Ahad, 23 Februari 2014

Proses Pengambilan Tanah Yang Pelik

Pada minggu lalu seorang tuan tanah yang masih muda dan sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana datang berjumpa saya menceritakan proses pengambilan tanah yang melibatkan tanah beliau dan tanah emak beliau untuk mendapat jawapan sama ada mematuhi undang-undang ataupun tidak.

Lot 4011 berkeluasan 0.816 ha tiada hakmilik dan status yang ditulis dalam Borang C adalah tanah kerajaan diwartakan pengambilan seluas 0.522 ha dibawah seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 pada 11/7/2013 (Adakah tanah kerajaan mesti diwartakan?). Pada 21/11/2013, pembetulan warta telah dibuat dan lot 4011 masih terdapat di dalam warta pembetulan tetapi status yang tertulis masih sepertimana dalam warta yang asal (jika tiada pembetulan perlukah dimasukkan kedalam senarai pembetulan?). Sepatutnya  tanah yang mempunyai no lot sementara no/jenis hakmilik dan lain-lain tidak diperolehi, ianya boleh dimasukkan ke dalam Borang C tetapi jangan dinyatakan sebagai tanah kerajaan hanya diletakkan perkataan 'tidak dapat dikesan' (Warta tersebut adalah sah berdasarkan seksyen 2(2) Akta Pengambilan Tanah 1960). Selepas itu jika butir-butir pemilikan dapat ditemui, pembetulan warta boleh dibuat.

Sebenarnya lot 4011 telah diluluskan kepada pengadu dan semua bayaran yang terkandung di dalam Borang 5A Kanun Tanah Negara dijelaskan sebelum tanah tersebut diwartakan pengambilan tetapi malangnya hakmilik belum dikeluarkan lagi.

Siasatan pengambilan tanah di adakan pada 30/10/2013. Ibu pengadu hadir walaupun tidak memperolehi Borang E (Perlukah beri Borang E kerana tanah kerajaan?) kerana mendapat tahu lot tersebut dan lot yang dipunyai oleh ibu pengadu terlibat dengan pengambilan. Ibu beliau tidak dibenarkan mengikuti siasatan kerana dimaklumkan nama pengadu dan ibunya tiada dalam senarai. 

Selepas tarikh itu, pengadu berhubung dengan pejabat tanah bertanyakan hal tersebut. Setelah beberapa kali perbincangan, pengadu dijemput hadir ke pejabat tanah pada 20/2/2014 untuk menghadiri perbicaraan/perbincangan (mengikut surat yang diterima). Pada hari tersebut pengadu memohon supaya perbicaraan ditangguhkan pada suatu tarikh yang lain kerana pengadu ingin mendapatkan khidmat penilai swasta. Jawapan yang diberikan oleh pegawai pejabat tanah ialah penangguhan tidak boleh dibuat kerana perintah secara ex parte telah dibuat (bila perintah dibuat? dan adakah perintah tersebut sah?) dan tidak lagi boleh diubah. Seterusnya Pentadbir Tanah yang melaksanakan perintah secara ex-parte itu telah memberikan pampasan  kira-kira RM90,000.00 (persoalannya bolehkah dibuat perintah secara ex parte dan pampasan ditawarkan sedangkan tanah tersebut tanah kerajaan?). Pengadu juga menyatakan pada hari yang sama pengadu telah diberikan hakmilik baru lot 4011 yang didaftarkan pada 10/2/2014. (Persoalan timbul lot 4011 yang baru dikeluarkan hakmilik tidak di wartakan pengambilan dibawah seksyen 8. Bagaimana endorsan akan dibuat nanti kerana tarikh warta jika hendak diambil kira, lebih dahulu dari tarikh hakmilik di daftarkan)

Persoalan seterusnya bagaimana kedudukan hakmilik yang baru dikeluarkan itu, sama ada pendaftarannya sah ataupun tidak?

 
 
PADA PANDANGAN SAYA JIKA SEKIRANYA TUANPUNYA TANAH MENGAMBIL TINDAKAN MAHKAMAH KEMUNGKINAN BESAR SEMUA PROSES PENGAMBILAN DAN PROSES PENGELUARAN HAKMILIK AKAN DIBATALKAN OLEH MAHKAMAH


RENUNG-RENUNGKAN 

Selasa, 11 Februari 2014

Soalan Kemusykilan


Assalamualaikum En. Baharuddin,

Setelah meniliti kandungan blog Tinta Bayu, saya berharap En Baharuddin dapat meluangkan sedikit masa dan pengetahuan dalam pembayaran pampasan tanah geran bercantum.

Ibu saya telah membeli sebidang tanah rizab Melayu dengan geran bercantum di Melaka pada awal tahun 1980an. Dalam 30 tahun ini, telah beberapa kali tanah ini di ambil oleh kerajaan untuk pembesaran jalan.

Geran tanah tersebut dibahagikan kepada 6 bahagian di mana ibu saya mempunyai satu bahagian. Mengikut geran, tanah tersebut agak panjang dan bahagian tanah ibu saya adalah bersempadan dengan jalanraya. 

Setiap kali pengambilan jalan, tanah yang dikenal pasti sebagai hak ibu saya (berpagar) akan diambil untuk tujuan pembesaran jalan dan tanah milik 5 pemilik geran yang lain tidak terlibat. Akan tetapi, pampasan akan dibayar sama rata oleh semua pemilik geran.

Dari segi logiknya, pampasan sepatutnya di bayar kepada pemilik yang kehilangan tanah. Atau selepas setiap pengambilan tanah, baki tanah akan dibahagi semula mengikut bahagian yang ada.

Saya mengharapkan jasa baik En Baharuddin untuk memberi sedikit penjelasan mengenai kes-kes sebegini. Baru-baru ini, kami telah menerima berita yang hampir 50% tanah akan diambil oleh kerajaan untuk projek pembesaran jalan. Akan tetapi, pampasan akan diberi kepada semua pihak walaupun pengambilan tanah tersebut tidak melibatkan bahagian mereka.

Terima kasih.

Yang Benar,

Wazir


Pandangan/Jawapan

Alaikumsalam dan terima kasih kerana mengunjungi blog saya

Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh pihak tuan, semua tuan tanah yang memiliki tanah tersebut dikenali sebagai ‘KEPUNYAAN BERSAMA’ yang tuan nyatakan sebagai 'geran bercantum' dan ianya tertakluk kepada seksyen 342 dan 343 KANUN TANAH NEGARA. Berdasarkan seksyen 343(1)(a) menyatakan ‘bahagian-bahagian mereka didalamnya hendaklah dianggap sebagai sama melainkan nisbah-nisbah yang berlainan dinyatakan dalam memorial pendaftaran itu’

INI BERMAKNA SEMUA BAHAGIAN TANAH TERSEBUT DIPUNYAI BERSAMA OLEH SEMUA NAMA-NAMA YANG ADA DIDALAM HAKMILIK (GERAN) dan setiap orang pemilik tidak boleh menyatakan sesuatu bahagian yang dipagar (sebagai contoh) adalah bahagiannya (seperti yang tuan nyatakan bahagian ibu tuan adalah ditepi jalan)

Ini yang berlaku iaitu tuantanah telah bahagikan kepunyaan masing-masing DI ATAS TANAH. Pembahagian ini TIDAK SAH berdasarkan seksyen di atas. Untuk mengesahkannya SEMUA TUANPUNYA TANAH MESTI MEMOHON UNTUK MEMECAH BAHAGIAN TANAH TERSEBUT.

Berdasarkan kenyataan di atas, MEMANG BENAR apabila tanah itu terlibat dengan pengambilan SEMUA PEMILIK TANAH AKAN DIBAYAR PAMPASAN DAN JUMLAHNYA BERDASARKAN SYER/BAHAGIAN MASING-MASING DAN SELEPAS SELESAI PENGAMBILAN BAKI TANAH MESTI DIBAHAGI SEMULA KEPADA SEMUA PEMILIK ASAL BERDASARKAN SYER/BAHAGIAN YANG SEDIA ADA