Rabu, 25 Disember 2013

Penggunaan Tanah Pertanian Bagi Tujuan Yang Tiada Kaitan Dengan Pertanian

Seksyen 52(1) Kanun Tanah Negara menyatakan mana-mana tanah yang diberimilik di bawah Kanun Tanah Negara hendaklah mempunyai kategori penggunaan tanah  sama ada pertanian, bangunan atau perindustrian dan seksyen 52(1)(a) mensyaratkan kategori tersebut hendaklah diendorskan di atas dokumen hakmilik.

Seterusnya seksyen 52(1)(b) menyatakan tanah-tanah yang mempunyai kategori seperti di atas hendaklah dimasukkan syarat nyata ( express conditions) yang ditulis di dalam dokumen hakmilik dan syarat tersirat (implied conditions) yang terdapat di dalam Kanun Tanah Negara dan TIDAK tertulis di dalam dokumen hakmilik.

Mengikut seksyen 115(1) Kanun Tanah Negara, tanah berkategori pertanian tertakluk kepada syarat-syarat tersirat seperti berikut:

(a) Tidak ada bangunan  boleh didirikan di atas tanah itu SELAIN DARIPADA sebuah bangunan atau bangunan-bangunan untuk digunakan seperti dinyatakan dibawah sub seksyen 4 iaitu bagi maksud 

i. sebuah rumah kediaman untuk tuanpunya tanah atau mana-mana orang lain yang menduduki secara sah atau untuk orang gaji. Dengan syarat keluasan bangunan tersebut TIDAK LEBIH 1/5 daripada keluasan tanah atau 2 ha, mana yang kurang

ii. pertanian

iii. memproses hasil pertanian tanah tersebut

iv. penyediaan untuk pengedaran keluaran hasil lebah, ternakan, reptilia atau akuakultur

v. kemudahan pendidikan, perubatan, kebersihan atau kemudahan kebajikan untuk pekerja tanah tersebut

vi. apa-apa maksud seperti Pihak Berkuasa Negeri tetapkan melalui Kaedah

vii. apa-apa maksud seperti Pihak Berkuasa Negeri fikirkan sesuai untuk membenarkannya.

Berdasarkan kepada seksyen 115(1) di atas, tuanpunya tanah berkategori pertanian hanya boleh menjalankan aktiviti pertanian dan boleh mendirikan bangunan yang ada kaitan dengan aktiviti pertanian sahaja di atas tanah tersebut.

Pada masa kini banyak terdapat tuanpunya tanah yang memberi pajakan/sewaan/ membina/membenarkan binaan/bangunan di atas tanah bekategori pertanian dan ianya tidak sesuai dimasukkan ke dalam mana-mana kategori, seperti:

i. menara pemancar telekomunikasi,
ii. tapak perniagaan kereta terpakai
iii. tapak ekspo perdagangan,
iv. gerai makanan,
v. bengkel,
vi. pondok menjual buahan
vii. gelangganyang futsal
viii. pencawang elektrik

Adalah TIDAK WAJAR pihak pejabat tanah meminta pemilik tanah menukar syarat di bawah seksyen 124 atau pecah sempadan dan tukar syarat serentak dibawah seksyen 124A kerana keluasan kawasan yang didirikan bangunan/struktur tersebut hanyalah meliputi sebahagian kecil dari tanah itu.

Oleh yang demikian pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bil 1 Tahun 2003 - Tatacara Penggunaan Tanah Pertanian Bagi Tujuan Yang Tiada Kaitan Dengan Pertanian. Pekeliling tersebut dikeluarkan berdasarkan seksyen 115(4) (f) dan (g)  Kanun Tanah Negara yang menyatakan:

'The purposes referred to in paragraph (a) of sub-section (1) are the following -
(f) any purpose which the State Authority may prescribe for the purposes of this section by rules under section 14
(g) any purpose which the State Authority may think fit to authorise in the circumtances of any particular cases.

Pekeliling KPTG seperti di atas adalah garis panduan yang boleh digunakan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakannya di negeri masing-masing kerana ianya melibatkan pindaan kepada Land Rules. Ada beberapa negeri telahpun mewujudkan pekeliling/garis panduan berdasarkan Pekeliling KPTG tersebut. Antaranya Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor telah mengeluarkan Pekeliling Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor Bil. 3 Tahun 2006

Oleh yang demikian tuanpunya tanah pertanian yang ingin menggunakan sebahagian daripada tanahnya atau ingin menyewa sebahagian tanah nya untuk binaan atau aktiviti seperti senarai di atas hendaklah terlebih dahulu membuat permohonan untuk kelulusan dan akan dikenakan bayaran mengikut kaedah tanah negeri masing-masing. Jika tidak tuan tanah dianggap melanggar undang-undang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan