Ahad, 25 Oktober 2015

Isu Pengurangan Keluasan Pengambilan

Saya ada menerima satu persoalan berkaitan isu tersebut iaitu Pentadbir Tanah telah selesai membuat perintah dan Borang H telah pun diserahkan kepada orang yang berkepentingan. Oleh kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, pemohon ingin mengurangkan keluasan pengambilan dan keluasan pengambilan yang ingin dikurangkan adalah MELEBIHI SUKU HEKTAR sebagai contoh kira kira 3 EKAR. Apakah tindakan yang perlu dilakukan

Pandangan

Seksyen yang mungkin ada kaitan dengan perkara tersebut ada lah seksyen 14(3) dan seksyen 14(4)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Seksyen 14(3)

'Sesuatu award di bawah seksyen ini tidaklah menjadi tidak sah (shall not be invalidated) semata-mata oleh sebab keluasan tanah yang berkenaan award itu dibuat adalah lebih besar atau lebih kecil daripada keluasan tanah dijadual itu:
Dengan syarat bahawa perbezaan antara keluasan berkenaan dengan award itu dibuat dan keluasan tanah dijadualkan tidak melebihi suku hektar atau satu peratus dari keluasan Tanah dijadualkan yang mana lebih besar:

Seksyen 14(4)(b)
'Jika keluasan tanah yang berkenaan suatu award telah dibuat di bawah seksyen ini -
(a) ..................................................
(b) adalah kurang daripada keluasan tanah dijadualkan itu dengan tidak lebih daripada suku hektar atau satu peratus, yang mana lebih luas, maka tidaklah perlu dilakukan apa-apa penarikan balik formal tentangnya dibawah seksyen 35'

BERDASARKAN SEKSYEN DI ATAS JIKA KELUASAN PENGAMBILAN YANG HENDAK DI DIKURANGKAN ITU MELEBIHI SUKU HEKTAR, PENARIKAN DIBAWAH SEKSYEN 35 MESTI DILAKUKAN.

Seksyen 14 di atas hanya membincangkan mengenai siasatan dan perintah sahaja dan TIDAK LAGI MENYENTUH BORANG H. Ini bermakna, isu penambahan keluasan pengambilan atau pengurangan keluasan pengambilan hanya boleh dibuat semasa siasatan pengambilan tanah. 

Isu yang berbangkit adalah BORANG H TELAH DIKELUAR DAN TELAH DISERAHKAN.

Berdasarkan seksyen 14(2) Akta, 'Tiap-tiap award (Borang G) yang disediakan dibawah subseksyen 1 hendaklah difailkan di Pejabat Pentadbir Tanah dan hendaklah menjadi keterangan yang akhir dan konklusif mengenai keluasan mana-mana tanah yang dijadualkan, mengenai nilainya pada pendapat Pentadbir Tanah.......................'

Seksyen 16(1) pula menyatakan 'Apabila membuat apa-apa award di bawah subseksyen 1 seksyen 14 berkenaan mana-mana tanah dijadualkan Pentadbir Tanah hendaklah menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan pada tanah itu'

Seksyen 16(2) - 'Tiap-tiap notis dalam Borang H hendaklah disertai dengan suatu cabutan dari award bertulis yang dibuat oleh Pentadbir Tanah dalam Borang G, berhubung dengan tanah yang mana orang yang kepadanya notis itu dialamatkan mempunyai kepentingan'

BERDASARKAN SEKSYEN 14(2) DAN SEKSYEN 16, BERMAKNA SETELAH PERINTAH (BORANG G) DIBUAT DAN BORANG H TELAH DISERAHKAN, PINDAAN TIDAK LAGI BOLEH DIBUAT

Untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan, Pentadbir Tanah boleh berbincang dengan orang berkepentingan menceritakan hal yang sebenar dan meminta orang yang berkepentingan menyerah kembali Borang H dan seterusnya mengeluarkan Borang H yang baharu mengikut keluasan yang dipinda. Tindakan seterusnya Pentadbir Tanah mesti membuat penarikan mengikut seksyen 35 keluasan yang tidak perlu diambil. Sebaliknya jika orang berkepentingan enggan, Pentadbir Tanah tidak boleh buat apa-apa.

Pandangan saya seperti di atas diperjelaskan lagi oleh Tuan Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang yang memberikan pandangannya melalui email kepada saya pada hari yang sama tulisan ini dipaparkan seperti berikut:

Saya ingin merujuk kepada posting dalam blog tinta bayu yang berjudul isu pengurangan keluasan pengambilan bertarikh 25 Oktober 2015.

Permohonan daripada agensi/pihak berkuasa awam yang memohon dikurangkan keluasan pengambilan selepas Borang H dan G dikeluarkan dan disampaikan kepada tuan tanah dan orang-orang berkepentingan mengikut seksyen 14(2) dan Sekyen 16 (1) dan (2), Akta Pengambilan Tanah 1960  tidak sepatutnya berlaku kerana kedudukan Pentadbir Tanah ketika itu telah menjadi Functus Officio.

Seperti yang telah disentuh oleh tuan dalam posting berjudul Fungsi dan Peranan Pentadbir Tanah dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 bertarikh 13 September 2015 dan 20 September 2015, peranan yang dijalankan oleh Pentadbir Tanah adalah atas kapasiti kehakiman seperti diputuskan dalam beberapa kes yang dinyatakan. Oleh sebab itu, saya sangat bersetuju dengan tuan, apabila Pentadbir Tanah menyempurnakan fungsinya di bawah seksyen 14 (2) dan seksyen 16 (1) dan (2), tidak boleh dibuat apa-apa perubahan dalam borang G dan H lagi. Dalam kes Mallisamy a/l Periasamy dan Lain-lain lawan Pentadbir Tanah Melaka Tengah dan lain-lain [1998] 5 MLJ 495, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Y.A Tan Sri  Suriyadi Halim Omar memutuskan tindakan defendan pertama iaitu Pentadbir Tanah mengubah, menukar dan meminda awardnya yang telah dikeluarkan pada 3 November 1994 (melalui borang G dan H) tidak sepatutnya berlaku kerana kedudukannya adalah Functus Officio ketika itu. Menurut Y.A Hakim lagi ….“ oleh yang demikian, perintah kedua bertarikh 27 Jun 1996 yang mengarahkan semula jumlah RM 206,984.20 kepada defendan kedua adalah CACAT’.

Takrif  dan Konsep Functus Officio

Takrif dan konsep ini ada disentuh dalam Makalah Kanun 25 (2) 209 Disember 2013 berjudul Functus Officio: Sempadan “Terpakai” dan “Tidak Terpakai” oleh Abdul Aziz Hussin.

Sebenarnya perkataan Functus Officio merupakan ungkapan berasal daripada Bahasa latin. Functus secara harafiahnya bermaksud “keluar” atau “terlaksana” atau “telah dilaksanakan atau dijalankan” manakala Officio pula bermaksud “Pejabat” atau “jawatan”.

Manakala dari segi takrif Functus Officio, Burton’s Legal Thesaurus dan Black’s Law Dictionary mentakrifkan ungkapan tersebut seperti berikut:-

“telah menyelesaikan fungsi, melaksanakan tugas, atau telah tercapai, dan dengan itu tiada lagi kuasa dan kekuatan, dan “seseorang pegawai atau sesuatu pihak berkuasa yang mandatnya telah tamat sama ada telah sampai tempoh tamatnya atau agensi tersebut telah menyelesaikan fungsinya sebagaimana tujuan ia diwujudkan”.

Ruby, C, et al juga memberikan takrifan yang serupa iaitu functus officio ialah “….telah melaksanakan sesuatu tugas”.

Selain itu, takrif functus officio juga diberikan dan dihuraikan oleh pihak kehakiman dalam kes Bedwell v Wood (918770 2 QBD 626) seperti berikut:

“….suatu ungkapan yang tersirat kepada seseorang agen atau penerima kuasa yang telah melaksanakan sesuatu tindakan yang dibenarkan di mana kini kuasanya itu telah habis dan telah tiba di penghujungnya..”

Prinsip berkaitan pemakaian functus officio ada disebut oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes New India Assurance Co lwn Karam Singh [1992] LNS 155. Hakim Y.A Gill menyatakan:

“Dengan itu, sebaik sahaja seseorang presiden mensabitkan seseorang yang didakwa atas sesuatu kesalahan di hadapannya, dia adalah functus officio, dan tidak lagi boleh membatalkan hukuman atau membicarakan semula kes itu. Begitu juga, apabila beliau membicarakan kes sivil dan telah membuat sesuatu perintah (keputusan) yang muktamad atas sesuatu pertikaian antara pihak-pihak, maka dia functus officio dan tidak boleh lagi membatalkan dan membicarakan kes itu, atau membicarakan tindakan berikutnya yang melibatkan pihak yang sama atas perkara pokok yang sama…”

Sebagai kesimpulannya, adalah jelas dan nyata apabila Pentadbir Tanah menyempurnakan fungsinya yang dijalankan di bawah seksyen 14(2) dan seksyen 16 (1) dan (2) kedudukannya adalah
functus officio. Sehubungan itu, pihak agensi / pihak berkuasa awam mahupun tuan tanah dan pihak berpentingan yang lain ingin memohon meminda, menukar dan mengubah keluasan tanah itu atas sebab tertentu sebaiknya dibuat sebelum borang G dan H dikeluarkan dan disampaikan kerana award yang dikeluarkan menerusi borang itu ada muktamad. Bagi agensi/pihak berkuasa awam perlu membuat perancangan yang teliti dan permohonan pengambilan tanah yang dikemukakan kepada  Pentadbir Tanah adalah mukatamad serta tidak ada apa-apa pindaan keluasan lagi serta hendaklah mematuhi Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bil 1/2003.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan