Minggu lepas saya dijemput oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor memberi ceramah pengambilan tanah yang berlangsung di Hotel City Bayview Pulau Langkawi. Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada pihak urus setia dan semua peserta kursus kerana tekun mendengar dan bersoal jawab sehingga ke pukul 12 tengah malam pada hari pertama walaupun pada siangnya adalah waktu perjalanan mereka dari Johor dan saya dari Tanjung Malim. Inilah kali pertama saya berceramah hingga ke dinihari, tetapi berpuas hati kerana sambutan tersebut.
Saya amat berpuashati kerana banyak persoalan diajukan dapat diselesaikan dan saya juga berasa bangga kerana pandangan yang telah saya berikan pada kursus yang lalu (di Cameron Highlands) iaitu berkaitan dengan tanah-tanah yang dipunyai oleh MAIJ telah diambil tindakan sewajarnya. Saya dimaklumkan semua tanah-tanah MAIJ yang diperolehi secara permohonan atau pengambilan telahpun dipohon untuk dapatkan HAKMILIK termasuk tanah tanah yang dijadikan kubur, berbeza dengan negeri lain, tanah kubur tidak diberikan hakmilik tetapi di RIZAB kan
Semasa di Langkawi saya terima satu persoalan 'Tanah diwartakan pengambilan dibawah seksyen 4 pada Oktober 2011, seterusnya diwartakan dibawah seksyen 8 pada bulan Julai 2012. Pemilik tanah tersebut telah membuat gadaian tanahnya kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad selepas tanah diwartakan dibawah seksyen 4 untuk mendirikan sebuah bangunan dan semasa siasatan dijalankan tuan tanah memaklumkan bangunan tersebut telahpun siap'.
Persoalannya tuan tanah dan pemegang gadai memohon supaya bayaran pampasan diberikan untuk rumah yang telah siap dibina.
Pandangan:
Di dalam Akta Pengambilan Tanah, tidak terdapat halangan terhadap tuanpunya tanah yang ingin menjalankan urusniaga atau membangunkan tanah-tanah mereka walaupun tanah-tanah tersebut telah diwartakan dibawah seksyen 4 ataupun seksyen 8. Ini diperkuatkan lagi oleh Perenggan 1(1C) Jadual Pertama yang menyatakan hanya nilai transaksi penjualan selepas warta sahaja tidah boleh diambil kira
Perenggan 1 (3A) Jadual Pertama pula menyatakan 'Nilai mana-mana bangunan di atas mana-mana tanah yang hendak diambil tidak boleh diambil kira bahawa jika bangunan itu tidak dibenarkan atas alasan -
(a) kategori kegunaan tanah; atau
(b) syarat nyata, sekatan atau syarat tersirat
Kesimpulannya, berdasarkan kenyataan diatas, nilai bangunan yang telah didirikan itu MESTI DIBAYAR pampasan. Kepada siapa pampasan itu perlu dibayar adalah berdasarkan keputusan di dalam siasatan pengambilan tanah. Jika nilai bangunan lebih daripada pinjaman yang dibuat, baki mesti dibayar kepada peminjam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan