Assalamualaikum, Selamat Hari Raya dan Selamat Sejahtera. Bertemu kembali setelah lama tidak kemaskini blog kerana bercuti dan berceramah.
Minggu ini bermulalah kursus di INSTUN setelah bercuti panjang. Kursus pertama yang saya terlibat dengan ceramah adalah Kursus Pemantapan Pengambilan Tanah khas untuk pegawai dan kakitangan pentadbiran tanah dan juga Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan mulai 4 hingga 7 September 2012. Kursus ini adalah antara kursus-kursus yang amat berjaya kerana penglibatan sebahagian besar peserta (banyak pertanyaan) terutamanya dari pegawai-pegawai gred 44, 48 dan 52. Ini disebabakan sebahagian besar peserta terlibat secara langsung dengan proses pengambilan tanah di negeri masing-masing. Terutamanya bagi Projek Tebatan Banjir.
Antara isu yang timbul dan yang diperbincangkan adalah:
1. Kewajiban pewartaan dibawah seksyen 4 akibat perintah Mahkamah
2. Lot-lot yang tertinggal semasa pewartaan seksyen 8
3. Lot-lot terlibat tetapi tidak dapat dikesan hakmiliknya
4. Pewartaan melibatkan lot/hakmilik lama tetapi hakmilik sambungan telah dikeluarkan atau pemiliknya telah berubah
Isu pertama, mulai dari 6 Januari 2012 iaitu tarikh perintah Mahkamah, semua permohonan pengambilan tanah mesti (mandatori) diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu. Isu yang timbul adalah bagaimana kedudukan permohonan pengambilan yang dibuat selepas tarikh itu (surat pemberitahuan oleh JKPTG diterima selepas tarikh tersebut) dan telahpun diwartakan dibawah seksyen 8? Adakah mesti diwartakan kembali dibawah seksyen 4 dan jika ini berlaku, bagaimana kedudukan pewartaan seksyen 8 tersebut adalah perlu dibatalkan/ditarik balik? Jika perlu ditarikh balik, adalah tindakan dibawah seksyen 8(5) mesti dilaksanakan. Persoalan tersebut saya pulangkan kepada peserta supaya mendapat pendangan dari Penasihat Undang-Undang masing-masing.
Isu kedua, lot-lot tertinggal (hakmilik dikenalpasti) mesti diwarta semula. Ini berdasarkan kepada seksyen 7 Akta 'Apabila mana-mana tanah diperlukan untuk apa-apa maksud yang disebut dalam seksyen 3 Pentadbir Tanah hendaklah (shall) meyedia dan mengemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri (a) Pelan ................................ dan (b) senarai tanah-tanah sedemikian dalam Borang C'. Seksyen 8(1) pula menyatakan 'Apabila Pihak Berkuasa Negeri memutuskan bahawa mana-mana tanah yang disebut dalam seksyen 7 diperlukan bagi apa-apa maksud yang disebut dalam seksyen 3, maka pengisytiharan dalam Borang D hendaklah disiarkan dalam warta'. Kesimpulannya lot-lot yang tertinggal mesti diangkat untuk kelulusan PBN dan seterusnya diwartakan.
Isu ketiga, berdasarkan seksyen 2(2) Akta Pengambilan Tanah, jika terdapat lot-lot yang terlibat dengan pengambilan tetapi tidak dapat dikesan no lot, no hakmilik atau no lot dapat dikesan tetapi hakmiliknya tidak dapat dikesan, pewartaan adalah sah jika Pentadbir Tanah hanya mewartakan not lot sahaja atau mewartakan lot-lot sekelilingnya sahaja
Isu Ketiga, sekiranya pewartaan yang telah dibuat melibatkan no lot dan no hakmilik yang lama sedangan no lot dan no hakmilik yang baru telah pun dikeluarkan atau pemilik telah berubah akibat pindahmilik, maka berdasarkan seksyen 2(3) Akta Pengambilan Tanah 1960, pewartaan tersebut adalah sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan