Isnin, 7 Januari 2013

Pengambilan Tanah GSA

PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN
BILANGAN 4/1986

Pengambilan Tanah Di Bawah Akta Pengambilan Tanah Bagi Tanah Yang Diwartakan Sebagai kawasan Penempatan Berkelompok Di Bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960


Pekeliling ini dikeluarkan bagi menasihati Pentadbir-pentadbir Tanah Daerah mengenai prosedur yang perlu diikuti bagi mengambil tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tanah yang diwartakan sebagai kawasan penempatan berkelompok di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

2.         Bagi melaksanakan apa-apa projek pembangunan dalam penempatan berkelompok kadangkala didapati sebahagian tanah tersebut perlu diambil balik di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Tanah-tanah yang perlu diambil ini adalah selain daripada tanah rizab untuk kegunaan awam yang telah atau akan diwartakan di bawah seksyen 8 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960.

3.         Tanah-tanah dalam kawasan penempatan berkelompok yang terlibat dengan pengambilan tanah adalah seperti  berikut:

3.1         Tanah yang telah diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan hakmilik berasingan telah didaftarkan;

3.2         Tanah yang telah diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tetapi belum ada hakmilik secara berasingan. Nama peneroka didaftar dalam Daftar Pegangan.

3.3         Tanah yang telah diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Tanah telah dimajukan oleh Agensi pembangunan tanah/wilayah dan hakmilik telah didaftarkan atas nama agensi tersebut;

3.4         Tanah yang diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Tanah telah dimajukan oleh Agensi pembangunan/wilayah tetapi belum ada Daftar Pegangan;

3.5         Tanah yang belum diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 tetapi tanah telah dimajukan oleh Agensi Pembangunan/wilayah dengan kebenaran Kerajaan Negeri  (Tanah Kerajaan);

3.6         Tanah yang belum diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan berkelompok) 1960 tetapi tanah telah dimajukan oleh Agensi Pembangunan/wilayah dengan kebenaran Kerajaan Negeri (Tanah Rizab Hutan).

4.         Jabatan Peguam Negara telah menyatakan bahawa bagi tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai kawasan penempatan berkelompok di bawah seksyen 4 Akta berkenaan, tindakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 akan hanya boleh diambil setelah kawasan tersebut ataupun bahagian yang terlibat dengan pengambilan tanah dibatalkan terlebih dahulu sebagai kawasan penempatan berkelompok di bawah seksyen 44 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Oleh itu prosedur yang perlu diikuti bagi mengambil balik tanah dalam kawasan penempatan berkelompok adalah seperti berikut:


4.1         Bagi tanah-tanah seperti di para 3.1 hendaklah diambil tindakan di bawah seksyen 44 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan berkelompok) 1960 dan diikuti dengan tindakan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Bayaran pampasan adalah mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan dibayar kepada tuan tanah berdaftar/orang berkepentingan;

4.2         Bagi tanah seperti di para 3.2 hendaklah diambil tindakan di bawah seksyen 44 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dan diikuti dengan tindakan di bawah Akta Pengambilan tanah 1960. Bayaran pampasan adalah mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan dibayar kepada agensi yang membangunkan tanah yang akan mengagih kepada mereka yang didaftar dalam Daftar Pegangan setelah ditolak kos tertentu bagi membangun tanah tersebut.

4.3         Bagi tanah seperti di para 3.3 hendaklah diambil tindakan di bawah seksyen 44 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan berkelompok) 1960 dan diikuti dengan tindakan mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960. Bayaran pampasan adalah mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan di bayar kepada agensi yang namanya didaftarkan sebagai pemilik;

4.4         Bagi tanah seperti di para 3.4 hendaklah diambil tindakan di bawah seksyen 44 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan berkelompok) 1960. Bahagian tanah yang terlibat dengan pewartaan Pembatalan akan menjadi tanah kerajaan . Bayaran pampasan adalah dibuat kepada agensi pembangunan tanah atas apa-apa kemajuan sahaja seperti kos membersih tanah bagi kawasan yang terlibat, harga pokok yang telah ditanam dan sebagainya;
4.5         Bagi tanah di para 3.5 tanah tersebut adalah masih tanah kerajaan. Jika tanah tersebut terlibat dengan apa-apa pembangunan agensi pelaksanaan hendaklahlah membuat perundingan dengan agensi pembangunan tanah bagi menentukan dan membayar apa-apa bayaran kos pembangunan yang telah dibelanjakan. Pentadbir Tanah Daerah bolehlah menyelaraskan bayaran pempasan;

4.6         Bagi tanah-tanah seperti di para 3.6 tanah tersebut masih lagi tanah kerajaan/rizab. Jika tanah tersebut diperlukan untuk melaksanakan apa-apa projek status Rizab Hutan hendaklah dibatalkan dahulu. Bahagian tanah yang terlibat akan jadi tanah kerajaan. Agensi pelaksana hendaklah membuat perundingan dengan agensi pembangunan tanah bagi menentukan dan membayar apa-apa bayaran kos pembangunan yang telah dibelanjakan. Pentadbir Tanah Daerah bolehlah menyelaraskan bayaran pampasan.

5.         Bagi maksud mengambil tindakan membatalkan sesuatu kawasan penempatan berkelompok, Pentadbir Tanah Daerah bolehlah memohon persetujuan Y.B Menteri dengan mengemukakan kepada Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan 4 salinan pelan tanah dan butir-butir lengkap mengenai kawasan penempatan berkelompok itu.

6.         Di dalam kes-kes dimana sesuatu tanah di dalam kawasan penempatan berkelompok telah diambil balik di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tanpa mengeluarkannya dahulu daripada kawasan penempatan berkelompok, maka tindakan perlulah diambil untuk mewartakan tanah tersebut di bawah seksyen 44 Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan berkelompok) 1960 dengan berkuatkuasa pada suatu tarikh sebelum tarikh Warta yang telah dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tanah itu.

7.         Pentadbir-pentadbir Tanah Daerah adalah dinasihatkan supaya mengikut prosedur yang dinyatakan di para 4, 5 dan 6 bagi mengambil balik tanah yang telah atau akan diwartakan di bawah Akta Tanah (Kawasan-kawasan Penempatan Berkelompok) 1960

Tiada ulasan:

Catat Ulasan