Khamis, 1 Januari 2015

Isu Rujukan Ke Mahkamah

Minggu ini saya terima satu lagi persoalan yang berkaitan dengan 'pemilihan' orang berkepentingan apabila menerima Borang H.

 
Terlebih dahulu kita lihat Jadual kepada Borang H:
 
Saya, yang bertandatangan di bawah ................................................... dengan ini mangakui menerima tawaran yang tersebut di atas.

2. (a) Saya menerima tawaran itu*; dan

         (i) saya bersedia untuk hadir di Pejabat Tanah pada apa-apa tarikh ditetapkan untuk menerima bayaran dalam wang tunai/cek/kiriman wang*; atau

         (ii) saya meminta amaun sewajarnya itu dihantar kepada saya melalui cek/kiriman wang ke alamat yang tersebut di atas*

    (b) Saya menerima tawaran itu dengan bantahan*

    (c) saya tidak menerima tawaran itu*


Bertarikh pada .......................... haribulan .......................


*Potong yang tidak berkenaan


Berdasarkan petikan Jadual di atas, orang yang berkepentingan mempunyai 3 pilihan. Jika ia memilih (a) bermaksud ia menerima tawaran amaun pampasan seperti yang tercatat di dalam Borang H tersebut.

Jika ia memilih (b) bermakna ia bersetuju menerima tawaran amaun pampasan yang tercatat di dalam Borang H dan dalam masa yang sama ingin membuat bantahan (Akan kemukakan Borang N) kerana menganggap amaun tersebut tidak memadai

Jika ia memilih (c) bermakna ia enggan menerima tawaran tersebut

Isu yang dibangkitkan adalah jika orang berkepentingan memilih (c) boleh atau tidak ia membuat bantahan ke Mahkamah.


JAWAPANNYA TIDAK BOLEH

Ini berdasarkan kepada seksyen 30 Akta Pengambilan Tanah seperti berikut:

Walau apa pun peruntukan yang terkandung dalam seksyen 29 -

(a) mana-mana orang yang berkepentingan boleh menerima bayaran dengan memprotes tentang kecukupan amaun itu;

(b) mana-mana orang yang telah menerima bayaran apa-apa amaun yang diawardkan selain daripada dengan memprotes tidaklah berhak menghendaki supaya tuntutannya dirujukkan kepada Mahkamah  dibawah seksyen 37

Berdasarkan kepada seksyen 30 diatas, orang yang berkepentingan HENDAKLAH memilih (b) jadual kepada Borang H iaitu 'saya menerima tawaran itu dengan bantahan'. Jika memilih selain daripada itu ianya tidak berhak untuk merujuk kepada Mahkamah

Bukti boleh juga kita ambil daripada seksyen 37(1) itu sendiri:

'Mana-mana orang yang berkepentingan pada mana-mana tanah dijadualkan yang, menurut apa-apa notis dibawah seksyen 10 atau 11, telah membuat tuntutan kepada Pentadbir Tanah dalam masa wajar dan masih belum menerima award yang dibuat oleh Pentadbir Tanah tentang tanah itu, atau telah menerima bayaran sebanyak amaun yang diawardkan dengan memprotes tentang kecukupan award itu boleh, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen ini, membuat bantahan terhadap -'

Isu diatas juga  boleh kita rujuk kepada penghakiman dalam kes Zainal Abidin bin Yaakub v Pentadbir Tanah Melaka Tengan [1996] 5 MLJ 579 seperti dibawah:

(1) Hak untuk membuat bantahan adalah diperuntukkan dalam s 37 Akta tersebut dan syarat-syarat yang diperuntukkan dalam seksyen tersebut mesti dipatuhi sebelum tuan tanah berhak membuat sebarang bantahan.

(2) Seksyen 30(b) Akta tersebut yang mandatori dan yang merupakan asas hak seseorang untuk membuat bantahan kepada ganti rugi tersebut memperuntukkan bahawa sesiapa yang telah menerima bayaran mana-mana jumlah yang telah diawardkan melainkan atas bantahan, tidak akan berhak meminta supaya tuntutannya dirujuk kepada Mahkamah. Maka adalah jelas bahawa sebaik sahaja bayaran diterima melainkan atas bantahan, larangan dalam s 30(b) Akta tersebut akan beroperasi dan tuan tanah tersebut tidak akan berhak menukar fikirannya dan meminta supaya tuntutannya dirujuk di bawah s 38 Akta tersebut. Rasional s 30(b) Akta tersebut adalah sebaik sahaja seseorang tetah menerima suatu award tanpa bantahan, dia adalah diestopkan dari membuat bantahan selanjutnya berdasarkan doktrin pemilihan.

(3) Jikalau seseorang tuan tanah ingin menerima award atas bantahan, dia mesti memberitahu pemungut tersebut secara formal akan niatnya untuk berbuat demikian. Dia perlu mengisi jadual kepada Borang H yang merupakan notis award dan tawaran pampasan dan memulangkannya kepada pemungut tersebut.

Selanjutnya jika orang yang berkepentingan telah memilih (c) dalam jadual Borang H tersebut, Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan mengikut s 29(2) iaitu membuat permohonan ex-parte kepada Pendaftar Mahkamah dalam kamar, disokong dengan affidavit untuk medapatkan perintah bagi mendepositkan amaun yang diawardkan pada Mahkamah bagi memenuhi kehendak s29(1)(b)

 JADUAL KEPADA BORANG H JUGA PERLU DIPINDA:

i.    Masukkan bayaran melalui EFT
ii. Pilihan (c) patut dibuang kerana ianya mengelirukan dan amat jarang orang berkepentingan memilihnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan