Isnin, 22 Ogos 2011

Soal Jawab Pengambilan Tanah Siri 2

1.         Soalan dari Pejabat Tanah Mersing
50 lot telah diwartakan di bawah seksyen 8 APT permohonan oleh ICU JPM untuk Iskandar Malaysia. Endorsan di dalam Dokumen Hakmilik Daftar Komputer (DHDK) telah di buat tetapi notis Borang E belum dikeluarkan kepada sesiapa. Pemohon meminta supaya hanya 3 daripada lot-lot tersebut diproses sehingga selesai, sementara baki lot ditangguhkan kerana peruntukan tiada. Apa tindakan yang perlu dibuat?
Jawapan:
Proses pengambilan tanah untuk 47 lot yang telah diwartakan dan telah diendors dalam dokumen hakmilik boleh ditangguhkan  dalam tempoh DUA tahun sahaja dari tarikh warta seksyen 8. Jika perintah tidak dibuat dalam tempoh DUA tahun tersebut, warta seksyen 8 akan luput dan jika pemohon (ICU) ingin meneruskan pengambilan, pewartaan semula mesti dibuat. Tetapi jika ICU tidak ingin meneruskan pengambilan, tindakan mengikut seksyen 8(5) mesti dibuat, iaitu dengan mengadakan siasatan untuk membayar gantirugi (jika ada)

2.         Soalan dari Peg. Penilai JPPH Taiping
Satu lot terlibat dengan pengambilan untuk pembinaan masjid, tuan punya  tanah berbangsa Cina. Di atas tanah tersebut terdapat sebuah buah rumah yang dipunyai oleh orang Melayu yang tinggal di atasnya tanpa pengetahuan dan kebenaran. Boleh atau tidak rumah tersebut dibayar pampasan
Jawapan:
Dalam kes Leong Teik Foo & ors v PTG Kedah [1995] 1 CLJ 376
Mahkamah memutuskan ‘accupier in the said section {11(1)(a)} means an accupier who has in interest in land’. Oleh yang demikian dalam hal di atas, tuan punya rumah tersebut tidak sepatutnya dibayar pampasan kerana tiada apa-apa kaitan dengan tanah yang terlibat.

3.         Soalan dari Pejabat Tanah Kemaman
Luas tanah sebenar  0.1 ha. Luas diambil untuk jalan dan dibayar pampasan ialah 0.002 ha (keluasan yang sepatutnya). Keluasan pengambilan seperti diwartakan di bawah seksyen 8 ialah 0.09 ha iaitu sama dengan keluasan pengambilan dalam Borang K. Pentadbir Tanah tidak dapat menyediakan Permohonan Ukur kerana perbezaan tersebut, tambahan pula tuan tanah mempertikaikan keluasan pengambilan sebenarnya. Apa tindakan perlu dibuat?
Jawapan:
Mengikut seksyen 22, apabila Borang K diserahkan, ambil milik telah berlaku dan apabila endorsan telah dibuat mengikut seksyen 23, seksyen 66 menyatakan tanah tersebut menjadi ‘tanah kerajaan’ dan mengikut seksyen 35(1) penarikan tidak boleh dibuat. Oleh yang demikian, Pentadbir Tanah hendaklah mengesyorkan kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan supaya mengukur mengikut keluasan pengambilan dalam Borang K dan tindakan seterusnya Pentadbir Tanah hendaklah membayar pampasan tambahan kerana pengambilan yang lebih. Jika tuan punya tanah berkehendakkan tanah yang diambil lebih tetapi projek tidak dijalankan, permohonan boleh dibuat setelah semuanya selesai.

4.         Soalan dari En. Mohd Zukri bin Sidek – Pengarah JKPTG Terengganu
Tuan tanah asal, si A telah meninggal dan diwakili oleh anaknya (si B). Semasa siasatan si B tidak pasti sama ada tanah tersebut masih nama bapanya atau sudah dijual dan berdasarkan carian rasmi sebelum ini, tanah tersebut masih kepunyaan si A. Setelah selesai siasatan, perintah dan Borang H dikeluarkan, datang si C mendakwa tanah tersebut telah dijual kepadanya. Semakan semula hakmilik telah dilakukan dan didapati C adalah pemilik baru dan didaftarkan sebelum siasatan dijalankan. Adakah siasatan semula perlu di adakan? Untuk makluman, cek pampas an telahpun diterima atas nama Amanah Raya Berhad,
Jawapan:
Penyelesaian pertama:
Pada pandangan saya pihak tuan mesti berbincang dengan tauan tanah yang baru (si C) dan syorkan kepadanya supaya menerima bayaran pampasan tersebut. Jika bayaran belum didepositkan ke Amanah Raya, minta agensi pemohon keluarkan cek baru atas nama C. Cara ini tidak mengikut undang-undang tetapi dapat membantu JKPTG kerana siasatan dan perintah adalah sah.

Penyelesaian kedua:
Jika Borang K belum dikeluarkan dan didaftarkan, penarikan boleh dibuat dan warta semula kemudian ambil tindakan seterusnya tetapi mesti dengan persetujuanagensi kerana nilai tanah akan berubah.

Penyelesaian ketiga:
Minta tuan tanah baru (si C) buat bantahan ke Mahkamah kerana tidak diberi Borang E. Langkah ini akan menjerat JKPTG kerana kecuaian kita dan mungkin Mahkamah akan salahkan JKPTG.
Sebagai tambahan, sebelum siasatan dijalankan, Pentadbir Tanah hendaklah (menjadi amalan) membuat semakan semula hakmilik tanah yang terlibat kerana mungkin telah berlaku urusniaga semasa proses pengambilan tanah sedang berjalan dan UNDANG-UNDANG TIDAK MENGHALANG SEGALA URUSNIAGA DIJALANKAN WALAUPUN TANAH TELAH DIWARTAKAN PENGAMBILAN SAMA ADA MENGIKUT SEKSYEN 4 ATAU PUN SEKSYEN 8

5.         Soalan dari En. Mohd Zukri bin Sidek – Pengarah JKPTG Terengganu
A telah menerima pampasan tanah dan rumah yang terlibat dengan pengambilan. Datang B menyatakan rumah tersebut adalah miliknya berdasarkan resit cukai pintu yang dibayar. Kedua-dua pihak dipanggil dan A mengaku B adalah pemilik rumah tersebut, A hanya pemilik tanah. Pampasan terdahulu yang diberikan adalah berdasarkan akuan bersumpah yang dibuat oleh A semasa siasatan dan tiada penghuni rumah tersebut semasa lawatan tapak dibuat. Walau bagaimanapun A enggan membayar sebahagian pampasan tersebut kepada B sebagai pemilik rumah. Apakah jalan penyelesaiannya?
Jawapan:
Pihak tuan boleh mengambil tindakan mengikut seksyen 31 Akta Pengambilan Tanah 1960 iaitu dengan cara memanggil semula A dan       serahkan surat kepada A meminta supaya menyerahkan kembali kepada Pentadbir Tanah bayaran pampasan untuk rumah dalam tempoh 3 bulan atau satu tempoh yang lebih lama. Jika A enggan pihak tuan hendaklah memberitahu A bahawa pihak tuan boleh mengambil tindakan berikut:
a)         Mengambil tindakan Mahkamah terhadap A kerana melaksanakan akuan sumpah palsu
b)         Meminta supaya Pentadbir Tanah memasukkan kaveat Pendaftar ke atas tanah A

6.         Soalan dari En.Hariri bin Ahmad – Pen. Pentadbir Tanah Pejabat Tanah Ipoh
Satu lot terlibat dengan pengambilan, siasatan dan perintah lisan (telah dicatat dalam nota siasatan) telah dibuat, tetapi Borang G dan Borang H belum disedia dan diserahkan. Apakah yang perlu dilakukan oleh Pentadbir Tanah untuk   mengelak supaya tanah yang telah diambil itu (keseluruhan atau sebahagian) dipindahmilik kepada orang lain kerana ‘pindahmilik boleh dilaksanakan dalam tempoh 1 HARI’ dan pemilik tanah yang baru mungkin akan menyalahkan Pentadbir Tanah kerana tidak menyerahkan Borang E kepadanya (PEMILIK BARU)
Jawapan:
Untuk mengelak perkara tersebut daripada berlaku (pindakmilik dibuat dengan niat tidak baik) dan kesalahan diletakkan kepada pentadbiran tanah, PENTADBIR TANAH MESTI MELETAKKAN TARIKH dan  MASA YANG SAMA APABILA MENCATAT PERINTAH DI DALAM NOTA SIASATAN, SEMASA MENYEDIAKAN BORANG G DAN BORANG H. Dengan itu, jika tarikh  pindakmilik TERKEMUDIAN DARI TARIKH PERINTAH DALAM NOTA SIASATAN, BORANG G DAN BORANG H, maka Pentadbir Tanah tidak dapat dipersalahkan tetapi jika tarikh pindakmilik terdahulu dari tarikh tersebut, maka kesalahan akan diletakkan kepada Pentadbir Tanah.

7.        Soalan dari Cik Date Malina A.Kasim – Pejabat Tanah Segamat
i.         Boleh atau tidak Borang K dikeluarkan sebelum bayaran pampasan dibuat oleh agensi yang memohon
ii.        Sekiranya Borang K tidak diendors di dalam dokumen hakmilik tetapi pengambilan telahpun dibuat dan projek telahpun dilaksanakan, macam mana caranya untuk saya lakukan sekirannya Borang K telah hilang di dalam simpanan, bolehkah dikeluarkan Borang K yang baru dan ditandatangan oleh Pegawai baru, Permohonan Ukur pun masih belum dibuat kerana masalah tersebut.
Jawapan:
i.         Mengikut seksyen 18(a) Akta pengambilan Tanah, ambil milik (pengeluran Borang K) boleh dibuat pada masa notis Borang H diserah kepada orang    berkepentingan/tuan tanah atau bila-bila masa selepas itu. Ini bermaksud sebelum bayaran pampasan dibuat oleh agensi pemohon kepada orang berkepentingan, Borang K boleh dikeluarkan dan diserahkan dengan syarat, CAJ BAYARAN LEWAT 8% MESTI DIKIRA DAN DIBAYAR DARI TARIKH PENYERAHAN BORANG K HINGGA BAYARAN PAMPASAN DIBAYAR/DIBUAT, ini bertepatan dengan kehendak seksyen 32(1) dan 32(1C) Akta Pengambilan Tanah 1960.
ii.        Pastikan terlebih dahulu Borang K benar-benar belum dikeluarkan. Jika belum, keluarkan Borang K, yang ditandatangani oleh Pentadbir Tanah sekarang dan tarikhnya mengikut tarikh tandatangan (sekarang)  tetapi jika telah dikeluarkan dan telah hilang dalam simpanan, salinan Borang K boleh dikeluarkan dan hanya letakkan huruf TT pada ruangan tandatangan Pentadbir Tanah. Tarikh tanda tangan mengikut tarikh terdahulu.

8.        Soalan dari Norihah Abdullah – Pen. Pengarah JKPTG Terengganu
Saya ingin memohon pandangan tuan berkenaan jenis kepentingan bagi FELCRA Berhad, agensi pembangun tanah bagi tanah yang diwarta di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)/(GSA).
Masalah saya adalah, apakah jenis kepentingan FELCRA yang perlu dicatat dalam Borang G dan Borang H apabila pengambilan melibatkan tanah GSA yang masih     belum diberimilik dan perlu dibayar kepada FELCRA Berhad.
 Adakah boleh saya letakkan FELCRA sebagai tuan tanah?
Jawapan:
Jenis kepentingan FELCRA mungkin:
i.         TANAH, jika tanah telah didaftarkan atas nama FELCRA, jika tanah masih berstatus tanah kerajaan, nilaian tanah tidak akan diambil kira atau dibayar
ii.        KOS MEMBANGUNKAN TANAH seperti membersih, anak benih, menanam, membaja, meracun dsb, sama ada telah mempunyai hakmilik atau berstatus tanah kerajaan (mesti dibayar)
iii.       BANGUNAN, jika ada sama ada rumah peserta atau bangunan lain mengikut s 2 Akta Pengambilan Tanah

9.        Soalan dari Pejabat Tanah Teluk Intan
Siasatan dan perintah Borang G telahpun dibuat, Borang H belum dikeluar dan diserahkan. Semasa siasatan, pemilik tanah (Sime Darby) tidak menyatakan pendirian mereka sama ada bersetuju atau tidak dengan perintah yang telah dibuat. Bolehkah pihak Sime Darby menyatakan pendirian mereka selepas menerima Borang H. Lanjutan daripada kes ini pemohon ingin memasuki tanah tersebut dengan segera untuk menjalankan kerja-kerja. Bilakah masa paling awal pemohon boleh memasuki tanah tersebut kerana proses pengambilan TIDAK melalui Perakuan Kedesakan (BORANG I)
Jawapan:
i.         Pihak tuan tanah (Sime Darby) tidak boleh dipaksa menyatakan pendirian mereka mengenai tawaran award yang dibuat oleh Pentadbir Tanah semasa siasatan. Oleh sebab itulah mengikut seksyen 16(1) Akta Pengambilan Tanah 1960, selepas siasatan dan perintah Pentadbir Tanah mesti menyedia dan menyerahkan notis Borang H (tawaran pampasan) kepada setiap orang berkepentingan (tuan tanah). Setelah menerima Borang H, tuan punya tanah mempunyai pilihan untuk MEMILIH SALAH SATU daripada yang berikut:
a.        saya menerima tawaran itu* dan ……….
b.        saya menerima tawaran itu dengan bantahan*
c.        saya tidak menerima tawaran itu*

ii.        Jawapan untuk soalan bilakah masa paling awal pemohon boleh    memasuki tanah  tersebut adalah sama dengan jawapan di soalan 7 (i) di atas




Tiada ulasan:

Catat Ulasan