Sabtu, 2 Februari 2013

Pengambilan Selesai, Borang D dan K Tidak Dicatat/Endorse/Wasilan


Selepas bercuti dan kembali bertugas saya terima satu masalah untuk tujuan penyelesaian dari sebuah Pejabat Tanah. Masalahnya ialah:

Urusan pengambilan tanah telah dijalankan oleh pentadbiran ini dan semakan yang dilakukan keatas fail penyediaan hakmilik sambungan didapati tiada endorsan Borang D dan K (tiada disediakan) mengikut seksyen 22 APT 1960. Untuk makluman Borang G dan Borang H ada disediakan dan bukti pembayaran pampasan pada tahun 1996 juga ada. Pentadbiran ini ingin mendapat nasihat dan pandangan berkaitan dengan perkara di bawah:

1. Bolehkah Borang K disediakan dan ditandatangani oleh Pentadbir sekarang

2. Bolehkah endorsan Borang D dilakukan sekarang


Pandangan/Jawapan:

Terlebih dahulu pandangan diberikan untuk soalan no 2. Berdasarkan seksyen 9(1)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960, apabila (upon) tersiarnya warta seksyen 8, Pentadbir Tanah hendaklah (shall) membuat catatan dalam hakimilik daftar (DHDK) sepertimana dikehendakki oleh seksyen 9(2)(a). Ini bermaksud catatan/endorsan/wasilan mesti dibuat dengan seberapa segera yang boleh selepas sahaja warta seksyen 8 disiarkan/dikeluarkan. Dalam kes ini, warta seksyen 8 mungkin dalam tahun 1996. Oleh kerana ianya belum diendors, maka Pentadbir Tanah sekarang mesti/boleh membuat endorsan Borang D tersebut.

PERLU DIINGATKAN, SEBELUM ENDORSAN DIBUAT OLEH PENTADBIR TANAH SEKARANG, TERLEBIH DAHULU PASTIKAN TIADA URUSAN (seperti pindahmilik/gadaian) BERLAKU DALAM TEMPOH 1996 HINGGA SEKARANG. 

Jika berlaku urusniaga dalam tempoh tersebut, Pentadbir Tanah hendaklah memastikan urusniaga yang dibuat berdasarkan baki lot selepas terlibat dengan pengambilan kerana jika urusniaga berdasarkan keluasan sebenar, dikhuatiri apabila endorsan dibuat sekarang, tuan tanah akan mengambil  tindakan mahkamah kerana kerugian yang ditanggung dan kecuaian Pentadbir Tanah. 

Untuk soalan no 1, setelah endorsan Borang D telah dibuat, Pentadbir Tanah sekarang BOLEH mengeluarkan Borang K seperti dikehendakki oleh seksyen 22 Akta Pengambilan Tanah. Adalah diingatkan, Pentadbir Tanah mesti MENYERAHKAN BORANG K TERLEBIH DAHULU SEBELUM ENDORSAN DIBUAT seperti dinyatakan dibawah seksyen 23. Selain daripada itu Pentadbir Tanah hendaklah pastikan keluasan pengambilan dalam warta seksyen 8 sama dengan keluasan pengambilan didalam Borang K dan juga sama dengan keluasan pengambilan selepas keluar hakmilik sambungan nanti. Jika berbeza, apabila kiraan semula dibawah seksyen 28 dibuat  ianya akan merugikan tuanpunya tanah berkaitan dengan Late Payment Charges dibawah seksyen 32

Tiada ulasan:

Catat Ulasan