Isnin, 26 November 2012

Fungsi Borang J Akta Pengambilan Tanah


Hari ini saya lanjutkan perbincangan berkaitan dengan Borang J Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memperjelaskan lagi isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Borang J ada kaitan secara langsung dengan pengambilan tanah melalui Perakuan Kedesakan/Certificate of Urgency (Borang I) atau lebih dikenali dengan sebutan 'pengambilan segera' mengikut seksyen 19.

Ini dijelaskan di dalam seksyen 20 iaitu, jika terdapat 'bangunan' di atas mana-mana tanah yang diambil melalui 'pengambilan segera' , maka apabila Pentadbir Tanah menyerahkan Borang K kepada penduduk, tuan tanah dan pihak berkuasa pendaftaran mengikut seksyen 22 supaya tuan tanah mengosongkan tanah/kawasan yang tiada bangunan (tidak termasuk jalan ke bangunan tersebut), Pentadbir Tanah hendahlah juga menyampaikan notis Borang J kepada:

1. Penduduk bangunan supaya mengosongkan bangunan tersebut dalam suatu tempoh tidak lebih daripada 60 hari dari tarikh notis Borang J;

2. Tuanpunya bangunan dan menawarkan pampasan bangunan tersebut. Jika bangunan kekal, nilai semasa bangunan tersebut dan jika bangunan sementara yang boleh dipindahkan, nilai bangunan ketika itu atau kos memindah dan mendirikan semula.

Berdasarkan seksyen 21 pula, jika tuanpunya bangunan menerima tawaran tersebut, Pentadbir Tanah boleh ambil milik bangunan tersebut selepas tamat tempoh notis Borang J. Jika pemilik bangunan enggan menerima tawaran, jika bangunan kekal tidak boleh diambil milik sehingga tuan punya bangunan telah mendapat nilaian bangunan dari penilai yang bertauliah dan jika bangunan sementara sehingga tuanpunya bangunan selesai memindah dan mendirikan semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan