Isnin, 1 Oktober 2012

Pewartaan Di Bawah Seksyen 4

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan telah mengeluarkan surat arahan kepada semua JKPTG Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan Pejabat-Pejabat Tanah berkaitan dengan keputusan Mahkamah yang memutuskan pewartaan dibawah seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah adalah mandatori. 

Akibat daripada keputusan tersebut semua permohonan pengambilan tanah mesti diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu dan kemudiannya diikuti dengan pewartaan dibawah seksyen 8. Sebelum ini berdasarkan Akta dan Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan, pewartaan dibawah seksyen 4 hanya perlu dibuat jika diminta oleh pemohon (untuk tujuan kajian kesesuaian tanah sahaja) dan pengambilan tanah yang melibatkan jajaran baru sahaja seperti jalanraya, lebuhraya dan seumpamanya.

Lanjutan daripada kes tersebut, timbul beberapa persoalan yang ditanya kepada saya melalui kursus yang telah di adakan dan juga melalui e-mail

1. Bolehkan di dalam Kertas Ringkasan/Kertas EXCO untuk kelulusan pengambilan tanah dimasukkan syor untuk kelulusan pengambilan dibawah seksyen 4 bersekali dengan kelulusan pengambilan dibawah seksyen 8?

2. Bolehkan pewartaan dibawah seksyen 4 dan seksyen 8 dikeluarkan pada tarikh yang sama?

3. Bagaiamana kedudukan tanah-tanah yang telahpun diwartakan dibawah seksyen 8 dimana permohonan dibuat/diterima selepas keputusan Mahkamah tersebut? Adakah pewartaan seksyen 8 tersebut perlu dibatalkan dan memulakannya dengan seksyen 4 terlebih dahulu?

Pandangan:

1. Kelulusan pengambilan di bawah seksyen 4 dan seksyen 8 adalah dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri. Ini berdasarkan seksyen 4 dan seksyen 8 itu sendiri. Selama ini kelulusan adalah berasingan bergantung kepada kehendak pemohon dan juga kehendak Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan Bilangan 1 Tahun 2003. 

Lanjutan daripada keputusan Mahkamah tersebut, adalah tidak menjadi kesalahan (bahkan lebih baik), pengesyuran pengambilan tanah dibawah seksyen 4 dan 8 disekalikan didalam satu Kertas Ringkasan/Kertas EXCO dan seterusnya mendapat SATU kelulusan serentak untuk seksyen 4 dan seksyen 8 (keutamaan projek-projek yang tidak memerlukan kajian kesesuaian tanah)

Seterusnya adalah diingatkan, supaya pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian/Pejabat SUK yang menyediakan deraf Kertas Kelulusan EXCO/MB mesti memasukkan persetujuan EXCO/MB  untuk mengisytiharkan pengambilan di bawah seksyen 4 dan 8.

Bagi projek yang memerlukan kajian kesesuaian tanah terlebih dahulu seperti jalanraya, lebuhraya dsb, adalah dinasihatkan kelulusan  pengambilan di bawah seksyen 4 diasingkan dengan kelulusan pengambilan di bawah seksyen 8 (DUA KALI KELULUSAN)


2. Untuk pewartaan selepas kelulusan Menteri Besar/EXCO, tarikh warta mesti lah berbeza antara seksyen 4 dan seksyen 8. Tarikh warta seksyen 4 mestilah mendahului tarikh warta seksyen 8. Ini terpaksa dibuat berdasarkan Perenggan 1(1)(a) Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah yang menyatakan:

'Bagi maksud Akta ini istilah "nilai pasaran" jika terpakai pada mana-mana tanah dijadualkan hendaklah bererti nilai pasaran tanah itu -

(a) pada tarikh penyiaran pemberitahuan dalam warta di bawah seksyen 4, dengan syarat bahawa pemberitahuan itu hendaklah dalam dua belas bulan (shall within) dari tarikhnya itu (tarikh warta seksyen 4) diikuti dengan suatu pengisytiharan di bawah seksyen 8 berkenaan dengan kesemua atau beberapa bahagian tanah dalam kawasan yang dinyatakan itu; atau'

Bermaksud tarikh warta seksyen 4 berbeza dengan tarikh warta seksyen 8 untuk menentukan nilai pasaran tanah.

3. Untuk isu ini pada pandangan saya proses pengambilan boleh diteruskan walaupun tidak diwartakan dibawah seksyen 4 terlebih dahulu kerana, jika ingin membatalkan pewartaan dibawah seksyen 8, tindakan dibawah seksyen 35(2) mesti dilakukan dan ini akan menimbulkan masalah kepada pemohon dan Pentadbir Tanah. Untuk jawapan yang lebih meyakinkan, diharap terlebih dahulu merujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk pandangan

SAYUGIA DIINGATKAN, PEWARTAAN DIBAWAH SEKSYEN 4 YANG DICETAK OLEH PERCETAKAN NASIONAL ADALAH BERDASARKAN BORANG A AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960, SEMENTARA PEWARTAAN DI BAWAH SEKSYEN 8 ADALAH BERDASARKAN BORANG D (BESERTA JADUAL BORANG C) AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960.

Apa yang dinyatakan di atas masih berlaku kesalahan dimana warta seksyen 4, menggunakan Jadual Borang C. Ini berlaku pada Warta Kerajaan Negeri Melaka No. 747 dan 748 bertarikh 20 September 2012

1 ulasan:

  1. tuan, bolehkah saya dapat nama kes yang mewajibkan pengwartaan seksyen 4 sebagai mandatori?

    BalasPadam