Selasa, 9 September 2014

Pandangan Pengambilan Tanah s3(1)(a)

Disini saya sertakan pandangan daripada Pengarah JKPTG Negeri Sembilan berkaitan pengambilan tanah oleh Tenaga Nasional Berhad di bawah seksyen 3(1)(a). 

PANDANGAN INI ADA KAITAN DENGAN PAPARAN SAYA SEBELUM INI BERTAJUK 'MAKSUD AWAM DAN KEMUDAHAN AWAM'

Walau pun antara hujahan atau dapatan dalam kes Tenaga Nasional lwn Teobros Development Sdn Bhd (Mahkamah Rayuan) tersebut mengatakan bahawa penyediaan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional adalah sememangnya suatu aktiviti public purpose namun hujahan atau dapatan tersebut masih boleh diperdebatkan atau dinilai dengan lebih mendalam berdasarkan alasan-alasan berikut:-

1. Secara prinsipnya, pengambilan tanah untuk maksud awam (public purpose) di bawah seksyen 3 (1)(a) APT 1960 memberi penekanan kepada si pengambil dan bukannya tujuan pengambilan itu. Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau mana-mana badan kedua-dua Kerajaan itu boleh mengambil tanah untuk maksud awam kerana tanggungjawab dan fungsi Kerajaan adalah memelihara dan melindungi kepentingan awam.

2. APT 1960 mengiktiraf perbezaan antara maksud awam (public purpose) dengan kemudahan awam (public utility) apabila dinyatakan di bawah seksyen 2 dan seterusnya seksyen 3(3) dengan syarat fee permohonan pengambilan tanah  boleh dikecualikan oleh PBN jika pengambilan adalah untuk kemudahan awam (public utility).

3. TNB telah dibenarkan oleh beberapa PBN di Semenanjung Malaysia untuk mengambil tanah bagi maksud awam di bawah seksyen 3 (1)(a) kerana way leave di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 yang digunakan sebelum itu oleh TNB khususnya untuk talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi telah menimbulkan banyak bantahan daripada rakyat kepada pemimpin politik disebabkan pampasan yang diterima tidak setimpal dengan penggunaan tanah secara kekal oleh TNB selain susut nilai dan kerosakan yang menjejaskan hak pemilik tanah yang terlibat. Hasilnya TNB diberikan 'hadiah' yang sangat istimewa kerana bersetuju mengambil tanah di bawah APT dengan mengenepikan hak penggunaan di bawah ABE 1990. Isunya, adakah TNB dan agensi utiliti lain yang merupakan badan korporat layak diberikan 'hadiah' tersebut? Sekiranya layak, adakah kelayakan itu boleh diberikan oleh PBN? Adakah PBN diperuntukkan kuasa untuk mentafsir apa-apa tujuan di bawah PBN samada ianya bersifat awam atau tidak? Tindakan 'menghadiahkan' TNB tersebut oleh beberapa PBN boleh dianggap sebagai satu langkah atau jalan keluar yang popular namun terdapat cara lain untuk menghalalkan matlamat tersebut. TNB atau syarikat utiliti lain adalah badan korporat yang bermatlamatkan keuntungan. Memang diakui bahawa hak penggunaan ke atas tanah berimilik di bawah ABE 1990 dan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 sedikit sebanyak bercanggah dengan peruntukan Artikel 13 Perlembagaan Negara tetapi tetapi membenarkan agensi utiliti yang merupakan syarikat mengambil tanah untuk maksud awam bukanlah penyelesaian yang sihat atau sesuai. Sebaliknya, agensi utiliti boleh menggunakan suruhanjaya-suruhanjaya yang ada sebagai vehicle untuk tujuan tersebut. Walau pun pilihan ini boleh dilihat sebagai jalan keluar yang lebih bersifat teknikal namun sekurang-kurangnya semangat atau prinsip maksud awam di bawah APT itu masih terpelihara. Jika TNB atau syarikat utiliti lain masih
perlu diberikan kebenaran untuk mengambil tanah bagi maksud awam, langkah penyelesaian jangka panjangnya sudah semestinya memerlukan pindaan kepada APT 1960.

4. Tanpa pindaan ke atas APT, membenarkan TNB atau syarikat utiliti lain mengambil tanah untuk maksud awam adalah tindakan 'melepaskan' atau forego sumber-sumber hasil kepada Kerajaan iaitu:-

   a. Fee proses permohonan pengambilan tanah yang sepatutnya boleh    dikenakan di bawah seksyen 3(1)(b) APT 1960 (hasil kepada Kerajaan Negeri)

b. Fee penilaian ke atas nilaian tanah yang dilakukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta yang dikenakan di bawah seksyen 3(1)(b) APT 1960 (hasil Kerajaan Persekutuan)

c. Fee ke atas dokumen-dokumen sokongan seperti sijil carian rasmi dan salinan sah hakmilik (hasil Kerajaan Negeri)

Sekian,

JAIYA BIN ABU
JKPTG NS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan