Selasa, 28 Januari 2014

Pandangan Berkaitan Pertanyaan

Soalan 1

Salam, saya ingin meminta pendapat dari tn berkenaan tanah yang digunakan oleh TNB di bandar Alor Setar.. tanah itu dahulunya telah dipajak oleh aruah bapa saya kepada LLN selama 30th tempoh pajakan telah tamat pada 2007. kami tidak mengetahui ttg tanah sehinggalah menerima surat dari pejabat tanah alor setar kepada kami untuk menjelaskan cukai tertunggak yang tidak pernah dibayar oleh LLN @ TNB.. kami mengambil keputusan untuk menukarkan nama aruah kepada nama ibu saya sendiri . tapak adalah seluas 50sfx50sf . kami telah menghubungi pejabat TNB dan mereka memaklumkan bahawa meraka menghendaki supaya kami menandatangani borang 15A dan mereka tak perlu membayar apa2 kepada kami dan kami yang sepatutnya menyelesaikan cukai tanah. dengan bermakna mereka boleh mengambil tanah kami berniaga diatas tanah kami dan kami lah yang kena menanggung semua cukai mereka ? harap dapat penjelasan dari pihak tuan terimakasih.

 
Pandangan/Jawapan

Untuk makluman, jika dalam perjanjian pajakan menyatakan TNB perlu membayar cukai sewa, TNB mesti membayarnya DAN SEBALIKNYA JIKA TIDAK DISEBUT DIDALAM PERJANJIAN, TUAN TANAH TERPAKSA MEMBAYAR CUKAI TERSEBUT.

Saya menasihatkan pihak anda JANGAN MENANDA TANGANI SEBARANG BORANG. BORANG 15A ADALAH BORANG PAJAKAN TANAH DIMANA TNB MUNGKIN BERCADANG UNTUK MENYAMBUNG PAJAKAN TERSEBUT. Olih kerana pajakan telah tamat, ANDA BERITAHU KEPADA TNB SUPAYA KELUAR DARI TANAH TERSEBUT.

JIKA TNB ENGGAN KELUAR 2 PERKARA ANDA BOLEH LAKUKAN :

1.    MINTA TNB BUAT PENGAMBILAN TANAH DAN TUANTANAH AKAN DAPAT BAYARAN PAMPASAN MENGIKUT KADAR SEKARANG ATAU JIKA ENGGAN

      2.   AMBIL TINDAKAN MAHKAMAH

 
Soalan 2 (Ayat dan ejaan tidak dipinda)

Encik Baharuddin,

Selamat pagi. Tadi saya telah membaca blog anda mengenai Hak Lalauan Talian Elektrik. Tetapi saya masih terdapat beberapa soalan yang masih belum dapat dijawab. Haraplah anda dapat menjawabnya dengan secepat yang mungkin.
 Saya adalah seorang persara. Oleh kerana pencen saya hanya mencukupi untuk makan sahaja. Jadi saya tidak ada wang yang berlebihan untuk mendapat nasihat guaman untuk menyelesaikan masalah saya.  Oleh sebab itu saya berharap Encik dapat menolong orang miskin untuk menentang pihak orang kaya yang menyalahgunakan undang-undang untuk kepentingan diri sendiri.

Dalam tahun 14/9/1995, saya telah diberi satu notis Jadual Pertama (seksyen 11(2)) Akta Bekalan Elektrik 1990 oleh pihak TNB mengenai satu cadangan memasuki dan mendirikan tiang atau menara serta merentung dan mengendali talian bekalan atau talian penghantaran elektrik di dalam kawasan tanah kebun getah saya dan bayaran pampasan pun dibayar dalam tahun23/7/1996. Tatapi sehingga hari ini (18 tahun kemudian), kerja tersebut masih belum dilaksanakan. Ini bermakna pihak TNB tidak ingin menggunakan hak laluan  tersebut. Kononnya pihak TNB telah mendirikan tiang atau menara  tersebut di tempat lain kerana laluan tersebut lebih sesuai. Malangnya, baru-baru ini saya dapati bahawa dalam geran saya telah direkodkan dengan perkataan “Hak Laluan Talian Elektrik” pada tahun 26/11/2012. Oleh kerana terdapat catatan tersebut, pembeli tidak mahu membeli/membayar bahagian tanah yang terlibat dengan laluan talian elektrik itu. Ini menyebabkan saya kehilangan wang sebanyak RM 125,000.00.

Jadi di bawah ini adalah soalan-soalan saya:-
1.    Adakah ini merupakan suatu kesilapan yang telah dilakukan oleh pihak Pentadbir Tanah Daerah untuk merekodkan hak tersebut selepas 15 tahun kemudian? Jika mengikut pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 2/1999, prosidur merekodkan hak tersebut hendak dilakukan selepas semua prosidur-prosidur di perenggan 3 telah selesai. Ini bermakna rekod itu patut dibuat dalam tahun 1996 bukan dalam tahun 2010.
2.    Mengikut juru ukur yang datang mengukur tanah saya dalam tahun 1995, TNB akan hilang haknya jika kerja tersebut tidak dijalankan dalam sesuatu tempoh yang menasabah. Benarkah pandangan juru ukur tersebut?
3.    Mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 Seksyen 11(1), TNB boleh memasuki sesuatu tanah milik untuk meletakkan atau memasang talian elektrik jika perbuatan itu adalah berkaitan dengan pembangunan ekonomi Negara. Tetapi tindakan itu nampaknya tiada kaitan dengan pembangunan langsung kerana sehingga hari ini tanah itu masih tidak digunakan. Ini bermakna pihak TNB telah salahgunakan Akta tersebut untuk merampaskan tanah orang miskin untuk kepentingan diri sendiri atau membina kekayaan syarikat tersebut. Jika Akta tersebut boleh dipakai sewenang-wenangnya, maka semua tanah orang yang miskin akan hilang dan dimiliki oleh orang kaya tidak lama lagi.
4.    Kerana terdapat catatan rekod hak laluan talian elektrik, pembeli tidak ingin membayar tanah yang terlibat, jadi adakah ini bermakna pihak tuan tanah patut menanggung kerugian kerana isu hak milik tanah yang terlibat?
5.    Adakah rekod dicatat 15 tahun kemudian merupakan suatu kesilapan pihak pejabat tanah?
6.    Bagaimana saya boleh membatalkan (delete) rekod hak laluan talian elektrik tersebut daripada geran saya?
7.    Adakah undang-undang lain yang boleh mempertahankan hak kepentingan tuan tanah dari perampasan sebegini?
8.    Apakah nasihat anda?
Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Lim Chor Kooi


Pandangan

Berdasarkan seksyen 11(10) Akta Bekalan Elektrik 1990, Pentadbir Tanah hendaklah membuat suatu catatan di dalam dokumen hakmilik sepertimana tuan nyatakan iaitu perkataan 'Haklaluan Bekalan Elektrik'. Catatan tersebut TIDAK SEMESTINYA DILAKUKAN DENGAN SEGERA.

Apabila ada catatan tersebut ianya adalah sah WALAUPUN KAWASAN TERSEBUT BELUM DIDIRIKAN DENGAN DENGAN TALIAN BEKALAN ELEKTRIK

OLEH KERANA TALIAN TIDAK DIBINA, PIHAK TUAN BOLEH BERBINCANG DENGAN TNB/PEJABAT TANAH DAN JIKA SEKIRANYA TNB TIDAK MAHU MENGGUNAKAN KAWASAN TERSEBUT, PIHAK TUAN MUNGKIN DIMINTA MEMBAYAR SEMULA BAYARAN YANG TELAH DIBUAT SEBELUM INI DAN SETERUSNYA PERKATAAN 'HAK LALUAN BEKALAN ELEKTRIK' BOLEH DIBATALKAN OLEH PEJABAT TANAH TETAPI JIKA SEKIRANYA PIHAK TNB BERTEGAS HANYA MAHKAMAH SAHAJA YANG BOLEH MEMBUAT KEPUTUSAN.



  
 

Sabtu, 18 Januari 2014

Soalan Pengambilan Tanah

Soalan pertama daripada pegawai Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah - 'Keluasan diambil dalam Borang C dan di dalam warta seksyen 8 adalah 1 ekar . Agensi pemohon menyatakan dalam surat, keluasan yang akan diambil dikurangkan menjadi  0.9 ekar. Bagaimana dengan Borang E, perintah Borang G dan Borang K yang akan dibuat?

Soalan kedua dari pegawai Pejabat Tanah Daerah Seremban -  'Dalam Borang C dan warta seksyen 8 keluasan yang akan diambil adalah 0.0769 ha. Keluasan yang diperlukan oleh agensi pemohon adalah 0.769 ha. Adakah perlu pembetulan warta?

Soalan ketiga dari pegawai Pejabat Tanah Daerah Seberang Prai Utara - 'Tuan Tanah tidak hadir siasatan pengambilan setelah diberikan Borang E dan surat panggilan kedua (tuan Tanah ada dan dijumpai). Berdasarkan seksyen 29 Akta Pengambilan Tanah, wang pampasan didepositkan ke Mahkamah. Borang H telah diserahkan kepada semua pihak dan bayaran pampasan BELUM dibuat. Tuan Tanah hadir ke Pejabat Tanah dan memohon supaya bayaran pampasan dibayar kepadanya. Soalannya boleh atau tidak bayaran pampasan dibayar kepadanya dan bagaimana?'

Soalan keempat dari pegawai Pejabat Tanah Ledang - 'Keseluruhan tanah  terlibat dengan pengambilan dan dalam masa yang sama tanah tersebut telah dijual (Borang 14A telah lengkap tetapi belum didaftarkan lagi). Bagaimana dengan pampasan sama ada dibayar kepada tuan tanah asal, pembeli atau depositkan ke Mahkamah sehingga Borang 14A didaftarkan'.


Soalan Kelima dari pegawai Pejabat Tanah di Johor - Permohonan pengambilan tanah untuk seksyen 3(1)(b)(c), pemohon telah membuat bayaran untuk 50% pada tahun 2007, tetapi tidak menjelaskan bayaran untuk 75% kerana peruntukan tidak mencukupi dan permohonan terbatal. Pemohon membuat permohonan semula pada tahun 2011. Bayaran 125% dibayar mengikut nilaian JPPH yang terdahulu.


Soalanya:-


1) Adakah salah pentadbiran ini tidak merujuk nilaian baru dgn menggunakan nilaian yg lama sebagai bayaran 125%.


2) Tindakan sekarang dalam proses pengeluaran Borang E dan F, dan pejabat tanah telahpun mendapatkan laporan nilaian sebelum bicara dibuat, nilaian JPPH adalah 2kali ganda dari nilaian yang asal pada tahun 2007. Adakah perlu pejabat tanah memungut semula bayaran 125% berdasarkan nilaian JPPH yang baru.

3) Sekiranya pihak pemohon tidak dapat membayar nilaian pampasan yang diawardkan, apa tindakan yang perlu dibuat oleh Pejabat Tanah

PANDANGAN /JAWAPAN

Untuk soalan pertama.

Di dalam Borang E, keluasan yang diambil mesti 1 ekar kerana jadual Borang E adalah jadual Borang D dan jadual Borang D adalah jadual Borang C. Walau bagaimanapun berdasarkan  provision seksyen 14(3) Akta Pengambilan Tanah, Pentadbir Tanah boleh membuat award/perintah Borang G lebih kecil daripada keluasan yang diwartakan dan berdasarkan seksyen 14(4)(b) oleh kerana award tersebut kurang  dengan tidak lebih suku hektar atau satu peratus, maka penarikan balik dibawah seksyen 35(1) tidak perlu dibuat. Seterusnya keluasan pengambilan di dalam Borang K adalah 0.9 ekar berdasarkan perintah Borang G.

Untuk soalan kedua

Berdasarkan seksyen 7 Akta Pengambilan Tanah, pelan dan Borang C mesti dikemukakan oleh Pentadbir Tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk kelulusan. Oleh itu kelulusan PBN hanya melibatkan keluasan 0.0769 ha. Oleh kerana agensi pemohon memerlukan kawasan seluas 0.769 ha, maka keluasan seluas 0.6921 MESTI MENDAPAT KELULUSAN PBN SEMULA


Untuk soalan ketiga.

Walaupun perintah telah dibuat supaya pampasan didepositkan ke Mahkamah dan dalam masa yang pampasan belum lagi dibayar/didepositkan dan tuan tanah pula hadir untuk menuntutnya, Pentadbir Tanah hendaklah memberitahu agensi pemohon supaya bayaran pampasan dibuat kepada tuanpunya tanah atas alasan tuan tanah setuju menerimanya. Jika Pentadbir Tanah membuat keputusan sebagaimana asal iaitu mendepositkan ke Mahkamah, beban tuagas Pentadbir Tanah akan bertambah untuk menyediakan permohonan & affidavit penyimpanan dan seterusnya menyediakan permohonan dan affidavit untuk pengeluaran pula.


Untuk soalan keempat

Semasa siasatan pengambilan, Pentadbir Tanah mesti memanggil  kedua-duanya tuan tanah dan pembeli. Ketika itulah Pentadbir Tanah perlu mendapat pengesahan daripada kedua-duanya berkaitan dengan jual beli tersebut. Jika tuan tanah asal bersetuju supaya wang pampasan dibayar kepada pembeli, maka perintah hendaklah dibuat supaya pampasan dibayar kepada pembeli dan sebaliknya jika timbul masalah dan penyelesaian tidak dapat dibuat, maka wang pampasan hendaklah didepositkan ke Mahkamah.

Lanjutan dari jawapan soalan keempat, jika bantahan ke Mahkamah hendak dibuat, siapakah yang mesti memfailkan Borang N. Jawapannya adalah pembeli tanah tersebut, kerana dia adalah orang berkepentingan selepas perintah dibuat oleh Pentadbir Tanah dan tuan tanah asal tidak mempunyai hak (bersetuju bahawa tanah tersebut telah dijual)


Untuk soalan kelima


Tujuan utama PEMOHON MESTI MENGEMUKAKAN LAPURAN NILAIAN (BUKAN PENTADBIR TANAH)  dan membayar  deposit sebanyak 125%  adalah jaminan supaya PEMOHON MEMPUNYAI PERUNTUKAN YANG MENCUKUPI UNTUK MEMBAYAR PAMPASAN KELAK dan memberi kemudahan kepada pemohon dengan hanya membayar 50% sahaja pada masa permohonan dikemukakan.


Pada pandangan saya TAK SALAH kerana Kaedah 5(2) Kaedah Pengambilan Tanah 1998 . PT boleh menggunakan Borang 2 untuk dapatkan pampasan tambahan jika pampasan yang didepositkan tidak mencukupi dan pemohon mesti bayar dalam tempoh 30 hari.


Jika pemohon tak boleh bayar, PEMOHON MESTI BERITAHU SECARA BERTULIS SAMA ADA NAK DITERUSKAN PENGAMBILAN ATAUPUN TIDAK.

Ahad, 12 Januari 2014

Soalan Berkaitan Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447]

Baru-baru ini saya ada ditanya melalui telefon orang seorang tuan tanah dari Kota Bahru Kelantan berkaitan dengan Akta Bekalan elektrik 1990 iaitu:

'Terdapat talian bekalan elektrik di atas beberapa lot tapak rumah/banglo (mungkin selepas pecah bahagian/pecah sempadan). Ini menyebabkan pemilik tanah tidak dapat membangunkan tanah tersebut  dengan bangunan. Berdasarakan maklumat yang diberikan kepada saya tiada sebarang catatan/endorsan di dalam dokumen hakmilik tersebut. Persoalannya apakah tindakan yang patut diambil.'

Pandangan/Jawapan

Tuan punya tanah mestilah terlebih dahulu membuat semakan sama ada di pejabat TNB atau Pejabat Tanah status laluan bekalan elektrik tersebut sama ada ianya di pasang mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 atau melalui Akta sebelum itu. Jika ianya dipasang mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990, seksyen 10 Akta Bekalan Elektrik 1990 menyatakan:

'Walau apa pun mana-mana undang-undang yang berhubung dengan perkara-perkara mengenai tanah, Pendaftar -

(a) apabila dikemukakan kepadanya notis yang dikeluarkan oleh pemegang lesen di bawah subseksyen (2) beserta dengan penyataan oleh Pentadbir Tanah Daerah bahawa tiada bantahan telah diserahkan oleh mana-mana orang yang tersebut dalam subseksyen (3); atau

(b) apabila dikemukakan kepadanya salinan asal perintah yang dibuat dibawah subseksyen (7) dan apabila salinan terperaku bagi perintah itu disimpankan dengannya,
hendaklah menyebabkan suatu nota mengenai kewujudan hak-hak dibawah notis atau perintah itu dibuat pada dokumen hakmilik daftaran yang berhubung dengan tanah yang terjejas oleh notis atau perintah itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Lanjutan daripada seksyen tersebut, para 3.1.6.4 dan para 3.2.1 Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 2 Tahun 1999 menghendaki Tenaga Nasional Berhad mengemukakan perkara-perkara dibawah seksyen 10 untuk tujuan yang sama.

Oleh yang demikian adalah menjadi kewajiban kepada Tenaga Nasional Berhad mengemukakan salinan asal perintah Pentadbir Tanah kepada Pejabat Tanah dan menjadi kewajiban kepada Pendaftar untuk membuat endorsan ke dalam dokumen hakmilik dan sebaliknya jika perkara tersebut tidak diserahkan dan endorsan tidak dibuat, dari segi undang-undang laluan yang dibina adalah TIDAK SAH DAN TUAN PUNYA TANAH BOLEH MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG KEATAS TNB walaupun sebelum ini tuanpunya tanah telahpun dibayar gantirugi berdasarkan seksyen 16 Akta yang sama

SEBALIKNYA JIKA LALUAN BEKALAN ELEKTRIK TERSEBUT DIPASANG/DIDIRIKAN SEBELUM AKTA 447 BERKUATKUASAN ADALAH TIDAK MENJADI KEWAJIBAN KEPADA PENTADBIR TANAH MEMBUAT ENDORSAN KE DALAM DOKUMEN HAKMILIK TANAH BERKENAAN

Selain daripada itu apabila semakan dibuat dan di dapati PIHAK TENAGA NASIONAL MEMASANG TALIAN BEKALAN TERSEBUT TANPA MENGGUNAKAN AKTA BEKALAN ELEKTRIK 1990 ATAU AKTA SEBELUM ITU ATAU AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960, MAKA TINDAKAN TERSEBUT ADALAH MENCEROBOH TANAH MILIK DAN MESTI MENGAMBIL TINDAKAN UNTUK MENGESAHKAN PENDUDUKAN TERSEBUT.

Lanjutan dari isu di atas, pukul 9 malam tadi 14 Januari 2014, saya menerima satu sms:

'Sekitar tahun 1990, TNB telah memasang talian voltan tinggi dari Tanah Merah ke Kota Bharu. Pihak kami mendapati tiada pengambilan atau permohonan izin lalu dari pihak TNB. Pemasangan tersebut menyebabkan 7 lot banglo tidak dapat digunakan untuk mendirikan rumah/menjualnya. Jurunilai menganggarkan lot-lot banglo itu bernilai 300 k'


Persoalan:

Bolehkan kita menuntut 'loss of use' tanah itu dari akhir tahun 1990 hingga 2014?

Pada pendapat tuan berapa nilai patut dituntut setahun?

Bolehkah kita menuntut supaya TNB membuat pengambilan tanah mulai tahun 2014?

Sekiranya TNB enggan mengambilnya, apakah tindakan yang perlu saya ambil?


Pandangan:

Berdasarkan gambar yang dihantar kepada saya ianya adalah talian bekalan elektrik voltan tinggi. Untuk itu TNB boleh menggunakan Akta Bekalan Elektrik 1990 atau Akta Pengambilan Tanah 1960. Oleh kerana tanah tersebut lot banglo (mungkin kategori bangunan), sepatutnya TNB menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. 

Nasihat saya tuan pergi ke Pejabat Tanah dan syorkan supaya Pejabat Tanah meminta TNB memohon pengambilan tanah. Jika pengambilan berlaku, nilai tanah adalah berdasarkan nilaian  tahun 2014 (tarikh warta seksyen 8). Apabila siasatan dijalankan nanti, pihak tuan bolehlah memohon 'loss of use' tanah tersebut dan jika pihak TNB tidak mengambil sebarang tindakan, pihak tuan disyorkan mengambil tindakan Mahkamah kerana  TNB melanggar Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan


Perkara 13 Hak terhadap harta

(1) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(2) tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.
 

Isnin, 6 Januari 2014

Perjanjian Pajakan, Sewaan Tanah

Berdasarkan seksyen 221 dan 223 Kanun Tanah Negara, tuanpunya tanah berimilik jika tidak mahu atau tidak mampu mengusahakan tanah mereka, boleh memberi pajakan atau tenansi (tenancies) kepada orang/pihak lain.

PAJAKAN TANAH

1. Semua atau sebahagian dari pada tanah tersebut
2. Tempoh melebihi 3 (Tiga) tahun
3. Tempoh maksimum pajakan seluruh tanah adalah 99 tahun
4. Tempoh maksimum pajakan sebahagian tanah adalah 30 tahun
5. Menggunakan Borang 15A Kanun Tanah Negara
6. Pajakan sebahagian tanah hendaklah disertakan pelan kawasan yang hendak dipajak

Orang yang memajak (pemegang pajakan) pula boleh memberi pajakan kecil seluruh atau mana-mana bahagian tanah yang dipajak


PAJAKAN KECIL

1. Tempoh melebihi 3 tahun
2. Pajakan kecil sebahagian tanah tidak melebihi 30 tahun
3. Menmggunakan Borang 15B Kanun Tanah Negara
4. Pajakan kecil sebahagian tanah hendaklah disertakan pelan kawasan yang hendak dipajak kecil


TENANSI/SEWA

1. Semua atau sebahagian daripada tanah/tanah yang dipajak/ tanah yang dipajak kecil
2. Tempoh tenansi tidak melebihi 3 tahun
3. Tenansi boleh diberikan oleh mana-mana tuan punya tanah, pemegang pajakan (orang yang memajak tanah) atau pemegang pajakan kecil (orang yang memajak kecil tanah) atau pemegang tenansi/sub tenansi

 
PEMILIK TANAH/PEMEGANG PAJAK/PEMEGANG PAJAKAN KECIL BOLEH MENGGUNAKAN PERJANJIAN DI DALAM JADUAL KEENAM KANUN TANAH NEGARA UNTUK TUJUAN TERSEBUT.
 
 
 
JADUAL KEENAM

(Seksyen 229)
 

PERJANJIAN YANG BOLEH DIMASUKKAN DALAM PAJAKAN

1.         Penanaman

Pemegang pajakan akan pada bila-bila masa dalam tempoh pajakan itu menanam, menggunakan dan menguruskan dengan cara yang patut seperti seorang petani segala bahagian sedemikian harta yang dipajakkan itu seperti yang ada pada permulaan pajakan itu dipajak atau dipersawahkan dan segala bahagian yang sedemikian yang boleh selepas itu dipajak atau disawahkan dengan keizinan pemajak secara bertulis, dan tidak akan menandus atau membazir tanah itu.

2.         Penebangan kayu kayan

 Pemegang pajak tidak boleh memotong, menebang, merosakkan atau memusnahkan apa-apa kayu-kayan yang masih membesar atau masih hidup atau pohon-pohon yang akan menjadi kayu-kayan yang berada di atas tanah yang dipajakkan tanpa keizinan pemajak secara bertulis.

3.         Pengecatan diluar

 Pemegang pajak hendaklah dalam tiap-tiap tahun ketujuh dalam masa berterusannya pajakan itu mengecat kayu dan besi yang berada di luar kepunyaan kawasan yang dipajak pada masa itu atau selalunya dicatkan dengan dua lapis cat minyak yang sepatutnya dengan cara yang betul dan juga memutih atau mewarnakan apa-apa bahagian luar kawasan tersebut sepertimana yang ada pada ketika itu diputih atau diwarnakan masing-masingnya.

 
4.         Pengecatan di dalam

Pemegang pajak hendaklah dalam tiap-tiap tahun ketiga dalam tempoh berterusnya pajakan itu mengecat kayu, besi dan lain-lain benda di sebelah dalam kepunyaan kawasan yang dipajak pada masa itu atau selalunya dicatkan dengan dua lapis cat minyak yang sepatutnya dengan cara yang betul dan juga memutih atau mewarnakan apa-apa bahagian dalam kawasan tersebut sepertimana yang ada pada ketika itu diputih atau diwarnakan masing-masingnya.

 
5.         Penggunaan untuk maksud perdagangan

Pemegang pajak tidak boleh dalam tempoh berterusnya pajakan itu (kecuali dengan keizinan pemajak secara bertulis) menukarkan, mengguna atau menduduki tempat yang dipajakan atau mana-mana bahagiannya kepada atau sebagai sebuah kedai, gudang atau lain-lain tempat untuk menjalankan apa-apa perdagangan, perniagaan, pendudukan atau apa-apa pekerjaan sekalipun, atau membenar atau menyebabkan tempat tersebut atau mana-mana bahagiannya digunakan untuk apa-apa maksud sedemikian atau lainnya kecuali sebuah rumah untuk kediaman persendirian.

6.         Perdagangan yang menggganggu

 Pemegang pajak tidak boleh pada bila-bila masa dalam tempoh berterusnya pajakan itu mengguna atau melaksana atau menjalankan atau membenarkan atau menyebabkan ia digunakan, dilaksanakan atau dijalankan dalam atau di tempat yang dipajakan atau mana-mana bahagiannya mengeluarkan bau busuk, bising atau melakukan perbuatan perdagangan, perniagaan, Pendudukan atau pekerjaan yang mengganggu dan tiada perbuatan , perkara atau benda sekalipun boleh pada bila-bila masa dalam tempoh berterusnya pajakan itu dilakukan dalam atau di atas kawasan tersebut atau mana-mana bahagiannya atau boleh menyakit hati, membawa mudarat, kecederaan, kerosakan atau gangguan penduduk atau pemilik tanah dan harta-harta berdampingan.

7.         Pemagaran

Semasa berterusnya pajakan itu pemegang pajak akan membina dan mendirikan suatu pagar yang baik dan kukuh disempadan-sempadan harta yang dipajakkan di mana dahulunya tidak ada pagar yang kukuh.

8.         Insuran kebakaran

(1)           Pemegang pajak akan menginsurankan atas nama pemajak (dan akan terus  menginsurankan sedemikian semasa berjalannya pajakan itu) terhadap kehilangan atau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran  dimana-mana pejabat insuran awam yang diluluskan oleh pemajak hingga ke jumlah nilai penuhnya bagi semua bangunan yang pada masa itu berada di atas harta yang dipajakkan yang tergolong dalam bentuk atau jenis yang boleh diinsurankan terhadap kehilangan atau kerosakan sedemikian

(2)           Pemegang pajak akan mendepositkan dengan pemajak apabila dikehendaki berbuat demikian apa-apa polisi insuran yang dikuatkuasakan di bawah perenggan kecil (1) dan, dalam tempoh tujuh hari selepas mana-mana premium polisi itu kena di bayar , akan mendepositkan dengan pemajak resit untuk premium itu.

(3)           Apabila berlakunya pelanggaran atau ketidak patuhan perjanjian yang terkandung di dalam perenggan ini, maka pemajak bolehlah, tanpa menyentuh apa-apa hak lain yang ia mungkin mempunyai di bawah pajakan harta yang dipajakan itu, menginsurankan bangunan-bangunan yang disebut dalam perenggan  kecil (1) terhadap kehilangan atau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran,

(4)           Kos melaksanakan suatu insuran di bawah perenggan kecil (3) hendaklah, semasa berterusnya pajakan itu, dicagarkan ke atas harta yang dipajakan itu.

(5)           Segala wang yang diterima di bawah suatu polisi insuran yang dilaksanakan di bawah perenggan ini mengenai kehilangan atau kerosakan bangunan-bangunan yang diinsurankan oleh polisi itu hendaklah dibelanjakan dalam membaiki kehilangan atau kerosakan itu.

 

Rabu, 1 Januari 2014

Ternak Burung Walit

TERLEBIH DAHULU SAYA UCAPKAN SELAMAT TAHUN BARU 2014. TAHUN???? KEPADA SEMUA PENGUNJUNG BLOG TINTA BAYU.


Baru-baru ini timbul isu penternakan burung walit di negeri Selangor. Kerajaan negeri Selangor telah memberi tempoh 3 tahun kepada penternak burung walit yang beroperasi di kawasan premis perniagaan supaya berpindah ke kawasan pertanian. Ini terpaksa dilaksanakan kerana ianya MELANGGAR UNDANG UNDANG KANUN TANAH NEGARA/PERATURAN TANAH NEGERI DAN KEGELISAHAN PENDUDUK SEKITAR. Tindakan tersebut KONONNYA menimbulkan bantahan/tentangan daripada pengusaha industri tersebut dengan alasan menjejaskan pendapatan mereka. 

Selama ini dimana-mana negeri di Semenanjung Malaysia, ternakan burung ini kebanyakannya dilakukan di premis perniagaan yang terletak dikawasan bandar/pekan dan berhampiran dengan kawasan kediaman.  Tindakan tidak dapat dibuat walaupun ianya melanggar undang-undang tanah  dan mendatangkan masalah. Ini  kerana berdasarkan pemantauan yang dibuat didapati semua negeri di Semenanjung Malaysia belum lagi mempunyai peraturan mengenai penternakan burung walit di dalam Land Rules (Peraturan Tanah Negeri) masing-masing.

Berdasarkan kepada Kanun Tanah Negara, setiap tanah yang diberimilik mempunyai kategori, syarat nyata dan syarat tersirat masing-masing. Tanah kategori bangunan dan syarat nyatanya kedai/perniagaan hanyalah boleh didirikan bangunan dan menjalankan aktviti perniagaan sahaja. Jika bangunan tersebut digunakan untuk menternak burung walit, ianya telah melanggar kategori, syarat nyata dan syarat tersirat bagi tanah tersebut . Ini bermakna tuan punya tanah telah melanggar undang-undang. Oleh yang demikian apabila Pihak Berkuasa Negeri Selangor telah membuat peraturan mengenai penternakan burung walit, maka arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan  Selangor tersebut adalah memenuhi kehendak undang-undang Kanun Tanah Negara kerana penternakan burung walit tertakluk kepada kategori tanah pertanian.

Di Malaysia, hanya Negeri Sarawak sahaja yang mempunyai peraturan penternakan burung walit. Berdasarkan Buku 'Dasar Tanah Sarawak' terbitan Jabatan Tanah dan Survei:

Setiap pembinaan atau penyelenggaraan bangunan atau struktur bagi aktiviti penternakan burung walit memerlukan kelulusan lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak di bawah Rules 17(1) The Wild Life Protection (Edible Birds' Nests) Rules, 1998.

Jabatan Tanah berperanan memberi nasihat kepada Jabatan Hutan mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Majlis Perancangan Negeri iaitu:

(a) Hanya tanah di bawah kategori Tanah Desa dengan syarat kegunaan khas untuk pertanian dalam persekitaran pertanian sahaja yang akan dipertimbangkan. Tanah syarat kegunaan khas seperti padi, sagu, akuakultur, perladangan dan pada rumput, boleh dipertimbangkan.

(b) Hanya pemilik tanah berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk memohon

(c) Kawasan berhampiran dengan lapangan terbang, penternakan burung walit hendaklah terletak diluar jarak lingkungan 5 kilometre dari sempadan tapak lapangan terbang

(d) Bangunan dan struktur aktiviti penternakan burung walit hendaklah terletak diluar jarak lingkungan kawasan pentadbiran dan penempatan seperti berikut:

(i) Bahagian Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu - Hanya dibenarkan diluar lingkungan 16 km radius dari pusat Bandar.

(ii) Daerah Lundu, Bau, Serian, Seratok - Hanya dibenarkan diluar lingkungan 10 km radius dar pusat daerah.

(iii) Daerah Kecil Sebuyau, Oya, Igan, Simunjan, Sematan - Hanya dibenarkan diluar lingkungan 5 km radius dari pusat daerah kecil.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak, adalah amat wajar Kerajaan Negeri Selangor mengadakan peraturan kepada penternak-penternak burung walit di Selangor  supaya dapat memberi kebaikan kepada semua pihak.