Jumaat, 30 November 2012

Tanah Selepas Pengambilan



SISIPAN PETANG

MINGGU DEPAN SEMINGGU MUNGKIN TAK MENULIS KERANA BERCUTI
DAN CERAMAH DILANGKAWI



Pada 23 November 2012, saya menerima satu pertanyaan daripada PERDA iaitu 'Boleh atau tidak tanah-tanah yang telah diambil oleh pihak PERDA diambil semula oleh Pihak Berkuasa Negeri'

Sebagaimana semua orang sedia maklum berdasarkan seksyen 30(1) Akta Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang [Akta 282], PERDA boleh mengambil tanah untuk maksud awam dan mengikut seksyen 30(3) pula, tanah-tanah yang diambil boleh didaftarkan atas nama PERDA. Oleh itu tanah tersebut adalah tanah milik PERDA. Berdasarkan seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah 1962 pula, tanah-tanah yang boleh diambil oleh Pihak Berkuasa Negeri antaranya adalah tanah milik. Kesimpulannya tanah milik PERDA juga boleh diambil. Apabila tanah PERDA diambil melalui Akta Pengambilan Tanah, bayaran pampasan adalah berdasarkan Jadual Pertama Akta tersebut.

Disamping itu apabila tanah yang diambil telah dikeluarkan hakmilik dibawah Kanun Tanah Negara kepada PERDA, ianya tertakluk kepada seksyen 115,116 dan 117 Kanun Tanah Negara.

Seksyen 115(1)(a) dan 115(4), jika tanah tersebut tertakluk kepada kategori pertanian, boleh didirikan sebuah bangunan atau bangunan-bangunan yang digunakan untuk maksud sebuah rumah kediaman untuk tuanpunya atau mana-mana orang yang menduduki secara sah, untuk orang gaji atau untuk pekerja dengan syarat keluasan tapak bangunan tidak melebihi 1/5 dari keluasan tanah atau dua hektar, mana yang kurang.

Seksyen 115(1)(c) keseluruhan tanah kecuali kawasan yang ada bangunan, hendaklah ditanam  dalam masa 3 tahun dari tarikh tanah itu tertakluk kepada kategori pertanian dan seksyen 115(1)(e) pula menyatakan kawasan tersebut hendaklah ditanam secara berterusan.

Seksyen 116(1)(a) menyatakan hendaklah dalam masa dua tahun dari tarikh tanah itu tertakluk kepada kategori bangunan,  didirikan di atasnya sebuat bangunan sesuai untuk digunakan bagi maksud kediaman, pentadbiran atau komersial atau maksud pengangkutan penumpang; maksud pameran, penjualan; kemudahan pendidikan, perubatan, kebersihan atau kebajikan; maksud hiburan, makan-minum atau permainan.

Seksyen 117(1)(a) pula menyatakan, jika tanah berimilik tertakluk kepada kategori perindustrian hendaklah digunakan hanya untuk maksud perindustrian, iaitu mendiri atau menyenggara kilang, bengkel, fondri, gudang, limbungan, jeti, keretapi atau bangunan perkilangan, peleburan dll.

Seksyen 117(1)(b) pula menyatakan, operasi industri diatas  hendaklah dimulakan dalam masa TIGA tahun dari tarikh tanah itu tertakluk kepada kategori perindustrian


KESIMPULANNYA JIKA TUAN PUNYA TANAH/PERDA TIDAK MEMATUHI SEKSYEN-SEKSYEN DIATAS, TUAN TANAH/PERDA DIANGGAP MELANGGAR SYARAT DAN TANAH TERSEBUT BOLEH DIRAMPAS OLEH PIHAK BERKUASA NEGERI TANPA BAYARAN GANTIRUGI.

Khamis, 29 November 2012

Isu Pengambilan Tanah


Disertakan persoalan pengambilan tanah dan pandangan yang diberikan untuk makluman bersama


From: Wan Arinie Bt. Wan Ahmad [mailto:arinie@kptg.gov.my]
Sent: Wednesday, November 28, 2012 3:38 PM
To: Baharuddin Bin. Md Yusof
Subject: caj 8 %


Assalamualikum.

Tuan,

Mohon pandangan. Agensi telah membuat penahan 25% keatas pampasan pengambilan tanah. 75% telah pun dibayar. Namun penahan 25% telah ditarik balik oleh agensi.  Bayaran 75% di bayar pada 24/3/2009, manakala bayaran 25% dibayar pada 14/7/2011. Adakah caj bayaran lewat  8% akan dikenakan?  Berdasarkan kpd seksyen 29, hanya dibawah subseksyen (3)atau (4) dibayar caj bayaran lewat.


Alaikumsalam

Berdasarkan seksyen 32(1), proses pengambilan biasa, bayaran pampasan hendaklah dibuat dalam tempoh 3 bulan DARI TARIKH TERIMA BORANG H, jika tidak dibayar CBL dikenakan dari tarikh tamat tempoh 3 bulan sehingga bayaran dibuat.

Dalam kes tersebut, bayaran 75% pada 24/3/2009 (katakan tarikh akhir tempoh 3 bulan). Ini bermakna, bayaran 25% yang dibuat pada 14/7/2011  adalah diluar tempoh 3 bulan. Oleh itu MESTI DIKENAKAN CBL MULAI TARIKH 24/3/2009 SEHINGGA 14/7/2011

 

Soalan lanjutan dari soalan di atas


From: Wan Arinie Bt. Wan Ahmad [mailto:arinie@kptg.gov.my]
Sent: Wednesday, November 28, 2012 4:19 PM
To: Baharuddin Bin. Md Yusof
Subject: RE: caj 8 %

Pihak penasihat undang-undang berpandangan, caj bayaran lewat x dikenakan kerana bantahan ditarik balik oleh pihak agensi. Namun, pihak kami telah mengemukan permohonan pembayaran CBL kepada agensi, namun pihak agensi enggan membuat bayaran tersebut berdasarkan pandangan daripada pihak penasihat undang-undang.

 

Seksyen 29A(a)(b) menyatakan, jika agensi membuat bantahan dalam tempoh, agensi hendaklah membuat bayaran pampasan 75%. Seksyen 29A(2) pula menyatakan, jika dalam tempoh tersebut tiada bantahan, selepas tamat tempoh, bayar baki 25% dengan segera. Dalam kes ini bayaran 25% dibuat 2 tahun kemudian (dua tahun bukan lah segera seperti yang dikehendaki oleh seksyen 29A(2)). Ini merugikan tuan tanah.  Itu sebab saya katakan kes ini tidak ada kaitan langsung dengan seksyen 29A tetapi BERKAITAN DENGAN SEKSYEN 32(1). Cuba berbincang semula dengan pejabat PUU dan nyatakan seksyen tersebut. Dikhuatiri jika tuan punya tanah membawa kes ini ke Mahkamah.

 

JIKA KEPUTUSAN TIDAK MEMBAYAR CAJ BAYARAN LEWAT ADALAH KEPUTUSAN BERSAMA ANTARA PUU, PEMOHON DAN TUAN TANAH, MAKA SEPATUTNYA CAJ TERSEBUT TIDAK DIAMBIL KIRA

Isnin, 26 November 2012

Fungsi Borang J Akta Pengambilan Tanah


Hari ini saya lanjutkan perbincangan berkaitan dengan Borang J Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memperjelaskan lagi isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Borang J ada kaitan secara langsung dengan pengambilan tanah melalui Perakuan Kedesakan/Certificate of Urgency (Borang I) atau lebih dikenali dengan sebutan 'pengambilan segera' mengikut seksyen 19.

Ini dijelaskan di dalam seksyen 20 iaitu, jika terdapat 'bangunan' di atas mana-mana tanah yang diambil melalui 'pengambilan segera' , maka apabila Pentadbir Tanah menyerahkan Borang K kepada penduduk, tuan tanah dan pihak berkuasa pendaftaran mengikut seksyen 22 supaya tuan tanah mengosongkan tanah/kawasan yang tiada bangunan (tidak termasuk jalan ke bangunan tersebut), Pentadbir Tanah hendahlah juga menyampaikan notis Borang J kepada:

1. Penduduk bangunan supaya mengosongkan bangunan tersebut dalam suatu tempoh tidak lebih daripada 60 hari dari tarikh notis Borang J;

2. Tuanpunya bangunan dan menawarkan pampasan bangunan tersebut. Jika bangunan kekal, nilai semasa bangunan tersebut dan jika bangunan sementara yang boleh dipindahkan, nilai bangunan ketika itu atau kos memindah dan mendirikan semula.

Berdasarkan seksyen 21 pula, jika tuanpunya bangunan menerima tawaran tersebut, Pentadbir Tanah boleh ambil milik bangunan tersebut selepas tamat tempoh notis Borang J. Jika pemilik bangunan enggan menerima tawaran, jika bangunan kekal tidak boleh diambil milik sehingga tuan punya bangunan telah mendapat nilaian bangunan dari penilai yang bertauliah dan jika bangunan sementara sehingga tuanpunya bangunan selesai memindah dan mendirikan semula.

Khamis, 22 November 2012

Adakah Perlu Borang J Setelah Borang K Dikeluarkan


Banyak pertanyaan yang diajukan kepada saya berkaitan dengan tajuk di atas. Hari ini 22 Nov 2012, rakan lama saya di Pejabat Tanah Ipoh, bertanyakan hal yang sama iaitu pengambilan tanah telah selesai (Borang K telah dikeluarkan), di atas tanah tersebut terdapat bangunan, tetapi tuan punya bangunan masih menetap di situ dan enggan keluar.

Untuk menjawab permasalahan tersebut, terlebih dahulu kita rujuk kepada seksyen 22 Akta Pengambilan Tanah.

Tajuk seksyen 22 adalah 'Formal Possession' bermaksud ambil milik secara rasmi .

Seksyen 22(1), menyatakan Pentadbir Tanah boleh ambil milik secara rasmi dengan menyampaikan notis Borang K kepada penduduk tanah

Seksyen 22(3)(a) dan (b), menyatakan Pentadbit Tanah hendaklah (shall) juga menyampaikan suatu salinan notis Borang K kepada tuanpunya berdaftar (registered proprietor) dan pihak berkuasa pendaftaran berkenaan

Seksyen 23, pihak berkuasa pendaftaran, apabila terima  notis Borang K, hendaklah (shall) membuat catatan/endorsan/wasilan  mengenai pengambilan pada dokumen hakmilik daftar

Seksyen 66 pula menyatakan, apabila memorial/catatan/endorsan/wasilan dibawah seksyen 23 telah dibuat, tanah tersebut hendaklah terletakhak (the land shall vest) pada Pihak Berkuasa Negeri sebagai 'tanah kerajaan'


KESIMPULANNYA;

1. BORANG K MESTI DISERAHKAN KEPADA PENDUDUK (TUAN RUMAH) , TUAN TANAH DAN UNIT PENDAFTARAN (MESTI DIDAFTARKAN)

2. SETELAH KETIGA-TIGA TINDAKAN TERSEBUT DIAMBIL, BARULAH TANAH TERSEBUT MENJADI TANAH KERAJAAN

3. APABILA MENJADI TANAH KERAJAAN, TUAN RUMAH/TUAN TANAH DIANGGAP MENDUDUKI TANAH KERAJAAN DAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DI BAWAH KANUN TANAH NEGARA BOLEH DIAMBIL


Apa yang kebanyakan berlaku dahulu dan sekarang, Borang K hanya diserah kepada penduduk/tuan tanah sahaja, TINDAKAN PENDAFTARAN TIDAK DIBUAT. Ini tidak mengikut kehendak undang-undang dan jika ada pemilik bangunan enggan keluar dari tanah tersebut, tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.

OLEH YANG DEMIKIAN TIDAK PERLU MENGELUARKAN BORANG J KERANA BORANG J TIADA KAITAN DENGAN MASALAH YANG DIBINCANGKAN

Rabu, 21 November 2012

RINTIHAN WARIS PENGERANG


Hari ini saya terima e-mail dari seorang pengunjung blog saya dan ada berbincang melalui email (namanya dirahsiakan) berkaitan dengan pengambilan tanah di Pengerang. Saya rasa ini adalah rintihan yang mewakili sebahagian penduduk/tuan tanah di Pengerang untuk kita kongsi bersama. Ayat dan jalan cerita tidak diubah

En Baha,

Terima kasih atas penerangan itu. Sekurang-kurangnya saya boleh menjelaskan pada ibu saya kedudukan dan prosedur2 yang bersangkutan. Apa yang saya buat ialah, saya print segala artikel  (yang saya rasa bersangkutan tentang PBT ) dan saya suruh ibu saya membaca setiap artikel itu.

Kampung ibu saya di Sg.Kapal, Pengerang. Bagi saya dan ibu saya memang tidak menetap di situ, tetapi kami kerap pulang kerana masih ada ibu saudara yg menetap di sana atas tanah pusaka. Dan rumah itu menjadi pusat pertemuan sanak saudara bila menjelang musim buah-buahan, cuti-cuti umum yg panjang kerana   kebanyakan  kami di bandar JB juga Singapura, akan membawa anak-anak kami  ke sana  dan berehat  sambil  makan buah di bawah pokok, anak-anak  suka  mengejar belalang, mengejar ayam, bermain basikal keliling kampung, panjat pokok. Anak-anak saya kenal  biji getah (dah tak banyak pokok pun)  dan seronok mengosok biji getah di simen dah tu merasa perit panas nya. kami seronok dapat makan ayam kampung yg sebenar, bukan ayam kampung yang di bela.

Jadi bila kampung itu tidak akan wujud lagi  dan  "sentimental value" nya juga akan luput , saya dan warga kota sedih. Tetapi  kami heran ada sebilangan orang kampung yg suka dan seronok  dengan pampasan yg ditawarkan. (kami anggap ianya rendah) Agaknya memang lumrah , sebab  orang bandar akan seronok di kampung,  orang kampung nak rasa seronok hidup di bandar. Mereka tidak lagi merasa bagaimana  nanti, kelapa parut, serai, pandan, cili, pucuk ubi , semuanya  nak kena pergi pasar/spermarket.

Oleh itu, ibu saya merasa tidak harus  menerima bulat-bulat dengan harga yang ditawarkan oleh kerajaan. Pun sebenarnya  tidak pasti  berapakah harga sebenar  yang di tawarkan.

Walaupun di tawarkan dengan tanah 2 ekar  (pun  tak pasti di mana, tidak diumumkan pun lokasinya)  Kemudian ditawarkan dengan perumahan rumah baru. Alahai ..... keadaan tanah dan rumah contoh yg ada itu,  kami (orang bandar) rasa  sedih betul.

En. Baha akan ke Kota Tinggi  kan  nanti pada December. Jika ada kesempatan  terus la berjalan  ke daerah Pengerang. Mula masuk dari Pekan Sungai Rengit  dan terus  berjalan  hingga  ke penghabisan  jalan  di hujung tanjung  yang ada  Pejabat Imigeresin Tanjung Pengelih. Kampung saya Sungai Kapal. Kalau air laut kering, boleh naik basikal  ke Changi, S'pore. Sebab itu banyak masyarakat kampung itu berkahwin dgn orang S'pore. Sebabnya, kata ibu saya, zaman tiada jalan raya yg sempurna, kalau nak merasa makan daging atau persiapan hari raya, mereka akan ke Singapura, kerana dekat berbanding Kota Tinggi. Kehidupan kecil saya di sana, membesar dibandar  tapi  sangat  suka  dengan  panorama dan keindahan  kampung saya. Semuanya amat nostalgia. Apapun,  saya  akur  bahawa  tiada yang kekal di dunia ini, dah masuk ke kubur pun kena pindah juga.....bagi orang Islam S'pura dah biasa .....

dan ada lagu pun  - dunia ini hanya pinjam-pinjaman.......

Terima kasih En. Baha meluang kan masa membaca coretan saya. saya kan terus mengikuti laman blog En. Baha.

Selasa, 20 November 2012

Pasca Seminar Sehari Pengambilan Tanah


Semalan 19 November 2012 telahpun berlangsung dengan jayanya Seminar Sehari Pengambilan Tanah anjuran Kelab INSTUN di Hotel Grand Bluewave Shah Alam. Dianggarkan lebih 150 orang peserta menyertainya kebanyakannya dari Agensi-Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan sebilangan kecil peserta dari pentadbiran tanah. Kejayaan juga saya ukur dari segi banyaknya persoalan yang ditimbulkan oleh peserta seminar.

SOALAN YANG DIKEMUKAN TIDAK DAPAT DIKONGSI BERSAMA PENGUNJUNG BLOG KERANA KESEMUA SOALAN YANG DIKEMUKAKAN, TELAHPUN DI TANYA SEBELUM INI DAN JAWAPANNYA TELAHPUN DIBERIKAN DIDALAM BLOG SAYA

Pada pendapat saya tiada 'soalan mencabar' yang dikemukakan pada hari tersebut. Ini berkemungkinan disebabkan kurangnya penyertaan pegawai-pegawai dari pentadbiran tanah yang melaksanakan proses pengambilan tanah dinegeri/daerah masing-masing

Khamis, 8 November 2012

Kunjungan ke Pengerang


Saya bersama-sama dengan 14 orang pegawai Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah INSTUN akan mengunjungi Pejabat Daerah dan Tanah Kota Tinggi mulai 17 hingga 19 Disember 2012 yang akan datang untuk tujuan kajian prosedur pengambilan tanah tumpuan khusus adalah siasatan pengambilan tanah projek RAPID Pengerang.

Oleh yang demikian jika ada yang berhajat untuk berjumpa saya bertanyakan masalah pengambilan bolehlah berbuat demikian. Insya Allah kami akan menginap di PELANGI BALAU RESORT