Selasa, 11 September 2012

Masalah Pengambilan Tanah

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera.

Pada 10 September 2012, saya ada menerima e-mail dari sahabat kita yang meluahkan rasa tidak puas hati saudaranya kepada Pentadbir Tanah dan seterusnya ingin mendapat penjelasan dari saya berkaitan dengan pengambilan tanah. Di bawah ini saya lampirkan luahan hati beliau tanpa sebarang pindaan:

Tuan, saya bertindak mewakili makcik saya iaitu untuk tanah yang diambil oleh kerajaan melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 yang mana pengambilan dibuat untuk TNB, di Mukim Lenggeng Seremban.

Untuk makluman Tuan, makcik saya mempunyai tanah luas sementara seluas 2.625 ekar di kawasan Tegor. Kemudian, Borang E telah dikeluarkan untuk hearing di pejabat tanah. Makcik saya merupakan seorang pesara dan suaminya telah lumpuh akibat strok. oleh yang demikian, beliau pergi ke hearing ditemani anaknya yang sedang mengandung.(beberapa perkara tidak dipersetujui makcik saya dan kemudiannya tidak dapat membantah kerana acap kali Tuan Pentadbir Tanah mengulangi "sekiranya tidak berpuas hati, lantik peguam dan bawa ke Mahkamah)

Keputusan Hearing:
Tanah yang diperlukan TNB untuk diambil ialah: 0.4539 hektar (di tengah2) Tanah selebihnya terpisah menjadi 2 bahagian iaitu : (a) di sebelah kanan sebanyak 0.16 hektar (b) di sebelah kiri sebanyak 0.448

Tuan, makcik saya sudah merayu kepada Pentadbir Tanah untuk mengambil tanah seluas 0.16 hektar di sebelah kanan itu kerana tanah itu pastinya tidak mempunyai nilai lagi dengan talian penghantaran 500kv yg bakal dibuat oleh TNB. Namun balasannya ialah, sila ke Mahkamah.

Sungguhpun saya sedia maklum bahawa pengambilan hanya boleh dibuat pada tanah yang diperlukan sahaja, namun, tidak boleh tidak baki tanah akan mendapat impak harga dengan pengambilan sedemikian.

beberapa masalah yang timbul:

(a) tidak boleh dibina rumah pada tanah berdekatan kerana "safe zone or buffer zone", bahaya keselamatan, terdedah risiko keselamatan, estatik dan sbgnya.
(b) termasuk apa-apa aktiviti lain (tanah merupakan tanah pertanian)
(c) kacau ganggu bunyi, visual.

kami telah menerima borang H dan borang tersebut belum lagi dihantar setelah berlalu 4 minggu dari tarikh borang diterima iaitu pada 9hb Ogos 2012. Kemudian, kami juga difahamkan segala arguments di Mahkamah perlu disenaraikan dalam borang N tanpa tertinggal, jika tidak tiada bantahan boleh dibuat.

Pandangan saya:

Alasan yang diberikan oleh pemilik tanah supaya baki lot yang berkeluasan 0.16 (0.397E) diambil keseluruhannya dapat diterima dan amat munasabah KERANA TERPISAH DUA, tidak ekonomik tambahan pula tanah tersebut berkategori pertanian, bahaya dari segi keselamatan dan akan berlaku kacau ganggu. Sepatutnya Pentadbir Tanah yang menjalankan siasatan boleh terus membuat perintah kerana ianya memenuhi kehendak provision seksyen 14(3) dan seksyen 14(4) Akta pengambilan Tanah 1960 DAN KEMUNGKINAN BESAR PIHAK TNB PUN BERSETUJU ATAS ALASAN TERSEBUT. Apabila Pentadbir Tanah menyatakan 'sekirannya tidak berpuashati, lantik peguam dan bawa ke Mahkamah' dan TANPA MENGGUNAKAN BUDI BICARANYA adalah menyusahkan tuan tanah walaupun ianya dibolehkan oleh undang-undang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan