Isnin, 3 Jun 2013

Rampasan Tanah : Antara Persepsi dan Realiti


RENCANA YANG SAYA PAPARKAN INI SAYA PETIK DARIPADA RENCANA 'TANAH OH TANAH SIRI KE 28' HASIL PENULISAN TUAN SUHAIMI BIN MAMAT, SUB TANAH UKUR DAN PEMETAAN KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR UNTUK PENGETAHUAN KITA BERSAMA.

KISAH PERTAMA

Akhbar Sinar Harian 5 Februari 2013 melaporkan kemelut pemberimilikan tanah bagi tujuan pertanian di Kampung Lindur, Tanjong Karang, Selangor kian memuncak apabila senarai nama pemohon yang berjaya dibantah peneroka asal berikutan nama mereka tidak tersenarai. Peneroka asal, Mohd Roslan Takrep, 53, kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh pihak terbabit meskipun beberapa permohonan sebelum ini yang dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan tidak diendahkan. Menurutnya, jika pihak terbabit menyatakan peneroka asal tidak membuat permohonan mengikut prosedur, pihaknya mempunyai bukti resit pembayaran premium dan surat permohonan yang dibuat demi menegakkan keadilan. “Bagaimana nama individu yang tidak pernah mengusahakan tanah di kawasan ini boleh berjaya sedangkan peneroka asal sendiri dipinggirkan walaupun permohonan dibuat sejak 1981?. “12 peneroka asal sudah buat permohonan pada 1981 tetapi dibatalkan pada 1985 kerana Pentadbir Tanah menghadkan 0.8 hektar tanah sahaja bagi setiap seorang peneroka menyebabkan permohonan kedua dibuat pada 1987," katanya. Seorang lagi penduduk, Rosiah Hassan, 45, berkata, pihaknya akan berjuang menuntut tanah yang diusahakan ibu bapanya sejak kawasan itu masih hutan lagi. “Banyak modal dikeluarkan untuk buat ban di sekeliling tanah seluas 24 hektar itu bagi mengelakkan banjir sehingga terpaksa jual harta pusaka.  Mohd Yahya Mat Sahri berkata, “Pihak peneroka perlu memeriksa kebenaran tarikh kelulusan pemberimilikan memandangkan pihak terbabit mengeluarkan hak milik kepada pemohon yang berjaya dan sudah menjelaskan premium. “Sedangkan peneroka yang pernah bayar premium dan memohon mengikut prosedur yang ditetapkan tidak tersenarai sebagai penerima hak milik gara-gara didakwa namanya disenaraihitamkan," katanya.

KISAH KEDUA

utusankelantan@utusan.com.my 26 Mac 2013 pula melaporkan lebih 400 peneroka di Kampung Air Naga kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Ulu Bertam, Tanah Merah, Kelantan berada dalam dilema kerana bimbang tanah seluas 3.2 hektar yang menjadi tapak rumah dan ladang yang diusahakan sejak 1984 akan diambil oleh kerajaan negeri. Lebih menyedihkan, 49 daripada mereka yang menerima tawaran pemilikan tanah dan telah pun membayar sejumlah wang sebagai bayaran premium masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri tentang status tanah tersebut. Seorang peneroka, Mohd. Abdullah Mohamad, 59, mendakwa, pada julai tahun lalu, Pejabat Tanah Jajahan Tanah Merah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Wan Yussof Wan Mustafa datang berjumpa penduduk untuk menawarkan geran tanah. Namun dakwanya, penduduk perlu membayar sebanyak RM1,654.00 sebagai bayaran premium dan mereka dimaklumkan proses pengeluaran geran mengambil masa selama tiga bulan. Bagaimanapun dakwanya, selepas sebulan, penduduk diminta supaya membayar pula bayaran tambahan dengan jumlah tertentu dan nilainya berbeza-beza, ada bernilai RM373.00 dan RM316.00 namun masih tiada kerja mengukur tanah dijalankan. Seorang peneroka, Hussin Mahmood, 53, mendakwa, dia yang menanti geran tanah sejak 20 tahun lalu telah mengikut kehendak kerajaan negeri dan membayar sejumlah wang yang diminta dengan harapan pemberian geran akan disegerakan. "Saya membayar premium ini, kemudian kerajaan negeri meminta lagi bayaran tambahan tetapi geran masih tidak diberikan. Saya bimbang mereka hanya bermain 'tarik tali' dengan penduduk dan terus meminta bayaran tetapi geran tidak diberikan," dakwanya. Wan Mah Wan Jusoh, 70, pula mendakwa, dia telah mengusahakan tanah di situ hampir 30 tahun dengan tanaman getah dan berharap kerajaan negeri segera memberikan geran. Katanya, dia bimbang sekiranya geran masih tidak diberikan, kerajaan negeri akan merampas hak mereka itu untuk diberikan kepada syarikat luar sebagaimana yang berlaku di beberapa kawasan di Hulu Kelantan ini. "Sudah banyak tanah di kawasan lain di Hulu Kelantan ini diberikan kepada syarikat luar, saya bimbang sekiranya kami masih lagi tidak mempunyai geran, tanah ini juga akan diserahkan kepada orang luar.

KISAH KETIGA
Sinar Harian 22 Februari 2013 turut melaporkan isu yang sama. Kira-kira 200 petani yang mengusahakan tanaman di pesisir Sungai Kelantan di Pasir Pekan Hilir, Tumpat, mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa menjual tanah pertanian yang diusahakan sejak 30 tahun lalu, kepada pihak tertentu. Kawasan pertanian tersebut terletak kira-kira lima kilometer dari Lembah Sireh, sebuah kawasan pertanian yang terletak di daerah Kota Baharu yang kini dimajukan untuk projek pembangunan.  Para petani yang mendakwa tanah pertanian lebih 400 hektar tersebut yang dijual sejak dua tahun lepas, kini bingung memikirkan nasib mereka jika pihak berkenaan bakal membangunkan tanah tersebut untuk pelbagai projek infrastruktur. Bukan itu sahaja, petani tersebut turut mendakwa beberapa lot tanah yang didirikan rumah penduduk yang telah dibayar premium sejak beberapa tahun lepas turut dijual kerajaan negeri kepada pihak tertentu. Seorang penduduk, Mohd Hussin Ishak, 60, berkata beliau telah membayar kira-kira RM1,000.00 sebagai bayaran premium untuk satu lot tanah yang telah dibina rumah, namun terkejut apabila diberitahu sebahagian daripada lot tanah rumah yang dibinanya telah dijual.  "Saya bina rumah tersebut pada 1989 dan bayar sewa sebanyak RM6.00 setahun. Saya juga turut bayar RM1,000.00 untuk premium tanah, namun diberitahu sebahagian daripada lot rumah saya telah dijual kepada pihak tertentu. "Di mana saya harus tinggal selepas ini jika tanah tersebut dirampas oleh pihak yang membeli tanah tersebut sedangkan ia adalah satu-satunya tanah yang saya miliki," katanya.

KISAH KEEMPAT
http://www.malaysiakini.com/bm 29 Mac 2011 melaporkan bahawa sekumpulan peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Jeram Tekoh, dekat Gua Musang mendakwa tanah mereka dirampas kerajaan Kelantan menerusi pengeluaran geran baru kepada individu lain. Hari ini kumpulan yang terdiri kira-kira 100 orang itu berpiket secara aman bagi menghalang pemilik geran memasuki ladang getah seluas 479 hektar tersebut dan mengutip hasil. Ketua peneroka RKT itu Abdul Aziz Mohamad berkata peneroka terbabit hanya mempertahankan hak mereka memandangkan tanah tersebut telah diserahkan Kesedar kepada mereka sejak 1995. "Namun setakat ini sudah ada 26 individu tertentu termasuk dari jajahan Tumpat memiliki geran tanah terbabit dan kerajaan negeri dalam proses mengeluarkan 30 geran lagi termasuk 10 dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama. Tindakan kerajaan negeri itu menyebabkan individu yang berkenaan datang ke ladang getah tersebut sekalipun tidak tahu sempadan tanah yang dikatakan milik mereka, katanya. Beliau yang mewakili peneroka terbabit turut meluahkan rasa hairan dengan sikap kerajaan negeri yang dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan geran tersebut kepada pihak yang tidak berkenaan. Ini kerana katanya, Kesedar telah membayar premium tanah tersebut kepada kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu. "Kita tidak akan menyerah secara mudah tanah ladang getah itu kepada orang yang menerima geran hak milik kerana mereka bukan pada kalangan peneroka RKT Kesedar terbabit," katanya. Sementara itu, Pengurus Besar Kesedar Mohd Arshad Ismail yang dihubungi mengaku pihaknya telah membuat bayaran premium hampir RM500,000.00 beberapa tahun lepas setelah diarahkan kerajaan negeri - Bernama

KISAH KELIMA

www.hmetro.com.my 2 Mac 2013 You +1'd this publicly melaporkan bahawa seramai 179 keluarga peneroka dari Kampung Seri Aman, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan proses dan keputusan cabutan undi dalam kalangan pemohon baru untuk lot tanah itu. Permohonan itu difailkan wakil penduduk, Balakrishnan Subramaniam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, menerusi firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners. Mereka menamakan kerajaan Selangor, Pegawai Daerah Kuala Selangor serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga. Peguam Kamarudin Ahmad ketika ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan itu berkata, semua peneroka asal berkenaan menduduki lot tanah di Kampung Seri Aman lebih 60 tahun. “Mereka mendakwa Pejabat Tanah Kuala Selangor menerusi surat bertarikh 14 Februari lalu memanggil pemohon baru untuk membuat cabutan undi bagi memiliki lot tanah di kampung itu. “Dalam permohonan itu, anak guam saya mendakwa kerajaan negeri pada 2007 meluluskan permohonan mereka untuk memiliki lot tanah itu menerusi surat bertarikh 18 April 2007,” katanya. Menurutnya, peneroka asal berkenaan menyatakan cabutan undi untuk pemohon baru memberi implikasi bahawa kerajaan Selangor membatalkan kelulusan lot tanah itu yang sudah diberi kepada mereka. Beliau berkata, dalam permohonan itu, anak guamnya turut mendakwa segala usaha mereka untuk membayar premium tanah bagi lot tanah itu dihalang Pejabat Tanah Kuala Selangor sejak 2008.

 KISAH KEENAM
Apple-biru.blogspot.com menulis sekumpulan lebih 300 orang rakyat marhaen dari Kampung Sungai Badong, Kuala Betis bangkit memprotes tindakan Kerajaan Kelantan merampas tanah yang diusahakan mereka sejak berpuluh tahun lalu untuk diberikan kepada syarikat swasta. Sukar untuk mereka terima hakikat bagaimana mungkin tanah seluas 378.8 hektar yang telah mereka usahakan sekian lama dengan tanaman getah, kelapa sawit dan lain-lain tanaman tiba-tiba sahaja bertukar hak milik sejak 5 bulan lalu. Segala wang ringgit berupa duit deposit, cukai dan premium tanah yang telah dilangsaikan kepada Pejabat Tanah bagaikan menjadi debu, sia-sia sebegitu sahaja tanpa sebarang makna.

PERSOALAN : ADAKAN PIHAK BERKUASA NEGERI (PBN) BOLEH MEMBATALKAN KELULUSAN PEMBERIMILIKAN TANAH (ALIENATION)  WALAUPUN PREMIUM, CUKAI TANAH BAGI TAHUN PERTAMA, UPAH UKUR SEMPADAN DAN BAYARAN PERSEDIAAN DAN PENDAFTARAN DOKUMEN HAK MILIK TELAH DIBAYAR OLEH PEMOHON MELALUI BORANG 5A KANUN TANAH NEGARA (KTN).
Perkara yang menjadi isu dalam petikan laporan akhbar di atas adalah, adakah PBN boleh membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah walaupun premium, cukai tanah bagi tahun pertama, upah ukur sempadan dan bayaran persediaan dan pendaftaran dokumen hak milik telah dibayar oleh pemohon melalui Borang 5A KTN. (Borang 5A [Seksyen 81 dan 82] Kanun Tanah Negara 1965 adalah suatu pemberitahuan kelulusan permohonan tanah).

  
HUJAH PERTAMA
Jika soalan ini diajukan kepada pihak-pihak, jawapannya berbeza. Ada yang memberi  jawapan tidak boleh. PBN tidak mempunyai kuasa bagi membatalkan pemberimilikan tanah yang telah diluluskan olehnya kepada pemohon setelah pemohon membayar premium dan lain-lain seperti yang dinyatakan dalam Borang 5A. Hujahnnya:
(i)                 oleh kerana pemohon telah membayar premium dan cukai tanah seperti yang disyaratkan bagi tujuan pemberimilikan melalui Borang 5A KTN, maka PBN dan Pentadbir Tanah telah terikat untuk mengeluarkan suratan hak milik kepada pemohon dan tidak lagi boleh membatalkan pemberimilikan (alienation) tanah berkenaan. PBN terikat kepada keputusan sebelumya;

(ii)               peruntukan seksyen 80 KTN hendalah dibaca bersama dengan seksyen 180 KTN yang merupakan peruntukan bersifat mandatori yang bermaksud sebaik sahaja premium bagi pemberimilikan tanah dibayar maka secara automatik surat hak milik perlu dikeluarkan oleh Pendaftar/PTD. Seksyen 80 dan seksyen 180(1) KTN menggunakan perkataan shall yang bermaksud sebaik sahaja bayaran bagi Notis Borang 5A dibuat, maka hak milik sementara (qualified title - QT) hendaklah dikeluarkan kepada pemohon. Bagi menyokong hujah ini, maksud perkataan shall telah dijelaskan dalam  kes Lau Keen Fai  vs Lim Ban Kay @ Lin Chiam Boon & Anor [2012] 2  MLJ 8;

(iii)             keputusan PBN membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah setelah premium, cukai tanah bagi tahun pertama, upah ukur sempadan dan bayaran persediaan dan pendaftaran dokumen hak milik telah dibayar oleh pemohon melalui Borang 5A KTN adalah salah dari segi fakta dan undang-undang. Ini kerana pelupusan secara pembermilikan (alienation) itu adalah satu proses yang bermula dari satu kelulusan yang diberi oleh PBN dan tamat dengan pendaftaran dan memberi surat hak milik;

(iv)              pemohon mempunyai legitimate expection untuk pemberimilikan setelah Borang 5A dijelaskan. Kegagalan PBN untuk kira legitimate expectation adalah sesuatu yang salah dari segi fakta dan undang-undang;

(v)                pemohon telah mendapat beneficial interest sebaik sahaja permohonannya diluluskan oleh PBN dan setelah notis bayaran melalui Borang 5A telah dijelaskan. Ini bermakna, PBN telah terikat secara kontraktual di bawah prinsip undang-undang kontrak dan suatu kontrak  telah terbentuk. PBN tidak boleh memungkiri kontrak dan tidak boleh lagi membuat keputusan untuk membatalkan kelulusan yang telah diberikan kerana pemohon telah memenuhi syarat dan terma yang dinyatakan dalam Borang 5A KTN.

Kes North East Plantations Sdn Bhd v District Land Administration, Dungun & Anor[2010] MLJ 413 boleh dijadikan hujah. Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan melalui penghakiman oleh YA Mohd Hishamudin Yunus memutuskan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu  tidak   mempunyai  kuasa  bagi membatalkan pemberimilikan  lapan  lot tanah  yang telah  diluluskan olehnya kepada pemohon.  Oleh yang demikian tidak terdapat sebarang alasan untuk pembayaran premium  pemohon yang  telah  diserahkan  kepada Pentadbir Tanah ditolak. Dengan itu surat hak milik hendaklah dikeluarkan kepada pemohon. Mahkamah Rayuan juga memutuskan pemohon mempunyai ekspektasi yang sah untuk suratan hak milik bagi lapan lot terlibat dikeluarkan setelah kelulusan pemberimilikan tanah terlibat diberikan kepada mereka oleh PBN. Tidak ada peruntukan dalam KTN yang membolehkan pembatalan proses pelupusan secara pemberimilikan (alienation) terutama setelah Borang 5A dikeluarkan dan segala bayaran yang dituntut telah dijelaskan. Segala syarat dan terma yang dinyatakan dalam Borang 5A telah dilaksanakan.

HUJAH KEDUA
Di pihak yang lain pula akan memberikan hujah yang sebaliknya. Walaupun premium telah dibayar, PBN masih boleh menolak atau membatalkan pemberimilikan dan mengembalikan semula premium yang telah dibayar kerana:
(i)    sesuatupemberimilikan tanah kerajaan hanya menjadi sempurna setelah suratan hak milik didaftarkan. Selagi nama pemohon belum didaftarkan sebagai pemilik berdaftar, maka tanah terlibat masih terus kekal sebagai tanah kerajaan dan PBN bebas berurusan atau melupuskannya, walaupun pemohon telah membayar premium. Seksyen 78(3) KTN menyatakan bahawa tanah yang diluluskan bagi pemberimilikan masih terus kekal menjadi tanah kerajaan selagi tanah tersebut belum didaftarkan atas nama pemohon. Berdasarkan kepada peruntukan tersebut, pihak PBN mempunyai kuasa  untuk  membatalkan  keputusan  pemberimilikan atau  tidak  meneruskan pemberimilikan tanah kepada pemohon walaupun premium sudah dibayar melalui Borang 5A KTN.

(ii)    keputusan penolakan pemberimilikan tanah merupakan suatu yang bersifat mala fide oleh PBN. Justeru itu, sama ada premium tanah telah dibayar atau belum dibayar, ianya tidak mengubah prinsip undang-undang yang mantap bahawa PBN mempunyai kuasa untuk membatalkan pembermilikan selagi pendaftaran suratan hak milik belum dikeluarkan. Doktrin jangkaan sah tidak boleh mengatasi kuasa-kuasa statutori PBN dalam perkara pemberimilikan tanah;

(iii)       hak ekpektasi atau jangkaan munasabah tidak boleh mengatasi kuasa-kuasa statutori yang diberikan kepada PBN yang terdapat di bawah KTN. Expectation ini tidak boleh mengatasi kuasa PBN dalam polisi berkaitan pemberimilikan tanah kerajaan.

(iv)              memang betul Mahkamah Rayuan dalam kes North East Plantations Sdn Bhd v District Land Administration, Dungun & Anor [2010] MLJU 413 melalui penghakiman oleh YA Mohd Hishamudin Yunus telah memutuskan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri  Terengganu  tidak   mempunyai  kuasa  bagi membatalkan pemberimilikan  lapan  lot  tanah  yang telah  diluluskan olehnya kepada pemohon. Bagaimanapun keputusan tersebut telah diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan ([2011] 4 CLJ 729). Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman oleh YAA Alauddin Mohd Sheriff PMR mengatakan dan memutuskan seperti berikut:
Seksyen 78(3) KTN memperuntukkan seperti berikut:
“78(3) The alienation of State land shall take effect upon the registration of a register  document of title thereto pursuant to the provisions referred  to  subsection (1)  or  (2),  as  the  case  may  be;  and, notwithstanding that its alienation has been  approved by the State Authority, the land shall remain State land until that time.”

Jelas dari peruntukan tersebut di atas bahawa pemberimilikan tanah (alienation of land) hanya berkuat kuasa dengan pendaftaran hak milik. Selagi belum didaftarkan  tanah  tersebut masih kekal milik kerajaan negeri. Mahkamah terikat dengan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes North East  Plantations Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Dungun & Satu lagi [2011] 4 CLJ 729. Keputusan oleh mahkamah apex tersebut  perlu  diberi  penghormatan  yang   tinggi   oleh mahkamah bawahan. Tafsiran dan keputusan telah diberikan dengan jelas bahawa PBN sebagai badan  tertinggi  yang mempunyai kuasa dan membuat polisi  berkaitan tanah kerajaan adalah mempunyai  kuasa dalam  meluluskan atau  tidak  meluluskan atau membatalkan sesuatu pemberimilikan tanah kerajaan walaupun kelulusan pemberimilikan telah dibuat  sebelumnya. Kuasa tersebut adalah merupakan kuasa budi bicara yang diberikan oleh KTN melalui Seksyen 42, 76 dan 78 KTN. PBN tidak boleh dipaksa untuk menjalankan kuasanya dalam pemberimilikan tanah kerajaan.

(v)                pemohon tidak mendapat beneficial interest apabila permohonannya diluluskan oleh PBN dan walaupun notis bayaran melalui Borang 5A telah dijelaskan. Ianya tidak bermakna kerajaan negeri telah terikat secara kontraktual hingga menyebabkan PBN tidak boleh lagi membuat keputusan untuk membatalkan kelulusan yang telah diberikan. Mengikut Perlembagaan Persekutuan (Jadual 9) dan di bawah seksyen 40 KTN ‘tanah’ adalah kepunyaan PBN dan sebagai pemilik tanah, PBN berhak membuat apa-apa keputusan atau mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan wajar dan munasabah. Sama ada tindakan membatalkan sesuatu kelulusan itu wajar atau tidak merupakan isu yang berasingan dan tidak boleh menidakkan hak PBN sebagai pemilik tanah. Sekiranya setelah meluluskan permohonan mana-mana pihak, maka PBN dikehendaki terus mengambil tindakan mengeluarkan hak milik kepada pemohon tanpa mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan yang telah diberikan, maka ini adalah bercanggah dengan seksyen 78(3) KTN.

(vi)              perkataan shall yang terdapat dalam seksyen 80(3) KTN adalah merupakan prosedur pentadbiran atau administrative steps yang akan dilaksanakan oleh Pentadbir Tanah  apabila pemberi milikan diluluskan. Oleh kerana keputusan bagi membatalkan pemberimilikan telah dibuat dan premium dikembalikan semula, maka administrative steps yang perlu dilaksanakan di bawah seksyen 81–92 KTN tidak lagi perlu dilakukan oleh Pentadbir Tanah.  


RUMUSAN

Setelah meneliti hujah di atas, didapati bahawa terdapat percanggahan pendapat mengenai persoalan adakah PBN boleh membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah walaupun premium, cukai tanah bagi tahun pertama, upah ukur sempadan dan bayaran persediaan dan pendaftaran dokumen hak milik telah dibayar oleh pemohon melalui Borang 5A KTN. Hujah pertama mengatakan PBN tidak boleh membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah setelah premium, cukai tanah bagi tahun pertama, upah ukur sempadan dan bayaran persediaan dan pendaftaran dokumen hak milik telah dibayar oleh pemohon melalui Borang 5A KTN. Hujah kedua mengatakan bahawa PBN boleh membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah walaupun premium, cukai tanah bagi tahun pertama, upah ukur sempadan dan bayaran persediaan dan pendaftaran dokumen hak milik telah dibayar oleh pemohon melalui Borang 5A KTN.
Berdasarkan kepada keputusan mahkamah, didapati pendapat kedua diterima.  Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam kes Piagamas Maju Sdn Bhd lwn Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor [2013] 2 MLJ 1-148 dan Mahkamah Persekutuan dalam kes North East  Plantations Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Dungun & Satu lagi [2011] 4 CLJ 729 memutuskan bahawa PBN boleh membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah walaupun premium, cukai tanah bagi tahun pertama dan lain-lain bayaran telah dibayar oleh pemohon melalui Borang 5A KTN.

Ini kerana sesuatu pemberimilikan tanah hanya menjadi sempurna setelah suratan hak milik didaftarkan. Selagi pemohon tanah belum didaftarkan sebagai pemilik berdaftar terhadap tanah yang diluluskan, maka tanah terlibat masih terus kekal sebagai tanah dan PBN bebas berurusan atau  melupuskannya, walaupun  pemohon telah membayar premium dan lain-lain. Seksyen 78(3) KTN menyatakan bahawa tanah yang diluluskan bagi pemberimilikan masih terus kekal menjadi tanah kerajaan selagi tanah tersebut belum didaftarkan di atas nama pemohon. Berdasarkan kepada peruntukan tersebut PBN mempunyai kuasa bagi membatalkan keputusan memberimilikan atau tidak meneruskan pemberimilikan tanah kepada pemohon walaupun premium ke atasnya sudah dibayar.  PBN masih boleh membatalkan kelulusan pemberimilikan tanah dan mengembalikan semula premium dan lain-lain yang telah dibayar.

Berbalik kepada petikan laporan akhbar seperti yang dinyatakan diawal penulisan ini dan berpegang kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam  dalam kes Piagamas Maju Sdn Bhd lwn Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor dan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes North East  Plantations Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Daerah Dungun & Satu lagi [2011] 4 CLJ 729, dapat disimpulkan bahawa tidak berlaku rampasan tanah. Tanah yang diusahakan atau diterokai belum didaftarkan lagi hak milik atas nama mereka. Tanah yang mereka usahakan masih kepunyaan kerajaan dan kerajaan bebas berurusan dengan tanah tersebut selagi tanah tersebut tidak didaftarkan. Borang 5A KTN yang telah dikeluarkan kepada pengusaha atau peneroka tidak muktamad dan kerajaan berhak membatalkan.

Sebaliknya pengusah atau peneroka telah menduduki tanah kerajaan tanpa izin atau tanpa kebenaran. Status mereka adalah peneroka haram, penceroboh atau setinggan. Sebagai peneroka haram, penceroboh atau setinggan mereka tidak mendapat apa-apa hak di sisi undang-undang termasuklah hak beneficial. Seperti kata seorang kawan baik penulis yang merupakan pengamal undang-undang, peneroka haram, penceroboh atau setinggan, mempunyai hak untuk dihalau dan diusir.


Suhaimi bin Hj. Mamat
Setiausaha
Bahagian Tanah, Ukur dan Pemetaan
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Aras 12, Wisma Sumber Asli
No. 25, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62574 Putrajaya, Malaysia
Tel : 03-88861417
Fax : 03-88893591




Tiada ulasan:

Catat Ulasan