Ahad, 15 Februari 2015

Tanah Milik Kembali Menjadi Tanah Kerajaan

Baru-baru ini saya menerima panggilan telefon dari salah seorang Kedet PTD yang sedang berkursus di INTAN Wilayah Selatan bertanyakan soalan seperti di atas. Saya maklum pegawai tersebut adalah pegawai baru yang belum pernah bekerja di Pentadbiran Tanah, walau bagaimanapun pada saya masih ramai lagi rakyat Malaysia termasuk yang mempunyai tanah sendiri tidak mengetahui perkara tersebut.
 
Kali ini perbincangan kita beralih kepada Kanun Tanah Negera. Berdasarkan seksyen 46 Kanun Tanah Negara, terdapat keadaan-keadaan dimana tanah yang telah diberimilik (Tanah yang ada hakmilik) KEMBALI SEMULA MENJADI TANAH KERAJAAN.

Keadaan Pertama:

Setelah tamatnya tempoh (jika ada) yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik mengenainya

Mengikut seksyen 76 Kanun Tanah Negara, Pihak Berkuasa Negeri boleh melupuskan tanah dalam bentuk pemberimilikan untuk satu tempoh yang tidak melebihi 99 tahun. Hakmilik bagi tanah-tanah ini samada Pajakan Negeri (PN) atau Pajakan Mukim (PM). Ada negeri seperti Terengganu, Johor memberimilik hanya untuk tempoh 60 tahun sahaja. Oleh yang demikian apabila tamat sahaja tempoh tersebut (samada 60 atau 99 tahun) tanah tersebut akan kembali terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri. Berbeza dengan tanah hakmilik selama-lamanya (in perpetuity)

Keadaan Kedua:

Setelah notis disiarkan dalam warta dibawah seksyen 130 kanun Tanah Negara

Notis dibawah seksyen ini adalah berkaitan dengan tunggakan sewa tanah dan juga pelanggaran syarat tanah.

Berdasarkan seksyen 97 Kanun Tanah Negara, jika sewa yang sepatutnya dibayar adalah dalam keadaan tertunggak (terdapat tunggakan cukai yang tidak dibayar), Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis tuntutan dalam Borang 6A. Jika sehingga tamat tempoh, tunggak masih belum dibayar, maka Pentadbir Tanah hendaklah mengisytiharkan dengan perintah bahawa tanah tersebut dilucuthak kepada Pihak Berkuasa Negeri

Berdasarkan seksyen 76(d) Kanun Tanah Negara, tanah-tanah yang diberimilik di bawah Kanun Tanah Negara tertakluk kepada suatu kategori penggunaan tanah yang dikenakan semasa kelulusan pemberimilikan dan berdasarkan seksyen 52(3) kategori penggunaan tanah tersebut hendaklah diendorskan (dicatat/ditulis) di dalam dokumen hakmilik. Menurut seksyen 52(1) terdapat TIGA kategori penggunaan tanah iaitu PERTANIAN, BANGUNAN DAN PERINDUSTRIAN. Oleh itu jika kategori penggunaan tanah adalah PERTANIAN, adalah menjadi tanggungjawab pemilik tanah menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah tersebut dan mematuhi syarat tetap/syarat tersirat untuk Tanah pertanian mengikut seksyen 115 Kanun Tanah Negara. JIKA TUANPUNYA TANAH TIDAK MEMATUHI KEHENDAK KATEGORI DAN SEKSYEN 115 MAKA TUAN TANAH DIANGGAP MELANGGAR SYARAT. Begitu juga tanah-tanah berkategori bangunan atau perindustrian, pemilik tanah mesti menjalankan aktiviti bangunan atau industri dan seterusnya mematuhi syarat tetap pada seksyen 116 dan 117 Kanun Tanah Negara.

Selain daripada itu seksyen 76(e) pula, tanah yang diberimilik juga tertakluk kepada apa-apa syarat (syarat nyata) dan sekatan kepentingan dan ianya akan diendors di dalam dokumen hakmilik seperti yang dinyatakan dibawah seksyen 120. Jika tuanpunya tanah tidak mematuhi syarat nyata juga dianggap melanggar syarat. Jika ini berlaku Pentadbir Tanah akan mengambil tindakan megikut seksyen 127(1A)(a)(b), (1B), (1C) dan hingga akhirnya  tanah tersebut terletak hak kepada Pihak Berkuasa Negeri

Keadaan Ketiga:

Tanah milik akan kembali atau terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri apabila kematian tuanpunya tanpa waris. Sebelum tanah tersebut menjadi tanah kerajaan tindakan-tindakan mengikut seksyen 351 Kanun Tanah Negara mesti dilakukan oleh Pentadbir Tanah.

Berdasarkan seksyen 352 Kanun Tanah Negara pula, Tanah milik akan kembali atau terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri jika Pentadbir Tanah berpuashati jika tuan punya mana-mana tanah yang dipegang dibawah hakmilik Pejabat Tanah tidak menduduki tanah tersebut dan untuk tujuh tahun yang lalu tidak pernah mengusahakan tanah tersebut. Pentadbir Tanah hendaklah mengambil tindakan seterusnya mengikut seksyen tersebut.

Keadaan Keempat:

Tanah-tanah milik diserah balik kepada Pihak Berkuasa Negeri sama ada serah keseluruhan tanah mengikut seksyen 197 atau serah sebahagian mengikut seksyen 200 Kanun Tanah Negara

Keadaan Kelima:

Mana-mana bahagian tanah milik yang terjejas oleh perkautan (dihakis) laut atau sungai hendaklah kembali  terletakhak kepada Pihak Berkuasa Negeri seperti yang dinyatakan dibawah seksyen 49 Kanun Tanah Negara setelah tindakan telah diambil mengikut seksyen 353(2) iaitu ukuran semula telah dibuat.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan