Ahad, 13 September 2015

Fungsi dan Peranan Pentadbir Tanah Dalam Akta Pengambilan Tanah

Kali ini saya paparkan Kertas Kerja bertajuk: DILEMA PENTADBIR TANAH DALAM MENENTUKAN AWARD PAMPASAN PENGAMBILAN TANAH DIBAWAH AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960 DAN PERSOALANNYA yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengambilan Tanah JKPTG untuk makluman pembaca semua.

BAHAGIAN PERTAMA

Akta 486 memberi kuasa kepada Pentadbir Tanah untuk menjalankan fungsi-fungsi serta tanggungjawab yang termaktub di dalam Akta. Fungsi utama Pentadbir Tanah adalah membuat siasatan penuh (full enquiry) mengenai kepentingan semua orang yang menuntut pampasan atau orang yang berhak kepada pampasan dan membuat award tentang tanah tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen (1) seksyen 12 Akta 486. 

Bagi membolehkan Pentadbir Tanah membuat award pampasan, maklumat berhubung persoalan pampasan hendaklah diperolehi anataranya keterangan dari orang berkepentingan serta lapuran-lapuran berkaitan termasuklah lapuran penilaian. Selain itu, Jadual Pertama Akta digubal bagi membolehkan Pentadbir Tanah menjadikannya sebagai panduan untuk menentukan suatu pampasan yang mencukupi sepertimana yang dikehendaki oleh Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, dilema dan persoalan yang wujud adalah sama ada Pentadbir Tanah yang telah dilantik bagi menajalankan fungsi dan tugas terebut dapat melaksanakan proses tersebut dengan bebas dan adil sebagaimana yang dikehendaki dibawah peruntukan seksyen 12 dan 14 Akta 486.

(A) Ciri-Ciri Fungsi Pentadbir Tanah Di Bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta 486

Fokus utama dalam menentukan ciri-ciri fungsi Pentadbir Tanah adalah dengan merujuk kepada peruntukan di bawah seksyen 12 (mengenai siasatan) dan seksyen 14 (mengenai award pampasan) Akta 486. Ciri-ciri ini adalah untuk menentukan sama ada fungsi Pentadbir Tanah hanya bersifat kuasa 'pentadbiran' (administrative) sahaja atau bersifat fungsi 'separa kehakiman' atau fungsi 'kehakiman'. Seksyen  12(1) dan (2) memperuntukan sebagaimana berikut:

"(1) Pada tarikh yang ditetapkan di bawah subseksyen (1) seksyen 10, Pentadbir Tanah hendaklah membuat siasatan penuh tentang nilaian kesemua tanah dijadualkan dan hendaklah dengan secepat mungkin selepas itu mentaksir amaun pampasan yang pada pendapatnya adalah berpatutan bagi tiap-tiap kes mengikut pertimbangan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

Dengan syarat bahawa Pentadbir Tanah boleh memperolehi pendapat secara bertulis tentang nilaian semua tanah dijadual daripada penilai sebelum membuat suatu award di bawah seksyen 14, 

(2) Pentadbir Tanah hendaklah juga menyiasat tentang kepentingan berkenaan kesemua orang yang menuntut pampasan........................"

Seksyen 14(10 dan (2) memperuntukkan sebagaimana berikut:

"(1) Apabila selesainya siasatan di bawah seksyen 12 berhubung dengan mana-mana tanah dijadualkan, Pentadbir Tanah hendaklah menyediakan suatu award bertulis..................,

(2) Tiap-tiap award yang disediakan di bawah subseksyen (1) hendaklah difailkan di Pejabat Pentadbir Tanah dan hendaklah menjadi keterangan yang akhir dan konklusif mengenai keluasan mana-mana tanah dijadualkan, mengenai nilainya pada pendapat Pentadbir Tanah..........."

Berdasarkan seksyen 12, Pentadbir Tanah diberi kuasa untuk mentaksir amaun pampasan mengikut pendapatnya setelah memperoleh pendapat bertulis daripada penilai sekiranya perlu. Manakala seksyen 14 (award Pentadbir Tanah) pula memperuntukkan bahawa award tersebut menjadi suatu keterangan yang akhir dan konklusif mengenai nilaian pada pendapat Pentadbir Tanah. Terdapat pandangan dikalangan Pentadbir Tanah sendiri yang menyatakan bahawa Pentadbir Tanah dalam menjalankan siasatan dan mengeluarkan award pampasan, fungsinya hanyalah bersifat sebagai kuasa pentadbiran semata-mata. Pandangan sedemikian akan membawa kelemahan kepada pengurusan Akta 486. Kuasa-kuasa bersifat pentadbiran akan melihat Perkara 13 Perlembagaan 
Persekutuan ditafsirkan secara terhad atau terbatas mengikut kuasa-kuasa pentadbiran. Peruntukan di bawah seksyen 12 dan 14 pula digubal sedemikian untuk mewujudkan suatu proses tribunal yang bebas dan adil.

Bagi meneliti sejauh mana ciri-ciri yang tersirat di dalam peruntukan seksyen 12 dan 14 Akta, kes-kes Mahkamah yang telah diputuskan sebelum ini perlu dirujuk.

Dalam kes Pemungut Hasil Tanah, Daerah Barat Daya (Balik Pulau), Pulau Pinang v Kim Gin Paik & Ors [1983] 1 MLJ 390, Mahkamah Persekutuan berpandangan bahawa seksyen 12 bukan semata-mata memberikan fungsi-fungsi pentadbiran tetapi terdapat secara tersirat kuasa-kuasa budibicara di dalamnya. Selanjutnya dalam ke Ng Kam Loon & Ors v Director of PublicWorks Department Johor & Anor [1990] 2 MLJ 229 di mana Y.A Hakim menyatakan bahawa fungsi-fungsi Pentadbir Tanah di bawah seksyen 12 Akta 486 merupakan fungsi kehakiman.



BERSAMBUNG KE BAHAGIAN KEDUA



2 ulasan:

  1. assalamualaikum tuan.saya mohon bertanya apa fungsi pentadbir tanah? situasi saya, nama arwah ayah dan abangnya (masih hidup) ada di dalam geran tanah pertanian sebagai pentadbir (di bahagian rekod ketuanpunyaan). namun demikian, cukai tanah dibayar oleh adik beradik lain yang tiada nama dalam geran. apa perlu saya buat sebagai anak arwah untuk menggantikan nama arwah kepada nama siapa yang sesuai atau ada hak ke atasnya? sbg info, bicara kuasa telah berlangsung, adakah situasi ini memerlukan proses ulang bicara?

    BalasPadam
  2. saya rasa dalam kes ni, perlu selesai "pentadbir" dengan pihak JKPTG pesaka

    BalasPadam