Ahad, 26 April 2015

Isu Pengambilan Tanah

Saya ada menerima satu soalan melalui facebook berkaitan pengambilan tanah berkaitan dengan pengeluaran Borang K dari salah seorang pegawai JKPTG Negeri. Soalan berbunyi berikut: Bolehkan BORANG K dikeluarkan walaupun bayaran pampasan belum dibuat.

Pada pendapat saya soalan tersebut adalah soalan asas yang sepatutnya diketahui  oleh semua pihak terutama oleh pentadbiran tanahi kerana perkara ini menjadi kelaziman  kepada agensi pemohon yang ingin memasuki tanah dengan segera untuk menjalankan projek, tetapi malangnya ianya sering ditanya kepada saya sama ada di dalam kursus-kursus pengambilan, seminar dan ditanya melalui sms, telefon dan sebagainya.

Pandangan:

Borang K adalah ambil milik. Berdasarkan seksyen 22 Borang K mesti diserahkan kepada penduduk tanah yang terlibat, tuanpunya tanah jika dia bukan penduduk dan pihak berkuasa pendaftaran (unit pendaftaran). Apabila Borang K diserahkan kepada mereka, penduduk kena kosongkan bangunan, tuan tanah tidak berhak atas tanah dan unit pendaftaran kena daftar/endors. Disamping itu berdasarkan seksyen 55, agensi pemohon juga akan diberikan Borang K dan  Borang K telah diterima, agensi atau kontraktor bolehlah memasukki tanah tersebut dan menjalankan kerja.

Berdasarkan seksyen 18 pula:

Pentadbir Tanah boleh mengambil milik -

(a) mana-mana tanah yang berkenaan dengannya sesuatu award telah dibuat di bawah seksyen 14, milikan tanah itu di ambil pada waktu notis dalam Borang H disampaikan kepada penduduk anah itu atau pada bila-bila masa selepas itu;

(b) mana-mana tanah yang dinyatakan dalam Perakuan Kedesakan yang dikeluarkan di bawah seksyen 19, sama ada atau tidak apa-apa award telah dibuat berkenaan dengan tanah itu.

Berdasarkan seksyen di atas Borang K (ambil milik) boleh dibuat semasa atau selepas Borang H disampaikan kepada penduduk. Ini bermakna sebelum bayaran pampasan dibuat kepada orang yang berkepentingan (iaitu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penyampaian notis Borang H), Borang K boleh diserahkan kepada orang yang berkepentingan.

Selain daripada itu, Borang K (ambil milik) juga boleh dibuat untuk mana mana tanah yang disenaraikan di dalam Borang I (Perakuan Kedesakan) kerana berdasarkan kepada seksyen 19 apabila Pengarah Negeri mengeluarkan Borang I, pada atau selepas tamat tempoh lima belas hari dari tarikh notis awam Borang E ditampal, Pentadbir Tanah boleh mengeluar dan menyerahkan Borang K. Ini juga bermakna, Borang K boleh dikeluar dan diserahkan bukan sahaja sebelum pembayaran pampasan, bahkan sebelum siasatan di adakan.


SAYUGIA DIINGATKAN WALAUPUN BORANG K BOLEH DIKELUAR DAN DISERAHKAN SEBELUM PEMBAYARAN PAMPASAN DIBUAT, IANYA TERTAKLUK KEPADA SEKSYEN 32 IAITU AGENSI PEMOHON MESTI MEMBAYAR CAJ BAYARAN LEWAT DISAMPING PAMPASAN DAN PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MEMBERI PERHATIAN KEPADA PERKARA TERSEBUT.  OLEH YANG DEMIKIAN TERJAWABLAH PERSOALAN YANG DIKEMUKAKAN 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan