Sabtu, 23 Mac 2024

Kes Mahkamah - Ambil Milik

PANDANGAN TUAN JAIYA BIN ABU

Pada 21hb Mac 2024 yang baru lalu, Bahagian & Jabatan saya iaitu Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah (BPPT), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) ada menganjurkan webinar bertajuk "Pengambilmilikan dan Pengambilmilikan Rasmi - Menyingkap Kes Mahkamah Rayuan:

PNSB Acmar Sdn Bhd lwn Pentadbir Tanah Klang, Pengarah Tanah Galian Selangor dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan". Kes itu adalah permohonan semakan kehakiman berkaitan penarikan pengambilan tanah oleh Pentadbir Tanah Klang (withdrawal from land acquisition). Pengambilan tanah diuruskan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Selangor kerana melibatkan projek Kerajaan Persekutuan iaitu Projek LRT 3 di Daerah Klang, Selangor. 

Kes berkisar tentang bantahan tuan punya tanah iaitu PNSB Acmar Sdn Bhd yang mencabar tindakan Pentadbir Tanah Klang dan Kerajaan Negeri Selangor (pihak-pihak yang terlibat sebenarnya adalah Kerajaan Persekutuan) menarik (withdrew) pengambilan tanah di bawah seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah 1960 walaupun pada ketika itu pengambilmilikan rasmi (formal possession) di bawah seksyen 22 APT 1960 belum berlaku. Di dalam kes tersebut, walaupun pengambilmilikan rasmi belum berlaku, namun pengambilan di tapak atau site possession sudah berlaku. Pada tuan punya tanah, tindakan pihak Kerajaan itu bersalahan dengan peruntukan Akta dan tuan punya tanah mendakwa penarikan tidak sepatutnya dilakukan kerana pengambilan telah berlaku. 

Kes tersebut pada mulanya difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan keputusannya memihak kepada tuan punya tanah. Kerajaan tidak berpuas hati dan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang kemudiannya juga memihak kepada tuan punya tanah. Terkilan dengan keputusan Mahkamah Rayuan, pihak Kerajaan memfailkan permohonan untuk merayu (leave for appeal) di Mahkamah Persekutuan yang akhirnya telah menolak permohonan daripada pihak Kerajaan. 

Withdrawal from acquisition

35. (1) The State Authority shall be at liberty to withdraw from the 

acquisition of any land of which possession has not been taken.

General power to take possession

18. The Land Administrator may take possession—

(a) of any land in respect of which an award has been made under section 14, such possession being taken at the time 

of the service upon the occupier of such land of a notice in Form H, or at any time thereafter;

(b) of any land specified in a Certificate of Urgency issued under section 19, whether or not any award has been made in respect of such land:

Formal possession

22. (1) The Land Administrator shall take formal possession of any scheduled land by serving upon the occupier thereof or, if he cannot be found, by posting thereon, a notice in Form K.

Sebelum-sebelum ini saya ada terima beberapa soalan yang bertanyakan pandangan saya mengenai bilakah sebenarnya Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh melakukan penarikan dan apakah yang dimaksudkan dengan possession atau pengambilmilikan di bawah seksyen 35 APT tersebut. 

Pandangan saya begini:

Memang sejak dari dulu kita mengganggap pengambilmilikan atau mengambil milik hanyalah melalui Borang K menurut seksyen 22 APT. Lazimnya bila Borang K telah dikeluarkan bermakna pampasan telah dibayar atau bila ada Borang I iaitu perakuan kedesakan, siasatan dan pampasan akan dibuat kemudian. 

Sebagaimana yang dikongsikan sebelum ini mengenai kes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu Fun Fatt Sdn Bhd lwn Pentadbir Tanah Kuala Lumpur yang memutuskan penarikan balik di bawah seksyen 35 tidak boleh dibuat sekiranya Borang H iaitu tawaran award pampasan telah dikeluarkan dan ini mengambil kira peruntukan seksyen 18 APT mengenai masa paling awal pengambilmilikan boleh berlaku adalah semasa pengeluaran Borang H tanpa mengambil kira kes bila mana Borang I digunakan. 

Secara peribadi saya bersetuju dengan keputusan kes Mahkamah seperti itu bahawa apabila ada pengambilmilikan tapak atau site possession atau apabila Borang H telah dikeluarkan, penarikan sepatutnya tidak boleh dilakukan walaupun Borang K belum dikeluarkan.

 Justifikasi saya adalah seperti berikut:

1. Apa alasan yang boleh dipertimbangkan oleh Pentadbir Tanah ataupun Pihak Berkuasa Negeri untuk melayan permohonan penarikan selepas Borang H dikeluarkan? Tak cukup peruntukan kewangan? Perubahan tapak atau jajaran?Alasan-alasan tersebut tak wajar ditimbulkan pada ketika tawaran award pampasan telah dikeluarkan. Tidak wajar sama sekali bagi PBN untuk menarik pengambilan pada ketika proses telah 50% selesai. Di mana pengakuan atau integriti agensi pengambil yang pada awalnya telah memberikan aku janji peruntukan kewangan adalah mencukupi, tapak atau jajaran sudah muktamad selepas pewartaan Borang A (Tanah Berkemungkinan Akan Diambil) dan Borang D (Pengambilan Yang Dicadangkan)??;

2. Tindakan menarik pengambilan pada ketika Borang H telah dikeluarkan memperlihatkan sikap sambil lewa, tidak profesional dan tidak menghormati prosedur yang telah diambil dalam melucuthakkan seseorang daripada hartanya. APT adalah undang-undang yang diperbuat khusus bagi melucutkan seseorang daripada pemilikan tanahnya atau menggunakan tanah seseorang secara paksa DENGAN SYARAT pampasan yang mencukupi diberikan. Ini selaras dengan peruntukan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan -  

Rights to property 

13. (1) No person shall be deprived of property save in accordance with law. 

(2) No law shall provide for the compulsory acquisition or use of property without adequate compensation.

Daripada satu sudut kita lihat APT meletakkan faedah kepada Kerajaan yang diberi kuasa untuk mengambil tanah secara paksa. Bila Kerajaan lwn tuan punya tanah, ia umpama 1-0. Namun daripada satu sudut yang lain, bila Kerajaan lwn tuan punya tanah, APT sebenarnya meletakkan kedudukan 0-1 memihak kepada tuan punya tanah. Bila tanah seseorang diambil oleh Kerajaan secara paksa, "hak" atau "kemenangan" itu sebenarnya adalah pada tuan punya tanah. Hakikat tanahnya diambil secara paksa telah 'mencederakannya', Kerajaan perlu berhati-hati supaya 'kecederaan' yang ada tidak ditambah. 

3. Borang H adalah tawaran award pampasan rasmi daripada award pampasan dalam Borang G sebagai janji Pihak Berkuasa Negeri untuk memberikan pampasan yang mencukupi padanya. Bagaimana janji rasmi tersebut boleh dilanggar oleh PBN iaitu Kerajaan? Ia memberikan persepsi negatif kepada tingkah laku atau tindak tanduk Kerajaan yang bukan saja perlu baik pada setiap masa tetapi juga dilihat baik pada setiap ketika;

4. Kita perlu sedar dengan pewartaan Borang A dan Borang D, tuan punya tanah sudah diikat daripada segi tarikh nilaian hartanya. Dengan pewartaan Borang A dan Borang D, tuan tanah hampir pasti akan dinafikan haknya untuk membuat urusan-urusan tertentu seperti memajukan tanahnya walaupun dengan niat suci. Undang-undang sememangnya tidak menghalang tetapi pihak-pihak berkuasa akan mengenakan pelbagai sekatan, halangan atau syarat walaupun pada ketika pewartaan Borang A dan D tersebut proses baru berlangsung 25% dan masih di peringkat cadangan. Dengan penjejasan-penjejasan ini, adakah wajar ditarik pengambilan pada ketika tawaran award pampasan telah dikeluarkan? Jangan tanya diri kita sebagai pihak berkuasa, tanya diri kita sebagai tuan punya tanah; dan

5. Wujud perbezaan yang ketara mengenai penarikan di dalam APT bila melibatkan pengambilan tanah untuk maksud awam di bawah perenggan 3(1)(a) dengan pengambilan tanah untuk maksud pembangunan ekonomi termasuk kemudahan awam di bawah perenggan 3(1)(b) dan untuk tujuan-tujuan khas di bawah perenggan 3(1)(c). Bagi pengambilan di bawah perenggan 3(1)(a), penarikan boleh dibuat oleh PBN sebelum pengambilmilikan berlaku. Walau bagaimanapun, bagi pengambilan di bawah perenggan 3(1)(b) atau 3(1)(c), penarikan boleh dilakukan oleh pemohon sebelum pewartaan di bawah seksyen 8 APT. Peruntukan subseksyen 3F(1) APT -

Withdrawal from the application of acquisition by the applicant

3F. (1) Any applicant may withdraw from the application of acquisition of any land before the publication of the declaration under section 8 by giving a notice in writing to the Land Administrator. 

Berbeza dengan peruntukan seksyen 35, APT memperuntukkan bagi pengambilan tanah di bawah perenggan 3(1)(b) atau 3(1)(c) penarikan boleh dibuat sebelum pewartaan cadangan pengambilan di bawah seksyen 8 walaupun pada ketika itu pemohon sudah memberikan jaminan mengenai peruntukan kewangan dengan membayar deposit sebanyak 50% dari nilaian semasa tanah yang hendak diambil. Ketidakseimbangan di dalam APT ini di antara seksyen 35 dan 3F sewajarnya diberikan perhatian dan ukuran. 

Khamis, 21 Mac 2024

Kursus Pengambilan Tanah

 Insha Allah pada 29/4/2024, satu Kursus Pengambilan Tanah BERBAYAR akan di adakan di Kuala Lumpur

Untuk maklumat selanjutnya bolehlah layari FB saya Baharuddin bin Md Yusuf

Rabu, 10 Januari 2024

ALHAMDULILLAH. 

TK KERANA MASIH ADA YANG MEMBACANYA!