Sabtu, 18 Januari 2014

Soalan Pengambilan Tanah

Soalan pertama daripada pegawai Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah - 'Keluasan diambil dalam Borang C dan di dalam warta seksyen 8 adalah 1 ekar . Agensi pemohon menyatakan dalam surat, keluasan yang akan diambil dikurangkan menjadi  0.9 ekar. Bagaimana dengan Borang E, perintah Borang G dan Borang K yang akan dibuat?

Soalan kedua dari pegawai Pejabat Tanah Daerah Seremban -  'Dalam Borang C dan warta seksyen 8 keluasan yang akan diambil adalah 0.0769 ha. Keluasan yang diperlukan oleh agensi pemohon adalah 0.769 ha. Adakah perlu pembetulan warta?

Soalan ketiga dari pegawai Pejabat Tanah Daerah Seberang Prai Utara - 'Tuan Tanah tidak hadir siasatan pengambilan setelah diberikan Borang E dan surat panggilan kedua (tuan Tanah ada dan dijumpai). Berdasarkan seksyen 29 Akta Pengambilan Tanah, wang pampasan didepositkan ke Mahkamah. Borang H telah diserahkan kepada semua pihak dan bayaran pampasan BELUM dibuat. Tuan Tanah hadir ke Pejabat Tanah dan memohon supaya bayaran pampasan dibayar kepadanya. Soalannya boleh atau tidak bayaran pampasan dibayar kepadanya dan bagaimana?'

Soalan keempat dari pegawai Pejabat Tanah Ledang - 'Keseluruhan tanah  terlibat dengan pengambilan dan dalam masa yang sama tanah tersebut telah dijual (Borang 14A telah lengkap tetapi belum didaftarkan lagi). Bagaimana dengan pampasan sama ada dibayar kepada tuan tanah asal, pembeli atau depositkan ke Mahkamah sehingga Borang 14A didaftarkan'.


Soalan Kelima dari pegawai Pejabat Tanah di Johor - Permohonan pengambilan tanah untuk seksyen 3(1)(b)(c), pemohon telah membuat bayaran untuk 50% pada tahun 2007, tetapi tidak menjelaskan bayaran untuk 75% kerana peruntukan tidak mencukupi dan permohonan terbatal. Pemohon membuat permohonan semula pada tahun 2011. Bayaran 125% dibayar mengikut nilaian JPPH yang terdahulu.


Soalanya:-


1) Adakah salah pentadbiran ini tidak merujuk nilaian baru dgn menggunakan nilaian yg lama sebagai bayaran 125%.


2) Tindakan sekarang dalam proses pengeluaran Borang E dan F, dan pejabat tanah telahpun mendapatkan laporan nilaian sebelum bicara dibuat, nilaian JPPH adalah 2kali ganda dari nilaian yang asal pada tahun 2007. Adakah perlu pejabat tanah memungut semula bayaran 125% berdasarkan nilaian JPPH yang baru.

3) Sekiranya pihak pemohon tidak dapat membayar nilaian pampasan yang diawardkan, apa tindakan yang perlu dibuat oleh Pejabat Tanah

PANDANGAN /JAWAPAN

Untuk soalan pertama.

Di dalam Borang E, keluasan yang diambil mesti 1 ekar kerana jadual Borang E adalah jadual Borang D dan jadual Borang D adalah jadual Borang C. Walau bagaimanapun berdasarkan  provision seksyen 14(3) Akta Pengambilan Tanah, Pentadbir Tanah boleh membuat award/perintah Borang G lebih kecil daripada keluasan yang diwartakan dan berdasarkan seksyen 14(4)(b) oleh kerana award tersebut kurang  dengan tidak lebih suku hektar atau satu peratus, maka penarikan balik dibawah seksyen 35(1) tidak perlu dibuat. Seterusnya keluasan pengambilan di dalam Borang K adalah 0.9 ekar berdasarkan perintah Borang G.

Untuk soalan kedua

Berdasarkan seksyen 7 Akta Pengambilan Tanah, pelan dan Borang C mesti dikemukakan oleh Pentadbir Tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk kelulusan. Oleh itu kelulusan PBN hanya melibatkan keluasan 0.0769 ha. Oleh kerana agensi pemohon memerlukan kawasan seluas 0.769 ha, maka keluasan seluas 0.6921 MESTI MENDAPAT KELULUSAN PBN SEMULA


Untuk soalan ketiga.

Walaupun perintah telah dibuat supaya pampasan didepositkan ke Mahkamah dan dalam masa yang pampasan belum lagi dibayar/didepositkan dan tuan tanah pula hadir untuk menuntutnya, Pentadbir Tanah hendaklah memberitahu agensi pemohon supaya bayaran pampasan dibuat kepada tuanpunya tanah atas alasan tuan tanah setuju menerimanya. Jika Pentadbir Tanah membuat keputusan sebagaimana asal iaitu mendepositkan ke Mahkamah, beban tuagas Pentadbir Tanah akan bertambah untuk menyediakan permohonan & affidavit penyimpanan dan seterusnya menyediakan permohonan dan affidavit untuk pengeluaran pula.


Untuk soalan keempat

Semasa siasatan pengambilan, Pentadbir Tanah mesti memanggil  kedua-duanya tuan tanah dan pembeli. Ketika itulah Pentadbir Tanah perlu mendapat pengesahan daripada kedua-duanya berkaitan dengan jual beli tersebut. Jika tuan tanah asal bersetuju supaya wang pampasan dibayar kepada pembeli, maka perintah hendaklah dibuat supaya pampasan dibayar kepada pembeli dan sebaliknya jika timbul masalah dan penyelesaian tidak dapat dibuat, maka wang pampasan hendaklah didepositkan ke Mahkamah.

Lanjutan dari jawapan soalan keempat, jika bantahan ke Mahkamah hendak dibuat, siapakah yang mesti memfailkan Borang N. Jawapannya adalah pembeli tanah tersebut, kerana dia adalah orang berkepentingan selepas perintah dibuat oleh Pentadbir Tanah dan tuan tanah asal tidak mempunyai hak (bersetuju bahawa tanah tersebut telah dijual)


Untuk soalan kelima


Tujuan utama PEMOHON MESTI MENGEMUKAKAN LAPURAN NILAIAN (BUKAN PENTADBIR TANAH)  dan membayar  deposit sebanyak 125%  adalah jaminan supaya PEMOHON MEMPUNYAI PERUNTUKAN YANG MENCUKUPI UNTUK MEMBAYAR PAMPASAN KELAK dan memberi kemudahan kepada pemohon dengan hanya membayar 50% sahaja pada masa permohonan dikemukakan.


Pada pandangan saya TAK SALAH kerana Kaedah 5(2) Kaedah Pengambilan Tanah 1998 . PT boleh menggunakan Borang 2 untuk dapatkan pampasan tambahan jika pampasan yang didepositkan tidak mencukupi dan pemohon mesti bayar dalam tempoh 30 hari.


Jika pemohon tak boleh bayar, PEMOHON MESTI BERITAHU SECARA BERTULIS SAMA ADA NAK DITERUSKAN PENGAMBILAN ATAUPUN TIDAK.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan