Rabu, 19 Disember 2012

Lawatan Ke Pengerang


Setelah beberapa kali tertangguh untuk memenuhi sasaran kerja tahunan Seksyen Perundangan itu 'Kajian Prosedur Pengambilan Tanah Di Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang', Saya bersama beberapa orang pegawai dari Seksyen Perundangan Tanah, Institut Tanah dan Ukur Negara berkesempatan berkunjung ke Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang (Bandar Penawar) dan ke Pengerang itu sendiri mulai 16 Disember hingga 18 Disember 2012 yang lalu.

Ini adalah kali ketiga saya sampai ke Bandar Penawar khasnya dan ke Daerah Kecil Pengerang amnya. Kali pertama saya dijemput untuk memberi ceramah perundangan tanah oleh pihak KEJORA. Pada ketika itu Lebuhraya Senai - Desaru masih dalam proses pembinaan. Kali kedua saya dijemput oleh Prof. Madya Dr. Ismail Omar (UTM) bersama dengan Prof. Salleh Buang memberi taklimat prosedur pengambilan tanah untuk Pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah, penilai kerajaan, penilai berlesen dan KEJORA. Pada ketika itu Projek Terminal Petroleum Laut Dalam dan Projek RAPID baru selesai pewartaan dibawah seksyen 4.

Mengikut program yang telah dirancang, hari pertama Ahad 16 Disember adalah hari perjalanan ke Bandar Penawar dan menginap di Pelangi Balau Resort. Program bermula pada hari kedua Isnin 17 Disember pukul 8.30 pagi, taklimat pengambilan tanah untuk projek Terminal Petroleum, projek RAPID dan keseluruhan projek pembangunan di kawasan berkenaan akibat projek-projek tersebut di dewan menyuarat Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang. Walaupun ringkas,  (kerana semua pegawai terlibat dengan proses siasatan pada pukul 9.30 pagi hari yang sama), kami semua dapat memahami projek tersebut dan mengetahui kenapa Pengerang dipilih. Jutaan terima kasih diucapkan atas sambutan yang diberikan.

Mulai pukul 9.30 pagi, dengan tiga kenderaan iaitu Pajero Pejabat Tanah, Waja INSTUN dan kenderaan saya sendiri, kami memulakan lawatan ke kawasan pengambilan tanah untuk projek terminal  petroleum dan 'relocation area' di Pengerang. Kami dibawa meninjau kawasan tanah yang akan dikurniakan kepada pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan (sedang dibangunkan), kemudian kawasan penempatan perkuburan baru yang moden (hampir siap) dan seterusnya ke kawasan perumahan baru (bangunan sedang didirikan) untuk tuanpunya rumah yang terlibat dengan pengambilan.

Selesai disitu, kami dibawa meninjau sekitar  kawasan terminal petroleum (oleh pihak kontraktor) yang sedang dibangunkan di atas kawasan tambakan laut di Tanjung Ayam. Akhirnya kami dibawa ke keseluruhan kawasan Pengerang yang terlibat dengan pengambilan tanah termasuk kampung-kampung yang terlibat, masjid, sekolah, perkuburan.

Pada sebelah petang setelah selesai makan tengahari disebuah restoran terapung (amat sedap dan menyelerakan) dan bersolat dimasjid Penawar, mulai 2.30 hingga 4 petang kami dibawa ke Kompleks Rakan Muda (yang dijadikan tempat operasi siasatan pengambilan tanah untuk projek ini) yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan, melihat proses sebelum siasatan pengambilan tanah dan tindakan seterusnya (sungguh teratur). Di situ walaupun saya tidak mengenakan 'tanda nama' tetapi ada juga tuanpunya tanah dan penilai swasta yang mengenali saya.  SYUKUR ALHAMDULILLAH

PANDANGAN SAYA

Setelah mendengar  taklimat yang diberikan dan melawat keseluruhan kawasan yang terlibat dengan pengambilan tanah tersebut saya dapat merumuskan:

1.     Pengambilan tanah di kawasan tersebut MEMBERI KEUNTUNGAN BESAR KEPADA SEMUA MEREKA YANG TERLIBAT KHASNYA, NEGERI JOHOR DAN MALAYSIA AMNYA.

2.     Dapat memajukan kawasan Pengerang kerana hampir keseluruhan kawasan yang diambil, agak ketingggalan sama seperti kampung-kampung tradisional yang lain kerana faktor penghijrahan jenerasi baru ke kawasan bandar.

3.     Pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kecil Pengerang yang mengendalikan proses pengambilan tanah untuk projek ini dapat mempelajari secara mendalam proses pengambilan tanah mengikut peruntukan undang-undang dan dapat mengenalpasti masalah yang timbul seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikannya. Akhir nya DIHARAPKAN MEREKA  DAPAT MEMBERI PANDUAN DAN TUNJUK AJAR YANG BERGUNA BERKAITAN DENGAN PENGAMBILAN TANAH KEPADA PEGAWAI-PEGAWAI LAIN YANG BERKHIDMAT DIPENTADBIRAN TANAH SELURUH NEGERI JOHOR KHASNYA.

TAHNIAH DAN SYABAS DAPAT SAYA UNGKAPKAN KEPADA KESEMUA PEGAWAI DAN KAKITANGAN YANG TERLIBAT DENGAN PROSES PENGAMBILAN INI KERANA JIKA DI PERAK UMPAMANYA, KERAJAAN PERSEKUTUAN MENUBUHKAN UNIT KHAS  BERGERAK UNTUK MENYELESAIKAN PROJEK IADP (IADA) KERIAN SUNGAI MANIK YANG MELIBATKAN PENGAMBILAN SEBAHAGIAN DARIPADA 10000 LOT DAN KERAJAAN NEGERI PULA MENUBUHKAN UNIT LEBUHRAYA UNTUK MEMPROSES PENGAMBILAN TANAH PROJEK LEBUHRAYA UTARA SELATAN, TETAPI UNTUK PROJEK PENGERANG INI PEGAWAI DAN KAKITANGAN YANG SEDIA ADA MENGURUSKAN PENGAMBILAN TANAH DAN DALAM MASA YANG SAMA MENJALANKAN TUGAS HAKIKI MASING-MASING

Tiada ulasan:

Catat Ulasan