Jumaat, 14 September 2012

Kekeliruan seksyen 29A Akta Pengambilan Tanah

Ada yang beranggapan, jika pampasan pengambilan tanah melebihi Ringgit Malaysia Lima Belas Ribu dan dalam masa yang sama orang berkepentingan/tuan tanah membuat bantahan ke Mahkamah kerana tidak berpuashati dengan amaun pampasan tersebut dalam tempoh yang dibenarkan oleh Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah hanya membayar 75% sahaja  dari pampasan  tersebut dan menahan (tidak membayar) baki 25%

Pandangan tersebut adalah SALAH!

Sebenarnya jika orang yang berkepentingan/tuan tanah ingin membantah semasa siasatan dan menyerahkan Borang N, keseluruhan amaun pampasan sepertimana yang tercatat di dalam Borang H, mesti dibayar kepada mereka dalam tempoh genap masa. Rasionalnya ialah mereka yang membantah kerana tidak berpuashati dengan amaun pampasan yang diberikan dan mengharapkan  supaya Mahkamah memberikan tambahan.

Seksyen 29A hendaklah dibaca mulai seksyen 29A(1)(a) dan (b).

Seksyen 29A(1)(b) 'if before the expiry of the said period such Government, person or corporation has made an objection under section 37 to the amount of compensation or any other objection which may affect such amount'.

Berdasarkan petikan seksyen di atas, amaun pampasan sepertimana yang tercatat didalam Borang H hanya akan dibayar 75%, jika dalam tempoh bantahan ke Mahkamah, jika Kerajaan (Kementerian, Jabatan), orang atau perbadanan (iaitu pemohon) telah membuat bantahan ke Mahkamah terhadap amaun pampasan dan seterusnya mengemukakan Borang N. Rasionalnya, pemohon yang membuat bantahan kerana mengharapkan pihak Mahkamah akan mengurangkan amaun pampasan yang diawardkan oleh Pentaadbir Tanah. Itu sebab pampasan tidak dibayar keseluruhannya.

Oleh yang demikian, jika pemohon membuat bantahan, pampasan dibayar hanyalah 75% daripada keseluruhan amaun, sementara jika orang berkepentingan/tuan tanah yang membantah, pampasan di bayar sepenuhnya.

Selepas maklumat ini dipamerkan di dalam blog saya, satu persoalan yang sama dikemukakan oleh salah seorang penduduk Pengerang melalui e-mail.

Dalam kes Pengerang, berdasarkan maklumat dari pihak UPEN Johor dan kenyataan dari YAB Menteri Besar Johor, bayaran pampasan akan dibuat dalam tempoh 2 minggu dari tarikh siasatan dan perintah. Ini boleh berlaku/dilaksanakan kerana wang pampasan telahpun didepositkan oleh PETRONAS ke Perbendaharaan Negeri. Lanjutan daripada itu, oleh kerana Pentadbir Tanah tidak dapat mempastikan lagi sama ada PEMOHON (Petronas)  ingin membantah ataupun tidak (tempoh bantahan belum lagi tamat), berdasarkan seksyen 29A(1)(a)(b), PENTADBIR TANAH TERPAKSA MEMBAYAR HANYA 75% DARIPADA KESELURUHAN AMAUN DAN BAKINYA AKAN DIBAYAR SELEPAS TAMAT TEMPOH YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT BANTAHAN SEPERTIMANA YANG DINYATAKAN DIBAWAH SEKSYEN 29A(2).
 
Disebabkan Kerajaan Negeri Johor ingin mempercepatkan bayaran pampasan, sepatutnya Pentadbir Tanah terus menghubungi pihak PETRONAS untuk mendapatkan kepastian sama ada ingin membantah ataupun tidak. Jika JAWAPANNYA TIDAK INGIN MEMBANTAH, PENTADBIR TANAH BOLEH MEMBAYAR KESELURUHAN (100%) PAMPASAN TERSEBUT. Ini lebih memudahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan