Rabu, 31 Oktober 2012

Fasa ke 2 Projek Pengerang


Saya dimaklumkan fasa ke 2 siasatan baki kira-kira 700 lot yang terlibat dengan pengambilan tanah projek Pengerang akan bermula dari 19/11/2012 sehingga 31/05/2013 akan datang. Seperti biasa, sebelum siasatan dijalankan Pentadbir Tanah hendaklah mengeluarkan notis awam dan notis individu Borang E. Pada kali ini saya akan membicarakan tentang pelaksanaan notis Borang E

SEBELUM MENERUSKAN PEMBACAAN, SILA RUJUK TERLEBIH DAHULU BORANG C, D DAN BORANG E YANG TERDAPAT DI DALAM AKTA PENGAMBILAN TANAH BUKAN BORANG E YANG ADA DIPEJABAT.



Sila lihat disebelah bawah BORANG E dalam Akta


terdapat ayat [Jadual dalam Borang D]



Sila lihat disebelah bawah BORANG D dalam Akta


terdapat ayat [Jadual seperti dalam Borang C dipinda, jika perlu menurut keputusan PBN]



OLIH ITU:    JADUAL BORANG E = JADUAL BORANG D = JADUAL BORANG C

KESIMPULANNYA: JADUAL BORANG E = JADUAL BORANG C


Oleh kerana warta yang dicetak oleh Pencetakan Nasional adalah berdasarkan Borang C dan Borang D yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri, maka Notis Borang E  (sama ada notis awam atau notis individu) TIDAK PERLU disertakan cabutan daripada warta, HANYA MEMADAI disertakan jadual Borang C seperti yang disediakan sebelum ini  (Dengan syarat tidak ada kesilapan didalam warta)



BERIKUT SAYA AKAN JELASKAN NOTIS AWAM BORANG E DAN PELAKSANAANNYA

Notis awam Borang E (Keseluruhan lot-lot yang terlibat) hendaklah dilaksanakan mengikut seksyen 52 Akta Pengambilan Tanah iaitu dengan menampal notis tersebut SEKURANG-KURANGNYA DI TIGA TEMPAT:

1. Papan Kenyataan Pejabat Tanah
2. Papan kenyataan awam tanah terlibat terletak
3. Di atas atau berhampiran dengan tanah terlibat terletak


Untuk memberi kepuasan kepada semua kerana melibatkan lot yang banyak dan keluasan yang besar, salinan  notis awam TAMBAHAN bolehlah di tampal di masjid, rumah ibadat, pejabat penghulu dan lain lain tempat

Sepertimana dinyatakan di atas, JADUAL KEPADA BORANG E  ADALAH JADUAL BORANG C.  Oleh itu dalam kes Pengerang, SATU BORANG E  (Notis Awam)  MENGANDUNGI KESEMUA LOT YANG TERLIBAT (700 lot)


Di dalam perenggan pertama notis Borang E terdapat ruang tarikh siasatan, masa siasatan dan tempat siasatan. Persoalan disini adalah bagaimana untuk mengisi ruang tarikh siasatan dan masa siasatan


Oleh kerana kita membicarakan mengenai NOTIS AWAM BORANG E, pada pandangan saya pada ruangan tarikh boleh kita masukkan tarikh 19/11/2012 hingga 31/5/2013, sementara pada ruangan masa boleh kita masukkan 9 pagi hingga 5 petang


Seksyen 11 pula adalah berkaitan dengan notis individu:


UNTUK NOTIS INDIVIDU, DI DALAM BORANG E TERSEBUT BARULAH KITA LETAKKAN TARIKH SEBENAR DAN MASA SEBENAR UNTUK SIASATAN LOT TERSEBUT




Isnin, 22 Oktober 2012

Pembayaran Pampasan Dengan Segera

Isu semasa cuti

Pada 21 Oktober 2012, jam 1.38 ptg saya terima sms bertanyakan suatu perkara iaitu 'boleh atau tidak bayaran pampasan dibuat tanpa terlebih dahulu mengeluar dan menyerahkan Borang H'


Pandangan/Jawapan:

Seksyen 29(1) menyatakan:

'After a notice of award in Form H has been served in the manner prescribed by section 53 upon all interested persons the Land Administrator shall, as soon as may be, make payment of each amount awarded to the person entitled thereto unless................'

 
Seksyen 29(2) pula menyatakan jika tiada orang yang layak terima (meninggal), orang yang berhak tidak setuju terima atau terdapat pertikaian, Pentadbir Tanah hendaklah membuat permohonan ex parte kepada Pendaftar Mahkamah dalam Kamar disokong dengan afidavit untuk depositkan ke Mahkamah.

Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, Borang H mesti diserah terlebih dahulu kepada semua orang yang berkepentingan DAN selepas itu barulah bayaran pampasan dibuat dengan seberapa segera yang boleh.

Orang yang berkepentingan pula MESTI membuat pilihan seperti yang dinyatakan di dalam Borang H tersebut. Ini berdasarkan kes Zainal Abidin bin Yaakub v PT Melaka Tengah [1999] 5 MLJ 577

Antara keputusan yang dibuat oleh Y.A Hakim:

'Jika seseorang tuan tanah ingin menerima award atas bantahan, dia mesti memberitahu Pemungut tersebut secara formal akan niatnya untuk berbuat demikian. Dia perlu mengisi jadual kepada Borang H yang merupakan notis award dan tawaran pampasan dan memulangkan kepada Pemungut tersebut'



Khamis, 18 Oktober 2012

Pengisian Hujung Minggu



Sisipan Petang

 Perhatian untuk tuan-tuan tanah di Pengerang:

 Fasa kedua siasatan pengambilan tanah akan dijalankan tidak berapa lama lagi. Semua orang yang berkepentingan akan diberikan/diserahkan notis Borang E


Berita Pagi:

Hari Selasa dan Rabu ke Pulau Pinang jemputan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak, menyampaikan ceramah Pengambilan Tanah dan tidak dapat kemaskini blog. Selesai ceramah ada satu persoalan melalui email berkaitan dengan pengambilan dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu yang dapat dikongsi bersama:

Persoalan:

Tuan tanah tidak hadir semasa siasatan dibuat. Notis dihantar tidak sampai kerana telah pindah / tidak dapat dikesan. Wang pampasan diamanahkan di Mahkamah Tinggi. Apabila tuan tanah mengetahui pengambilan tanah tersebut berlaku wang pampasan akan dikeluarkan daripada Mahkamah Tinggi.

Boleh atau tidak tuan tanah membuat bantahan ke mahkamah (Borang N).
(Borang H bayar kepada Mahkamah Tinggi Malaya )


Pendangan/Jawapan:

Tuan tanah boleh membuat bantahan ke Mahkmah jika tempoh bantahan masih ada (6 minggu dari tarikh terima Borang H atau 6 bulan dari tarikh perintah Pentadbir Tanah (kerana tuan tanah tidak hadir semasa siasatan dan perintah), mana yang tamat dulu – seksyen 38(3)(b)).

Jika tempoh tersebut telah luput, dan tuan tanah masih ingin untuk membuat bantahan, tuan tanah mesti memohon kepada Mahkamah terlebih dahulu untuk melanjutkan tempoh tersebut sepertimana yang dinyatakan dibawah seksyen 38(4). Mahkamah hanya boleh melanjutkan tempoh tersebut dengan alasan yang kukuh, umpamanya Pentadbir Tanah tidak melaksanakan penyerahan notis Borang E dengan sempurna kepada tuan tanah (yang masih hidup) seperti yang dikehendaki oleh seksyen 53 dan 54. Apabila mahkamah benarkan perlanjutan tersebut, barulah tuan tanah kemukakan Borang N kepada Pentadbir Tanah.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Deposit Rujukan Ke Mahkamah


Pukul 10.02 malam tadi saya menerima panggilan telefon dari penduduk Pengerang yang ingin mendapat pandangan mengenai bayaran deposit yang perlu dijelaskan oleh setiap orang berkepentingan yang ingin membuat bantahan ke Mahkamah dan daripada cerita yang diberikan kesimpulan dapat dibuat bahawa mereka telah mengetahui peruntukan undang-undang walaupun tidak sepenuhnya.


Persoalan yang diajukan adalah:


Bilakah bayaran deposit perlu dibuat sama ada semasa penyerahan Borang N
atau bagaimana?


Pandangan:

Berdasarkan seksyen 37(1), mana mana orang berkepentingan boleh membuat bantahan ke Mahkamah berkaitan dengan sukatan tanah itu, amaun pampasan itu, orang kepadanya pampasan itu boleh dibayar, pengumpukan (bahagian/agihan) pampasan itu.

Seksyen 38(1), bantahan di atas mesti dibuat menggunakan Borang N kepada Pentadbir Tanah

Seksyen 38(3) pula menyatakan Borang N mesti diserahkan dalam tempoh 6 minggu dari tarikh perintah Pentadbir Tanah, jika orang berkepentingan hadir semasa perintah dibuat.

Berdasarkan seksyen-seksyen di atas, pihak yang membuat bantahan hanya perlu menyerahkan Borang N terlebih dahulu DAN TIDAK SEMESTINYA TERUS MEMBUAT BAYARAN DEPOSIT


Seksyen 39(1) pula menyatakan;

'Sebelum membuat rujukan kepada Mahkamah Pentadbir Tanah hendaklah menghendaki setiap orang yang membuat permohonan supaya mendepositkan kepada Pentadbir Tanah suatu jimlah wang tiga ribu ringgit atau ...............................................................................................'

Perkataan 'sebelum membuat rujukan ke Mahkamah' dalam ayat diatas ada kaitan dengan seksyen 38(5) iaitu:

Apabila Pentadbir Tanah menerima Borang N, Pentadbir Tanah hendaklah merujuk bantahan tersebut kepada Mahkamah dalam masa enam bulan dengan menggunakan Borang O

Oleh yang demikian, bayaran deposit boleh dibayar apabila diminta oleh Pentadbir Tanah dalam tempoh 30 hari (seperti dibawah seksyen 39(2) sebelum Pentadbir Tanah membuat rujukan ke Mahkamah (iaitu dalam tempoh 6 bulan tersebut) dan tidak semestinya mesti dibayar pada masa penyerahan Borang N

MEMAKSA TUAN TANAH MEMBAYAR DEPOSIT SEMASA MENGEMUKAKAN BORANG N ADALAH AMALAN TERKINI DAN BUKANNYA KEHENDAK UNDANG-UNDANG.

TIDAK MENJADI KESALAHAN JIKA TUAN TANAH SANGGUP MEMBAYAR DEPOSIT SEMASA KEMUKAKAN BORANG N

Rabu, 10 Oktober 2012

Tuan Tanah Meninggal Dunia

Sehingga kini banyak pemilik tanah/tuan punya berdaftar tanah-tanah yang terlibat dengan pengambilan di bawah Akta Pengambilan Tanah telah meninggal dunia dan permohonan pembahagian pusaka di bawah Akta  Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 belum dibuat atau belum diselesaikan. Ini menyebabkan timbul banyak persoalan bagaimana dengan wang pampasan pengambilan tanah tersebut.

Mengikut seksyen 3(2) Akta Pusaka Kecil ' Bagi maksud-maksud Akta ini suatu harta pusaka kecil ertinya suatu harta pusaka orang simati yang mengandungi keseluruhan atau sebahagiannya harta tak alih yang terletak dalam mana-mana Negeri ..............................'

Seksyen 4(1) Akta yang sama menyatakan 'Kecuali sebagaimana Akta ini memperuntukkan sebaliknya tiada kepentingan dalam apa-apa harta pusaka kecil hendaklah diturunkan atau terletakhak dalam mana-mana orang menurut kuasa mana-mana instrumen selain daripada suatu perintah atau pemberian yang dibuat dibawah Akta ini'

Berdasarkan seksyen-seksyen di atas sebelum perintah pembahagian dibuat, harta simati telah menjadi harta pusaka.

Berbalik kepada Akta Pengambilan Tanah, mengikut seksyen 29(1)(a), jika tiada orang yang layak/berhak (meninggal dunia), wang pampasan akan disimpan di Mahkamah dan seterusnya berdasarkan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Bil.39 Tahun 2009 - 'Bagi tuanpunya tanah berdaftar atau pihak berkepentingan berdaftar yang telah meninggal dunia tanpa membuat sebarang wasiat atau tanpa Surat Kuasa Tadbir, Pentadbir Tanah hendaklah menamakan Amanah Raya Berhad sebagai pihak berkepentingan berdaftar'

Berdasarkan Pekeliling tersebut, menjadi kewajiban kepada Pentadbir Tanah membuat pembayaran kepada Amanah Raya Berhad.

Satu lagi persoalan, waris tuan tanah boleh atau tidak membuat bantahan ke Mahkamah?

1.    Berdasarkan seksyen 37(1) Akta Pengambilan Tanah iaitu pihak yang boleh membuat bantahan ke Mahkamah ialah:

'Mana-mana orang yang berkepentingan (person interested) pada mana-mana tanah terjadual  ..................................................................................................................................................
.............................................................. membuat bantahan terhadap:


2. Jika kita merujuk kepada perenggan 2 Borang N pula (Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah) menyatakan: 

Kepentingan saya pada tanah tersebut adalah seperti berikut:

...........................................................................................................

Perkataan kepentingan tersebut bermaksud: Tuanpunya tanah, tuanpunya rumah, penyewa, pemajak, pemegang gadai TIDAK TERMASUK WARIS YANG BELUM DIPUTUSKAN

BERDASARKAN KENYATAAN-KENYATAAN DI ATAS PADA PANDANGAN SAYA WARIS (ISTERI/SUAMI, ANAK) YANG BELUM DIPUTUSKAN MELALUI PERINTAH PEMBAHAGIAN PUSAKA TIDAK BOLEH MEMBUAT BANTAHAN KE MAHKAMAH MENGIKUT SEKSYEN 29 AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960


Sabtu, 6 Oktober 2012

PERHATIAN!!!

SEMINAR PENGAMBILAN TANAH

ANJURAN KELAB INSTUN

PADA 19 NOVEMBER 2012

DI SHAH ALAM

SALAH SEORANG PEMBENTANG 

ADALAH SAYA SENDIRI

BERMINAT HUBUNGI INSTUN

TEL: 05-4542825 - URUSETIA SEMINAR


Khamis, 4 Oktober 2012

Pertanyaan Pengunjung Blog

Pagi ini saya menerima satu email  untuk dapatkan penyelesaian persoalan yang dikemukakan oleh pengunjung blog saya berkaitan dengan pengambilan tanah (tanpa mengubah ayat dan ejaan. Namanya juga dirahsiakan) dan seterusnya pandangan diberikan:

Saya ingin memohon pendapat/pandangan tuan berkaitan beberapa perkara dibawah

Pengambilan tanah untuk projek pengairan telah dilakukan pada tahun 2003 dan pampasan telah dibayar kepada tuan tanah dan tanah tersebut telah menjadi tanah kerajaan . Keluarga saya merupakan penyewa tanah dan pemilik rumah dan sebuah kedai makan  yang telah tinggal hampir 40 tahun. Setelah hampir 10 tahun berlalu baru sahaja kami mengetahui tanah tersebut telah diambil oleh kerajaan. Kami tidak pernah dimaklumkan berkaitan pengambilan tanah  dan dipangil untuk proses siasatan. Untuk makluman tuan, pihak kontraktor telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja mereka telah datang dan menawarkan beberapa bayaran. Apakah dibolehkan kami menerima tawaran pihak kontraktor.Rumah keluarga saya juga termasuk beberapa kaki persegi  dengan pemgambilan tanah tersebut (apakah layak jugak mendapat pampasan bangunan kerana kesan yang buruk seperti limpahan air jika hujan dan dan sebagainya apabila kerja-kerja pembinaan terusan dijalankan ) Apakah perlu ubah rumah 20 kaki dari sempadan tanah yang telah diambil oleh kerajaan. Apa yang perlu saya lakukan.

Pandangan Saya:

Seksyen 2 Akta Pengambilan Tanah:

"orang yang berkepentingan" termasuklah tiap-tiap orang yang menuntut sesuatu kepentingan pada pampasan yang dibuat kerana pengambilan tanah di bawah Akta ini, tetapi tidak termasuk seorang penyewa mengikut ihsan (tenant at will)'

Berdasarkan seksyen di atas dan kenyataan pihak tuan, keluarga tuan termasuk di dalam takrif seksyen tersebut (kepentingannya adalah rumah dan kedai). Oleh yang demikian, mereka 'SHALL' DIBERIKAN/diserahkan notis Borang E sepertimana dinyatakan dibawah seksyen 11(1) Akta yang sama dan seterusnya hadir/boleh hadir  semasa siasatan pengambilan dijalankan oleh Pentadbir Tanah  DAN LAYAK MENERIMA PAMPASAN atas kepentingan tersebut, kos pindah, kos mengangkut barang dan lain-lain atas kepentingan tersebut

Nasihat saya, jangan terima dahulu bayaran yang hendak dibuat oleh pihak kontraktor. Tindakan awal yang perlu diambil adalah pergi ke Pejabat Tanah yang menguruskan pengambilan tanah, Pejabat JPS (jika pengambilan untuk taliair), cerita perkara sebenar. Pihak keluarga tuan juga boleh bawa kes ke Mahkamah (Jalan penyelesaian terakhir jika Jabatan-Jabatan berkenaan tidak mengambil tindakan sewajarnya dan tindakan ini boleh diberitahu kepada Jabatan-Jabatan berkenaan)

Mengenai rumah/bangunan lain, berdasarkan seksyen 34, jika melibatkan bahagian penting rumah tersebut (ibu rumah), bayaran hendaklah dibuat SEPENUHNYA.

Selasa, 2 Oktober 2012

Borang H Akta Pengambilan Tanah

Saya mendapat maklumat ada diantara tuan tanah di Pengerang yang telah menerima Borang H enggan memulangkan satu salinan Borang tersebut dengan anggapan 'tidak memulangkan bermakna tidak bersetuju dan pengambilan tidak akan diteruskan'

Borang H adalah Notis Award (Perintah) dan Tawaran Pampasan. Berdasarkan seksyen 16(1) Akta Pengambilan Tanah, Pentadbir Tanah hendaklah menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan pada tanah itu

Seksyen 29 (1) pula menyatakan:

'Selepas suatu notis award dalam Borang H disampaikan mengikut cara yang ditetapkan oleh seksyen 53 kepada semua orang-orang yang berkepentingan Pentadbir Tanah hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, membayar setiap amaun yang diawardkan kepada orang yang berhak menerimanya melainkan -'

Berdasarkan seksyen diatas, selepas menerima Borang H (sama ada dipulangkan satu salinan ataupun tidak) pampasan akan dibayar kepada semua orang berkepentingan/tuan tanah.

Pampasan tidak akan dibayar jika tiada yang layak terima (meninggal dunia umpamanya), orang yang berhak tidak setuju terima atau terdapat pertikaian.

Dalam kes di Pengerang, Seksyen 29(2), pula menyatakan jika orang yang berhak enggan terima pampasan, wang tersebut akan didepositkan ke Mahkamah Tinggi.

Selain daripada itu, di dalam Borang H, tuan tanah diberi tiga pilihan iaitu:

(a) saya menerima tawaran itu*; dan

(b) Saya menerima tawaran itu dengan bantahan*

(c) Saya tidak menerima tawaran itu*

Oleh yang demikian setelah menerima Borang H tuan tanah/orang yang berkepentingan MESTI membuat pemilihan, sama ada (a), (b) ataupun (c). Tanpa memilihnya tuan tanah/orang yang berkepentingan tidak boleh membuat bantahan ke Mahkamah jika tidak bersetuju dengan pampasan yang diberikan (Saya juga mendapat tahu mejoriti tuan tanah di Pengerang tidak bersetuju dengan pampasan yang diawardkan kerana dianggap masih rendah).

Ini berdasarkan kes Zainal Abidin Abidin bin Yaakub v Pentadbir Tanah Daerah Melaka Tengah [1996] 5 MLJ 577

Antara keputusan yang dibuat oleh Y.A Hakim

'Jikalau seseorang tuan tanah ingin menerima award atas bantahan, dia mesti memberitahu Pemungut tersebut secara formal akan niatnya untuk berbuat demikian. Dia perlu mengisi jadual kepada Borang H yang merupakan notis award dan tawaran pampasan dan memulangkan kepada Pemungut tersebut'

'Olih itu kerana bayaran telah dibuat oleh Pemungut tersebut menurut Borang H yang telah dihantar kepada perayu, hak perayu untuk membuat bantahan telah lenyap kerana dia tidak membuat bantahan sebelum bayaran diterima, ataupun membuat bantahan terhadap award tersebut sebelum penerimaan jumlah tersebut'

OLEH YANG DEMIKIAN, SETUJU ATAUPUN TIDAK, SATU SALINAN BORANG H SEPATUTNYA HENDAKLAH DIPULANGKAN TERLEBIH DAHULU DAN SETERUSNYA JIKA INGIN MENBANTAH ISI DAN SERAHLAH BORANG N

Isnin, 1 Oktober 2012

Pewartaan Di Bawah Seksyen 4

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan telah mengeluarkan surat arahan kepada semua JKPTG Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan Pejabat-Pejabat Tanah berkaitan dengan keputusan Mahkamah yang memutuskan pewartaan dibawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah adalah mandatori. 

Akibat daripada keputusan tersebut semua permohonan pengambilan tanah mesti diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu dan kemudiannya diikuti dengan pewartaan dibawah seksyen 8. Sebelum ini berdasarkan Akta dan Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan, pewartaan dibawah seksyen 4 hanya perlu dibuat jika diminta oleh pemohon (untuk tujuan kajian kesesuaian tanah sahaja) dan pengambilan tanah yang melibatkan jajaran baru sahaja seperti jalanraya, lebuhraya dan seumpamanya.

Lanjutan daripada kes tersebut, timbul beberapa persoalan yang ditanya kepada saya melalui kursus yang telah di adakan dan juga melalui e-mail

1. Bolehkan di dalam Kertas Ringkasan/Kertas EXCO untuk kelulusan pengambilan tanah dimasukkan syor untuk kelulusan pengambilan dibawah seksyen 4 bersekali dengan kelulusan pengambilan dibawah seksyen 8?

2. Bolehkan pewartaan dibawah seksyen 4 dan seksyen 8 dikeluarkan pada tarikh yang sama?

3. Bagaiamana kedudukan tanah-tanah yang telahpun diwartakan dibawah seksyen 8 dimana permohonan dibuat/diterima selepas keputusan Mahkamah tersebut? Adakah pewartaan seksyen 8 tersebut perlu dibatalkan dan memulakannya dengan seksyen 4 terlebih dahulu?

Pandangan:

1. Kelulusan pengambilan di bawah seksyen 4 dan seksyen 8 adalah dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri. Ini berdasarkan seksyen 4 dan seksyen 8 itu sendiri. Selama ini kelulusan adalah berasingan bergantung kepada kehendak pemohon dan juga kehendak Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan Bilangan 1 Tahun 2003. 

Lanjutan daripada keputusan Mahkamah tersebut, adalah tidak menjadi kesalahan (bahkan lebih baik), pengesyuran pengambilan tanah dibawah seksyen 4 dan 8 disekalikan didalam satu Kertas Ringkasan/Kertas EXCO dan seterusnya mendapat SATU kelulusan serentak untuk seksyen 4 dan seksyen 8 (keutamaan projek-projek yang tidak memerlukan kajian kesesuaian tanah)

Seterusnya adalah diingatkan, supaya pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian/Pejabat SUK yang menyediakan deraf Kertas Kelulusan EXCO/MB mesti memasukkan persetujuan EXCO/MB  untuk mengisytiharkan pengambilan di bawah seksyen 4 dan 8.

Bagi projek yang memerlukan kajian kesesuaian tanah terlebih dahulu seperti jalanraya, lebuhraya dsb, adalah dinasihatkan kelulusan  pengambilan di bawah seksyen 4 diasingkan dengan kelulusan pengambilan di bawah seksyen 8 (DUA KALI KELULUSAN)


2. Untuk pewartaan selepas kelulusan Menteri Besar/EXCO, tarikh warta mesti lah berbeza antara seksyen 4 dan seksyen 8. Tarikh warta seksyen 4 mestilah mendahului tarikh warta seksyen 8. Ini terpaksa dibuat berdasarkan Perenggan 1(1)(a) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah yang menyatakan:

'Bagi maksud Akta ini istilah "nilai pasaran" jika terpakai pada mana-mana tanah dijadualkan hendaklah bererti nilai pasaran tanah itu -

(a) pada tarikh penyiaran pemberitahuan dalam warta di bawah seksyen 4, dengan syarat bahawa pemberitahuan itu hendaklah dalam dua belas bulan (shall within) dari tarikhnya itu (tarikh warta seksyen 4) diikuti dengan suatu pengisytiharan di bawah seksyen 8 berkenaan dengan kesemua atau beberapa bahagian tanah dalam kawasan yang dinyatakan itu; atau'

Bermaksud tarikh warta seksyen 4 berbeza dengan tarikh warta seksyen 8 untuk menentukan nilai pasaran tanah.

3. Untuk isu ini pada pandangan saya proses pengambilan boleh diteruskan walaupun tidak diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu kerana, jika ingin membatalkan pewartaan dibawah seksyen 8, tindakan dibawah seksyen 35(2) mesti dilakukan dan ini akan menimbulkan masalah kepada pemohon dan Pentadbir Tanah. Untuk jawapan yang lebih meyakinkan, diharap terlebih dahulu merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk pandangan

SAYUGIA DIINGATKAN, PEWARTAAN DIBAWAH SEKSYEN 4 YANG DICETAK OLEH PERCETAKAN NASIONAL ADALAH BERDASARKAN BORANG A AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960, SEMENTARA PEWARTAAN DI BAWAH SEKSYEN 8 ADALAH BERDASARKAN BORANG D (BESERTA JADUAL BORANG C) AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960.

Apa yang dinyatakan di atas masih berlaku kesalahan dimana warta seksyen 4, menggunakan Jadual Borang C. Ini berlaku pada Warta Kerajaan Negeri Melaka No. 747 dan 748 bertarikh 20 September 2012