Ahad, 5 November 2017

Pengambilan Tanah Melibatkan Rizab Melayu

ISU :


Pengambilan tanah bagi tapak sistem bekalan air di atas Tanah Rizab Melayu. Pihak PTG mahu mengantikan TRM tersebut jika berlaku pengambilan di atas tanah TRM. Menurut Pekeliling pengantian dan pembatalan TRM - PTG Selangor 3/2015.

SOALAN :

1.   Adakah Rizab Melayu akan terbatal selepas pengambilan tanah?

2.   Adakah rizab-rizab selain TRM akan terbatal selepas Pengambilan tanah? Sebagai contoh Rizab Sekolah, Kawasan lapang dan tapak bekalan air?

3. Jika tidak terbatal, bolehkah dikekalkan TRM tersebut selepas pengambilan tanah bagi mengelakan pengantian TRM?

PANDANGAN TUAN JAIYA ABU

Undang2 Rizab Melayu seperti contoh Cap 142 dicipta oleh British pada awal abad ke 20. Di dalam Cap 142 RDM/PBN diberi kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan rizab Melayu. Ini termasuk tanah-tanah berimilik yang lebih awal telah diduduki oleh orang bukan Melayu. Kawasan yang diisytiharkan sebagai rizab Melayu juga termasuk tanah Kerajaan yang ada di dalamnya pelbagai kemudahan dan natural features seperti contoh jalan, padang, sekolah, hospital, hutan, sungai, pinggir pantai dsb. Sifat kawasan rizab Melayu yang hetrogenous. Ini bermakna kawasan yang diisytiharkan sebagai rizab Melayu bukanlah semestinya kawasan yang boleh didiami/diduduki secara eksklusif semata-mata. Justeru, dengan keadaan/ciri tanah yang pelbagai itu sekiranya terdapat tanah berimilik yang diambil di bawah APT untuk maksud atau kemudahan awam, maka pada saya pembatalan status TRM adalah tidak berkaitan selain tidak perlu. Apabila tiada pembatalan maka tiadalah penggantian sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, di Selangor PBN melalui Pekeliling PTG yang berkaitan telah mensyaratkan bahawa tanah berimilik yang terletak dalam kawasan rizab Melayu sekiranya diambil maka status perisytiharan tersebut perlu dibatalkan dan apabila dibatalkan maka sudah tentu hendaklah dibuat penggantian. Tanpa prejudis dengan keputusan Kjaan Sgor itu, saya membayangkan jika negeri Kelantan membuat perkara yang serupa dan dengan hampir 90% tanah di Kelantan adalah rizab Melayu, sekiranya ada tanah berimilik diambil cukupkah kawasan baki lk 10% di negeri itu untuk digantikan akibat dibatalkan kerana pengambilan? Bagaimana/sesuaikah baki tanah seluas 10% itu sekiranya didiami oleh orang bukan Melayu diisytiharkan sebagai kawasan ganti?

Pada saya tiada kesalahan/kekurangan/kelemahan dalam satu2 kawasan rizab Melayu untuk diwujudkan pelbagai kemudahan awam yang turut disokong oleh natural features seperti sungai, pantai dan laut. Ini semua adalah keperluan demi kelangsungan hidup orang Melayu dalam ekosistem yang ada.

Namun jika pengambilan tanah rizab Melayu adalah bertujuan untuk pembukaan kawasan penempatan atau pembangunan baharu yang bersifat inclusive bukan hanya kepada orang Melayu tetapi juga kepada yang bukan Melayu maka pada saya adalah logik status kawasan rizab Melayu itu dibatalkan dan dibuat penggantian.

Bagi soalan kedua, tanah rizab yang terdapat dalam kawasan yang bersekali dengan tanah berimilik yang diambil perlu dibatalkan perizabannya di bawah seksyen 64 KTN bergantung kepada jenis pembangunan yang hendak dilaksanakan selepas proses pengambilan selesai. Seperti contoh, rizab balairaya terlibat dengan jajaran jalan raya yang hendak dibina maka rizab balai raya itu perlu dibatalkan di bawah sek 64 KTN.

Bagi soalan ketiga, pada saya status TRM boleh dikekalkan walaupun tanah berimilik pegangan Melayu di dalamnya diambil di bawah APT. Lebih-lebih lagi jika pengambilan tanah itu adalah untuk maksud dan kemudahan awam.

PANDANGAN SAYA:

Oleh kerana isu yang dibangkitkan melibatkan Tanah Rizab Melayu di negeri Selangor, maka PEKELILING TERSEBUT MESTI DIPATUHI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan