SIRI KE 39
ANTARA KEPENTINGAN INDIVIDU DAN KEPENTINGAN AWAM DALAM
PENGAMBILAN TANAH
(BAHAGIAN PERTAMA)
1.
ISU
Semua projek pembangunan dan prasarana memerlukan tanah. Tanpa tanah
sudahtentu pembangunan tidak dapat dijalankan. Rakyat juga memerlukan tanah untuk
kehidupan kerana tanah adalah segala-galanya. Satu hakikat yang perlu diterima
ialah kuantiti tanah tidak bertambah dan penawarannya terbatas, sedangkan
permintaan meningkat dan bertambah. Justeru, tanah menjadi rebutan dan wujud
satu persaingan yang hebat bagi mendapatkannya malah keadaan sekarang menjadi
semakin kritikal. Senario di atas menggambarkan dua keadaan yang berbeza.
Rakyat memerlukan tanah untuk meneruskan kehidupan dan kerajaan atau pemaju
berkehendakkan tanah untuk tapak projek. Dalam situasi ini wujud konflik antara
rakyat dengan kerajaan atau orang ramai dengan pemaju. Percubaan untuk
menyelesaikan konflik ini melalui kaedah permintaan dan tawaran kadangkala
menemui kegagalan. Ini kerana membuat urusniaga dengan tuan tanah terutama jual
beli yang berasaskan prinsip willing seller and willing buyer adalah
mempunyai karenah yang tersendiri. Banyak masalah dan halangan yang mengganggu
proses penawaran tanah untuk pembangunan melalui kaedah ini. Antaranya adalah
halangan perundangan, halangan pemilikan dan sikap serta gelagat tuan tanah. Soal
personaliti dan gelagat agen boleh mempengaruhi kelancaran proses jual beli.
Keadaan
sebegini tidak harus dibiarkan kerana memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat
dan pembangunan negara. Pertembungan antara kepentingan individu dengan
kepentingan awam boleh diselesaikan - melalui dua pepatah Latin iaitu: (i) salus
populi suprema est le. Pepatah ini diterjemahkan sebagai kebajikan
orang ramai adalah didahulukan dan lebih utama; dan (ii) necessitas publica
major est quam private kepentingan umum lebih penting daripada kepentingan
individu. Mengikut kedua-dua prinsip ini, kepentingan awam lebih penting
daripada kepentingan peribadi. Prinsip ini diperkenalkan untuk mengimbangan
antara hak individu dengan hak orang ramai.
Dalam keadaan semulajadi manusia sentiasa tolong menolong dan saling
membantu antara satu sama lain, tetapi kerana pengaruh persekitaran, manusia
menjadi mementingkan diri sendiri, tidak mahu mendengar atau tunduk kepada
tuntutan orang lain serta menjurus kepada sifat menjaga kepentingan sendiri.
Keadaan ini menyebabkan kehidupan manusia menjadi sukar dan rumit. Bagi
mengatasi masalah ini, manusia tidak mempunyai pilihan selain mengadakan satu
perjanjian sosial antara satu sama lain dengan melantik pihak ketiga. Pihak
ketiga ini diberi sepenuh kepercayaan dan kuasa untuk mengendalikan keperluan
yang dianggap keperluan bersama atau kepentingan awam. Teori ini diutarakan
oleh Thomas Hobbers (1588-1679) melalui bukunya Leviathan yang diterbitkan
pada tahun 1651.
Teori Thomas Hobbes ini diperkemaskan oleh John Locke (1632-1704).
Melalui bukunya Two Treatises of Government yang diterbitkan pada tahun
1690, Locke menerangkan bahawa dalam keadaan semula jadi manusia memang
sentiasa didorong untuk berbaik dengan manusia lain. Dalam masa yang sama
manusia juga diberi hak-hak tertentu, iaitu hak menjaga nyawanya, hak
kebebasannya dan hak memilik harta benda. Namun, hak kebebasan boleh
disalahgunakan oleh manusia dimana seseorang individu enggan berkongsi dengan
individu lain. Locke juga menerangkan bahawa pertambahan jumlah penduduk
menjadikan barang-barang dan perkhidmatan tertentu semakin terhad serta
penciptaan wang pula mendorong manusia menyalahgunakan kebebasan memilik harta.
Mereka yang mempunyai wang berlebihan dan yang ingin mengumpul harta tentu akan
bertindak untuk mengumpul lebih banyak harta daripada individu lain. Manusia
mula mementingkan diri sendiri dan mempunyai sifat-sifat ingin menjaga
kepentingan peribadi. Kehidupan manusia mulai gelisah, tidak tenteram dan
menjadi sukar. Memandangkan kepada hakikat ini, Locke berpendapat bahawa
manusia tiada pilihan selain mengadakan satu perjanjian anatara satu sama lain
atas prinsip kepentingan bersama atau kepentingan awam.
Perkara
sama dinyatakan oleh Jean Jacques Rouseau yang mengemukakan teori kepentingan
awam. Melalui bukunya The Social Contract, beliau menyatakan bahawa
dalam keadaan semula jadi manusia menikmati kesamaan hak dan mempunyai sifat
peribadi yang baik serta memuaskan. Bagaimana pun, pengenalan hak memiliki
harta perseorangan dan pertambahan penduduk merupakan punca utama berlakunya
persaingan dan kekecohan di kalangaan manusia. Oleh yang demikian, satu corak
kehidupan atau peraturan yang cuba mengelakkan persaingan tersebut dicipta,
iaitu konsep tekad umum atau kepentingan umum. Dalam
memperkenalkan konsep ini, Rousseau cuba membezakan atau mengasingkan
kepentingan bersama dan kepentingan individu. Beliau menegaskan bahawa
kepentingan umum atau awam perlu diutamakan kerana ia merangkumi kepentingan
keseluruhan rakyat. Beliau juga menegaskan bahawa kepentingan awam ini tidak
lain daripada kepentingan peribadi setiap individu di dalam sesebuah
masyarakat. Oleh itu kepentingan awam paling tinggi darjatnya. Kepentingan awam
ini tidak boleh bertentangan dengan individu dalam sesebuah masyarakat.
Kepentingan awam mencerminkan kehendak individu itu sendiri.
Berdasarkan
kepada teori ini, kebajikan, manfaat, keperluan, kegunaan, kehendak atau
kepentingan awam adalah mengatasi kebajikan, manfaat, keperluan, kegunaan,
kehendak atau kepentingan persendirian. Ini kerana kepentingan awam adalah
menjaga matlamat seluruh masyarakat awam daripada menjaga sebahagian daripada
masyarakat awam. Kepentingan awam berada di atas dan kepentingan individu
berada di bawah. Dengan prinsip ini, pemerintah diizinkan untuk campur tangan
dengan menggubal undang-undang bagi mengambil tanah individu secara paksa.
Kuasa ini di Amerika Syarikat dipanggil eminent domain, di United
Kingdom, New Zealand dan Ireland di sebut pembelian paksa, di Australia dan di
Malaysia dinamakan dipanggil pengambilan secara paksa dan di Afrika Selatan di
namakan mengambil alih.
Keizinan yang diberikan oleh undang-undang untuk mengambil tanah individu
secara paksa tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Rasional di sebalik
kebenaran tersebut adalah untuk kepentingan awam. Masalahnya, undang-undang
tidak memberi takrif yang jelas mengenai kepentingan awam. Parlimen enggan
membuat tafsiran dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat interpretasi,
tapi malangnya mahkamah secara berterusan menolak untuk berbuat demikian,
sebaliknya merujuk kepada keputusan orang politik. Kekaburan dan kesamaran
mengenai kepentingan awam tidak berkesudahan dalam pengambilan tanah oleh
kerajaan.
Justeru, istilah dan konsep kepentingan awam dalam pengambilan tanah
telah membuka ruang yang amat luas kepada pelbagai tafsiran. Masih sukar untuk
menentukan sempadan dan batasan maksud dan konsep kepentingan sehingga kini
kerana belum ada alat ukur yang benar-benar terbukti kesahan dan
kebolehpercayaan bagi menilai tahap kepentingan awam yang menjadi tunjang
alasan pengambilan tanah milik individu. Ketiadaan tafsiran yang tepat dan
jelas dan semata-mata bergantung kepada pendapat logik manusia terdedah kepada
kesilapan. Implikasi ketidakobjektifan pentafsiran ini ialah
pertikaian demi pertikaian yang berlarutan.
2.
TAKRIF KEPENTINGAN AWAM
Dari segi bahasa, kepentingan awam terdiri dari dua komponen iaitu
kepentingan dan awam. Mengikut Kamus Dewan (DBP: 2003), kepentingan bererti
keperluan. Perkataan keperluan seerti dengan perkataan maksud, tujuan, hajat
atau kehendak. Manakala perkataan awam pula bererti orang ramai atau orang
banyak atau himpunan individu-individu yang menjadikan suatu kelompok. Oleh itu
kepentingan awam bermaksud keperluan orang ramai atau kehendak orang banyak.
Kamus Dewasa (DBP; 2000) pula mentaktifkan kepentingan sebagai kegunaan.
Kegunaan seerti dengan faedah atau manfaat. Manakala awam ditakrifkan sebagai
umum, masyarakat atau semua. Oleh itu kepentingan awam ialah kegunaan umum,
faedah masyarakat atau manfaat semua.
Ramanathan (2003) menyatakan istilah kepentingan menerangkan kemahuan
manusia yang tidak terhad kecuali disempadankan dengan syarat-syarat tertentu.
manakala awam pula membawa maksud ramai. Oleh itu kepentingan awam ialah
kemahuan orang ramai yang tidak terhad atau tidak terbatas.
Suwono dalam Balispot (2005) mentakrifkan kepentingan awam adalah
kepentingan orang banyak yang untuk mengaksesnya tidak mensyaratkan beban
tertentu. Misalnya kepentingan umum pembinaan jalanraya yang setiap orang boleh
mengunakanya tanpa perlu membayar apa-apa berbanding dengan hotel yang perlu
membayar sewa bilik bila menginapnya.
Memandangkan bahawa adalah sungguh sulit untuk mengadakan takrifan
kepentingan awam yang dipersetujui oleh semua pihak, maka adalah tidak wajar
mewujudkan pentakrifan-pentakrifan yang tegar. Pentakrifan yang tegar akan
membuat konsep kepentingan awam kaku dan gagal merangkumi proses kepentingan
awan yang dinamik. Namun begitu, adalah penting untuk mengemukakan beberapa
taktifan pendapat umum bagi memudahkan kefahamannya. Satu kaedah yang boleh
digunakan bagi menerangkan pentakrifan kepentingan awam ialah dengan menjelaskan
konsep kepentingan dan awam terlebih dahulu secara berasingan dan selepas itu
digabungkan. Ini tentunya suatu cabaran yang hebat. Ini kerana jumlah
kepentingan dan awam adalah mungkin tidak terkira, sama seperti jumlah manusia
yang masing-masing boleh memiliki kepentingan sendiri dan menjadi ahli kepada
pelbagai kumpulan dan dalam pada itu berpindah keahlian kepada pertubuhan lain
dan seterusnya pada bila-bila masa.
2.1
Konsep Kepentingan
Konsep kepentingan atau keperluan adalah bertujuan untuk mengatasi kelemahan.
Sesuatu yang sempurna tidak memerlukan sebarang keperluan. Manusia sebagai
makluk yang serba kekurangan, memerlukan berbagai keperluan. Monette (1977)
mengenalpasti beberapa kategori keperluan, iaitu:
2.1.1 Keperluan Asas Manusia
Maslow (1970) memberi lima tahap keperluan asas yang diperlukan oleh setiap
manusia, iaitu keperluan fisiolagi; keperluan keselamatan; keperluan kasih
sayang dan pemililikan; keperluan kehormatan diri; dan keperluan kewujudan atau
pencapaian diri. Mengikut teori ini, masyarakat akan terlebih dahulu melakukan
sesuatu yang berkaitan dengan keperluan fisiologi iaitu yang berkaitan dengan
makanan, pekerjaan, tempat tinggal, masalah keluarga dan masalah keselamatan
supaya hidup seseorang itu sentiasa terjamin sama ada daripada segi ekonomi,
sosial dan fizikal. Daripada teori ini dapat dirumuskan iaitu manusia akan
sentiasa bergerak ke arah memenuhi keperluan asas selagi dia hidup.
2.1.2 Keperluan Yang Dirasai
Keperluan yang dirasai merupakan keperluan atau hasrat seseorang individu
yang boleh dinyatakan sama ada secara lisan atau bertulis. Untuk mengetahui
keperluan yang dirasai tercapai atau tidak rumit kerana kadangkali individu
segan silu untuk melahirkan hasrat hati. Sesuatu keperluan mungkin dirasai oleh
penerima atau pihak perancang sahaja. Ada kalanya pihak penerima masih belum
merasai sesuatu keperluan tetapi telah dirasai oleh pihak perancang. Jika
terlalu banyak keperluan yang dirasai, keperluan-keperluan itu perlu disusun
mengikut kategori hieraki keperluan sebagaimana yang diperkenalkan oleh Maslow.
2.1.3
Keperluan Normatif
Boyle (1981) menghuraikan bahawa keperluan normatif berlaku apabila
wujudnya jurang perbezaan antara keadaan sekarang dengan piawai yang sepatutnya.
Contohnya, diandaikan garis kemiskinan bagi keluarga di bandar yang mempunyai
saiz keluarga lima orang anak yang bersekolah ialah RM1,500.00 sebulan. Jadi,
jika terdapat keluarga yang menpunyai ciri-ciri yang sama tetapi berpendapatan
kurang RM1,500.00 sebulan, ini bermakna keluarga tersebut perlu menambahkan
pendapatan melalui aktiviti sambilan supaya ia dapat menjamin kehidupan
keluarga yang lebih sempurna dari segi ekonomi; dan
2.1.4
Keperluan Perbandingan
Konsep keperluan perbandingan ini membandingkan ciri-ciri penerima dalam
sesuatu kelompok yang menerima perkhidmatan tertentu dan sesuatu program dengan
kelompok lain yang tidak menerima perkhidmatan. Jurang tentang ciri-ciri yang
terdapat antara dua kelompok ini menyatakan, wujudnya keperluan pada kelompok
yang tidak menerima perkhidmatan. Contohnya, petani yang berada dalam kawasan
program pembangunan pertanian bersepadu atau IADP (Integrated Agriculture
Development Programme) seperti MADA, KADA dapat menghasilkan pengeluaran padi
yang tinggi. Ini berbanding dengan petani yang berada diluar
kawasan KADA dan KADA, hasil pengeluaran rendah. Daripada perbandingan ini
dirumuskan bahawa program pembangunan pertanian bersepadu atau IADP diperlukan
di semua kawasan penanaman padi bagi meningkatkan hasil padi. Justeru, sehingga
kini di Semananjung Malaysia, kerajaan telah menubuhkan 22 kawasan IADP seperti
Barat Laut Selangor, Krian-Sungai Manik, Kemasin-Semerak, Pahang Barat, Negeri
Sembilan Timur, Seberang Perak, Terengganu Utara, Balik Pulau – Seberang Prai
dan lain-lain.
Begitu juga penduduk yang berada dalam kawasan pembangunan in situ (memajukan
tanah-tanah pertanian yang telah sedia ada di kampung-kampung dan tanah yang
telah diduduki) mampu memperoleh pendapatan yang tinggi kerana mereka
mempunyai infrastruktur yang sempurna, penggunaan teknologi-teknologi pertanian
seperti bahan tanaman yang lebih baik, mempelbagaikan tanaman, perkhidmatan
pengembangan dan khidmat nasihat dan sistem pemasaran yang baik. Mereka
sentiasa dibantu oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, RISDA, Jabatan
Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan, FAMA dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Berbanding dengan penduduk yang berada di luar kawasan program in situ
tidak memperoleh pendapatan yang tinggi kerana tiada kemudahan sokongan.
Daripada perbandingan ini, timbul keperluan bahawa program in situ perlu
diperluaskan ke kawasan lain dalam usaha untuk menambah pendapatan
penduduk.
Setiap individu sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan-keperluan
tersebut. Ada keperluan yang dapat dicapai dengan daya usaha sendiri tanpa
bantu orang lain, dan ada keperluan yang dapat dipenuhi hanya dengan bantuan
individu lain. Namun demikian, kemudahan asas yang melibatkan perbelanjaan yang
besar, rumit dan melibatkan pengambilan tanah seperti rangkaian jalanraya,
bekalan letrik, bekalan air bersih, perumahan desa, perkhidmatan pos,
pengangkutan awam, sekolah, pasar dan lain-lain tidak mampu disediakan oleh
individu dan ini memerlukan bantuan kerajaan. Di Malaysia, satu-satunya undang-undang
yang membolehkan Kerajaan berbuat demikian ialah melalui Akta Pengambilan Tanah
1960.
2.2 Konsep Awam
Ramanathan (2003) menyatakan istilah awam membawa maksud ramai. Beliau
tidak pula menerangkan apa yang dimaksudkan dengan ramai. Harper & Row
(1973) menyatakan bahawa “ramai” mempunyai sifat-sifat seperti berikut: (i)
ramai adalah relatif yang memerlukan spesifikasi lebih lanjut. Misalnya berapa
“ramai” yang dikatakan ramai itu. Dalam suatu keadaan, jumlah 1000 orang
dikatakan ramai dan dalam keadaan lain, jumlah 1000 orang dikatakan tidak
ramai; (ii) “ramai” bersifat heterogen. Pembinaan Kompleks Sukan Bukit Jalil
boleh dimanfaatkan oleh kumpulan-kumpulan individu dengan berbagai posisi dalam
masyarakat, orang-orang yang terdiri dari berbagai usia, lelaki dan wanita,
berbagai tahap pendidikan, dari berbagai lokasi geografi dan sebagainya; (iii)
ramai bersifat anonimitas. Individu-individu yang mendapat feadah daripada
sesuatu projek pembangunan kerajaan tidak diketahui. Contohnya orang yang akan
menggunakan KLIA Sepang tidak
diketahui.
Seterusnya, istilah awam disebut juga dengan atau publik. Hamdan (2000)
mentakrifkan awam sebagai publik. Publik adalah orang ramai, orang banyak atau
rakyat. Publik mempunyai bermacam-macam kategori atau jenis atau tahap
perkembangan. Misalnya, ada publik yang bersatu atau terancang atau pun
tersusun atau berpersatuan. Sebaliknya, ada yang bertaburan, yang diberi
tumpuan atau diabaikan, publik yang kecil atau yang besar bilangannya, yang
kuat dan yang lemah, yang penting dan yang tidak penting, yang terdedah dan
yang terpencil, yang bijak dan yang bodoh, yang berpengetahuan dan yang jahil,
dan sebagainya
Dalam usaha untuk memberi definisi dan pentafsiran yang bermakna dan
berfungsi terhadap publik, Simon mengemukakan bahawa ‘publik’ ialah suatu mitos
(‘public’ is a myth). Definisi mitos adalah suatu informasi yang
sebenarnya salah tetapi dianggap benar kerana telah beredar dari generasi ke
generasi. Begitu luasnya suatu mitos beredar di masyarakat sehingga masyarakat
tidak menyedari bahwa informasi yang diterimanya itu tidak benar. Kerana begitu
kuatnya keyakinan masyarakat terhadap suatu mitos tentang sesuatu hal, sehingga
mempengaruhi perilaku masyarakat. Mitos juga berkait rapat dengan propaganda. Propaganda
merupakan mesej-mesej bersepadu yang bertujuan mempengaruhi pendapat atau
kelakuan orang ramai. Berbanding dengan menyalurkan maklumat tanpa berat
sebelah, propaganda dalam erti kata paling asasnya menyediakan
maklumat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat. Propaganda sering memilih
fakta-fakta dengan teliti (iaitu menipu melalui penyingkiran) untuk
menggalakkan sintesis yang tertentu, ataupun menokok tambah agar menimbulkan
maklum balas yang lebih beremosi daripada rasional kepada maklumat yang diberi.
Propaganda juga ialah cubaan sengaja yang sistematik untuk membentuk persepsi,
memanipulasi kognisi, dan mengarahkan kelakuan agar mencapai maklum balas yang
melanjutkan tujuan yang diingini penyebarnya.(Garth S. Jowett and Victoria
O'Donnell, Propaganda and Persuasion).
Perkataan awam juga disebut sebagai kumpulan, kelompok, khalayak.
Kumpulan ditakrifkan sebagai himpunan orang yang agak besar atau gabungan
individu-individu yang menjadikan kelompok yang mempunyai sifat, tugas dan
kecenderungan yang serupa (Kamus Dewan, Edisi Baru: DBP:1989). Oleh itu
kepentingan awam bermaksud keperluan orang ramai atau keperluan individu-individu
dalam suatu kelompok yang mempunyai beberapa sifat yang sama seperti tugas,
atau berkongsi minat dan kecenderungan.
Kelompok ialah sekumpulan manusia menggembleng tenaga, perasaan, fikiran
serta minat dalam satu ikatan terhadap sesuatu kecenderungan atau desakan, di
samping berkongsi rasa kekitaan dengan semangat perpaduan yang kental. Ia boleh
jadi kelompok kecil atau pun besar. Ada yang mentakrifkan awam ini sebagai
mana-mana kelompok yang terdiri daripada dua atau lebih individu yang menunjukkan
tentangan dengan apa cara sekalipun secara sedar dalam semangat perpaduan. Oleh
itu, kepentingan awam ialah keperluan sekumpulan manusia sama ada kumpulan
kecil atau pun besar menggembeleng tenaga, perasaan, fikiran serta minat dalam
satu ikatan terhadap sesuatu kecenderungan atau desakan, di samping berkongsi
rasa kekitaan dengan semangat perpaduan yang kental.
Khalayak, yang berasal daripada bahasa Arab, bermaksud segala yang
diciptakan oleh Allh S.W.T., iaitu makhluk, manusia orang ramai, orang banyak,
dan umum. (Kamus Dewan, Edisi Baru: DBP: 1989). Richard Vaison ( )
mengemukakan satu definisi yang lebih sesuai dan berguna mengenai konsep
‘awam’. Beliau menyatakan ‘kesan’ sesuatu kepentingan sebagai kriteria untuk
menentukan sama ada sesuatu kepentingan itu bersifat ’awam’ atau
‘persendirian’. Mengikit takrif ini, jika sesuatu kepentingan itu memberi kesan
kepada sebahagian besar orang ramai, maka kepentingan itu harus dianggap
sebagai kepentingan awam.
Perkataan ‘awam’ dalam bahasa Cina disebut sebagai ‘min’. Mengikut Kamus
Dewan, ‘min’ bermaksud rakyat atau orang awam. Loh (2003) menjelaskan bahawa
rakyat adalah golongan yang diperintah. Golongan yang diperintah lebih ramai
daripada golongan yang memerintah. Oleh itu kepentingan awam adalah kepentingan
rakyat atau kepentingan majoriti dalam masyarakat. Hal yang sama dijelaskan
oleh Meng Tze, seorang ahli falsafah Cina (Obaidellah,1994) yang menyatakan
bahawa ‘min’ adalah merujuk kepada golongan yang diperintah atau berlawanan
dengan golongan yang memerintah. Ia disamaertikan dengan rakyat. Oleh itu
kepentngan awam adalah kepentingan rakyat.
3
KONSEP KEPENTINGAN AWAM
Terdapat dua konsep kepentingan awam iaitu "unitary" dan
"individualistic". Konsep "unitary" melihat keseluruhan
kepentingan awam sebagai satu set matlamat yang boleh digunapakai kepada semua
ahli masyarakat.
Manakala konsep "individualistic" melihat kepentingan majoriti
tidak mengandungi satu sistem, sama ada terkandung dalam masyarakat majoriti
sebagai satu entiti. Matlamat atau kepentingan yang berkaitan adalah terdiri
daripada kepentingan individu yang sama ada berkongsi atau tidak berkongsi, dan
matlamat atau kepentingan majoriti keseluruhannya adalah pengumpulan
kepentingan individu-individu. Oleh itu keputusan tentang kepentingan awam perlu
dipertimbangkan selari dengan kepentingan individu. Rujuk rajah 2 di bawah:
Walau bagaimana pun, daripada dua konsep kepentingan awam, terdapat juga
pandangan berlainan dengan konsep ini. Bagi mereka yang sependapat dengan
konsep "unitary’, dua pandangan dikenalpasti iaitu "organismic"
dan "communalist". Pandangan "organismic" berpendapat
bahawa matlamat kerajaan atau badan politik adalah lebih besar daripada hanya
pengumpulan atau campuran matlamat individu.
Secara perbandingan, daripada konsep "individualistic" lahir tiga
pandangan. Pandangan "utilitarian" berpendapat kepentingan individu
harus dikenal pasti jika sebahagian kepentingan ini adalah dapat berkongsi, ini
tidak memberi nilai khas (special value) kepada individu. Pandangan
"quasiutilitarian" pula berpendapat nilai yang lebih penting harus
digunapakai terhadap individi tertentu daripada lain. Akhirnya "qualified
individualistic" berpandangan bahawa kepentingan masyarakat adalah
kumulatif kepentingan yang dipilih daripada golongan yang berkaitan dengan
membuat polisi.
4
KEPENTINGAN AWAM ADALAH SESUATU YANG KONTROVERSI.
Istilah atau konsep kepentingan awam (public interest) telah
dikaji sejak sekian lama. Walaupun sejarah kepentingan awam telah cukup lama
dan usaha untuk mendapatkan takrif telah dilakukan namun hingga kini tiada satu
takrif yang dapat diterima oleh semua. Ia bergantung kepada siapa
dan mengapa kepentingan awam digunakannya. Tradisinya,
bidang yang sering terlibat dalam pengkajian kepentingan awam ialah sains
politik, sosiolagi, perancangan dan perundangan. Teori-teori kepentingan awam
dan penyelilidikan-penyelidikan empirikal mendapati bahawa berlaku beberapa
perbezaan antara ahli-ahli sains politik, sosiologi, perancangan dan
perundangan tentang pentakrifan, pengertian atau pemahamannya. Perbezaan memang
sepatutnya diduga berlaku. Ini kerana setiap bidang akan melihatnya dari
perspektif dan penekanannya yang tersendiri dan unik. Misalnya,
saintis politik akan memberi tumpuan kepada kesan atau pengaruhnya terhadap
politik serta terhadap kerajaan, pemerintah dan proses pilihan raya. Ahli-ahli
sosiolagi lebih berminat terhadap kesan dan pengaruhnya ke atas masyarakat sama
ada secara khusus atau umum. Ahi-ahli perancangan melihat dari perspektif
menyediakan ruang yang kondusif untuk orang ramai dan ahli perundangan melihat
kepada kebajikan umum dan keadilan. Masalah pentakrifan kepentingan awam yang
boleh diterima oleh semua turut bertambah kalut kerana semua pihak
mula memberi perhatian kepada kepentingan awam. bukan sahaja pemerintah dan badan
perundangan yang memberi perhatian terhadap kepentingan awam, rakyat biasa juga
kian memberi perhatian. Dengan ini, maka cukup sukar untuk meletakkan sempadan
yang khusus ataupun yang tepat bagi pentakrifan kepentingan umum atau
menerangkan dengan jitu. Oleh kerana tiada definisi yang betul dan tepat
tentang kepentingan awam, maka keputusan yang dibuat menimbulkan dua keadaan
iaitu:
4.1
Menimbulkan kecurigaan.
Mengikut Business Dictionaray, terdapat tiga bentuk kecurigaan
yang berbeza tentang kepentingan awam iaitu: (i) tiada persamaan ciri yang
boleh diberikan kepada maksud kepentingan awam; (ii) kalau ada pun persamaan,
mustahil untuk menentukan dimana kepentingan awam berada; dan (iii) kecurigaan
politik telah menimbul kecurigaan lain. Hal sedemikian berlaku kerana
kepentingan awam merujuk kepada awam. Awam adalah satu kumpulan manusia yang
tidak spespik Contohnya padang permainan boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja,
tidak dikhususkan dan tidak diketahui pun kumpulan yang akan mengunjunginya.
Lain hal dengan dengan kelab rekreasi yang hanya boleh dikunjungi oleh ahli dan
tetamu sahaja.
4.2 Mencetus
kontroversi
Menurut Rousseau dalam bukunya State of Nature, setiap individu
memperjuangkan hak-hak atau kehendak masing-masing. Individu-individu
ini akan bergabung dalam satu kumlupan dan membuat tuntutan kepada kerajaan
melalui saluran tertentu. Dua kumpulan yang sedang merebut kuasa akan menyatakan
bahawa mereka mempunyai kepentingan yang perlu diutamakan kerana mereka
mendapat sokongan daripada publik masing-masing. Kedua-duanya bercakap benar
dan tidak berbohong kerana mereka memiliki publik mereka sendiri.
5 KEPENTINGAN AWAM
DIPUTUSKAN OLEH KERAJAAN
Undang-undang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menentu dan memutuskan sesuatu
itu kepentingan awam atau tidak. Tidak akan ada definisi yang
betul dan tepat tentang kepentingan awam tanpa mendapat persetujuan atau
disahkan oleh kerajaan. Kerajaan semasa menimbangkan tuntutan kumpulan-kumpulan,
faktor utama yang dipertimbangkan adalah kepentingan awam. Menurut Aristotle,
setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah menjunjung keperluan rakyat
dan kepentingan awam. Kerajaan bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyatnya dan
bertanggungjawab membawa kemakmuran serta kemewahan. Ini termasuklah
meninggikan taraf hidup rakyat, mempelbagaikan ekonomi, memenuhi tuntutan dan
keperluan orang ramai dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti
kemiskinan, kekurangan makanan, pengangguran dan ketidakseimbangan pendapatan
dikalangan rakyat.
Kerajaan bertanggungjawab mengadakan rancangan–rancangan untuk faedah
sosial kepada rakyat seperti menyediakan sekolah, kemudahan kesihatan, dan
perubatan, mengadakan kemudahan infrasrtuktur seperti jalan raya, bekalan air
dan letrik. Kerajaan harus membaiki keadaan atau kedudukan negara yang
mengalami sesuatu bencana seperti banjir dengan membuat projek-projek tebatan
banjir, projek pengairan dan saliran. Kerajaan sebagai pemegang amanah bagi
pihak rakyat untuk perlu menunaikan tanggungjawab ini. Namun demikian,
seringkali juga ditemui, kerajaan berselindung disebalik kepentingan awam.
Sesuatu kegiatan itu diwar-warkan sebagai kepentingan awam tetapi sebenarnya
ada tujuan lain. Dalam kata lain, kepentingan awam tidak melambangkan
matlamat yang rasional yang harus dicapai untuk kepentingan awam tetapi
dimanipulasikan untuk mencapai cita-cita kerajaan. Hal ini boleh terjadi kerana
kesamaran konsep kepentingan awam itu sendiri.
(BERSAMBUNG DI BAHAGIAN DUA)
Suhaimi bin Hj. Mamat
Setiausaha
Bahagian Sumber Air, Saliran dan Hidrologi
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Aras 13, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62574 Putrajaya, Malaysia
Tel : 03-88861147
Fax : 03-88893455