Isnin, 15 Ogos 2016

Siasatan Terus/Ringkas (Summary Enquiry)

Siasatan Ringkas yang dinyatakan dalam seksyen 17 (Satu seksyen sahaja) Bahagian III Akta Pengambilan Tanah 1960, masih dikekalkan walaupun pindaan kepada Akta tersebut telah diluluskan. Pada pandangan saya siasatan ringkas yang menggantikan siasatan dibawah seksyen 12 (yang mengambil masa yang lama tidak kurang 21 hari dari tarikh notis awam Borang E) Akta boleh dijalankan disebabkan perkara berikut:

1.   Orang yang berkepentingan terlalu ramai, atau
2. Kawasan yang terlibat dengan pengambilan kecil sahaja jika award dibuat berasingan dan
3.  Peruntukan yang disediakan perlu dibelanjakan dengan segera dalam bentuk tunai mungkin disebabkan bencana alam (Ini pandangan bekas Pengarah Seksyen Pengambilan Tanah - Tuan Hj Mohd Said yang juga penceramah Akta Pengambilan Tanah 30 tahun dahulu)

Prosedur:

1. Notis Borang E telahpun disampaikan

2. Siasatan meliputi:

a. kepentingan semua pihak yang menuntut pampasan
b. siapa yang berhak mendapat pampasan
c. bantahan oleh orang yang ada kepentingan jika ada

3. Selesai siasatan, Pentadbir Tanah akan membuat award lisan (make an oral award)  dalam bentuk tawaran pampasan kewangan (form of a monetary) atau selainnya kepada setiap orang yang pada pendapatnya  berhak kepada award tersebut.

4. Selesai award lisan, Pentadbir Tanah hendaklah merekodkan sama ada menerima atau menolaknya dalam Borang G

5. Jika award tersebut diterima, Pentadbir Tanah akan mengarahkan hakmilik tanah diserahkan dengan serta merta dan seterusnya apabila hakmilik diserahkan, Pentadbir Tanah akan membuat bayaran kepada setiap orang yang berkepentingan tanpa perlu mengeluar dan menyerahkan Borang H. Inilah yang membuktikan pampasaan yang dibayar adalah dalam bentuk tunai

6. Apabila bayaran pampasan telah dibuat, tanah tersebut telahpun diambil milik pada tarikh pembayaran TANPA PERLU MENGELUAR DAN MENYERAHKAN BORANG K dibawah seksyen 22

7. Jika award ditolak oleh orang berkepentingan ATAU orang berkepentingan tidak menghadiri siasatan, siasatan ditangguhkan dan Pentadbir Tanah meneruskan siasatan mengikut seksyen 12 Akta ATAU mendepositkan ke Mahkamah mengikut seksyen 29(2) Akta. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan