Ahad, 25 Januari 2015

Isu Pengambilan Tanah

Soalan dibawah ini dikemukakan oleh seorang pegawai dari PTG Kedah berkaitan dengan paparan blog saya pada 18 Januari yang lalu. Soalan berbunyi berikut:

Bagaimana dengan kedudukan Borang K yang telah dikeluarkan dan disampaikan sejak sekian lama akan tetapi tidak diwasilkan ke dalam daftar hakmilik. Wasilan hanya dibuat setelah ianya disedari beberapa tahun setelah diserahkan borang tersebut. Adakah tarikh wasilan dikira pada tarikh semasa. Kalau tarikh semasa bagaimana kedudukan sewa/hasil tanah yang telah dijelaskan dalam tempoh sebelum wasilan. Sekiranya berlaku pindahmilik, adakah pemilik baru boleh menuntut apa-apa kerugian dari pihak yang bertanggungjawab kerana keluasan asal telah berubah.

Jika diperhatikan dari soalan yang dikemukakan, ianya bukan sahaja berlaku di Kedah tetapi berlaku juga dilain-lain negeri. Sebelum pandangan diberikan, terlebih dahulu saya nyatakan maksud perkataan 'wasilan'. Wasilan adalah istilah yang digunakan oleh pentadbiran tanah Negeri Kedah yang bermaksud 'ingatan/endorsan/catatan' 

Pandangan

Pada pandangan saya Borang K yang dikeluarkan dan diserahkan adalah SAH dan sepatutnya diendorskan sebaik sahaja dikeluar dan diserahkan seperti yang dikehendaki oleh seksyen 23 Akta Pengambilan Tanah. Endorsan yang telah dibuat kemudian juga adalah SAH tetapi ada implikasinya. Implikasi utamanya adalah membabitkan 'late payment charge' dibawah seksyen 32. Jika tuanpunya tanah berhak mendapat caj bayaran lewat, CAJ TERSEBUT BERKURANGAN KERANA IANYA DIKIRA MULAI TARIKH PENYERAHAN BORANG K dan BUKANNYA tarikh pengeluaran Borang K atau endorsan Borang K. 

Ini berdasarkan kes Koriah Bt Sudar v Pentadbir Tanah Kuala Langat [2013] 3 MLJ 695. Dalam kes ini Koriah tidak berpuashati dengan pampasan yang diawardkan dan membawanya ke Mahkamah, Mahkamah Tinggi menyebelahi Koriah dengan memberi pampasan tambahan sebanyak RM43,610. Koriah masih tidak berpuashati apabila Y.A Hakim tidak memerintahkan bayaran caj bayaran lewat kepadanya. Oleh sebab itu Koriah merayu ke Mahkamah Rayuan. Dalam penghakiman, Y.A memerintahkan:

Untuk caj bayaran lewat 8% Mahkamah bersetuju supaya dibayar berdasarkan pampasan tambahan RM43,610 mulai dari tarikh 5 Oktober 2000 (tarikh penyerahan Borang K) hingga 11 Julai 2012 (tarikh pampasan tambahan dikreditkan ke dalam akaun peguam perayu)

Mengenai cukai/hasil tanah, berdasarkan seksyen 25(1) Jika pengambilan melibatkan sebahagian lot, Pentadbir Tanah hendaklah menyemak cukai yang kena dibayar. Seksyen 25(2) pula menyatakan apabila sebahagian dari lot telah diukur semula, cukai yang kena dibayar hendaklah dikira semula. Ini bermakna BUKAN MENUNGGU SEHINGGA ENDORSAN BORANG K BARU PINDAAN CUKAI DIBUAT. Berdasarkan isu diatas, jika tuanpunya tanah masih membayar cukai tanah yang penuh walaupun pengambilan telah berlaku dan pindaan cukai tidak dibuat, sepatutmya pemilik tanah dipulangkan semula lebihan cukai tersebut dengan kadar segera tanpa menunggu endorsan dibuat atau ukuran baki lot telah selesai.

Mengenai pindahmilik pula, jika pindahmilik dibuat KEATAS KESELURUHAN LOT kerana endorsan tidak dibuat, penerima pindahmilik telah mengalami kerugian dan BELIAU BOLEH MENGAMBIL TINDAKAN MAHKAMAH KERANA TIDAK MEMATUHI KEHENDAK AKTA PENGAMBILAN TANAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan