Selasa, 2 Oktober 2012

Borang H Akta Pengambilan Tanah

Saya mendapat maklumat ada diantara tuan tanah di Pengerang yang telah menerima Borang H enggan memulangkan satu salinan Borang tersebut dengan anggapan 'tidak memulangkan bermakna tidak bersetuju dan pengambilan tidak akan diteruskan'

Borang H adalah Notis Award (Perintah) dan Tawaran Pampasan. Berdasarkan seksyen 16(1) Akta Pengambilan Tanah, Pentadbir Tanah hendaklah menyediakan dan menyampaikan suatu notis dalam Borang H kepada setiap orang yang berkepentingan pada tanah itu

Seksyen 29 (1) pula menyatakan:

'Selepas suatu notis award dalam Borang H disampaikan mengikut cara yang ditetapkan oleh seksyen 53 kepada semua orang-orang yang berkepentingan Pentadbir Tanah hendaklah, dengan seberapa segera yang boleh, membayar setiap amaun yang diawardkan kepada orang yang berhak menerimanya melainkan -'

Berdasarkan seksyen diatas, selepas menerima Borang H (sama ada dipulangkan satu salinan ataupun tidak) pampasan akan dibayar kepada semua orang berkepentingan/tuan tanah.

Pampasan tidak akan dibayar jika tiada yang layak terima (meninggal dunia umpamanya), orang yang berhak tidak setuju terima atau terdapat pertikaian.

Dalam kes di Pengerang, Seksyen 29(2), pula menyatakan jika orang yang berhak enggan terima pampasan, wang tersebut akan didepositkan ke Mahkamah Tinggi.

Selain daripada itu, di dalam Borang H, tuan tanah diberi tiga pilihan iaitu:

(a) saya menerima tawaran itu*; dan

(b) Saya menerima tawaran itu dengan bantahan*

(c) Saya tidak menerima tawaran itu*

Oleh yang demikian setelah menerima Borang H tuan tanah/orang yang berkepentingan MESTI membuat pemilihan, sama ada (a), (b) ataupun (c). Tanpa memilihnya tuan tanah/orang yang berkepentingan tidak boleh membuat bantahan ke Mahkamah jika tidak bersetuju dengan pampasan yang diberikan (Saya juga mendapat tahu mejoriti tuan tanah di Pengerang tidak bersetuju dengan pampasan yang diawardkan kerana dianggap masih rendah).

Ini berdasarkan kes Zainal Abidin Abidin bin Yaakub v Pentadbir Tanah Daerah Melaka Tengah [1996] 5 MLJ 577

Antara keputusan yang dibuat oleh Y.A Hakim

'Jikalau seseorang tuan tanah ingin menerima award atas bantahan, dia mesti memberitahu Pemungut tersebut secara formal akan niatnya untuk berbuat demikian. Dia perlu mengisi jadual kepada Borang H yang merupakan notis award dan tawaran pampasan dan memulangkan kepada Pemungut tersebut'

'Olih itu kerana bayaran telah dibuat oleh Pemungut tersebut menurut Borang H yang telah dihantar kepada perayu, hak perayu untuk membuat bantahan telah lenyap kerana dia tidak membuat bantahan sebelum bayaran diterima, ataupun membuat bantahan terhadap award tersebut sebelum penerimaan jumlah tersebut'

OLEH YANG DEMIKIAN, SETUJU ATAUPUN TIDAK, SATU SALINAN BORANG H SEPATUTNYA HENDAKLAH DIPULANGKAN TERLEBIH DAHULU DAN SETERUSNYA JIKA INGIN MENBANTAH ISI DAN SERAHLAH BORANG N

Tiada ulasan:

Catat Ulasan