Rabu, 8 Ogos 2012

Khas Untuk Orang Berkepentingan di Pengerang

Hari ini kita sambung kembali perbincangan mengenai pengambilan tanah di Pengerang Johor.

Tajuk yang diutarakan hari ini dirasakan amat berguna kepada mereka-mereka yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut, sama ada yang bersetuju tanah mereka diambil ataupun kepada mereka yang tidak bersetuju kerana dari maklumat yang saya perolehi, oleh kerana terlalu marah ada di antara mereka yang enggan menerima sebarang notis dari Pejabat Tanah bahkan yang lebih marah lagi ada yang mengoyak terus notis tersebut.

Hari ini kita akan membicarakan tentang hak-hak 'orang yang berkepentingan' apabila tanah mereka terlibat dengan pengambilan tanah mengikut Akta Pengambilan Tanah, 1960.

Tafsiran perkataan 'Orang Yang Berkepentingan'

Mengikut seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah, 1960, orang berkepentingan bermaksud tiap-tiap yang menuntut sesuatu kepentingan pada pampasan yang dibuat kerana pengambilan tanah. 'Suatu Kepentingan' itu berkemungkinan tuntutan kerana sebagai tuan punya tanah, tuan punya rumah/bangunan {rumah kediaman/kandang haiwan}, pemajak tanah, penyewa tanah, pemegang gadai, pemasuk kaveat, orang yang memberi lien.


HAK ORANG YANG BERKEPENTINGAN

1.    Boleh memeriksa pelan tanah, kawasan dan binaan-binaan yang terlibat di Pejabat Tanah

2.    Mesti DIBERIKAN Borang E iaitu notis siasatan dari Pejabat Tanah dan mesti hadir ke tempat yang ditetapkan. Jika tidak hadir, bantahan TIDAK BOLEH dibuat ke Mahkamah. Jika enggan terima Borang E, pengambilan akan diteruskan. Pentadbir Tanah boleh membuat perintah secara 'ex-parte' {tanpa kehadiran orang berkepentingan}

3.   Mesti mendapat jumlah pampasan yang adil dan berpatutan mengikut Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

4.     Mesti membuat tuntutan pampasan secara lisan atau bertulis kepada Pentadbir Tanah yang menjalankan siasatan pengambilan tanah dalam bulan September nanti. Jika tuntutan tidak dibuat, perintah yang dibuat oleh Pentadbir Tanah adalah MUKTAMAD

5.      Boleh mendapatkan khidmat Penilai Swasta dan bayaran yang dibuat kepada penilai tersebut boleh dituntut kembali kepada Pentadbir Tanah (dengan bukti bayaran yang dibuat) semasa menghadiri siasatan pengambilan tanah

6.      Boleh menuntut dan diberi pampasan kerosakan, pecah pisah terhadap tanah. Ini dibolehkan jika pengambilan hanya melibatkan sebahagian tanah sahaja.

7.     Menuntut lain-lain kos seperti menukar tempat kediaman {pindah rumah atau perniagaan}, kos perjalanan, mengangkut barang/haiwan, menyewa rumah {jika tidak disediakan}, kos hadir siasatan.

8.       Boleh melantik wakil atau ejen mewakili mereka TETAPI PERLANTIKAN MESTI BERTULIS

9.       Orang berkepentingan boleh menerima, menerima dengan bantahan atau menolak pampasan yang ditawarkan. Pemilihan mesti dibuat selepas menerima BORANG H (Tawaran Pampasan yang akan diberi dalam 2 salinan). Menerima dengan bantahan bermaksud 'pempasan diterima tetapi ingin membantah ke Mahkamah'

10.      Boleh membuat bantahan ke Mahkamah Tingga jika tidak bersetuju dengan pampasan yang diberikan. Antara syaratnya bantahan mesti melalui Pejabat Tanah dengan menggunakan BORANG N dan diserahkan dalam tempoh 6 minggu dari tarikh perintah dan  bayar deposit 

11.      Pampasan mesti dibayar kepada semua orang berkepentingan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh terima BORANG H. Jika melewati tempoh tersebut, orang berkepentingan uakan dibayar caj bayaran lewat 8% setahun. Jika enggan terima pampasan, wang pampasan akan disimpan di Mahkamah dan pengambilan diteruskan

12.       Setelah bayaran pampasan dibuat, tuan tanah/orang berkepentingan akan di berikan BORANG K. Apabila Borang di serahkan, pemilik tanah MESTI MENGOSONGKAN TANAHNYA.

Diharapkan penerangan secara ringkas ini dapat membantu semua orang berkepentingan di Pengerang mendapat maklumat yang betul mengenai hak-hak meraka apabila tanah mereka diambil. Saya tidak mahu mereka yang tidak mengetahui secara mendalam Akta Pengambilan Tanah akan diambil kesempatan oleh mereka-mereka yang ada kepentingan tertentu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan