Selasa, 29 Mei 2012

Soalan dan Pandangan Pengambilan Tanah

Sebelum ke Johor, hari ini saya muatkan soalan berkaitan Akta Pengambilan Tanah yang diterima dan pandangan yang diberikan. Semoga menjadi panduan kepada semua pihak.


Soalan daripada Pejabat Tanah Batu Pahat


a)    Permohonan PBT diterima pada 16.10.2008

b)    Warta seksyen 8 pada 13.5.2010 dan tamat akan pada 12.5.2012.

c)   Tanah tersebut terlibat dengan proses SBKS (Serah Balik Kurnia Semula) pada 18.6.2008. Ianya telah diluluskan oleh mesyuarat kerajaan negeri pada 29.12.2009 bagi tujuan perumahan (12 lot rumah berkembar) .

d)  Borang E telah dikeluarkan dan siasatan telah dijalankan pada   25.11.2010. ada perintah lisan dikeluarkan ketika  bicara tetapi tiada nota siasatan  dibuat, oleh yang demikian borang G dan H tidak dikeluarkan sehingga kini.

e)   Pegawai yang menjalankan bicara tersebut telah bertukar dan kini diambil alih oleh pegawai baru.

f)    Status kini bagi permohonan SBKS adalah,
     - bayaran premium telah dijelaskan dan
     - sedang menunggu dokumen-dokumen sokongan dari jurukur berlesen untuk          pengeluaran hakmilik baru di atas 12 lot tersebut.

(Bentuk soalan dan ayat adalah daripada penanya sendiri)

Pandangan/Jawapan
Pentadbir Tanah kini hendaklah memanggil semula semua orang berkepentingan (melalui surat biasa jabatan) untuk mengadakan siasatan (tempoh seksyen 8 masih berkuatkuasa), kerana siasatan pertama tidak mempunyai nota siasatan dan perintah. Perintah secara lisan tidak boleh digunakan kerana tiada bukti.
Semasa siasatan, lihat semula pelan SBKS yang diluluskan. Jika kawasan pengambilan termasuk kawasan yang diluluskan untuk perumahan dalam pelan SBKS, Pentadbir Tanah hendaklah membayar pampasan kawasan terlibat kerana premium tambahan telahpun dijelaskan, kecualilah kawasan yang terlibat dengan pengambilan adalah kawasan yang diluluskan untuk jalan di dalam pelan SBKS yang diluluskan.
* SBKS - Serah Balik Kurnia Semua

Isnin, 28 Mei 2012

Bercuti

Hari ini Isnin 28 Mei saya bercuti kerana dah lama tidak bercuti (cuti tahun ni masih banyak lagi) dan masih berada di Taman Meru Ipoh. Pagi tadi belanja keluarga, menantu, cucu ,ipar makan nasi lemak Along yang terkenal di IPOH (Ipoh Garden) dengan duit APC. Lepas tu melawat Mydin dekat rumah yang dikatakan antara yang 'terbesar' di Malaysia. Petang ni akan balek ke INSTUN dan pagi esok meneruskan perjalanan ke Hotel New York, Johor Bahru (ceramah Kursus Pengambilan Tanah untuk Peg dan Kakitangan Pentadbiran Tanah Johor).

Esok hingga jumaat kita akan ikuti pula perjalanan kursus di Johor.

Ahad, 27 Mei 2012

Balek Kampung

Telah lama tak balek kampung (Batu 10, Trong) dan kampung mertua (Pantai Remis, Perak). Hari ini memulakan perjalanan dari rumah sendiri (Taman Meru, Ipoh) melalui lebuhraya utara selatan. Suasana pilihanraya sudah terasa kerana banyak bendera parti (PAS dan BN) berkibar di dalam kawasan DUN Manjoi. Susur keluar Changkat Jering singgah sebentar di Pasar Minggu Changkat Jering (dulu masa sekolah rendah di SK Bendang Siam dan sek men di SM Tengku Menteri, pasar itu dikenali dengan panggilan Pekan Ahad, walaupun beroperasi pada setiap hari Sabtu dan Ahad). Barangan jualan  ketika itu terdiri dari sayuran kampung, buahan tradisional, kueh tradisional, kain ela dan bahan makanan. Pada masa itu dipasar ini terkenal dengan rojak sotong dan pulut panggang (pulut udang), kini telah banyak berubah dari segi barangan jualan tetapi suasana pada hari ini masih meriah .


Papan tanda kampung saya


Pekan Ahad sekarang


lebih kurang satu jam, perjalanan diteruskan. Di Bendang Siam dimana terletak SK Bendang Siam sehingga Batu 10, suasana sama seperti di Manjoi kerana banyak bendera parti yang berkibar (PAS). Kawasan in terletak di kawasan Parlimen Bukit Gantang yang di wakili oleh mantan Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar. Suasana yang sama di kawasan Kuala Trong hingga ke Temerlok (Perak)


Hasil pertukangan besi yang ada

Lagi hasil jualan 'Pekan Ahad'


Papan tanda kampung Mertua

Jumaat, 25 Mei 2012

Ulasan Akhbar

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Sebelum ke Johor minggu hadapan dan ke Kedah minggu berikutnya, saya ingin mengulas sedikit kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda  Parti Gerakan Kedah Saudara Tan Keng Liang di Utusan Malaysia pada hari semalam (24 Mei) dan diulas semula oleh Saudara Badrul Hisham Hashim, Ketua Pemuda UMNO Kedah sepertimana dimuka surat 55 Sinar Harian keluaran 25 Mei 2012 berkaitan dengan 3 projek mega di Kedah. Di sini saya hanya akan mengulas mengenai projek Aman Central sahaja, kerana saya mengikuti kes ini sejak proses pengambilan tanah mengikut Akta Pengambilan Tanah bermula (Saya dengan beberapa orang  pegawai yang lain pernah mengikuti siasatan pengambilan tanah pada bulan Ramadhan yang lalu di Pejabat Tanah Kota Setar).

Pada pandangan saya dalam kes ini YAB Menteri Besar Kedah  berhak untuk tidak   mengulas  kerana penanya (orang yang bertanya) atau pihak yang mengeluarkan isu ini pada pandangan saya tidak memahami perjalanan proses sejak awal ataupun sengaja tidak memahami? proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960. Saya rasa menjadi tanggungjawab saya memberi sedikit jawapan/ulasan.

Untuk makluman, tanah-tanah yang akan dibangunkan Aman Central tersebut pada asalnya adalah tanah milik. Olih kerana projek tersebut terbengkalai begitu lama (tak dapat diselesaikan) maka atas cadangan? YAB Menteri Besar Kedah, tanah tersebut diambil melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh PKNK dengan kerjasama  dengan sebuah syarikat pemaju perumahan, dimana wang untuk membayar pampasan disediakan oleh syarikat berkenaan. Berdasarkan seksyen 3(1)(a)(b)(c) Akta tersebut SEMUA ORANG BOLEH MEMOHON PENGAMBILAN TANAH UNTUK TUJUAN APA SAHAJA.

Berdasarkan Akta tersebut juga, SESIAPA yang membuat permohonan pengambilan dan seterusnya mengeluarkan wang untuk membayar pampasan, TANAH YANG DIAMBIL ITU MENJADI HAK PEMOHON dan logiknya terpulanglah kepada tuanpunya untuk melakukan sesuatu di atas tanah tersebut  berdasarkan seksyen 68A Akta yang sama.

TIDAK TIMBUL PERSOALAN MESTI MELALUI
TENDER TERBUKA

Khamis, 24 Mei 2012

Soalan dan Pandangan Pengambilan Tanah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Telah lama saya tidak mengemaskini blog saya disebabkan kekangan tugas. Alhamdulillah hari ini ada kesempatan bagi saya untuk memaparkan persoalan yang dikemukakan berkaitan dengan pengambilan tanah. Minggu hadapan terpaksa pula ke Johor Bahru memenuhi undangan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Johor menyampaikan ceramah pada kursus Pengambilan Tanah kerana sepertimana yang telah diketahui terdapat Satu Projek Petrokimia Petronas yang melibatkan proses pengambilan tanah.


Masalah Pejabat Tanah Batu Pahat
Apakah tindakan yang perlu dibuat berdasarkan kronologi dibawah:

KRONOLOGI
Pengambilan Melalui Perakuan Kedesakan (BORANG I)

25.11.2009  -     Permohonan pengambilan diterima
29.01.2010  -     Lapuran tanah
03.07.2010  -     Perakuan di hantar ke PTG (Borang C & D)
27.05.2010  -     Terima warta Bil. 3522 bertarikh 13.05.2010
27.05.2010  -     Kemukakan Borang I kepada PTG
09.06.2010  -     Terima lapuran JPPH
30.06.2010  -     Terima Borang I yang telah ditandatangani
20.07.2010  -     Siasatan (Pentadbir Tanah lama) perintah belum dibuat
2011           -     Tunggu Perintah (Pentadbir Tanah yang baru)

Pandangan/Jawapan
Berdasarkan kronologi yang diberikan sepatutnya setelah Borang I diterima dari Pengarah Negeri, PENTADBIR TANAH MESTI MENGELUAR DAN MENYERAHKAN BORANG K (AMBIL MILIK) KEPADA ORANG YANG BERKEPENTINGAN, tetapi tidak berbuat demikian. Olih itu caj bayaran lewat 8% tidak dapat dibuat mulai DARI TARIKH SEPATUTNYA (Tarikh serah Borang K).

Untuk mengatasi masalah ini, Pentadbir Tanah sekarang perlu mengadakan siasatan semula kerana butir siasatan yang terdahulu tidak dapat diputuskan oleh Pentadbir Tanah sekarang (tanpa menyerahkan Borang E yang baru), tambahan pula tempoh 2 tahun dari tarikh warta masih berkuatkuasa (Ini dibolehkan berdasarkan seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah).

Dalam siasatan nanti jika tuan tanah mempertikaikan penyerahan Borang K tidak dibuat menurut seksyen 19 dan 22 dan juga  tidak dibuat pengiraan caj bayaran lewat, Pentadbir Tanah bolehlah depositkan wang pampasan ke Mahkamah supaya proses pengambilan dapat diselesaikan dengan  segera. Biarlah Mahkamah yang akan tentukan kemudiannya.