Isnin, 10 Mac 2014

Soalan Pengambilan

Soalan ini datangnya dari seorang pemilik tanah berbangsa Cina dari negeri Johor. Tanah beliau terlibat dengan tiga kali pengambilan iaitu dalam tahun 1967, 1969 dan tahun 1977 yang lalu. Selepas ukur halus dibawah seksyen 25 Akta Pengambilan Tanah, terdapat lebihan pengambilan seluas kira-kira 3 ekar. Berdasarkan seksyen 28 dan seksyen 32 tuan tanah akan dibayar caj bayaran lewat (late payment chages). Bagaimana pengiraan caj bayaran lewat tersebut?

Pandangan/Jawapan

Seksyen 28 menyatakan 'apa-apa hasil dari sesuatu pengukuran yang dibuat mengikut subseksyen (1) seksyen 25 di dapati wujud perbezaan antara keluasan mana-mana tanah yang telah diambil dengan keluasan tanah dijadualkan yang dinyatakan dalam suatu award di bawah seksyen 14, perbezaan itu hendaklah dinilai mengikut kadar yang sama seperti tanah yang dimaksudkan itu telah dinilai dalam award yang dibuat dalam Borang G.

Seksyen 14(1)(3) pula menyatakan 'Sesuatu award dibawah seksyen ini tidaklah menjadi tidak sah (bermaksud SAH) semata-mata oleh sebab keluasan tanah yang berkenaannya award itu dibuat adalah lebih besar atau lebih kecil daripada keluasan tanah dijadual itu:

Dengan syarat bahawa perbezaan antara keluasan berkenaan dengan award itu dibuat dan keluasan tanah dijadualkan tidak melebihi suku hektar atau satu peratus dari keluasan tanah dijadualkan yang mana lebih besar:

Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, saya berpandangan lebihan pengambilan seluas 3 ekar sepertimana soalan di atas MESTI mendapat kelulusan dan diwartakan semula dibawah seksyen 8 seterusnya proses pengambilan tanah  yang baru mesti dilaksanakan.

Mengenai caj bayaran lewat, berdasarkan seksyen 32(2) Akta Pengambilan Tanah menyatakan 'Jika mana-mana penilaian dibuat dibawah seksyen 28 berhubung dengan apa-apa perbezaan yang terdapat pada keluasan tanah apabila pengukuran muktamad dibuat, maka hendaklah ditambah kepada amaun penilaian itu caj bayaran lewat dengan kadar lapan peratus setahun mulai dari tarikh tanah itu diambil milik (Penyerahan Borang K) atau pampasan itu dibayar, mengikut mana satu yang lebih awal;............

Tiada ulasan:

Catat Ulasan