Disini saya sertakan pandangan daripada Pengarah JKPTG Negeri Sembilan berkaitan pengambilan tanah oleh Tenaga Nasional Berhad di bawah seksyen 3(1)(a).
PANDANGAN INI ADA KAITAN DENGAN PAPARAN SAYA SEBELUM INI BERTAJUK 'MAKSUD AWAM DAN KEMUDAHAN AWAM'
Walau pun antara hujahan atau dapatan dalam kes Tenaga
Nasional lwn Teobros Development Sdn Bhd (Mahkamah Rayuan) tersebut mengatakan
bahawa penyediaan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional adalah sememangnya
suatu aktiviti public purpose namun hujahan atau dapatan tersebut masih boleh
diperdebatkan atau dinilai dengan lebih mendalam berdasarkan alasan-alasan
berikut:-
1. Secara prinsipnya, pengambilan tanah untuk maksud awam (public purpose) di
bawah seksyen 3 (1)(a) APT 1960 memberi penekanan kepada si pengambil dan
bukannya tujuan pengambilan itu. Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau
mana-mana badan kedua-dua Kerajaan itu boleh mengambil tanah untuk maksud awam
kerana tanggungjawab dan fungsi Kerajaan adalah memelihara dan melindungi
kepentingan awam.
2. APT 1960 mengiktiraf perbezaan antara maksud awam (public purpose) dengan
kemudahan awam (public utility) apabila dinyatakan di bawah seksyen 2 dan
seterusnya seksyen 3(3) dengan syarat fee permohonan pengambilan tanah
boleh dikecualikan oleh PBN jika pengambilan adalah untuk kemudahan awam
(public utility).
3. TNB telah dibenarkan oleh beberapa PBN di Semenanjung Malaysia untuk
mengambil tanah bagi maksud awam di bawah seksyen 3 (1)(a) kerana way leave di
bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 yang digunakan sebelum itu oleh TNB khususnya
untuk talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi telah menimbulkan banyak
bantahan daripada rakyat kepada pemimpin politik disebabkan pampasan yang
diterima tidak setimpal dengan penggunaan tanah secara kekal oleh TNB selain
susut nilai dan kerosakan yang menjejaskan hak pemilik tanah yang terlibat.
Hasilnya TNB diberikan 'hadiah' yang sangat istimewa kerana bersetuju mengambil
tanah di bawah APT dengan mengenepikan hak penggunaan di bawah ABE 1990.
Isunya, adakah TNB dan agensi utiliti lain yang merupakan badan korporat layak
diberikan 'hadiah' tersebut? Sekiranya layak, adakah kelayakan itu boleh
diberikan oleh PBN? Adakah PBN diperuntukkan kuasa untuk mentafsir apa-apa
tujuan di bawah PBN samada ianya bersifat awam atau tidak? Tindakan
'menghadiahkan' TNB tersebut oleh beberapa PBN boleh dianggap sebagai satu
langkah atau jalan keluar yang popular namun terdapat cara lain untuk
menghalalkan matlamat tersebut. TNB atau syarikat utiliti lain adalah badan
korporat yang bermatlamatkan keuntungan. Memang diakui bahawa hak penggunaan ke
atas tanah berimilik di bawah ABE 1990 dan Akta Industri Perkhidmatan Air
(AIPA) 2006 sedikit sebanyak bercanggah dengan peruntukan Artikel 13
Perlembagaan Negara tetapi tetapi membenarkan agensi utiliti yang merupakan
syarikat mengambil tanah untuk maksud awam bukanlah penyelesaian yang sihat
atau sesuai. Sebaliknya, agensi utiliti boleh menggunakan
suruhanjaya-suruhanjaya yang ada sebagai vehicle untuk tujuan tersebut. Walau
pun pilihan ini boleh dilihat sebagai jalan keluar yang lebih bersifat teknikal
namun sekurang-kurangnya semangat atau prinsip maksud awam di bawah APT itu
masih terpelihara. Jika TNB atau syarikat utiliti lain masih
perlu diberikan kebenaran untuk mengambil tanah bagi maksud awam, langkah
penyelesaian jangka panjangnya sudah semestinya memerlukan pindaan kepada APT
1960.
4. Tanpa pindaan ke atas APT, membenarkan TNB atau syarikat utiliti lain
mengambil tanah untuk maksud awam adalah tindakan 'melepaskan' atau forego
sumber-sumber hasil kepada Kerajaan iaitu:-
a. Fee proses permohonan pengambilan
tanah yang sepatutnya boleh dikenakan
di bawah seksyen 3(1)(b) APT 1960 (hasil kepada Kerajaan Negeri)
b. Fee penilaian ke atas nilaian tanah yang dilakukan oleh Jabatan Penilaian
dan Perkhidmatan Harta yang dikenakan di bawah seksyen 3(1)(b) APT 1960 (hasil
Kerajaan Persekutuan)
c. Fee ke atas dokumen-dokumen sokongan seperti sijil carian rasmi dan salinan
sah hakmilik (hasil Kerajaan Negeri)
Sekian,
JAIYA BIN ABU
JKPTG NS