Ahad, 11 Mei 2014

Soalan Seminar

Semasa sesi soal jawab setelah selesai Seminar Sehari Pengambilan Tanah anjuran INSTUN, ada peserta yang ingin mendapat pencerahan berkaitan dengan seksyen 3(6) Akta Pengambilan Tanah 1960.
 
Seksyen 3(6) - 'Jika berkenaan mana-mana tanah yang dimohon di bawah subseksyen (2) terdapat kelulusan pembangunan yang diberikan kepada tuanpunya berdaftar dan pengambilan itu bukan bagi maksud kemudahan awam, Pihak Berkuasa Negeri tidak boleh mempertimbangkan permohonan itu dan dalam tiap hal itu Pentadbir Tanah hendaklah menolak permohonan itu'
 
Sebelum itu seksyen 3(4) menyatakan 'Tertakluk kepada subseksyen (6), Pentadbir Tanah hendaklah menghantar permohonan itu dan dokumen yang menyertainya kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri atau dalam hal suatu permohonan yang dibuat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kepada Jawatankuasa jika ia berpuas hati bahawa ianya adalah teratur
 
 
Seksyen 3(6) menyatakan apabila Pentadbir Tanah menerima permohonan pengambilan tanah mengikut seksyen 3(1) (b) atau (c) dan sebelum menghantar permohanan tersebut kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri atau Jawatankuasa bagi Wilayah Persekutuan, Pentadbir Tanah hendaklah mempastikan tuanpunya tanah berdaftar belum lagi memperolehi kelulusan pembangunan (seperti kelulusan Pecah Sempadan, Pecah Sempadan dan Tukar Syarat Serentak, Serah Balik Kurnia Semula atau Serah Balik Berimilik Semula Peruntukan Khas). Jika tuan tanah berdaftar telah memperolehi kelulusan pembangunan tersebut dan pengambilan tanah yang dibuat bukan untuk maksud kemudahan awam (seperti pengambilan tanah untuk membangunkan kawasan perumahan/industry) PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MENOLAKNYA KERANA PIHAK BERKUASA NEGERI TIDAK BOLEH MEMPERTIMBANGKANNYA sepertimana yang dinyatakan dibawah seksyen 3(6) di atas.

Ini bermakna penolakan dibuat oleh Pentadbir Tanah sebelum permohonan tersebut dikemukakkan kepada UPEN, Jawatankuasa Pengambilan Tanah dan BUKANNYA PIHAK BERKUASA NEGERI kerana PERMOHONAN TERSEBUT BELUM LAGI SAMPAI KEPADA PIHAK BERKUASA NEGERI


Persoalan lain yang ingin mendapat pencerahan:

Pentadbir Tanah tidak ingin meneruskan siasatan pengambilan tanah dan wang pampasan disimpan di Mahkamah kerana orang yang berkepentingan tidak membawa hakmilik keluaran semasa siasatan (Mengikut Pentadbir Tanah tuan tanah mesti bawa berdasarkan kandungan Borang E) dan alasan orang berkepentingan hakmilik keluaran berada ditangan pemegang gadai (pihak bank)

Berdasarkan perenggan 3 Borang E, perkataan yang disebut adalah 'boleh menghendaki (may require)' BUKANNYA HENDAKLAH ATAU SHALL. Oleh yang demikian tidak menjadi kewajiban kepada orang yang berkepentingan membawa dokumen hakmilik tersebut pada masa siasatan pengambilan. Jika sekiranya Pentadbir Tanah amat memerlukannya, sepatutnya Pentadbir Tanah menangguhkan siasatan pengambilan terlebih dahulu dan meminta orang yang berkepentingan hadir pada tarikh yang lain dengan membawa hakmilik tersebut.

Seperkara lagi di dalam perenggan 3 Borang E tersebut tidak diletakkan perkataan 'SHALL' kerana pada pandangan saya hakmilik keluaran tidak penting berbanding dengan hakmilik daftaran yang berada di Pejabat Tanah dan Pentadbir Tanah bila-bila masa boleh menyemaknya.


Persoalan daripada wakil PERMINT

Atas sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, PERMINT telah menolak terma dan syarat yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri semasa meluluskan permohonan PERMINT untuk mengambil tanah di bawah seksyen 3(1)(c). Malangnya deposit belum dipulangkan belum/lambat dipulangkan. Pohon penjelasan.

Berdasarkan seksyen 3F(2) Akta Pengambilan Tanah 1960, jika pemohon menarik balik permohonan atau disifatkan menarik balik permohonan, Pentadbir Tanah hendaklah menjalankan siasatan untk menentukan amaun deposit yang akan dilucutkan untuk membayar kepada orang yang berkepentingan kepada tanah yang diambil.

Seterusnya berdasarkan seksyen 11(3) Kaedah Pengambilan Tanah 1998, jika pemohon bersetuju dengan amaun deposit yang dilucutkan, Pentadbir Tanah hendaklah membayar balik baki amaun deposit kepada pemohon dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penerimaan pemberitahuan oleh pemohon.


SEMASA SEMINAR JUGA SAYA TELAH DITEMURAMAH OLEH AKHBAR NANYANG SIANG PAU. SOALAN UTAMA YANG DISENTUH ADALAH BERKAITAN PENGUKURAN SEMULA DIBAWAH SEKSYEN 25 AKTA PENGAMBILAN TANAH,  KESAN YANG AKAN TIMBUL JIKA UKURAN TIDAK DIBUAT DAN KESAN SELEPAS PENGUKURAN DIBUAT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan