Jumaat, 30 September 2011

Caj bayaran Lewat (Late Payment Charge) Bolehkah Di Elak

Sebelum membincangkan tajuk di atas adalah lebih baik kita memperkatakan caj bayaran lewat itu sendiri dan bila caj tersebut akan dikenakan. Caj bayaran lewat adalah satu istilah yang dimasukkan ke dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 melalui  Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1997 (Akta A999) kuatkuasa 1.3.1998. Sebelum ini dinamakan FAEDAH. Kadar yang ditetapkan adalah 8% mula kuatkuasa pada 19.1.1984 melalui Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1983 (Akta 575). Sebelum tarikh tersebut kadarnya adalah 6%.

Terdapat LIMA tempat/keadaan utama dimana caj bayaran lewat dikenakan dan mesti dikira seterusnya dibayar kepada orang berkepentingan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.

1.  Caj Bayaran Lewat Akibat Bantahan Daripada Pemohon
Mengikut seksyen 29A(1)(a)(b) Akta Pengambilan Tanah 1960, apabila pemohon membuat bantahan ke Mahkamah oleh kerana salah satu sebab yang dibolehkan dan dalam jangka masa yang dibenarkan, PEMOHON hendaklah (shall) membayar 75% sahaja daripada amaun pampasan tanah yang telah diputuskan oleh Pentadbir Tanah. Baki 25% daripada amaun tersebut tidak perlu dibayar sehingga Mahkamah membuat keputusan kemudiannya.
Apabila Mahkamah putuskan pampasan yang mesti dibayar MELEBIHI 75% dari amaun yang dibayar sebelum ini, perbezaan tersebut mesti dibayar BESERTA CAJ BAYARAN LEWAT MULAI DARI TARIKH BAYARAN 75% SEHINGGA TARIKH BAYARAN SEPERTI YANG DITETAPKAN OLEH MAHKAMAH DI DALAM PERINTAHNYA. Seksyen 29A(5) dan sebaliknya.
Begitu juga, jika sekiranya bayaran 75% daripada pampasan di atas tidak dibayar dalam tempoh tiga bulan dari tarikh terima Borang H, mengikut seksyen 32(1B) Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah dikehendaki mengira dan membayar caj bayaran lewat MULAI DARI TARIKH GENAP MASA (tarikh selepas tamat tempoh tiga bulan) HINGGA BAYARAN 75% DIBUAT.

2. Caj Bayaran Lewat Pengambilan Melalui Perakuan Segera BORANG I
Mengikut seksyen 19, Akta Pengambilan Tanah 1960, Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil milik tanah dengan kadar segera apabila diperlukan oleh PEMOHON, iaitu dengan mengeluarkan BORANG I. BORANG I adalah borang yang dikeluarkan oleh Pengarah Negeri (Pengarah Tanah dan Galian), yang mengarahkan Pentadbir Tanah mengambil segera tanah tersebut dengan cara MENYERAHKAN BORANG K (Kepada pihak-pihak yang dinyatakan dalam seksyen 22) PADA ATAU SELEPAS TAMAT TEMPOH 15 DARI TARIKH NOTIS BORANG E DITAMPAL (Mengikut seksyen 52 Akta Pengambilan Tanah). MULAI DARI TARIKH PENYERAHAN BORANG K TERSEBUT SEHINGGA BAYARAN PAMPASAN DIBUAT, PENTADBIR TANAH HENDAKLAH MENGIRA DAN MEMBAYAR CAJ BAYARAN LEWAT. Ini dijelaskan dibawah seksyen 32(1),(1C)

3. Caj Bayaran Lewat Akibat Kelewatan Membayar atau Depositkan Pampasan Tanah
Mengikut seksyen 32(1)(1C) Akta Pengambilan Tanah 1960, Pentadbir Tanah hendaklah membuat bayaran pampasan atau mendepositkan bayaran tersebut (oleh sebab-sebab yang memerlukan ianya didepositkan seperti dibawah seksyen 29(1) ) seperti yang telah diperintah, DALAM TEMPOH 3 BULAN DARI TARIKH PENYERAHAN BORANG H. Oleh yang demikian, jika bayaran pampasan dibayar atau didepositkan melebihi dari tempoh tersebut, Pentadbir Tanah hendaklah mengira dan membayar pampasan itu beserta caj bayaran lewat MULAI DARI TARIKH TAMAT TEMPOH TIGA BULAN TERSEBUT SEHINGGA BAYARAN PAMPASAN DIBUAT.  

4. Caj Bayaran Lewat Akibat Bantahan Tuan Tanah Ke Mahkamah
Tuan tanah atau orang berkepentingan juga boleh membantah ke Mahkamah berkaitan dengan perkara-perkara yang dibolehkan mengikut seksyen 37 Akta Pengambilan Tanah 1960. Katakan bantahan mereka adalah berkaitan dengan bayaran pampasan dan jika Mahkamah putuskan amaun pampasan ditambah maka mengikut seksyen 48 Akta Pengambilan Tanah 1960, tambahan tersebut mesti dibayar beserta dengan caj bayaran lewat yang dikira MULAI DARI TARIKH PENTADBIR TANAH MENGAMBIL MILIK (Menyerahkan Borang K) SEHINGGA TARIKH LEBIHAN PAMPASAN DIBAYAR KEPADA TUAN TANAH (Lazimnya tarikh tersebut diputuskan oleh Mahkamah) atau sebaliknya.

5. Caj Bayaran Lewat Setelah Ukur Halus
Mengikut seksyen 25 Akta Pengambilan Tanah, jika pengambilan hanya melibatkan SEBAHAGIAN LOT, Pentadbir Tanah hendaklah mengukur baki lot tersebut dengan cara melaksanakan Permohonan Ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Setelah selesai pengukuran dijalankan (mungkin mengambil masa yang lama sedikit) dan jika terdapat TAMBAHAN KELUASAN YANG DIAMBIL (berbanding dengan anggaran keluasan diambil di dalam Borang K), lebihan keluasan tersebut mesti dibayar pampasan tambahan BERDASARKAN NILAI TANAH SEMASA DIAMBIL DAHULU (seperti dinyatakan dibawah seksyen 28). Disamping itu caj bayaran lewat mesti dikira dan dibayar MULAI DARI TARIKH PENYERAHAN BORANG K (Ambil Milik) SEHINGGA BAYARAN PAMPASAN DIBUAT seperti dinyatakan dibawah seksyen 32(2) dan sebaliknya jika bayaran pampasan dibuat TERKEMUDIAN dari Borang K, caj bayaran lewat dikira dari TARIKH BAYARAN PAMPASAN SEHINGGA BAYARAN PAMPASAN TAMBAHAN DIBUAT NANTI
Berdasarkan perbincangan di atas,  antara LIMA tempat yang dikenakan caj bayaran lewat, perkara PERTAMA boleh dielakkan jika PEMOHON TIDAK MEMBUAT BANTAHAN, atau jika keputusan Mahkamah mengekalkan pembayaran 75% tersebut tanpa tambahan. Perkara KETIGA juga tidak membabitkan caj jika PEMOHON membayar pampasan TIDAK MELEBIHI TENPOH YANG TELAH DITETAPKAN DALAM Akta Pengambilan Tanah. Begitu juga perkara KEEMPAT, caj tidak berkaitan jika, tuan tanah atau orang berkepentingan tidak membuat bantahan ke Mahkamah berkaitan dengan  amaun pampasan.
Mengenai perkara KEDUA, jika PEMOHON berkehendakkan pengambilan melalui Perakuan Kedesakan (BORANG I), caj bayaran lewat tidak dapat dielakkan mesti dikira dan dibayar. Begitu juga berkaitan dengan perkara KELIMA, caj bayaran lewat tidak dapat dielakkan sama sekali kerana perbezaan keluasan pengambilan pasti wujud selepas ukur semula dilaksanakan.


1 ulasan:

  1. Hi, 3. Caj Bayaran Lewat Akibat Kelewatan Membayar atau Depositkan Pampasan Tanah- macam mana nak apply caj bayaran lewat after borang H submitted more than 3months?

    BalasPadam