Ahad, 21 Disember 2014

Isu Pengambilan Tanah

Semasa berceramah di Johor Bahru tempohari, terdapat juga persoalan yang dibangkitkan oleh peserta berkaitan urusniaga dan pembangunan tanah, tanah-tanah yang telah diwartakan sama ada dibawah seksyen 4 atau seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960. Ini timbul kerana terdapat banyak tanah-tanah yang telah diurusniaga (jual/beli) dan ditukar syarat (salah satu bentuk pembangunan tanah) berlaku terutama di Penggerang yang terlibat dengan pembangunan hab petroleum dan gas.

Pandangan

Berdasarkan Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah, tidak ada sekatan atau larangan yang dikenakan kepada pemilik tanah untuk menjalankan urusniaga tanah atau pembangunan tanah walaupun tanah-tanah tersebut telah diwartakan sama ada dibawah seksyen 4 atau seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960. Dengan kata lain jika tuanpunya tanah memohon untuk pindahmilik khasnya atLau tukar syarat tanah mereka, Pentadbiran Tanah tidak boleh menolak dengan alasan tanah tersebut akan diambil dibawah Akta Pengambilan Tanah 1960 KECUALI TERDAPAT ARAHAN DARIPADA PIHAK BERKUASA NEGERI ATAU KEPUTUSAN AHLI MAJLIS MESYURAT KERAJAAN NEGERI (EXCO) YANG MENGHALANG.

Ini bermakna, jika semasa pewartaan dibawah seksyen 4 atau 8, tanah-tanah tersebut berkategori pertanian dan semasa siasatan dijalankan tanah tersebut telah diluluskan penukaran syarat ke bangunan, maka nilai bangunanlah yang akan diambil kira begitulah seterusnya. Dengan sebab itu selama ini saya syorkan kepada Pentadbiran Tanah supaya membuat semakan semula hakmilik-hakmilik yang tersebut selepas warta dikeluarkan kerana dikuatiri telah berlaku perubahan kepada pemilik atau kategori ataupun syarat nyata tanah berkenaan.

WALAU BAGAIMANA PUN TANAH-TANAH YANG DIPINDAHMILIK/JUAL SELEPAS PEWARTAAN DIBAWAH SEKSYEN 8, NILAI JUAL BELI TERSEBUT TIDAK BOLEH DIAMBIL KIRA SEBAGAI NILAI SEBENAR TANAH TERSEBUT DARI SEGI PENGIRAAN PAMPASAN. Ini dijelaskan dibawah Perenggan 1(1C) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960

Lagi satu soalan:

Agensi pemohon iaitu badan berkanun, membuat permohonan supaya pengambilan tanah diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu, seterusnya diwartakan dibawah seksyen 8. Boleh atau tidak PBN mengenakan syarat supaya agensi tersebut membuat pembayaran deposit 10% daripada nilaian JPPH dan dikenakan fee seperti dalam Jadual Kedua Kaedah Pengambilan. Lanjutan daripada isu tersebut sekiranya pemohon tidak meneruskan pengambilan dibawah seksyen 8 boleh atau tidak PBN kenakan apa-apa bayaran/caj.

Pandangan

Sepertimana diketahui, pewartaan dibawah seksyen 4 hanyalah untuk siasatan awal atau untuk kajian sahaja. Ini bermakna tanah-tanah yang disenaraikan di dalam Borang A belum tentu akan diambil dan diwartakan dibawah seksyen 8.

Adalah tidak adil pemohon diminta untuk membayar fee dan deposit sama ada keseluruhan atau sebahagian apabila pemohon meminta supaya diwartakan pengambilan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu walaupun seksyen 3(3) menghendaki supaya pemohon membayar fee dan deposit apabila sahaja membuat permohonan. Deposit yang dibayar bertujuan untuk pembayaran pampasan dan untuk membuktikan pemohon mempunyai wang sedangkan pengambilan BELUM TENTU LAGI.

Seperkara lagi jika pemohon tidak mahu meneruskan pengambilan dibawah seksyen 8 setelah tanah-tanah di wartakan dibawah seksyen 4, PBN tidak boleh mengenakan sebarang bayaran kerana tidak dinyatakan di dalam Akta, kecuali ianya dinatakan didalam State Land Rules.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan seksyen 3 (3) dipinda dengan menyaratkan supaya pemohon MESTI membayar fee dan deposit jika pemohon ingin mewartakan pengambilan dibawah seksyen 8 dan TIDAK PERLU LAGI membayar fee dan deposit jika pemohon menghendaki pewartaan di bawah seksyen 4 terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan