Khamis, 3 Januari 2013

Pengambilan Tanah Ladang (Estate) dan Kaitan Dengan S 214A KTN


Pada hari pertama bekerja di tahun baharu 2013, saya ada menerima satu persoalan iaitu:

'Jika sebahagian atau keseluruhan tanah ladang (estate) terlibat dengan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, adakah perlu mematuhi kehendak seksyen 214A Kanun Tanah Negara 1960 sebelum pengambilan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri'

Terlebih dahulu kita lihat apa yang dimaksudkan dengan tanah ladang. Berdasarkan seksyen 214A(11) Kanun Tanah Negara, 'Tanah estet (estate land) ertinya mana-mana tanah pertanian yang dipegang dibawah satu atau lebih hakmilik (title), keluasan atau agregat keluasannya tidak kurang daripada 40 hektar dan tanah milik yang mewujudkan keluasan tersebut adalah berdampingan (contiguous)

Seksyen 214A(1) pula menyatakan 'Walau apa jua pun yang terkandung dalam Akta ini, tiada tanah estet berupaya dipindahmilik, dipindahhak atau dilupuskan dengan apa-apa cara sekalipun, melainkan kelulusan untuk pindahmilik, pindahhak atau pelupusan sedemikian telah terlebih dahulu diperolehi dari Lembaga Tanah Estet (Estate Land Board)'

Selain daripada pindahmilik, pindahhak, pelupusan; mengikut seksyen 124(1A) syarat untuk tukar syarat, seksyen 124A(1A) syarat untuk Permohonan Serentak Pecah Sempadan dan Tukar Syarat jika melibatkan tanah estet, seksyen 135(3) syarat untuk pecah sempadan, Pentadbir Tanah mesti (shall)  merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tanah Estet

Lembaga Tanah Estet yang ditubuhkan dibawah seksyen 214A(3) terdiri daripada:

(a) Setiausaha Kerajaan Negeri yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(aa) Pengarah Negeri, yang hendaklah menjadi Setiausaha; dan

(b) Tidak lebih daripada 4 orang anggota yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri dari anggota-anggota Perkhidmatan Awam

Rasional seksyen 214A  diperbuat pada ketika itu adalah 'UNTUK MENJAGA KEPENTINGAN PEKERJA LADANG' supaya apabila tanah estet dipindahmilik, dipindahkah, dilupuskan, ditukar syarat, dipecahsempadan dan tukar syarat serentak, hak pekerja ladang yang selama ini bergantung kepada ladang tersebut dapat dibela oleh Lembaga Tanah Estet.

Berbalek kepada persoalan yang dikemukakan, pada pandangan saya berdasarkan seksyen-seksyen diatas, ianya tidak ada menyatakan berkaitan dengan pengambilan tanah. Oleh yang demikian tidak perlu merujuk kepada Lembaga Tanah Estet. Tambahan pula berdasarkan seksyen 11(1)(a) dan (c) Akta Pengambilan Tanah 1960, salinan notis Borang E akan disampaikan kepada penduduk tanah itu dan kepada mana-mana orang yang dia tahu atau ada sebab-sebab mempercayaai sebagai ada kepentingan pada tanah itu (iaitu pekerja ladang)

Kesimpulannya, pekerja ladang dan penghuni ladang akan dipanggil menghadiri siasatan menerusi Borang E dan diberi gantirugi jika ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan