Isnin, 12 September 2011

Ambil Milik {Taking Possession} Dan Milikan Formal {Formal Possession}




Mengikut seksyen 18 Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah boleh mengambil milik tanah dalam tiga keadaan. ‘Ambil Milik’ bermaksud tanah yang pada asalnya kepunyaan tuanpunya tanah, diambil oleh Pentadbir Tanah dan tidak lagi menjadi hak tuanpunya asal.
TIGA keadaan tersebut adalah seperti berikut:

i.          Selepas bayaran pampasan dibuat kepada tuanpunya tanah. Ini adalah amalan biasa proses pengambilan tanah;
ii.         Pada atau selepas Borang H disampaikan kepada penduduk tanah seperti dinyatakan dibawah seksyen 18(a) walaupun tuanpunya belum mendapat bayaran pampasan;
iii.        Apabila Perakuan Kedesakan Borang I dikeluarkan seperti dinyatakan dibawah seksyen 18(b) sama ada perintah telah dibuat ataupun belum.

Mengikut seksyen 22(1) pula, Pentadbir Tanah boleh ambil milik secara rasmi (Milikan formal/Formal Possession) dengan menyerahkan  Borang K (Notis Bahawa Tanah Telah Diambil Milik) kepada :

i.          penduduk tanah dan jika tidak dijumpai, Borang K hendaklah ditampal;
ii.         tuanpunya tanah berdaftar, jika ia bukan penduduk; dan
iii.        pihak berkuasa pendaftaran

Kali ini kita akan membicarakan ‘ambil milik’ melalui pengeluaran Perakuan Kedesakan Borang I.

Menurut seksyen 19 Akta pengambilan Tanah 1960, jika pemohon berkehendakan tanah untuk melaksanakan projek dengan kadar segera, Pengarah Negeri (Pengarah Tanah dan Galian Negeri) boleh pada atau selepas tamat tempoh lima belas hari dari penyempurnaan notis awam Borang E mengikut seksyen 52 (bukan penyerahan Borang E kepada orang berkepentingan mengikut seksyen 53) mengeluarkan Perakuan Kedesakan Borang I kepada Pentadbir Tanah mengarahkan Pentadbir Tanah mengeluar dan menyerahkan Borang K. Ini bermakna pada atau selepas lima belas hari notis awam Borang E disempurnakan, Pentadbir Tanah akan menyerahkan Borang K kepada penduduk tanah, tuan punya tanah berdaftar, pemohon dan kepada pihak berkuasa pendaftaran (untuk tujuan catitan ke dalam Dokumen Hakmilik Daftar Komputer seperti yang dikehendaki oleh seksyen 23) walaupun siasatan dan perintah belum dilaksanakan.

Apabila Borang K telah diserahkan, agensi pemohon boleh memasuki tanah pada atau selepas tarikh Borang K diserah DAN apabila catatan telah dibuat di dalam Dokumen Hakmilik Daftar Komputer, mengikut seksyen 66 Akta Pengambilan Tanah 1960, tanah tersebut telah menjadi TANAH KERAJAAN dan bebas daripada bebanan.

Pengambilan melalui pengeluaran Perakuan Kedesakan Borang I hanya boleh dibuat jika memenuhi syarat-syarat berikut:
 i.         Pemohon menyatakan di dalam permohonan pengambilan sebelum ini bahawa pengambilan hendak diproses melalui pengeluaran Perakuan Kedesakan Borang I
ii.         Mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri
iii.        Permohonan pengambilan hanya untuk maksud awam di bawah seksyen 3(1)(a) dan kemudahan awam dibawah seksyen 3(1)(b) sahaja.

KESAN PENGAMBILAN TANAH MELALUI PENGELUARAN PERAKUAN KEDESAKAN BORANG I

i.          Tidak Boleh Membuat Penarikan Balik Dari Pengambilan

Selepas Borang K diserahkan seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 22, pemohon tidak boleh meminta Pentadbir Tanah menarik balik dari pengambilan (tak jadi ambil) walaupun berlaku perubahan jajaran umpamanya atau projek tidak dapat dijalankan ataupun tiada peruntukan. Ini dinyatakan dibawah seksyen 35(1) Akta Pengambilan Tanah ‘Pihak Berkuasa Negeri adalah bebas untuk menarik balik daripada pengambilan mana-mana tanah yang masih belum diambil milik’

ii.         Caj Bayaran Lewat

Seksyen 32(1) Akta Pengambilan Tanah menyatakan ‘Apabila amaun sesuatu pampasan yang diawardkan dibawah akta ini berkenaan dengan mana-mana tanah tidak dibayar atau didepositkan pada atau sebelum genap masa, Pentadbir Tanah hendaklah membayar amaun yang diawardkan itu serta caj bayaran lewat dengan kadar lapan peratus setahun mulai dari genap masa hingga  masa pampasan itu dibayar atau didepositkan’

Seksyen 32(1C) pula menyatakan genap masa ertinya tarikh semasa tanah itu diambil milik

Berdasarkan kenyataan di atas, oleh kerana tanah tersebut di AMBIL MILIK terlebih dahulu (awal) sebelum pampasan dibayar, PEMOHON AKAN DIKENAKAN CAJ BAYARAN LEWAT 8% DIKIRA MULAI DARI TARIKH PENYERAHAN BORANG K SEHINGGA BAYARAN PAMPASAN DIBUAT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan