Isnin, 9 Februari 2015

Pampasan Bangunan dan Tanaman/Pokok

Ada pertanyaan yang dikemukakan mengenai bayaran pampasan yang melibatkan bangunan/rumah dan tanaman/pokok dalam proses pengambilan tanah. Ada Pentadbir Tanah yang membuat bayaran untuk kedua duanya dan ada pula Pentadbir Tanah yang membuat bayaran hanya untuk bangunan sahaja dan tidak melibatkan pokok. Ada juga yang mempersoalkan seksyen mana yang menyatakan bayaran pampasan untuk rumah/bangunan mesti dibuat.

Pandangan:

Dalam proses pengambilan tanah, bayaran pampasan untuk bangunan MESTI DIBUAT. Ini berdasarkan sub-perenggan 3A kepada JADUAL PERTAMA Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menyatakan:

'Nilai mana-mana bangunan di atas mana-mana tanah yang hendak diambil tidak boleh diambil kira  bahawa jika bangunan itu tidak dibenarkan atas alasan

(a) kategori kegunaan tanah; atau
(b) syarat nyata atau sekatan atau tersirat
untuk kepadanya tanah itu tertakluk atau disifatkan tertakluk dibawah undang-undang Tanah Negeri

Perenggan ini membawa maksud, jika bangunan yang didirikan MEMATUHI KEHENDAK KATEGORI, SYARAT NYATA, SEKATAN DAN SYARAT TERSIRAT, MAKA BAYARAN PAMPASAN MESTI DIBUAT DAN SEBALIKNYA JIKA BANGUNAN ITU TIDAK MEMATUHINYA, PAMPASAN TIDAK BOLEH DIBERIKAN.

Sekarang kita lihat pula tafsiran bangunan mengikut seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah 1960:

Bangunan termasuklah apa-apa rumah, pondok, bangsal atau kurungan berbumbung, sama ada digunakan bagi maksud tempat kediaman manusia atau selainnya, apa-apa dinding, pagar, platform, system pembentungan, tangki bawah Tanah, dinding adang, dok, jeti, pelantar pendaratan, kolam renang, jambatan, landasan keretapi dan apa-apa binaan, sokongan atau bahan asas berkaitan dengan bangunan.

Oleh yang demikian jika semua perkara yang dinyatakan di dalam tafsiran bangunan seperti di atas dan terlibat dengan pengambilan MESTI DIBAYAR PAMPASAN.

Hal di atas ada berkaitan dengan kes Pentadbir Tanah Petaling v Swee Lin Sdn Bhd [1999] 3 MLJ 489

Berdasarkan kes tersebut, tanah Swee Lin yang berkategori pertanian keseluruhannya telah terlibat dengan pengambilan. Diatas tanah tersebut telah didirikan gudang. Tuan tanah memohon supaya dibayar pampasan untuk gudang tersebut sebanyak RM400,000.00. Pentadbir Tanah enggan membayar pampasan tersebut dan tuan tanah merayu kepada Mahkamah Tinggi dan Y.A Hakim membenarkannya. Oleh kerana tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, Pentadbir Tanah merayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tersebut dan mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi. Keputusan ini dibuat berdasarkan Perenggan yang dinyatakan di atas.

Berdasarkan seksyen 20 pula, jika terdapat bangunan di atas tanah yang diambil melalui Borang I, Pentadbir Tanah hendaklah menyerahkan Borang J kepada pemilik bangunan dan membuat tawaran pampasan bangunan tersebut.

Untuk makluman semua, berdasarkan seksyen 34(1) Akta, jika hanya sebahagian sahaja daripada sesuatu bangunan terlibat dengan pengambilan tanah, pampasan yang akan dibayar adalah melibatkan KESELURUHAN BANGUNAN jika bahagian utama terlibat, kerana dikhuatiri akan merosakkan keseluruhan bangunan ATAU tuanpunya bangunan meminta supaya keseluruhan bangunan itu diambil.

BERDASARKAN KENYATAAN DI ATAS, JIKA BANGUNAN TERLIBAT DENGAN KAWASAN YANG DIAMBIL, BANGUNAN TERSEBUT MESTI DIBAYAR PAMPASAN.

Mengenai tanaman/pokok-pokok yang terlibat dengan pengambilan, pada pandangan saya ianya TIDAK BOLEH DIBAYAR kerana TIADA dinyatakan di dalam Akta Pengambilan Tanah. 

Berdasarkan perenggan 1(2) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah pula menyatakan:

Dalam mentaksir nilai pasaran -

(a) kesan daripada apa-apa syarat hakmilik yang dinyatakan (syarat nyata) atau yang tersirat (any express or implied condition) yang membataskan penggunaan tanah yang dijadualkan itu; dan

(b)..............................

hendaklah diambil kira

Ini bermakna tanaman/pokok yang terdapat diatas tanah yang diambil (berdasarkan syarat nyata)  telahpun merangkumi nilai tanah tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan