Khamis, 5 Disember 2013

Kedudukan Tanah Yang Di Hakis Oleh Sungai/Laut

Seksyen 49 Kanun Tanah Negara 1965 menyatakan jika pinggir laut atau dasar sungai mara hingga menghakis tanah berimilik (tanah yang ada hakmilik), kawasan yang terjejas oleh hakisan itu terhenti dari menjadi tanah tersebut dan menjadi tanah kerajaan; tetapi sempadan tanah tersebut masih kekal (but the boundaries of alienated land shall not be affected by any retreat of the shore-line or of the bed of any river)
 
Berdasarkan seksyen di atas walaupun kawasan yang dihakis telah menjadi tanah kerajaan TETAPI SEMPADAN TANAH TERSEBUT MASIH KEKAL SEPERTI SEDIA ADA. Oleh itu Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan dibawah seksyen 383A dan seksyen 166(1)(f) Kanun Tanah Negara.
 
Seksyen 382A(1) - Pentadbir Tanah jika berpuashati bahawa mana-mana tanah berimilik atau sebahagian daripadanya telah menjadi tanah kerajaan menurut seksyen 49, hendaklah membuat atau menyebabkan dibuat satu memorial yang menyatakan hal yang demikian ke dalam dokumen hakmilik daftaran.
 
Seksyen 382A(2) -  Selepas membuat memorial, Pendaftar hendaklah:
 
(a) memberitahu tuanpunya tanah itu berkaitan dengan memorial
 
(b) meminta supaya tuanpunya tanah mengemukakan dokumen hakmilik keluaran tanah tersebut, dan
 
(c)  membuat memorial yang sama ke dalam dokumen hakmilik keluaran dan memusnahkan dokumen hakmilik jika keseluruhan tanah telah terhakis.
 
 
Seksyen 166(1)(f) pula menyatakan, jika hanya sebahagian sahaja tanah terlibat dengan hakisan tersebut, Pentadbir Tanah hendaklah mengeluarkan hakmilik sambungan
 
Untuk memenuhi kehendak seksyen-seksyen diatas, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 3 Tahun 2008. Di dalam Pekeliling tersebut ada dinyatakan proses kerja pembatalan dan pengeluaran hakmilik sambungan.
 
 
PROSES KERJA
 
1. Pentadbir Tanah mengarahkan Penolong Pegawai Tanah supaya menyiasat tanah dan menyediakan laporan.

2. Pentadbir Tanah menerima laporan dari Penolong Pegawai Tanah.

a. jika kesemua tanah telah dihakis, Pentadbir Tanah akan memasukkan satu memorial ke dalam  dokumen hakmilik daftar komputer (DHDK) menyatakan bahawa kesemua tanah telah dihakis oleh laut atau sungai dan telah menjadi tanah kerajaan. Seterusnya Pentadbir Tanah akan memaklumkan kepada tuan tanah mengenai kemasukan memorial tersebut dan meminta tuan tanah mengemukakan dokumen hakmilik keluaran komputer (DHKK) dalam tempoh yang diberikan. Jika dikemukakan, Pentadbir Tanah akan memusnahkan DHKK tersebut.

b. Jika hanya sebahagian tanah telah dihakis, Pentadbir Tanah akan mengendors satu memorial di dalam DHDK bahawa sebahagian tanah telah dihakis oleh laut atau sungai dan telah menjadi tanah kerajaan. Tindakan selanjutnya:

i. Jika DHKK dikemukakan dalam tempoh, Pentadbir Tanah akan mengendors di dalam DHKK satu memorial seperti dalam DHDK bahawa sebahagian tanah telah dihakis oleh sungai atau laut dan telah menjadi tanah kerajaan.

ii. Pentadbir Tanah akan mengemukakan Permintaan Ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk mengukur semula baki lot.

iii. JUPEM akan mengukur semula baki lot dan mengemukakan Borang Pengesahan Pengarah Ukur dan Pemetaan  dan salinan Pelan Akui

iv. Pendaftar dan Pentadbir Tanah dikehendaki mendaftar Hakmilik Sambungan.



KESIMPULANNYA JIKA PENTADBIR TANAH TIDAK MENGAMBIL TINDAKAN BERDASARKAN SEKSYEN 382A DAN SEKSYEN 11(1)(f) KANUN TANAH NEGARA DAN TANAH TERSEBUT TERLIBAT PULA DENGAN PENGAMBILAN DIBAWAH AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960, KAWASAN YANG TERJEJAS DENGAN HAKISAN TERSEBUT MESTI DIPROSES DAN DIBAYAR PAMPASAN KERANA SEMPADAN ASALNYA MASIH KEKAL SEPERTI SEDIAKALA
 

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum.

    Penerangan yang sangat jelas. Blog tuan sentiasa menjadi rujukan saya terutamanya berkaitan hal ehwal tanah.

    BalasPadam