot, Chow Kit Road, Kuala Lumpur, kerajaan dikatakan mengamalkan corak pembangunan yang menyusahkan rakyat.  Tuan punya gerai di Jalan Haji Hussein terpaksa mengalah bila pihak pengurusan Pagoda mmbuat tuntutan yang tidak munasabah.  Pihak Penguatkuasa Bandar Raya telah meroboh sebahagian dari belakang kedai-kedai itu untuk membolehkan pihak Pagoda membuat parit.  Penjaja yang terlibat tidak dibayar apa-apa sagu hati dan pampasan.  Wakil Rakyat kawasan tersebut tidak menyokong tuntutan Persatuan Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Chow Kit bagi menghalang pembinaan rumah Ibadat Cina di tengah-tengah masyarakat Melayu. 

Dari sudut yang lain, pengambilan tanah disifatkan sebagai suatu tindakan yang tidak islamik.  Pemerintahan dikatakan tidak boleh mengambil tanah rakyat walaupun tujuannya adalah baik.  Matlamat tidak menghalalkan cara.  Pada zaman Saidina Omar al Khattab berlaku satu kes pengambilan tanah untuk membesarkan Masjidil Haram. Tuan tanah membantah di mahkamah. Saidina Omar kalah dalam perbicaraan itu. Akhirnya tuan tanah yang menang bicara mewakafkan tanahnya untuk projek pembesaran masjid itu. Iktibar daripada peristiwa ini ialah kerajaan tidak boleh mengambil tanah sekalipun untuk membina masjid, sekiranya tidak dengan persetujuan tuan tanah.

Satu lagi dimensi persoalan yang ekstrem ialah penguatkuasaan APT 1960 dikatakan lebih bersifat diktator[23], sama seperti ISA, OSA, Akta Polis, Akta Hasutan dan Akta Pencegah Rasuah. Melalui APT 1960, kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil mana-mana tanah yang diperlukan atas slogan pembangunan tanpa mengira perasaan dan bantahan rakyat. Tuan tanah tidak diberi pilihan kecuali patuh dan akur walaupun tidak setuju dan menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun.  Bila mana keputusan dibuat oleh PBN  untuk mengambil mana-mana tanah, tiada lagi budicara dan perbincangan. Macamlah malikulmaut yang datang mengambil nyawa seorang, tanpa sebarang notis dan rundingan. Sebagaimana tahanan ISA yang tidak mempunyai peluang untuk membela diri, begitu juga dengan tuan-tuan tanah tidak diberi peluang untuk berhujah sejauh manakah pentingnya tujuan awam itu untuk masyarakat umum, sejauh manakah wajib atau perlunya pengambilan itu dibuat. Perbicaraan pra-pengambilan tidak diadakan bagi menentukan sama ada pengambilan itu untuk tujuan-tujuan yang dinyatakan dalam undang-undang. Undang-undang apa ini kalau bukan undang-undang barbarian draconian.

Daripada perspektif yang lain, APT 1960 dikatakan memberi kuasa kepada kerajaan untuk melenyapkan kampung halaman dan rumah tempat tinggal rakyat dengan sekelip mata.  Untuk menyakitkan lagi puak kehilangan itu, pampasan yang diberikan jarang sekali memadai untuk rakyat mendapatkan harta ganti yang sama saiz, sama lokasi, sama sifat dengan hartanah yang hilang.  Pejabat Tanah khususnya Pentadbir Tanah yang menguruskan dan menjalankan siasatan pengambilan tanah dikatakan tidak berupaya untuk memahami dan mentafsirkan sesuatu istilah yang terkandung dalam APT 1960 dengan tepat. Oleh sebab APT 1960 adalah satu bentuk perundangan dan Pentadbir Tanah dari kalangan generalis, maka pemahaman terhadap satu-satu istilah dianggap tidak memenuhi kehendak dan hasrat undang-undang itu sendiri. Monograf Pengambilan Tanah keluaran Institut Penilaian Negara pada 15 Disember 1999 melaporkan the Collector in carring out these function is faced with the following problems: (i) he is not a professionally trained valuer; and (ii) he is not a professionally trained legal officer.

Dalam aspek yang lain, pengambilan tanah memang cukup kontroversial.  Di pihak penyokong kerajaan, perbahasan mengenai isu ini hangat, emotif dan mengambil masa yang panjang. Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada November 1995, isu ini turut diperkatakan.  Wakil UMNO Johor, Baharom Abdul Ghani menggesa supaya mengambil kira bahawa pemilik tanah sering menanggung kerugian berbanding pihak swasta yang memperolehi keuntungan besar apabila memajukan tanah mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gelang Patah berkata secara praktikalnya, pelaksanaan Akta tersebut tidak lagi bersesuaian dengan kepesatan pembangunan ekonomi masa kini malah kadangkala ia merugikan penduduk di kawasan tertentu.  Kerajaan diminta menimbangkan semula permasalahan itu kerana ternyata pelaksanaan Akta secara keseluruhannya merugikan rata-rata orang Melayu yang sering menjadi mangsa arus pembangunan. Sepatutnya setiap projek pembangunan akan mendatangkan faedah kepada rakyat di negara ini terutamanay orang Melayu, bukannya membiarkan mereka semakin jauh ditinggalkan.  Kerajaan juga harus mengambil langkah memastikan Akta tersebut tidak hanya menguntungkan pihak-pihak swasta yang melaksanakan aktiviti pembangunan tanah itu malah mampu dimanfaatkan oleh masyarakat bumiputera.

Kerajaan dituduh telah diperalatkan oleh individu tertentu bagi menambah kekayaannya.  Dengan berselindung di sebalik Seksyen 3 APT 1960, kekerasan dilakukan kepada pemilik. Pemilik tanah menyerahkan secara paksa walaupun pemilik tersebut mampu dan berupaya membangunkan tanah tersebut seperti yang diinginkan oleh pihak kerajaan. Selepas pengambilan, tanah tersebut diserahkan kepada individu tertentu atau badan korporat yang sudah kaya atau mempunyai modal atau kewangan yang mencukupi. Badan Korporat itu cuma hendak mengembangkan perniagaannya atau perusahaannya.  Kerajaan ditohmah merampas tanah seseorang individu dan memberikan kepada individu lain. Kena pula kepada tanah kepunyaan orang yang tidak berharta yang bergantung semata-mata kepada tanah itu untuk hidup.  Badan Korporat itu cuma hendak menambah kekayaan sahaja.

Kerajaan didakwa telah menjalankan perniagaan (secara tidak langsung) dalam urusan pengambilan tanah.  Kerajaan mengambil tanah pertanian dengan bayaran pampasan yang rendah mengikut nilaian pertanian tetapi apabila diberi kepada orang atau badan korporat, tanah itu telah berubah syarat kepada perniagaan atau industri dengan mengenakan premium komersial yang sudah tentu berkali ganda tingginya. Keuntungan berlebihan nilaian tanah komersial ke atas tanah pertanian ini dimasukkan kepada Perbendaharaan Negeri. APT 1960 dikatakan sebagai alat bagi kerajaan negeri menambah pendapatan negeri dan meraut kekayaan. Atas semangat penswastaan dan prinsip pensyarikatan, keuntungan ini disedekahkan kepada orang atau badan korporat yang menjalankan projek swasta tersebut dengan hanya dikenakan premium nominal sahaja. Di samping itu mungkin ada orang yang akan mendapat bahagiannya iaitu orang yang berkaitan dengan pentadbiran pengambilan tanah atau orang yang berdampingan dengan kerajaan. Jika dulunya kebanyakkan tanah ladang yang dimiliki oleh orang kaya diambil mengikut APT 1960 untuk tujuan pembangunan atau memberi kemudahan kepada orang ramai yang kebanyakannya orang miskin, tetapi sekarang ini diagih-agihkan kepada orang kaya atau kepada korporat untuk dimajukan secara komersial atas nama pembangunan. Jika pada zaman England kuno dahulu kala lagenda Robin Hood merompak harta orang kaya untuk dibahagikan-bahagikan kepada orang miskin, tetapi sekarang melalui kuatkuasa Seksyen 3 1(b) APT 1960 kerajaan boleh mengambil tanah orang miskin secara paksa dan memberikan kepada orang kaya.

APT 1960 dikatakan memberi terlalu banyak kuasa dan terdedah kepada kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan negeri atau pegawainya.  Penyalahgunaan kuasa itu sedang berjalan dan berlaku sekarang dengan berselindung di sebalik undang-undang.  Ini satu penindasan terhadap rakyat miskin.

Dalam menguatkuasakan APT 1960 ini, kerajaan dikatakan tidak teliti dan cermat sehingga melanggar prinsip yang ditetapkan, tidak mengikut undang-undang, terdapat unsur berniat jahat, menyalahgunakan kuasa dan melampaui kuasa yang ada, melanggar hak asasi dan hak terhadap harta, hak untuk diberitahu, hak untuk menghujah dan membuat bantahan dinafikan.  Dalam amalan pengambilan tanah, dikatakan terdapat unsur ketidakadilan dan penyelewengan, penganiayaan dan kezaliman.

Utusan Malaysia 10 Februari 2001 melaporkan, 150 orang penduduk di Kampung Mempateh, Lanchang yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek Lebuhraya  Pantai Timur Fasa 1 (Karak- Bukit Goh) telah membuat bantahan secara terbuka kepada kerajaan negeri kerana tidak wujud situasi menang-menang atau saling menguntungkan. Mereka memberi tanah kepada kerajaan dan kerajaan membayar harga tanah tidak mengikut jumlah yang dituntut. Utusan menulis “bagi penduduk berkenaan, kadar bayaran pampasan mereka sebagai pemilik tanah selama ini sebenarnya tidak menguntungkan, tambahan pula ia hanya diperoleh sekali dalam hidup”.  Sebelum itu Berita Harian 29 Januari 2001, melaporkan “biarlah  pampasan yang mereka terima itu berbaloi dengan pengorbanan yang mereka lakukan demi pembangunan negara”.     

Situasi ini ‘dimeriahkan’ lagi dengan isu dan masalah dalam pengambilan tanah yang tersedia ada seperti masalah pentadbiran umpamanya maklumat tanah tidak lengkap, tuan tanah yang tidak dapat dikesan, charting dalam litho syit tidak lengkap atau tidak dikemaskini, cukai tanah tidak dipinda dan lambat membuat permohonan ukur. Masalah perundangan pula seperti permohonan memasuki tanah sebelum diwartakan di bawah seksyen 8, keluputan Borang D, penyampaian notis yang tidak teratur, setinggan. Isu sosial seperti cukai tanah tidak dikurang, pampasan yang tidak mencukupi, tanah yang diambil terbiar kosong. Masalah berkaitan dengan politik seperti pengambilan yang dibatalkan. Dalam masa yang sama, pengambilan tanah penuh dengan rahsia dan sulit, kesamaran dan ketakjelasan, ketidaktentuan dan ketakpastian.  Ini menyebabkan tuan-tuan tanah yang terlibat rasa tidak puas hati, risau dan bimbang, ragu-ragu dan khuatir.  Akibatnya rakyat benci kepada kerajaan dan boleh menjejaskan kestabilan politik dan kuasa kerajaan kerana kerajaan dibentuk daripada undi yang diberikan dalam pilihan raya.

Pentadbir Tanah juga satu hal. Didapati Pentadbir Tanah yang menganggap siasatan sebagai satu perkara yang remeh (kecil) sahaja. Tidak menjalankan tugasnya sebagai seorang “profesional” Dalam kes Oliver Young lwn. Pemungut Hasil Tanah Batu Pahat [1972, 2 MLJ 208] Penolong Pegawai Daerah yang membuat siasatan tetapi jumlah award ditentukan oleh Pegawai Daerah dan beliau menerima saja jumlah tersebut. Dalam kes ini Hakim Syed Othman membatalkan award tersebut. Beliau menyatakan award cannot be based on the opinion of another officer.

Kerajaan dikatakan tidak jujur dan ikhlas dalam meminda seksyen-seksyen tertentu dalam APT 1960. Kerajaan tidak memperkatakan sesuatu dengan hati yang terbuka. Tidak menyemak kembali sama ada undang-undang yang ada itu adil atau tidak sebelum menggubal undang-undang baru. Tidak diteliti terlebih dahulu unsur-unsur keadilannya.  Di mana saja kerajaan mendapati sukar melakukan sesuatu, di situlah saja yang dipindanya dan juga dipinda seksyen lain yang berkaitan dengannya sahaja. Contohnya, pada awal tahun 1990an, ketika negara memasuki era pembangunan yang baru, Kerajaan telah meluluskan Rancangan Rangka Jangka Panjang Kedua dan Rancangan Malaysia Keenam, iaitu merupakan dua rancangan penting yang menentukan hala cara pembangunan negara ke arah pencapaian Wawasan 2020. Matlamat Wawasan tersebut adalah untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian yang maju setaraf dengan negara-negara maju yang lain menjelang tahun 2020. Untuk mencapai matlamat ini serta menghadapi cabaran-cabaran yang kian bertambah, kerajaan mendapati peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam APT 1960 tidak dapat memenuhi hasrat kerajaan dalam usahanya untuk memesatkan lagi pembangunan ekonomi negara dan pelaksanaan dasar-dasar yang telah ditetapkan khususnya yang berkaitan dengan dasar penswastaan. Justeru, pada tahun 1991, konsep kepentingan awam diperluaskan dengan memasukkan unsur development-oriented. PBN diberi kuasa untuk mengambil tanah yang dikehendaki oleh mana-mana orang, syarikat atau  untuk apa-apa jua kegunaan yang pada pandangan PBN akan memberi faedah kepada pembangunan ekonomi Malaysia atau kepada orang awam amnya atau mana-mana kumpulan awam. 

Impak daripada pindaan tahun 1991, pengambilan tanah berlaku secara berleluasa dan berskala besar yang dijustifikasikan atas nama kepentingan awam seperti pengambilan tanah di Gelang Patah dan Tanjong Kupang bagi Laluan Kedua Johor- Singapura dan Bandar Johor Bharu Kedua; pengambilan tanah di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Pantai Kundor, Tanah Merah, Air Salak, Kuala Sungai Baru, Paya Mengkuang, Pulau Gadong, Pegoh, Lubok Redan di Melaka; pengambilan tanah untuk Bandar Serenmban II dan Bandar baru Nilai di Negeri Sembilan; pengambilan tanah untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Selangor, pengambilan tanah di Bukit Kiara Kuala Lumpur; pengambilan tanah untuk projek udang harimau dan bandar baru Sungai Petani di Kedah dan pengambilan tanah untuk projek bandar baru PERDA di Batu Kawan Pulau Pinang

Pengambilan tanah disifatkan oleh Lim Kit Siang (Hansard Dewan Rakyat, 30.7.1991) sebagai secara borong atau wholesale ini telah mewujudkan situasi yang kurang senang dan menimbulkan rasa bimbang di kalangan tuan-tuan tanah. Masyarakat mulai gelisah, merungut dan mengkritik tindakan kerajaan yang mengambil tanah mereka yang pada pendapatnya bukan untuk kepentingan awam.  Rasa tidak puashati masyarakat ini di paparkan di media cetak dan mendapat liputan media eletronik. Contohnya, majalah mingguan MASSA 4 Mei 1996 melaporkan cadangan Kerajaan Negeri Kedah untuk mengambil balik 6,600 hektar tanah di Mukim Merbok, Semeling dan Bukit Meriam untuk projek Bujang Valley Internationl Resort yang akan diusahakan oleh Bujang Development Corporation Sdn Bhd (LBDC) telah menimbulkan rasa tidak puas hati tuan tanah dan penduduk. MASSA  4 Mei 1996 juga turut melaporkan rasa tidak puas hati penduduk di Kampong Sungai Layar Ujung atas tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang mewartakan cadangan pengambilan tanah melalui warta Kerajaan Negeri pada 17 Ogos 1995 untuk mengambil tanah bagi projek komersial iaitu Water Front International City yang akan diusahakan oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB). Juga dilaporkan, tanah-tanah di Kampong Masjid Lama, Telok Cengai, Kuala Kedah akan diambil untuk projek padang golf. Penduduk mempertikaikan tujuan pengambilan yang pada pandangan mereka bukan untuk kepentingan awam tetapi lebih kepentingan perniagaan orang tertentu. Mereka mendakwa tanah yang diambil akan diserahkan kepada syarikat swasta untuk tujuan projek mewah

MASSA keluaran 27 September 1997 pula melaporkan tentang keluhan penduduk 19 buah kampong, di Mukim Gelang Patah, Johor yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek Laluan Kedua Johor Bharu-Singapura serta pembangunan semula bandar baru Gelang Patah atau nama barunya Nusajaya. Penduduk mendakwa pengambilan tanah seluas 11,259 hektar ini bukan untuk kepentingan awam tetapi untuk diserahkan kepada PROLINK Development Sdn. Bhd iaitu anak syarikat United Engineers Malaysia Berhad (UEM). PROLINK Development Sdn. Bhd pula akan menjual sebahagiannya kepada Glomac Consolated Sdn. Bhd dan Mega Grand Saga Sdn. Bhd dengan harga yang tinggi

Badan bukan kerajaan turut melahirkan rasa simpati dengan nasib tuan tanah yang terlibat dengan pengambilan. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak yakin dengan kejujuran kerajaan dalam membuat pengambilan tanah kerana didapati ada pengambilan tanah yang tidak dibuat atas kepentingan awam tetapi untuk tujuan tertentu (Harakah, 19 Mei 1996). Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia telah mendedahkan sebanyak 113 keluarga di Kampong Tok Murad dan Kampong Tok Bidan di Alor Setar, Kedah telah diambil tanah oleh pihak kerajaan untuk dimajukan oleh sebuah syarikat korporat terkenal bernama Yayasan Al-Bukhari, milik seorang jutawan ternama di Malaysia. Laporan tersebut mendedahkan bahawa penduduk kampung yang terlibat sangat tidak berpuas hati terhadap cara pengambilan tanah dilaksanakan oleh agensi kerajaan terlibat yang bertindak seolah-olah ‘orang tengah’ mengambil tanah-tanah mereka untuk diberikan kepada jutawan berkenaan serta kegagalan pihak kerajaan negeri menggantikan semula penempatan baru di Mentalon, Alor Setar seperti mana telah dijanjikan termasuklah kegagalan memberi pampasan yang tidak setimpal dengan nilai tanah yang telah diambil (Mohd. Hamdan, 2005).

Parti-parti politik membantah keras undang-undang pengambilan tanah. Pas menjadikan isu sebagai bahan dan modal ceramahnya. Kemuncak kepada bantahan ialah bila DAP mengadakan Persidangan Kebangsaan Menentang Penyelewengan dan Penindasan Pengambilan Tanah pada 8 Januari 1995 yang dihadiri oleh lebih daripada 1,000 orang pemilik-pemilik tanah. Pada suatu ketika, terdapat khabar-khabar angin yang  mengatakan tuan-tuan tanah yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek Seremban 2 akan membuat bantahan awam di Pasar Besar Seremban sehingga memaksa Ketua Polis Daerah Seremban mengarahkan 200 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) ke Pasar Besar Seremban untuk menghalang daripada tuan-tuan tanah berkumpul atas alasan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Kes yang paling kontroversi dan hangat dibahaskan di parlimen ialah pengambilan tanah untuk tapak Pusara Negara di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Setelah pengambilan tanah selesai, cadangan tapak pusara negara dibatalkan dan dijual kepada satu syarikat individu, syarikat persendirian daripada Singapura seluas 376 ekar dengan kadar RM59,725.00 seekar, sedangkan harga pasaran ialah RM1 juta seekar (Wee Chong Keong, 1993)
.
Di pihak kerajaan, walaupun pengambilan tanah dikritik hebat oleh rakyat dan masyarakat, kerajaan secara berterusan membuat pengambilan tanah atas tujuan apa-apa sahaja yang pada pandangan PBN untuk kepentingan awam. Malah, pengambilan makin rancak terutama dalam tempoh RMK Ke 9. Setiap permohonan pengambilan tanah yang sampai ke PBN dilulus dan amat sedikit cadangan ditolak. Kalau ditolak pun bukan atas alasan tujuan pengambilan tetapi atas alasan teknikal. Hal ini kerana undang-undang memberi kuasa penuh dan mutlak kepada PBN untuk menentukan sesuatu pengambilan itu untuk kepentingan awam atau tidak. Pertimbangan PBN ketika menimbangkan tujuan pengambilan adalah semata-mata bergantung kepada pendapat logik dan akal yang waras. Undang-undang tidak memberi takrif yang jelas mengenai kepentingan awam. Tidak ada satu garis panduan dan tafsiran yang jelas mengenai maksud tujuan awam, kepentingan awam dan manfaat kepada pembangunan ekonomi negara. Parlimen menyerahkan kepada orang politik untuk membuat interpretasi dan mahkamah tidak diberi kuasa untuk campur tangan. Keputusan PBN mengenai perkara ini muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah. Kekaburan dan kesamaran mengenai maksud kepentingan awam tidak berkesudahan dalam pengambilan tanah. 

Justeru, istilah kepentingan awam dalam pengambilan tanah telah membuka ruang yang amat luas kepada pelbagai tafsiran. Masih sukar untuk menentukan sempadan dan batasan maksud awam sehingga kini kerana belum ada alat ukur yang benar-benar terbukti kesahan dan kebolehpercayaan bagi menilai tahap maksud awam yang menjadi tunjang alasan pengambilan tanah milik individu. Ketiadaan tafsiran yang tepat dan jelas dan semata-mata bergantung kepada pendapat logik manusia terdedah kepada kesilapan. Implikasi ketidakobjektifan pentafsiran ini ialah pertikaian demi pertikaian yang berlarutan dan tidak berkesudahan.

KESIMPULAN

Bagi pihak tuan-tuan tanah, pengambilan tanah tetap dan memang merugikan mereka, tidak menguntungkan dan tidak adil. Lihatlah dari sudut mana sekalipun sama ada pada falsafah dan konsep, teori dan amalan, undang-undang dan peraturan. Semuanya lebih cenderung dan menyebelahi kepada pihak kerajaan. Lantaran itu, setiap kes pengambilan tanah, ia tetap menjadi isu.



Sekian, terima kasih 

TANAH OH TANAH

CATATAN: 
Penulisan ini adalah merupakan sebahgian daripada petikan daripada kertas kerja yang bertajuk “Doktrin Pengambilan Tanah : Satu Tinjauan  Dari Perspektif Tuan Tanah”. Penulis telah bentangkan kertas kerja ini dalam Mesyuarat Penyelarasan Pengarah-Pengarah JKPTG Negeri Bilangan 2/2001 yang telah diadakan pada 10 April 2001 di PTG Ipoh, Perak.


Suhaimi bin Hj. Mamat
Setiausaha
Bahagian Sumber Air, Saliran dan Hidrologi
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Aras 13, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62574 Putrajaya, Malaysia
Tel : 03-88861147
Fax : 03-88893455

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1 Damien Abbort. (1987). “Encylopedia of Real Estate Term.”  Gower Technical : England.  m/s 14

2.Kamus Dwibahasa. (1995). “Bahasa Inggeris – Bahasa  Melayu”, DBP: KL. m/s 15

3 Perlembagaan Persekutuan

4 Perlembagaan Persekutuan

5 Damien Abbort. (1987). “Encylopedia of Real Estate Term.”  Gower Technical : England.  m/s 176

6 Sunil Kumar Ghost . (1973). “The Land Acquisition Act”. Eastern Law House, Sixth Edition. m/s 18

7 N. Khublall. (1984) . “Law of Compulsory Purchase and Compensation : Singapura and Malaysia”. Butterworth, Singapura. m/s 1

8 Horald Parrish. (1962). “Cripps on Compulsory Acquisition of Land : Power, Procedure and Compensation”, Eleventh Edition, Stevens & Sons Limited: London. m/s 1

9 Helmi Hussain. (1999). “ Akta Pengambilan Tanah 1960 : Suatu Huraian dan Kritikan”. Penerbitan UKM: Bangi.  m/s 2 

10 John K. Boynton. (1977). “ Compulsory Purchase and Compensation”. Oyez Publishing, Fourth Edition.  m/s 4

11 Sunil Kumar Ghost . (1973). “The Land Acquisition Act.” Eastern Law House, Sixth Edition. m/s 18

12 Graham L. Frickle. (1975). “Compulsory Acquisition of Land in Australia”. Law Book Company Limited: Sydney.  m/s 2

13 Horald Parrish. (1962). “Cripps on Compulsory Acquisition of Land : Power, Procedure and Compensation”. Eleventh Edition. Stevens & Sons Limited : London. m/s 1

14 Graham L. Frickle. (1975). “Compulsory Acquisition of Land in Australia”. Law Book Company Limited: Sydney. m/s 1 

15 Sunil Kumar Ghost. (1973). ”The Land Acquisition Act”. Eastern Law House, Sixth Edition. m/s 18

16 Majalah MASSA : Bilangan 34. Tarikh 4-10 Mei 1996 m/s 20-21.

17 Majalah MASSA : Bilangan 106, Tarikh 27 September – 3 Oktober 1997, m/s 22-23.

18 Akhbar Harakah : 10 Januari 1995

19 Akhbar Harakah : 10 Januari 1995

20 Akhbar Harakah : 28 Syabaan 1415

21 Akhbar Harakah : 31 Januari 1995

22 Akhbar Harakah : 10 Ramadhan 1415

23 Ahmad Lutfi bin Othman. (1997). “Mufti Lawan Mahathir”. Penerbitan Pemuda : K.L. m/s 32.

………………………………………………………………………………………………………………………
RUJUKAN
Buku
Abdullah Sanusi Ahmad. (1970). “Kerajaan, Pentadbiran dan Rakyat.” DBP: KL.
Ahmad Lutfi Othman. (1997). ”Mufti Lawan Mahathir. Penerbitan Pemuda: K.L.
Aggarwala. (1992). “Compulsory Acquisition of Land in India”. Second Impression.

Clive Potter. (1991). “The Diversion of Land. Routledge: London.

Edward F. George. (1952). ”The Sale of Land.” Sweet & Maxwell Limited: London.

Damien Abbort. (1987). “Encylopedia of Real Estate Term”. Gower Technical: England.

E.H. Burn. (1988). “Real Property”. Fourteenth Edition, London.

Graham L. Frickle. (1975). “Compulsory Acquisition of Land in Australia”. Law Book Company Limited : Sydney.
Horald Parrish. (1962). “Cripps on Compulsory Acquisition of Land : Power, Procedure and Compensation.” Eleventh Edition. Stevens & Sons Limited: London.

Helmi Hussain. (1999). “Akta Pengambilan Tanah 1960 : Suatu Huraian dan Kritikan”. Penerbitan UKM: Bangi.
John K. Boynton. (1977). “Compulsory Purchase and Compensation”. Oyez Publishing, Fourth Edition.
Mohd. Salleh Abas. (1984). “Prinsip Perlembagaan Persekutuan : Pemerintahan Malaysia”. DBP: K.L. 1984
--------------------------. (1965). “Mengenal Undang-Undang.” DBP: K.L.
N. Khublall. (1084). “Law of Compulsory Purchase and Compensation : Singapura and Malaysia”. Butterworth, Singapura.
Sunil Kumar Ghost. (1973). “ The Land Acquisition Act”. Eastern Law House, Sixth Edition,
Tamjis Kastrin. (1990). “Doktrin Balasan”.  UTM : Skudai.

Perlembagaan

Perlembagaan Persekuruan

Akta

Akta Pengambilan Tanah 1960

Kamus

Kamus Dwibahasa : Bahasa Inggeris – Bahasa  Melayu, DBP, KL. 1995.
Kamus Dewan Edisi Baru, DBP, 1989.
Kamus Istilah Fiqh, Advance Publication, 1997.

Majalah

Majalah MASSA

Akhbar

Utusan Malaysia

Akhbar Harakah


[1] Damien Abbort. (1987). “Encylopedia of Real Estate Term.”  Gower Technical : England.  m/s 14

[2] Kamus Dwibahasa. (1995). “Bahasa Inggeris – Bahasa  Melayu”, DBP: KL. m/s 15

[3] Perlembagaan Persekutuan
[4] Perlembagaan Persekutuan
[5] Damien Abbort. (1987). “Encylopedia of Real Estate Term.”  Gower Technical : England.  m/s 176

[6] Sunil Kumar Ghost . (1973). “The Land Acquisition Act”. Eastern Law House, Sixth Edition. m/s 18

[7] N. Khublall. (1984) . “Law of Compulsory Purchase and Compensation : Singapura and Malaysia”. Butterworth, Singapura. m/s 1

[8] Horald Parrish. (1962). “Cripps on Compulsory Acquisition of Land : Power, Procedure and Compensation”, Eleventh Edition, Stevens & Sons Limited: London. m/s 1

[9] Helmi Hussain. (1999). “ Akta Pengambilan Tanah 1960 : Suatu Huraian dan Kritikan”. Penerbitan UKM: Bangi.  m/s 2 

[10] John K. Boynton. (1977). “ Compulsory Purchase and Compensation”. Oyez Publishing, Fourth Edition.  m/s 4
[11] Sunil Kumar Ghost . (1973). “The Land Acquisition Act.” Eastern Law House, Sixth Edition. m/s 18

[12] Graham L. Frickle. (1975). “Compulsory Acquisition of Land in Australia”. Law Book Company Limited: Sydney.  m/s 2

[13] Horald Parrish. (1962). “Cripps on Compulsory Acquisition of Land : Power, Procedure and Compensation”. Eleventh Edition. Stevens & Sons Limited : London. m/s 1

[14] Graham L. Frickle. (1975). “Compulsory Acquisition of Land in Australia”. Law Book Company Limited: Sydney. m/s 1     

[15] Sunil Kumar Ghost. (1973). ”The Land Acquisition Act”. Eastern Law House, Sixth Edition. m/s 18

[16] Majalah MASSA : Bilangan 34. Tarikh 4-10 Mei 1996 m/s 20-21.

[17] Majalah MASSA : Bilangan 106, Tarikh 27 September – 3 Oktober 1997, m/s 22-23.

[18] Akhbar Harakah : 10 Januari 1995

[19] Akhbar Harakah : 10 Januari 1995

[20] Akhbar Harakah : 28 Syabaan 1415

[21] Akhbar Harakah : 31 Januari 1995
[22] Akhbar Harakah : 10 Ramadhan 1415
[23] Ahmad Lutfi bin Othman. (1997). “Mufti Lawan Mahathir”. Penerbitan Pemuda : K.L. m/s 32.