Selasa, 16 Julai 2013

Late Payment Charges: Berapa? Siapa Perlu Bayar dan Bilamana di Kenakan


Selamat Berpuasa kepada kaum Muslimin dan Muslimat. Lama tidak menulis dan kali ini kita akan membicarakan tentang satu tajuk yang dianggap penting dalam proses pengambilan tanah dan seringkali tidak diambil perhatian sama ada oleh pemilik tanah, agensi pemohon bahkan oleh Pentadbir Tanah sendiri.

Isu caj bayaran lewat (late payment charges) ada dinyatakan dibawah seksyen 32 dan seksyen 40 Akta Pengambilan Tanah 1960. Di dalam seksyen-seksyen tersebut juga ada dinyatakan bahawa kadar caj bayaran lewat adalah 8% setahun. Untuk makluman semua kadar tersebut telah ditetapkan mulai 19/1/1984 melalui Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1983 (Akta A575). Walau bagaimanapun jika pengambilan tanah berlaku sebelum 19/1/1984 dan caj bayaran lewat dikira selepas tarikh tersebut, ianya hendaklah dikira dalam dua kadar iaitu seselum 19/1/1984 kadarnya 6% dan selepas 19/1/1984 kadarnya 8%. Keadaan ini mesti dipatuhi berdasarkan kes Pemungut Hasil Tanah Seberang Perai Utara v Bertam Consolidated Rubber Co. Ltd. [1990] 1 MLJ 268.

Siapa Yang Perlu Bayar?

Berdasarkan seksyen 65 Akta Pengambilan Tanah, semua kos termasuk caj bayaran lewat ditanggung oleh PEMOHON dan mesti dibuat/dibayar tanpa terlebih dahulu dipohon oleh pemilik tanah.  Ini ada dinyatakan dalam kes Ismail bin Bakar & ors v Director of Land and Mines, Kedah [2011] 5 MLJ 197.

Antara keputusan yang dibuat oleh Mahkamah:

'Dibawah seksyen 32, tiada keperluan bagi perayu-perayu membuat tuntutan bagi kelewatan pembayaran caj pampasan terlewat. Hak kepada caj pembayaran terlewat adalah hak, automatik dan segera dan mereka perlu dibayar bersama dengan jumlah pampasan"


Terdapat beberapa keadaan dimana caj bayaran lewat akan dikenakan:

1. Berdasarkan seksyen 32(1), pampasan yang dibayar melebihi tempoh 'genap masa'

Untuk pengambilan biasa, caj bayaran lewat dikenakan jika pampasan yang dibayar melebihi 3 bulan dari tarikh terima Borang H dan untuk pengambilan melalui Perakuan Kedesakan (Borang I) atau dikenali sebagai 'pengamblian segera', caj bayaran lewat dikira dari tarikh serah Borang K

2. Berdasarkan seksyen yang sama, caj bayaran lewat akan dikenakan jika sekiranya wang pampasan yang terpaksa dideposikan ke Mahkamah tidak didepositkan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh terima Borang H

3. Dibawah seksyen 32(1B), jika PEMOHON membuat bantahan ke Mahkamah, PEMOHON hanya membayar 75% sahaja daripada amaun pampasan dan seterusnya jika keputusan Mahkamah menyebelahi PENTADBIR TANAH, baki wang 25% yang belum dibayar mesti dijelaskan beserta caj bayaran lewat dikira mulai tarikh pembayaran 75% sebelum ini.

4. Seksyen 28 dan 32(2) pula adalah berkaitan dengan ukur smula baki lot jika pengambilan melibatkan sebahagian lot. Selepas ukur muktamad oleh Jurukur, jika terdapat tambahan keluasan pengambilan, keluasan tambahan tersebut mesti dibayar pampasan berdasarkan nilai tanah mengikut Borang G asal serta caj bayaran lewat dikira mulai tarikh serah Borang K.

5. Akhir sekali adalah seksyen 48. Seksyen ini berkaiatan dengan bantahan TUAN TANAH. Jika keputusan Mahkamah menyebelahi TUAN TANAH, bayaran pampasan tambahan yang diputuskan oleh Mahkamah beserta dengan caj bayaran lewat dikira mulai tarikh serah Borang K. Kes Koriah bt Sudar v Pentadbir Tanah Kuala Langat [2013] 3 MLJ 695

Tiada ulasan:

Catat Ulasan