Jumaat, 8 Februari 2013

Notis Di Bawah Akta Pengambilan Tanah


Sebelum bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina, kita akan membincangkan Notis di bawah Akta Pengambilan Tanah dan pelaksanaannya

Mengikut seksyen 430 Kanun Tanah Negara, notis termasuk apa-apa pemberitahuan, instrumen atau lain-lain dokumen yang disahkan atau diperlukan oleh akta untuk disampaikan kepada mana-mana orang atau badan. Perberitahuan (notification) termasuklah gezet/warta kerajaan, instrumen adalah borang-borang yang ada di dalam Akta Pengambilan Tanah sementara dokumen termasuklah surat rasmi jabatan.

Di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, terdapat DUA kategori notis:

1. Notis Awam (public notice)
2. Notis Persendirian


NOTIS AWAM (public notice)

Notis awam terdiri daripada Notis Awam Borang A dan Notis Awam Borang E. Ini dinyatakan dibawah seksyen 4(2) dan seksyen 10(1). Notis Borang A adalah gezet/warta dibawah seksyen 4, sementara notis Borang E adalah notis siasatan pengambilan tanah.

Seksyen 4(2)

'The Land Administrator shall give public notice of any notification under subsection (1) in the manner prescribed by section 52'

Seksyen 10(1)

'The Land Administrator shall, having completed the action required by section 9, commence proceedings for the aquisition of the land by giving public notice in Form E in the manner prescribed by section 52,...............'

Lanjutan daripada itu, dibawah seksyen 4(2) dan 10(1) juga menghendakki (shall) Pentadbir Tanah melaksanakan notis awam tersebut mengikut seksyen 52 Akta yang sama

Berdasarkan kepada seksyen 52, notis berkenaan disifatkan sebagai telah diberi jika Pentadbir Tanah telah menyebabkan salinan-salinan notis tersebut telah ditampal (posted)  pada papan kenyataan Pejabat Tanah, pada papan kenyataan awam  dalam mukim atau bandar tanah tersebut terletak dan dimana-mana tempat lain di atas atau berhampiran dengan tanah sebagaimana difikirkan patut oleh Pentadbir Tanah. Ini bermakna notis awam mesti ditampal sekurang-kurangnya diTIGA tempat


NOTIS PERSENDIRIAN/INDIVIDU:

1. Notis Jadual Kedua Akta Pengambilan Tanah

i) Notis Borang E iaitu notis siasatan mengikut seksyen 11(1)  yang mesti disampaikan kepada:

(a) penduduk tanah itu;
(b) tuan punya tanah, jika dia bukan penduduk;
(c) mana-mana orang yang ada kepentingan berdaftar;
(d) mana-mana orang yang dipercayaan ada kepentingan.

ii) Notis Borang F iaitu notis supaya memberi keterangan bertulis yang diberikan kepada tuanpunya berdaftar atau mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan tentang tanah yang diambil

iii) Notis Borang H iaitu notis tawaran pampasan yang akan diberikan kepada semua orang berkepentingan termasuk pemohon

iv) Notis Borang J iaitu notis mengosongkan bangunan yang ada di atas tanah yang diambil melalui Perakuan Kedesakan Borang I dan diserahkan kepada tuanpunya bangunan dan juga tuanpunya tanah

v) Notis Borang K iaitu notis ambil milik tanah

vi) Notis Borang L iaitu notis mohon kemukakan dokumen/dokumen hakmilik kepada Pentadbir Tanah

vii) Notis Borang Q - iaitu notis Pengambilan sementara tanah


2. Notis Jadual Pertama Kaedah Pengambilan Tanah 1998

i) Notis Borang 2 - iaitu notis dapatkan deposit tambahan dari pemohon

ii) Notis Borang 3 - iaitu notis rundingan yang diberi oleh pihak UPEN kepada tuanpunya tanah dan pemohon

iii) Notis Borang 4 - iaitu notis dari UPEN kepada Jawatankuasa Pengambilan Tanah

iv) Notis Borang 5 - iaitu notis kelulusan oleh pihak Berkuasa Negeri

v) Notis Borang 6 - iaitu notis penolakan oleh pemohon jika tidak mahu meneruskan pengambilan

vi) Notis Borang 7 - iaitu notis lucut deposit


3. Notis Dalam Bentuk Surat

i) Surat jabatan minta orang berkepentingan hadir siasatan, siasatan pertama ditangguhkan

ii) Surat jabatan minta orang berkepentingan hadir ke Pejabat tanah untuk mengambil cek pampasan

iii) Surat jabatan minta pulangkan bayaran yang tersilap bayar

iv) Surat jabatan meminta pulangkan pampasan kerana tanah diambil kurang selepas ukur halus

v) Surat jabatan minta bayar deposit rujukan ke Mahkamah


PROSEDUR PENYAMPAIAN NOTIS INDIVIDU

1. Berdasarkan seksyen 53 Akta Pengambilan Tanah 1960, satu salinan notis disampaikan dengan cara menghantar atau memberikan sama ada:

(a) kepada orang yang notis itu dialamatkan atau jika tidak dijumpai;

(b) kepada ahli keluarga dewasa yang tinggal bersamanya dan dapatkan tanda tangan

2. Jika pihak di atas enggan terima atau tidak dapat tandatangan atau tiada ahli keluarga yang layak:

(a) tampal notis pada pintu luar bangunan dimana orang itu tinggal atau berniaga dan

(b) Tampal satu salinan pada papan notis awam dalam bandar, kampung atau mukim orang itu tinggal

(c) Penghantar Notis hendaklah hendaklah membuat catatan tentang masa, tempat dan cara penyampaiannya.

3. Jika notis untuk penduduk tanah, jika tidak dapat disampaikan secara 'personal' , satu salinan notis hendaklah ditampal dimana-mana tempat yang boleh dilihat di atas tanah dan Penghantar Notis hendaklah hendaklah membuat catatan tentang masa, tempat dan cara penyampaiannya.

4. Seksyen 54 pula menyatakan, jika pihak yang berkepentingan atau ahli keluarga dewasa tidak dijumpai dan jika tidak bermastautin di Malaysia, Pentadbir tanah hendaklah:

(a) melaksanakan penyampaian notis dengan menyerahkan kepada ajen atau kepada orang yang berhak bertindak untuk pihak nya seperti pemegang amanah; atau

(b) jika tiada agen, hantar notis itu melalui pos berdaftar setelah alamat dikenalpasti; dan

(c) Terbitkan dalam akhbar jika dianggap perlu.

5. Seksyen 55 - satu salinan notis yang dikehendaki oleh Akta ini hendaklah juga disampaikan kepada mana-mana wakil kerajaan, orang atau perbadanan yang mengambil tanah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan